Tuesday, November 25, 2008

Islam haram makan babi bukan hina Cina....

....Islam haram yoga, bukan hina Hindu...

Majlis Fatwa Kebangsaan Sabtu lalu mengharamkan umat Islammengamalkan senaman yoga yang dilakukan secara sistematik dan menyeluruhkerana bertentangan dengan syariat Islam serta boleh memesongkan akidah mereka.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin menyatakan senaman yoga berasal daripada masyarakat Hindu menggabungkan tiga unsur, iaitu amalan fizikal (senaman), keagamaan serta mantera pemujaan bagi mendapatkan ketenangan, dan kemuncaknya penyatuan diri dengan Tuhan, yang boleh merosakkan akidah umat Islam.

Oleh itu, ahli majlis berkenaan memutuskan apa juga jenis dan bentuk amalan yang mengandungi unsur sedemikian dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam.

Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam atau bukan Islam memperkatakan mengenai tindakan Majlis Fatwa ini. Tindakan mereka mempertikaikan keputusan fatwa itu sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam yang lain.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib lawan kerajaan Terengganu dan Kahar Ahmad melawan kerajaan Selangor dan dua lagi. Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, adalah mahkamah tertinggi dalam negara ini menjelaskan kedudukan fatwa di negara ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan itu ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Inilah suasana yang semakin pelik di Malaysia. Apa tidaknya, kini apa saja hukum yang
dikeluarkan oleh majlis tertinggi agama Islam di negara ini untuk umat Islam dipertikaikan
oleh bukan Islam. Tidak kah ini sesuatu yang pelik.

Bangsawan yang juga bekas menteri Kabinet, Datuk Seri S Samy Vellu yang beragama Hindu turut terpengaruh dengan fatwa itu. Malah beliau yang kini mahu menaikkan semula imejnya dengan berjuang untuk kaum India memandang serius keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Presiden MIC itu berkata keputusan yang dibuat Majlis Fatwa itu turut menimbulkan
kebimbangan penganut agama Hindu di negara ini. Katanya, walaupun Majlis Fatwa berhak
membuat ketetapan berkaitan umat Islam dan juga agama Islam, keputusan mengharamkan senaman itu menyebabkan kekeliruan di kalangan bukan Islam, termasuk penganut Hindu.

"Perkataan haram dalam membuat keputusan itu sudah disalah tafsir danapakah ia bermakna pengharaman itu untuk keseluruhan senaman yoga,". Ini kata Samy Vellu.

Kenyataan yang dibuat oleh Samy Vellu itu menjadi bahan ketawa di kalangan para editor MSM. Kenyataan itu sengaja disiarkan oleh akhbar arus perdana bertujuan menunjukkan kebodohan Samy Vellu.

Dalam pada itu, editorialblog tertarik dengan pelbagai ulasan yang diberikan oleh orang
ramai di dalam laman web dan blog. Paling mendapat perhatian ialah laman blog
rockybru.com.my. Ramai yang memberi pendapat apabila penulis laman itu Rocky mempertikaikan tindakan Persatuan Hindu Sanggam membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai yoga.

Namun, apa yang menarik hari ini ialah kenyataan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr
Mahathir Mohamad:

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa pihak tertentu supaya tidak menjadikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang melarang umat Islam daripada mengamalkan yoga sebagai isu agama.

“Jika mereka (Majlis Fatwa Kebangsaan) percaya ianya salah, jadi ianya salah. Malanglah jika orang lain fikir keputusan itu mencela agama mereka. Ia sama lah seperti kita kata orang Islam tidak boleh makan babi, ia bukan menghina orang Cina. Dan ia adalah sama bila orang Islam tidak boleh melakukan yoga. Ia bukan kerana mereka menghina orang Hindu.

“Mereka tidak patut buat begitu. Sama ada orang Melayu ikut atau tidak, itu hal mereka, orang lain tidak boleh jadikannya sebagai isu agama. Seperti perkara lain yang dilarang di dalam Islam, ia bukan menghina orang lain. Tetapi ada orang yang mahu menjadikannya sebagai isu.

