Thursday, February 5, 2009

Adun PR boikot Sultan Perak

Semua Ahli Dewan Undangan (Adun) mewakili Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP, Pas dan PKR akan memboikot majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya II Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika berucap dalam ceramah yang dihadiri kira-kira 10,000 penyokong PR di kediaman rasmi Menteri Besar di Ipoh, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa semua Adun PR telah menerima kad jemputan ke majlis berkenaan tetapi menganggap majlis itu tidak sah dari segi undang-undang.

"Perjuangan kita adalah perjuangan hak. Kita tidak setuju denga kerajaan haram Barisan Nasional (BN). Kita akan berjuang hingga ke titiasan darah terakhir," katanya.

Perhimpunan tanpa permit itu dianjurkan PR bagi membantah keputusan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah memberi pekenan penubuhan kerajaan negeri BN dan pemilihan Dr Zambry sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang dikatakan akan berucap pada majlis itu tidak hadir.

Mohammad Nizar berkata, PR akan meniupkan dan membangkitkan semangat rakyat di seluruh negara untuk menghancurkan Umno dan BN.

Katanya, tindakan pegawai kerajaan, khususnya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim mengarahkan beliau dan semua Exco negeri mengosongkan kediaman rasmi dan mengembalikan harta dan kemudahan kerajaan seperti kereta rasmi adalah tindakan kurang ajar.

"Kita akan mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat Perak untuk menumbangkan BN," katanya.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, pula berkata rakyat akan kembali berdemonstrasi di jalan raya seperti dilakukan dalam gerakan reformasi 1998 jika BN merampas pentadbiran kerajaan negeri Perak daripada PR.

p/s Perlu diingat bahawa majlis itu melibatkan Sultan Perak.

Nizar enggan lepas jawatan

Menteri Besar (yang disingkirkan), Mohammad Nizar Jamaluddin enggan melepasan jawatan walaupun diperintahkan oleh Sultan Perak.

Beliau beranggapan masih menjawat jawatan Menteri Besar berdasarkan Perlembagaan Negeri Perak.

p/s: berita lanjut akan menyusul

Kenyataan Sultan Perak

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.


Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan."

Wednesday, February 4, 2009

Sivakumar kata Hee bukan wakil rakyat

Selepas mencetuskan kontroversi apabila memberitahu rakyat Perak bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Osman Jailu (Changkat Jering) menghantar surat meletak jawatan sebagai wakil rakyat, hari ini, Speaker DUN Perak, V Sivakumar, memberitahu pula bahawa Adun Jelapang dari DAP, Hee Yit Foong, sudah meletakkan jawatan sebagai berkuat-kuasa pagi semalam.

Sivakumar dalam satu kenyataan dikeluarkan di Ipoh memberitahu bahawa surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada beliau jam 8.10 pagi tadi.

Katanya, Hee yang memenangi kerusi Jelapang bagi penggal kedua, telah meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Negeri Perak dengan kadar segera.

"Surat perletakan jawatan itu telah diterima oleh saya berasaskan Artikel XXXV, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak Darul Ridzuan.

"Oleh yang demikian saya sebagai Yang Dipertua Dewan Negeri Perak akan mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Negeri iaitu N31 Jelapang dengan segera," katanya

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Hee memenangi kerusi Jelapang dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 6,707 undi. DIa mendapat 12,219 undi mengalahkan calon BN, Loh Koi Pin, yang mendapat 5,512 undi dan calon bebas, M Saraswathy, yang memperolehi 1,275 undi.

Sivakumar juga ingin menunjukkan kuasanya apabila beliau tetap tidak mengiktiraf Jamaluddin dan Mohd Osman sebagai Adun)walaupun Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membuat keputusan mengekalkan mereka sebagai wakil rakyat di DUN masing-masing.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat itu adalah muktamad berdasarkan kuasanya sebagai ketua perundangan di DUN Perak.

"Oleh itu, mereka tidak boleh memasuki DUN kerana saya masih lagi ketua legislatif di Perak... kalau SPR tidak mengiktiraf (keputusan saya), itu dia punya pasal," katanya.

