Wednesday, January 27, 2010

Tepuk dada tanya selera

Ramai yang bertanya, malah ada yang menelefon para editor kanan mengenai editoriablog yang sudah lama tidak membuat posting. Bukan itu saja, tentu ada yang sakit hati apabila dinyatakan bahawa ada juga pihak yang mahu 'membeli' blog ini, hanya kerana namanya 'EDITORIAL' blog. Hamun hal itu, akan diurus dan diselesaikan kemudian. Dalam perkembangan baru ini, Editorialblog mempersembahkan di sini satu tulisan yang ada kaitan dengan akhbar:....

Friday, January 22, 2010

MASA DEPAN AKHBAR

Oleh Nobisha

New York Times (NYT), akhbar yang berusia 159 tahun, akan mula mengenakan bayaran kepada pembaca. Mulai tahun depan, seseorang hanya boleh membaca sejumlah mukasurat NYT versi online; untuk mengakses selebihnya, sila bayar.

Keputusan itu dibuat kerana NYT berhadapan dengan masalah kemerosotan edaran (circulation) dan kekurangan pendapatan iklan. Pada tahun lalu, gaji wartawan NYT dipotong 5% dan 100 pekerja bilik berita ditamatkan perkhidmatan. NYT ialah akhbar ketiga terbesar edaran (928,000) di Amerika Syarikat; di belakang Wall Street Journal dan USA Today.

Dilema yang dihadapi oleh NYT bukanlah sesuatu yang baru dan terpinggir. Akhbar harian besar di Amerika Syarikat mengalami kemerosotan jualan purata sebanyak 15% pada tahun lepas. Outsell, sebuah firma penyelidikan, menjangkakan purata kemerosotan edaran akhbar Amerika Syarikat pada kadar 3.5% pada tahun ini. Jumlah edaran majalah juga merosot -- dari Newsweek kepada Readers Digest.

Hal yang sama juga berlaku di Malaysia. Berdasarkan laporan Audit Bureau of Circulation (ABC), edaran akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian pada tahun 2009 (Jun), ialah sekitar 160,000 (Berita Harian) dan 170,000 (Utusan Malaysia). Pada tahun 2006, edaran Utusan Malaysia ialah 213,000, manakala Berita Harian mencatatkan angka 203,000.

Mingguan Malaysia masih berada di atas dengan edaran 411,000, berbanding Berita Minggu 263,000. Ia adalah penurunan edaran dari 483,00 bagi Mingguan Malaysia dan 333,000 bagi Berita Minggu.

Akhbar berbahasa Inggeris juga mengalami kemerosotan edaran. Jumlah edaran akhbar The Star pada tahun 2009 ialah 295,000; berbanding 310,000 pada tahun 2006. The New Straits Times juga merosot dari 139,000 pada tahun 2006 kepada 120,000 pada tahun ini.

Adakah betul kata-kata bahawa kemerosotan jualan adalah disebabkan orang tidak membaca akhbar disebabkan sesetengahnya cenderung menyokong kerajaan?

Saya tidak fikir begitu. Laman web Alexa.com meletakkan akhbar The Star pada tangga 15 laman web paling popular di Malaysia (berdasarkan page hits), diikuti oleh Utusan Malaysia (24) dan Berita Harian (29).

Berdasarkan statistik ABC dan maklumat Alexa.com, saya rumuskan bahawa masyarakat masih membaca akhbar. Minat mereka kepada laporan berita dari media massa arus perdana tidak menurun. Saya percaya organisasi media dengan wartawan terlatih dan "gatekeeper" berperanan menyebarkan berita yang diharapkan oleh pembaca -- walaupun pada masa yang sama pembaca juga menjenguk media baru (seperti blog) untuk mendapat berita alternatif dan maklumat tambahan.

Apa yang berlaku ialah peralihan media dari kertas (hard copy) kepada versi online. Ia juga selari dengan ledakan internet di negara ini -- pada tahun 2000, ada 3.7 juta pengguna internet di Malaysia, ia bertambah kepada 16.9 juta pada hujung 2009.

Mungkin agak keterlaluan untuk saya meramalkan bahawa pada suatu masa nanti yang cukup hampir, akhbar dalam bentuknya yang ada sekarang akan pupus dan ia digantikan oleh versi online. Menurut Economist.com, San Francisco bakal menjadi bandar pertama yang tidak lagi mempunyai akhbar tempatan. Saya fikir hal yang sama tidak mustahil di Malaysia.

Langkah NYT mengenakan bayaran kepada pembaca adalah sesuatu yang baik (setidak-tidaknya untuk survival akhbar berkenaan) -- walaupun ia pernah gagal apabila membuat cubaan kali pertama sebelum ini. Apa lagi pilihan yang mereka ada?

Sehingga kini, belum ada lagi akhbar yang berjaya dengan "business model" ini. Di Malaysia, portal seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Harakahdaily (ketiga-tiganya berada dalam senarai "Top 100" - Alexa.com - laman web popular di Malaysia, bersama-sama The Star, Utusan Malaysia dan Berita Harian) hidup bukan kerana langganan pembaca tetapi geran atau sumbangan pihak luar.

Dilema pemilik akhbar ialah bagaimanakah untuk menjana pendapatan secukupnya dari perubahan ini.

John Morton, penganalisis media mengatakan, "'The newspaper industry made a big mistake a decade ago when it accepted the false premise that information on the internet needs to be free.''

Sementara, pengkritik Arianna Huffington menyebut, bayaran untuk kandungan online tidak akan berjaya disebabkan persaingan di internet. Katanya, ''Unless you're selling porn, and especially very weird porn online, subscriptions are a dead loss!''

* Oleh itu, sama-sama lah kita fikir. Adakah kita masih mahu bertelagah di dalam dunia kita atau cuba mengembalikan kegemilangan akhbar kita? Tepuk-tepuk lah dada dan tanya-tanya lah, adakah anda masih berselera?