“Saya kesal. Saya sendiri tidak peduli jika anda berdiri di atas kepala atau berdiri di atas kaki anda. Ia bukanlah semata-mata jika anda mengamalkan yoga, anda tiba-tiba menjadi orang bukan Islam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan Antarabangsa Pertama 2008 mengenai Bahasa dan Linguistik anjuran Universiti Islam Antarabangsa di sini hari ini.

Ingatlah:

Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-215 Oktobe rlalu mengeluarkan satu kenyataan khas berhubung beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia. Pendirian itu dikeluarkan berikutan situasi tidak menentu sejak kebelakangan ini apabila ada pihak mula mempersoal, mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam bahkan meminta peruntukan dalam Perlembagaan seperti kontrak sosial dikaji semula serta membangkitkan isu sensitif membabitkan soal perkauman.

SATU PERSOALAN YANG BERMAIN DI FIKIRAN IALAH:

ADAKAH KAUM INDIA BERAGAMA HINDU AKAN MEMBUAT DEMONSTRASI ATAU MENGHANTAR BANTAHAN APABILA UMAT ISLAM MENYAMBUT HARI RAYA HAJI ATAU HARI RAYA KORBAN DENGAN MENYEMBELIH LEMBU, YANG DIANGGAP TUHAN OLEH PENGANUT HINDU?

Friday, November 21, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 64 - Umpan Rafidah kena Shahrizat)

Akhirnya, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil 'terjebak' dengan 'perangkap' dipasang oleh ketuanya sendiri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Demikian lah liciknya permainan politik Rafidah. Demikian lah cara Rafidah 'membalas' dendam kepada Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang lebih mengutamakan Naib Ketua Wanita daripada Ketua Wanita sendiri.

Demikianlah cara Rafidah melepaskan geram terhadap Perdana Menteri apabila beliau menang kerusi Parlimen tetapi tidak dikekalkan dalam Kabinet Pak Lah. Jika Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, diberi jawatan menteri dan timbalan menteri, tetapi tidak ada jawatan menteri kepada Ketua Wanita yang merupakan sayap paling penting Umno.

Presiden Umno mengenepikan Ketua Wanita sendiri, sebaliknya lebih mengutamakan Naib Ketua apabila memberikan kepada Shahrizat satu jawatan bertaraf 'menteri' di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal wanita.

Mana Kak Fidah nak letak muka apabila kali pertama dalam sejarah politik Umno moden, Ketua Wanita tidak diberi jawatan langsung dalam Kabinet.

Namun dalam hal ini, tidak boleh disalahkan Pak Lah seorang saja kerana jika Shahrizat tidak 'melutut' kepada Pak Lah sudah pasti Rafidah tidak melenting. Peranan Shahrizat dalam 'usaha menjatuhkan Rafidah' juga perlu diberi perhatian.

Peranan itu sudah bermula sejak 2003, sebaik berlaku peralihan kuasa antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pak Lah.

Sejak itu, bermula episod 'hang aku' dalam pergerakan Wanita, apabila Shahrizat lebih menjadi 'kekasih' Pak Lah daripada Rafidah. Orang-orang Shahrizat juga memainkan peranan di belakang tabir untuk memburuk-burukkan Rafidah di depan Pak Lah.

Rafidah tahu keadaan itu dan bermula pula 'balas membalas' antara Rafidah dan Shahrizat. Di luar nampak tenang, tetapi di dalam bergelora. Taufan yang melanda Wanita Umno bermula dengan hebat sebelum pilihan raya umum Mac tahun ini.

Dengar khabar, Rafidah tidak meletakkan nama Shahrizat sebagai calon BN Parlimen Lembah Pantai. Rafidah menggunakan pengaruhnya ke atas Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan untuk tidak meletakkan Shahrizat sebagai calon.

Shahrizat mengetahui perkara ini, pada saat akhir dan terus ke JPM dan kediaman rasmi PM untuk 'melutut' supaya dicalonkan. Akhirnya, Shahrizat tewas kepada Nurul Izzah. Ramai yang berkata Nurul Izzah menang kerana undi simpati. Hakikatnya, tangan-tangan dalam Wanita Umno Lembah Pantai yang setia kepada Rafidah bergerak untuk menjatuhkan Shahrizat.