BN ada majoriti tubuh kerajaan Perak

JIKA MENDAPAT PEKENAN SULTAN PERAK 1 - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Perak. BN dikatakan mempunyai kuota mencukupi bagi menubuhkan kerajaan apabila empat hingga lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang dikatakan sedia menyertai BN, selain daripada dua Ahli Exco yang masih menghilangkan diri itu.

Najib dikatakan sudah mengadap Sultan Perak pagi tadi bagi memaklumkan penubuhan pentadbiran baru, apabila mendapat kuota mencukupi. Bagaimanapun, pertemuan Najib dan Sultan Perak diketahui oleh Mohammad Nizar yang kemudian membuat pengumuman segera membubarkan DUN, tanpa mendapat pekenan Sultan terlebih dahulu.

Semua Adun BN, termasuk Adun pembangkang yang menyertai Umno dan MCA kini berada
bersama-sama Najib, bagi menunggu keputusan daripada Sultan Perak.

***Maklumat terkini mengatakan Adun Bota yang menyertai PKR minggu lalu kini kembali semuka kepada Umno.


****Maklumat lagi terkini - Najib mengumumkan BN Perak kini mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan apabila tiga Adun dari PKR dan seorang Adun dari DAP mengumumkan keluar parti.

****Empat atau lima Adun lagi dijangka keluar daripada Pakatan Rakyat.

JIKA MENDAPAT PEKENAN SULTAN PERAK 2 - Kalau diperkenankan Sultan Perak, maka terbubarlah Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang belum pun berusia setahun. Semua sudah maklum bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sudah membuat pengumuman membubarkan DUN itu, sebelum mengadap Sultan bagi mendapatkan pekenan.

Demikianlah gara-gara mainan politik Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan Pas. Itulah juga taktik kerajaan Pakatan Rakyat apabila kedudukan mereka terdesak apabila ramai wakil rakyat mereka kini menyedari bahawa mereka tidak boleh bekerjasama.

Tanpa melihat ke dalam diri sendiri, Mohammad Nizar menyalahkan BN disebabkan ketidaktentuan yang berlaku dalam politik di Perak sekarang kononnya BN dan Umno tidak dapat menerima kekalahan pada pilihan raya umum lepas. Suatu alasan yang membuka pekung di dada dan enggan mengakui bahawa beliau sebenarnya Menteri Besar boneka. Boneka kepada DAP yang semua Adunnya adalah Cina dan India.

Mohammad Nizar enggan mengakui bahawa beliau menerima tekanan daripada orang Melayu Perak kerana mengikut telunjuk DAP, manakala PKR pula tidak dapat membantu, sebaliknya
bersekongkol dengan DAP.

Begitulah nasib yang menimpa rakyat Perak. Akibat marahkan BN dan Umno pada pilihan raya umum lalu mereka memilih sebuah kerajaan yang lemah. Mereka lupa bahawa BN adalah sebuah kerajaan yang kukuh.

Dan tuduhan Mohammad Nizar bahawa semua ketidaktentuan politik di Perak disebabkan oleh Umno adalah tuduhan dangkal dan kebudak-budakkan. Sememangnya Nizar dari awal lagi tidak layak menjadi Menteri Besar. Lebih baik biarkan wakil DAP menjadi Menteri Besar (tetapi apakan daya Perlembagaan Perak tidak membenarkan).

Ramai menyalahkan BN kerana dua Ahli Exco PKR Perak menjadi Adun Bebas. Tetapi BN khususnya Umno tidak pula menyalahkan Pakatan Rakyat atau PKR apabila Adun Bota menjadi katak melompak dari Umno ke PKR. Gajah depan mata tak nampak, kuman di seberang nampak.

Dan jika adapun pilihan raya kecil di seluruh Perak dalam sedikit masa ini, maka rakyat
Perak, khususnya orang Melayu wajar kembali ke asal dengan memilih BN untuk memerintah.
Bukan memilih gabungan yang didalamnya adalah parti yang anti-Islam dan anti-Melayu.

Apapun, kita tunggu pengumuman rasmi.

Sunday, February 1, 2009

Adun Behrang nafi letak jawatan

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jamaluddin Mohd Radzi menafikan beliau meletak jawatan sebagai Adun seperti yang diumumkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar, petang tadi.