Walaupun kalah, Shahrizat yang lebih muda kelihatan 'memikat' pada mata Pak Lah, berbanding Rafidah. Lagipun, sejarah Rafidah-Pak Lah tidak baik dan kesempatan ini diambil oleh Shahrizat dan konco-konconya untuk menjalankan peranan.

Sehinggalah, Rafidah tidak dilantik semula sebagai menteri Kabinet. Shahrizat juga tidak dilantik. Mana mungkin Pak Lah melantik Naib Ketua Wanita sebagai menteri tetapi tidak memberi jawatan menteri kepada Ketua Wanita.

Namun demikian, Pak Lah tahu bahawa Wanita Umno akan mendesak beliau untuk memberikan jawatan kepada Wanita Umno. Maka Pak Lah pun melantik Shahrizat sebagai penasihat hal ehwal wanita di JPM - satu jawatan bertaraf menteri.

Rafidah tidak diberi apa-apa.

Namun, Rafidah tahu selok-belok politik yang dimainkan oleh Shahrizat dan konco-konconya, lantas menyusun strategi. Rafidah memasang 'umpan' pada kail untuk memancing Shahrizat. Dan Shahrizat kini sudah masuk 'jerat' apabila mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.

Umpan pembunuh karier politik Shahrizat dipasang dengan 'perjanjian' untuk memindahkan kuasa kepada beliau pada Jun 2009. Jadi dalam perhimpunan agung Umno Mac 2009 tidak akan berlaku pertandingan jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita. Akan kekal Rafidah ketua dan Shahrizat Naib Ketua sehingga Jun 2009.

Dalam pada itu, strategi politik di peringkat Wanita bahagian disusun rapi supaya ada pencalonan untuk Rafidah dan Shahrizat. Maka Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat hanya 73.

Konco-konco dan penasihat Shahrizat juga menyusun strategi mereka dan mendesak beliau meminta Rafidah mempercepatkan peralihan kuasa kepada Mac, bukan Jun. Bermakna dalam perhimpunan agung Umno itu nanti Rafidah tidak bertanding, untuk memberi laluan kepada Shahrizat.

Rafidah yang sudah ada agenda sediri menggunakan 'kuasanya' untuk menolak cadangan Shahrizat itu. Manakala Datuk Kamilia pula kekal dengan pendirian untuk merebut jawatan Naib Ketua Wanita.
Tidak kah orang-orang Shahrizat menyelidik secara mendalam siapa di belakang Datuk Kamilia?

Sehinggalah, semalam, Shahrizat akhirnya mengumumkan untuk menerima tawaran bertanding calon Ketua Wanita Umno. Bahasa yang digunakan oleh Shahrizat untuk mengumumkannya juga tidak jauh bezanya daripada yang digunakan oleh Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman ketika melawan Rafidah pada 1996 lalu.

Hari ini, apa kata Rafidah (10 muka surat kenyataan media ditulis oleh Rafidah):

"Dua sebab mengapa saya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno."

"Pertama, jika pelan peralihan kuasa yang dicadangkannya pada Jun 2009 dipercepatkan pada Mac, ia bererti tidak ada lagi pelan peralihan yang pada asasnya membabitkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan."

"Kedua, ia bererti saya 'dipaksa' menyerah jawatan ketua ‘secara bulat-bulat’ kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan menang tanpa bertanding sekali gus menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang mencalonkan saya memegang jawatan itu hingga Jun 2009."

"Ada pihak yang mahu pelan peralihan kuasa dipercepat dari Jun ke Mac 2009.... ini tidak logik. Jika dibuat pada Mac bererti tidak ada pelan peralihan, yang asasnya membabitkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan."

"Semua mengetahui pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008. Ia diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan Jun 2009) tidak terjejas."

"Jika dipercepat kepada Mac, ia juga bererti saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding. Sekarang kerana pelan peralihan diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini."

Rafidah, dikatakan kecewa kerana pelan peralihan kuasa Jun 2009 yang diumumkannya pada 4 Ogos lalu dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan diumumkan. Sejak pengumuman dibuat, tiada sesiapa dalam Exco atau di luar yang mempertikaikan, bahkan Shahrizat, sama ada antara empat mata dalam Exco dan sidang media berkali-kali menegaskan beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan patuh kepada pelan peralihan.

“Beliau Shahrizat) patuh kepada nasihat pemimpin besar parti, bahkan menyatakan ‘kata akan dikotakan’ dan ‘my word is my honour’.

“Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan yang dicadangkan itu, pemimpin yang bertanggungjawab wajar membangkit dan membantah pelan berkenaan.

“Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, pasti Exco akan membatalkan saja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahu untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.

“Tetapi bantahan ditimbulkan selepas mereka mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, baru mereka membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas."

Namun, Walaupun Rafidah pernah menggigit Tun Dr Mahathir, selepas Tun tiada lagi dalam kerajaan dan Umno, kebolehan Rafidah tidak boleh dipertikaikan. Beliau lebih baik daripada Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya dan tidak disenangi penduduk Lembah Pantai.


Apa pun, jika Shahrizat tewas dalam pertandingan itu maka berakhir lah riwayat politik beliau dan begitu juga sebaliknya jika Rafidah kalah. Namun, kita percaya Rafidah tidak akan menyerah kalah bulat-bulat.


Kerana keputusan Shahrizat untuk bertanding melawat Rafidah adalah satu pengesahan bahawa penyerahan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 sudah TERBATAL. Dan Rafidah akan terus memegang jawatan itu untuk sepenggal berikutnya.

Wednesday, November 5, 2008

Transkrip temu bual Najib di RTM

BERIKUT IALAH TRANSKRIP SOAL JAWAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DATUK SERI NAJIB TUN RAZAK MELALUI "RANCANGAN ISU KHAS PELAN RANGSANGAN FISKAL" DI SALURAN RTM2 MALAM INI. BELIAU DITEMUBUAL OLEH KETUA PENGARAH INSTITUT KAJIAN ANTARABANGSA DAN STRATEGIK DAN DR MAHANI ZAINAL ABIDIN, PENOLONG EDITOR PERNIAGAAN TV3 GAN AI LENG DAN PENGACARA RTM SAYED MUNAWAR SAYED MUSTAR

S: Apakah asas falsafah kepada pakej rangsangan yang dibentangkan semalam?
J: Kita memberikan suntikan kepada ekonomi dalam keadaan ekonomi menerima tekanan daripada ekonomi luaran. Langkah yang tepat ialah untuk membuat suntikan bukan untuk mengurangkan perbelanjaan.
Sebab itulah kerajaan memutuskan supaya kita memberikan suntikan dalam bentuk pakej rangsangan fiskal dan kita mengenal pasti dua kriteria iaitu kita mesti belanja ke arah projek-projek yang ada kesan multiplier yang besar dan kedua ialah kita mesti menambahkan pendapatan rakyat dan sekaligus membela kesejahteraan rakyat.
Jadi tidak tepatlah kalau kita kata bahawa pakej rangsangan fiskal ini kita beri pada industri sahaja.
Sebab, kalau kita lihat, kita bagi pada bidang pembinaan, kita buat rumah.
Siapa yang dapat keuntungan? Kita buat jenis rumah kos rendah dan sederhana termasuk 12,000 PPRT.
Tentu sekali rakyat yang termiskin akan mendapat faedah dan yang kedua kontraktor-kontraktor kecil di peringkat daerah dapat faedah. Dan dengan ini, pusingan kewangan dalaman ekonomi domestik kita akan menjadi lebih rancak lagi.

S: Datuk Seri, nampaknya kali ini kerajaan telah memperkenalkan langkah-langkah untuk mengembangkan ekonomi dengan memberi suntikan terus kepada rakyat. Jadi, adakah ini opsyen yang hanya ada atau pun kenapa kita tidak menggunakan opsyen lain seperti meningkatkan eksport dan sebagainya?
J: Sebenarnya, dalam pada krisis 1997 dulu, krisis itu dikenali sebagai
"Asian Financial Crisis", ekonomi di negara-negara maju di barat tidak mengalami krisis dan boleh menerima peningkatan eksport daripada negara-negara Asia.
Tetapi pada kali ini, ia menjadi terbalik kerana punca krisis ini datang daripada negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah.
Jadi kemampuan mereka untuk menempah eksport tambahan adalah terhad dan malah akan menurun.
Jadi pemulihan eksport tidak merupakan satu opsyen yang boleh kita lakukan.
Opsyen yang terbaik pada hemat kerajaan ialah untuk menentukan supaya penggunaan domestik dapat kita tingkatkan.
Kalau kita dapat tingkatkan penggunaan domestik, maknanya kita dapat menentukan masih ada momentum dalam ekonomi tempatan dan kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi yang munasabah.. tidaklah setinggi tahun ini.
Tahun ini, kita menjangkakan lima peratus.
Tahun depan, saya dah mengumumkan andaian unjuran baru semalam iaitu 3.5 peratus.
Itu merupakan satu pencapaian yang munasabah dan realistik.