Jamaluddin memberitahu bahawa surat peletakan jawatan beliau dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu yang kononnya diterima oleh Sivakumar menerusi fak itu ditandatangani pada 8 Mac tahun lalu kerana kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika itu bimbang tujuh Adun mereka keluar parti.

Surat itu digunakan seolah-olah saya sudah letak jawatan sebagai Adun. Ini satu pembohongan. Saya akan berbincang dengan peguam untuk tindakan selanjutnya,” kata Jamaluddin.

Apa yang peliknya kenapa Sivakumar boleh membuat pengumuman itu. Ini menunjukkan Pakatan Rakyat di Perak sudah bertelagah dan kerajaan mereka mula rapuh.

Apa Kata Editor MSM (Bhg 72 - Antara politik wang dan wang politik)

Sedar atau tidak, kita semua harus membezakan empat perkataan iaitu "Politik Wang" dan "Wang Politik". Justeru, Lembaga Disiplin Umno, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan ahli Umno keseluruhannya MESTI faham dua perbezaan itu bagi mengelak salah sangka.

Ramai di antara kita sekarang ini bercakap mengenai politik wang.

Kenapa, Umno masih tetap di hati rakyat? Kerana kepemimpinannya yang bekerja memerah otak siang dan malam demi membangunkan negara. Kerana kepemimpinan Umno yang sekular dalam menabur projek untuk rakyat tanpa mengira kawasan pro-Umno atau pembangkang. Kerana Umno mengamalkan pentadbiran demokrasi sepenuhnya.

Berbual dan berbincang mengenai kepemimpinan dalam Umno sekarang, isu paling panas diperkatakan ialah 'politik wang'. Begitu juga dalam media massa, banyak tulisan yang menyentuh mengenai 'politik wang'.

Kita tidak akan terlepas memperkatakan isu itu, terutama apabila berkumpul bersama rakan taulan. Apa lagi cuti persekolahan yang lepas hingga sekarang ini masih ada kenduri kendara, pastinya hidangan utama 'politik wang' menjadi perbualan.

Musim ini juga suatu hal yang menyulitkan buat Lembaga Disiplin Umno atau SPRM apabila mungkin ada perwakilan dan orang kuat Umno yang mengadakan kenduri kahwin. Kena jemput rakan taulan, YB YB dan orang kuat Umno.

Yang datang pula tahu tuan rumah adalah orang kuat. Maka bawa lah 'hadiah' yang besar untuk tuan rumah. Sudah menjadi adat orang Melayu bertandang ke rumah kenduri akan membawa hadiah kepada tuan rumah. Jika tidak membawa hadiah, biasanya selepas makan kita meletakkan sampul surat yang ada isi di tapak tangan dan bersalam dengan tuan rumah sebelum pulang.

Adakah 'hadiah' untuk majlis kenduri kahwin itu juga akan disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno atau SPRM?

Ya! Rata-rata orang Cina Melayu, India atau kaum lain kini bercakap mengenai politik wang dalam Umno. Nampaknya, Umno sejak dulu, kini dan ... mendapat publisiti paling meluas, tetapi ia adalah publisiti negatif.

Namun, dalam memperkatakan politik wang, kita (termasuk Lembaga Disiplin Umno dan SPRM) semestinya tidak lupa satu perkataan lagi iaitu 'wang politik'. Bagi saya dan mungkin anda juga tahu bezanya 'politik wang' dan 'wang politik'. Banyak yang keliru dengan istilah 'wang politik' dan 'politik wang'.

Saya kira orang ramai sudah tahu apa yang dimaksudkan dengan 'politik wang', dan amalan itu memang menyalahi peraturan yang ditetapkan parti dan undang-undang negara apabila ia juga bermaksud 'rasuah politik'.

Harus dibezakan 'wang politik' kerana istilah ini tidak menyalahi peraturan atau undang-undang negara. Tidak seharusnya Lembaga Disiplin Umno atau SPRM atau orang Umno sendiri salah faham dengan istilah 'wang politik'.

'Wang politik' seharusnya dibenarkan kerana dalam menjalankan apa-apa tugas, termasuk kempen pastinya seseorang memerlukan wang yang antara lain untuk makan minum dan kos pengangkutan.

Misalnya, si A adalah calon bagi ketua bahagian. Dia mempunyai 10 orang penyokong untuk membantunya melancarkan banyak tugasan. Dalam melakukan kerja itu 10 orangnya memerlukan macam-macam perbelanjaan bagi menampung apa saja kos.