S:Datuk Seri, adakah suntikan RM7 bilion mencukupi untuk mengharungi krisis kewangan global yang semakin serius?
J: Kita mesti ada imbangan. Kita tidak boleh membenarkan fiskal defisit kerajaan terlalu tinggi.
Sebab itu, di dalam pekiraan kita, kalau defisit itu kita dapat kekalkan pada 4.8 peratus di mana tahun ini, itu merupakan tahap yang boleh diterima mengikut piawaian atau penanda aras antarabangsa dan tidak memberi kesan yang negatif kepada rating kita, kepada mata wang atau ringgit.
Walau pun kita boleh menambahkan lagi, mungkin RM10 bilion atau RM12 bilion, ia akan membawa kesan kepada defisit fiskal kerajaan. Jadi sebab itulah, jalan yang kita pilih ini ialah untuk mengekalkan defisit pada 4.8 peratus tetapi kita boleh memberi suntikan RM7 billion pada ekonomi negara.

S: Bila bercakap mengenai soal RM7 bilion tadi yang bersumberkan daripada penjimatan subsidi dan kita tahu penjimatan subsidi juga bersifat turun naik (fluctuating) kerana bergantung kepada harga komoditi semasa. Bagaimana jika pasaran harga itu menentukan sama ada penjimatan itu lebih atau kurang dari RM7 bilion?
J: Kita sudah mengandaikan harga minyak dalam lingkungan AS$80 setong.
Jadi itu merupakan andaian yang munasabah untuk tahun depan. Jadi kita merasa optimis bahawa apa yang kita sudah unjurkan itu boleh mempertahankan pakej rangsangan kita ini.

S:Datuk Seri, kerajaan menganggarkan pertumbuhan ekonomi tahun depan pada 3.5 peratus. Tetapi, terdapat juga unjuran-unjuran lain yang lebih rendah. Dari manakah kekuatan ekonomi Malaysia untuk berkembang pada 3.5 peratus.
J: Asas keyakinannya, kita tengok tahun ini. Tahun ini, tiada sesiapapun nafikan kita boleh mencapai lima peratus. kalau kita boleh mencapai lima peratus tahun ini, maknanya ekonomi kita masih ada momentum lagi untuk membawa ke tahun hadapan. Bila kita tambahkan dengan pakej rangsangan fiskal ini, maknanya adalah intervensi kerajaan. maka pertumbuhan pada kadar 3.5 peratus itu, boleh dicapai.

S: Apa pandangan Datuk Seri mengenai sasaran kumpulan perbankan terbesar di Eropah, UBS yang mengatakan bahawa pertumbuhan KDNK negara dijangka sifar pada tahun depan?
J: Mereka pun boleh membuat kesilapan juga. Mereka tak dapat andaikan masalah besar di Amerika Syarikat dan Eropah umpamanya. Kerajaan masih yakin, 3.5 peratus boleh dicapai.
Tetapi dengan suntikan pakej rangsangan fiskal yang dibentangkan semalam.
dengan syarat tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku pada ekonomi luaran. Kalau ada satu yang begitu hebat tekanan, itu lain cerita.
Tetapi dalam keadaan yang kita dapat lihat, keadaan yang menurun dan tidak begitu teruk, kita masih boleh mencapai 3.5 peratus.

S: Dalam kata lain, rangsangan yang dicadangkan ini tidaklah eksotik, bergantung kepada keadaan semasa, kita akan respons positif terhadap apa-apa jua yang berlaku.
J: Ya, kita masih ada keanjalan untuk membuat penyelarasan.

S: Datuk Seri, kalau dikatakan keadaan menjadi luar biasa. Adakah kerajaan mempunyai kapasiti untuk menambahkan lagi defisit dengan tidak membimbangkan atau pun mengoncangkan ekonomi?
J: Kita ada lagi sedikit keupayaan, kapasiti. Tapi saya nak cuba pertahankan defisit pada 4.8 peratus walau pun dulu semasa krisis kewangan kita pernah sampai pada 5.6 peratus dari segi defisit kerajaan.
Maknanya kalau defisit sampai 5.6 peratus setahun ,itu tidaklah begitu menjadi tekanan pada ekonomi negara kita atau pun pada nilai mata wang kita atau pun nilai rating kita tapi sebaik-baiknya kita kekalkan pada 4.8 peratus.

S: Kerajaan telah berulang kali mengatakan ekonomi Malaysia kekal kukuh dan tidak mengalami kemelesatan samada tahun ini ataupun tahun depan, adakah kerajaan terlalu optimis?
J: Tidak, kalau kita terlalu optimis kita tidak buat pelan suntikan dan ransangan fiskal ini. Kita tahu ekonomi kita akan menerima bahang tempiasnya tetapi tidaklah seteruk mana mungkin setengah-setengah negara lain sebab kita mempunyai asas fundamental yang kukuh, ekonomi kita mempunyai asas dari segi kepelbagaian, ekonomi yang diperlbagaikan dengan baik dan sistem kewangan kita termasuk kita punya banking sistem mempunyai kecairan, kecairan yang baik lagi.

S: Walau pun kebanyakan langkah yang dipekenalkan adalah untuk jangka masa terdekat tetapi yang diperkenalkan semalam ada juga langkah-langkah yang berjangka masa sederhana seperti liberalisasi. Bagaimana ini boleh dilihat kerana banyak orang mengatakan bahawa masalah ini adalah masa yang terdekat, kenapa kita perlu juga memperkenalkan langkah yang liberalisasi dan juga langkah-langkah lain?
J: Kerajaan berpendapat bahawa langkah yang bersifat jangka sederhana, ia juga penting untuk memberi keyakinan kepada pelabur luar terhadap peluang dan kemungkinan mereka melabur dan walau pun keputusan membuat pelaburan oleh mereka itu mungkin makan masa, kita bagi isyarat bahawa kita akan terus mendokong apa yang dikatakan dasar yang mesra pasaran.
Maka kita memberi satu isyarat yang amat jelas pada dunia, pada pasaran dunia bahawa Malaysia merupakan tempat yang amat sesuai untuk mereka membuat pelaburan sama ada dalam bentuk FDI, sama ada dalam bentuk pasaran modal.
Sebab itulah langkah-langkah liberalisasi mesti kita bentangkan secara terus menerus.

S: Datuk Seri, mengenai sasaran MIER pula, baru-baru ini berkata ekonomi Malaysia dijangka mengalami kemelesatan dalam suku kedua atau suku ketiga tahun hadapan. Adakah Datuk Seri bersetuju dengan sasaran seperti itu?
J: Kita masih mempertahankan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan pada tahun depan. InsyaAllah, Kita masih boleh. Kalau nak kata kemelesetan teknikal maknanya dua suku, pertumbuhan kita negatif. Kita tidak lihat perkara ini akan berlaku pada tahun hadapan melainkan ada sesuatu yang amat luar biasa kepada ekonomi luaran.