Maka perlulah si A itu mengeluarkan belanja kepada orangnya. Ini bukan rasuah, tetapi belanja yang perlu dikeluarkan oleh 'majikan' kepada 'pekerjanya'.

Sama juga halnya jika ada YB yang sudah berjawatan timbalan menteri atau menteri menawarkan diri untuk jawatan lebih tinggi dalam parti, misalnya jawatan Naib Presiden. YB itu juga mempunyai pekerjanya dan penyokongnya setiap kali beliau menjelajah serata pelosok negeri.

Si YB ini juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan kepada pekerja dan penyokongnya, sekurang-kurangnya untuk makan minum dan kos pengangkutan. Jika memerlukan penginapan, maka YB itu terpaksa menyediakan kos hotel. Dalam masa yang sama apa salahnya, berbelanja lebih sedikit untuk 'melayan tetamu'. Kita bayar makan minum kepada tetamu, apa salahnya.

Jika ada pihak berkata, boleh kita layan tetamu tetapi yang salahnya ialah 'sambil menyelam minum air'. Tak mengapa jika orang mahu berkata demikian.

Dan lagi satu mengenai ejen calon yang banyak diperkatakan. Bagi kami perkataan EJEN itu lebih membawa erti sebagai PENYOKONG KUAT. Contohnya, YB dari Kedah akan bertanding jawatan tertentu. YB ini pula mempunyai ramai kenalan dari Perak, mungkin kawan masa sekolah atau ipar duai yang dah lama dikenali. Salahkah jika mereka ini menyokong YB dari Kedah itu?

Dalam masa yang sama YB dari Kedah ini memberi wang kepada mereka untuk bergerak di sekitar Perak berkempen untuk YB itu. YB itu tentu lah perlu mengeluarkan belanja kepada kawan-kawan dan ipar duainya di Perak. Untuk makan minum, kos pengangkutan atau kos penginapan. Mana ada barang free sekarang! Salah kah jika YB itu mengeluarkan belanja berkenaan?

Penulis juga mempunyai ramai kenalan di kalangan YB daripada Barisan Nasional. Ada juga beberapa YB daripada pembangkang yang penulis kenali dan mereka sendiri mengaku terpaksa membelanjakan wang untuk kerja-kerja politik.

Jadi adalah tidak salah jika tuan rumah kenduri kahwin menerima hadiah dan sampul surat. Begitu juga si A dan YB membelanjakan wang untuk kerja-kerja politik. Tetapi seharusnya kita membezakan 'kerja politik' yang dijalankan itu supaya tidak menjadi 'politik wang'.

Apa pun adalah sukar bagi Lembaga Disiplin Umno dan SPRM untuk membezakan mana satu politik wang dan wang politik, jika tidak mempunyai bukti kukuh.

Yang penting Umno harus membezakan antara POLITIK WANG DAN WANG POLITIK.

INGATLAH!

Apabila bangsa Melayu cuba ditindas oleh penjajah Inggeris yang mahu memperkenalkan Malayan Union, Umno bangkit menyemarakkan api dan semangat penentangan untuk mencapai kemerdekaan.

Apabila Tanah Melayu bertukar nama kepada Malaysia selepas diberi kemerdekaan, Umno melancarkan revolusi mental dan pembangunan kemanusiaan di kalangan rakyat orang Melayu.

Apabila negara terjerumus dalam banyak krisis sosial dan suasana ekonomi yang tidak seimbang, Umno juga yang memerah otak untuk melakukan reformasi ekonomi ke arah keadilan sosial dan keharmonian antara kaum dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru.

Tat kala dunia terjejas akibat kelembapan ekonomi pada 1997 dan 1998, Umno di bawah kepemimpinan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memperkenalkan cara pengurusan dan polisi baru ekonomi dengan mengikat nilai mata wang ringgit.

Demikianlah antara banyak tingkah langkah dan jurus serta peranan yang dimainkan oleh Umno dalam menguruskan Malaysia supaya rakyat tidak kita apa kaum dan fahaman politik sekalipun dapat hidup aman, tenteram dan mengecapi hasil bumi bertuah ini.