S: Ini menariknya. Kalau di dalam pemerhatian kita sejak 10 tahun lepas, Datuk Seri, terlalu banyak pandangan yang skeptik tapi akhirnya kita terbukti apa juga fungsi yang diperkenalkan oleh kerajaan itu memberikan hasil. Kalau boleh kita pergi kepada sedikit spesifik terhadap sektor-sektor rangsangan yang dibawakan semalam. RM1.5 bilion untuk rangsangan FDI. Dalam keadaan krisis semasa ini merupakan krisis di peringkat global, jadi kita memperuntukkan RM1.5 bilion untuk menjana pendapatan daripada FDI. Jadi, apa sasaran kita setelah America Syarikat menghadapi kemelutan sedangkan mereka adalah rakan dagangan antara yang terbesar bagi negara kita. Ke mana sasaran RM1.5 bilion ini untuk menarik FDI?
J: Kita telah berjaya sebelum ini pun menarik syarikat-syarikat yang terkemuka seperti Dell, Hewlett Packet, Syntium dan lain-lain lagi. Maknanya sama ada dalam bidang ICT, pusat data, mewujudkan pusat data atau pun dalam bidang aeroangkasa, dalam bidang solar dan sebagainya. Ini merupakan industri-industri yang dapat memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dari segi nilai pelaburan, dari segi teknologi, dari segi bilangan pekerjaan, dan pada peringkat pekerja berpengetahuan.
Ini yang amat diperlukan oleh kita. Kalau kita tidak buat sesuatu mereka akan melabur di negara lain. Selalu mereka datang kepada kita, mereka tanya apa Malaysia boleh tawarkan dan mereka tidak akan segan silu memberitahu mereka dah dapat tawaran dari negara lain.
Kalau kita nak pelaburan mereka, kita kena sediakan pakej tambahan, atau pun insenktif khusus kepada mereka lebih daripada biasa yang kita tawarkan. Jadi mereka lihat bahawa kita ini dapat menawarkan sesuatu pakej yang lebih baik, lebih istimewa, maka mereka akan melabur di dalam negara dan itulah yang kita kehendaki sebab jangan lupa tiap-tiap tahun lebih kurang 100,000 graduate keluar masuk pasaran kerja.
Mereka nak pekerjaan, kita tidak boleh ada masalah pengangguran di kalangan graduan. Ini akan membebankan negara kita, Jadi langkah-langkah seperti ini perlu dan amat wajar dilakukan oleh kerajaan.

S: Ruang persaingan di peringkat global semakin sempit. Jadi RM1.5 bilion ini memadai untuk menarik perhatian?
J: Sementara ini, kalau perlu kita akan tambah lagi tapi saya fikir untuk tahun depan ini mencukupi.

S: Tapi Datuk Seri, pihak kerajaan juga akan menyemak semula projek-projek pembangunan koridor dan projek-projek mega. Adakah ia akan mempengaruhi kemasukan FDI?
J: Yang kita semak semula ini cuma yang import kandungan terlalu tinggi.
Sementara waktu umpamanya, pembelian helikopter untuk ATM dan Polis, kita tangguh sementara.
Tapi projek-projek lain, walau pun besar tapi ada memberi impak kepada ekonomi negara kita, kita akan teruskan umpamanya, kalau untuk Pelabuhan Kuantan kita merasakan bahawa dermaga yang baru perlu kita laksanakan, kita perlu dirikan sebab ini akan menambahkan keupayaan pelabuhan Kuantan dan adalah baik untuk pembangunan koridor Pantai Timur. Ini patut kita laksanakan.

S: Datuk Seri, seperti yang Datuk Seri tahu, harga kelapa sawit telah jatuh dengan teruk dan kita dengar banyak keluhan. Jadi daripada pakej rangsangan ini, apa yang boleh diharapkan oleh pekebun-pekebun kecil kelapa sawit?
J: Saya telah hubungkan beberapa langkah baru kerajaan. Antaranya harga baja dikurangkan dengan penghapusan duti 5.0 peratus. Pihak pengeluar baja telah bersetuju untuk mengurangkan sebahagian besar daripada jenis baja yang diperlukan oleh pekebun kecil pada kadar 15 peratus dengan serta merta.
Yang kedua, mulai Febuari tahun depan, kita akan mula laksanakan pengadunan metil ester, maknanya 5.0 peratus minyak kelapa sawit dalam bentuk (metil ester) kita adunkan dengan minyak diesel mulai dengan jabatan-jabatan kerajaan.
Kita juga akan mempergiatkan semula tanaman semula di mana satu dana sebanyak RM200 juta telah diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) baru-baru ini dan di samping itu kita telah minta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (Datuk Peter Chin Fah Kui) untuk berbincang dengan rakan sejawatannya di Indonesia.
Sebab kalau Malaysia dan Indonesia boleh ada persefahaman dalam hal ini, kita boleh buat strategi baru untuk yang paling penting mengurangkan stok simpanan kelapa sawit pada masa ini yang berada ditahap yang agak tinggi.

S: Mengenai isu kelapa sawit ini, Felda mungkin mempunyai mekanisma jaminan 1,000 minimum tetapi 70 peratus komoditi kelapa sawit ini dikeluarkan oleh pekebun kecil dan setakat ini rangsangan yang dilihat dari segi baja dan racun.
Jadi mungkin ada rangsangan lain untuk membantu pekebun kecil ini?
J: Kita akan cuba melihat dari segi menstabilkan harga kelapa sawit sebab untuk peneroka Felda itu datang dari sumber dalaman Felda sendiri untuk simpanan dan tabungan selama ini yang saya beritahu selama ini jangan belanja sehinggakan tidak ada simpanan. Saya kata simpanan pada tahap tertentu mesti ada pada sepanjang masa kerana kita tidak tahu apa akan terjadi pada masa akan datang.
Jadi langkah yang berhemat ini nampaknya dapat memberi pelindungan dalam keadaan masa ini.

S: Datuk Seri, mengenai projek kerajaan pula, kerajaan juga bercadang melaksanakan tender terbuka dan tender terhad. Adakah Datuk Seri yakin bahawa kontraktor Bumiputera yang selama ini dilindungi pihak kerajaan mampu berdaya saing secara terbuka?
J: Ya, ada sesetengah daripada syarikat Bumiputera ada keupayaan yang tinggi. Mereka boleh bersaing dan ada juga tender-tender yang kita had kepada syarikat bumiputera sahaja tapi yang penting sekali mereka perlu bersaing, mesti ada unsur persaingan sebab bila kita ada unsur persaingan kita dapat dua keuntungan.
Satu keuntungan dari segi kerajaaan, kita dapat nilai babgi wang dan juga proses pemberian itu agak lebih telus, dan yang kedua kita dapat membina keupayaan di kalangan kontractor ini untuk berdikari dan mereka boleh lebih berdaya tahan pada masa depan, kalau mereka melalui proses lebih kompetitif.

S: Datuk Seri, selalunya masalah yang kita dengar adalah pelaksanaan.
Kerajaan memang banyak membuat langkah-langkah, polisi dan sebagainya. Walau pun ada diumumkan dalam pakej semalam itu unit yang baru. Bagaimanakah ianya dapat memastikan bahawa segala langkah-langkah itu dapat dijalankan dengan cepat dan pantas?
S: Ada tiga peringkat yang boleh kita lakukan perkara ini.
Pertamanya, saya umumkan satu langkah terbaru iaitu mewujudkan satu unit pengurusan projek. Unit ini akan melapor terus kepada Menteri Kewangan I.
Yang kedua, kita mesti memperkasakan ICU sebab ICU lah yang patut memberi peranan untuk memantau pelaksanaan projek-projek kerajaan dan yang ketiga di peringkat kabinet, kementerian-kementerian yang bertanggungjawab untuk melaksanakan projek-projek ini akan digesa oleh Perdana Menteri dan saya untuk memastikan bahawa mereka memantau pelaksanaan program-program dan projek-projek di bawah tanggungjawab kementerian masing-masing.

S: Selalunya yang kita dengar, rungutan adalah daripada segi bayaran oleh mungkin Kementerian Kewangan sendiri atau pun kelulusan. Adakah ini boleh diatasi?
J: Bila ada unit ini, jadi pembahagian peruntukan itu kita akan pasti ikut jadual.
Sebenarnya pembayaran pada kontraktor dalam masa 14 hari ini kita telah capai lebih pada 95 peratus, adakalanya sehingga 98 peratus dibayar waktu dua minggu.
Yang menjadi masalah baru-baru ini ialah kerana kenaikan harga barang binaan, jadi kontrak yang telah ditetapkan harga tiba-tiba bila bahan binaan melambung naik kontraktor kata, kalau mereka teruskan projek mereka akan rugi.
Ada juga kontraktor bila telah dapat tender, mereka pulang balik. Jadi bila kita dah keluarkan surat pekeliling yang baru kita boleh buat ubah suaian pada harga kontrak dan projek-projek tersebut telah dapat ataupun sedang diteruskan oleh kontraktor yang berkenaan.

S: Ini ada kaitan dengan soalan Dr Mahani. Sebentar tadi, Datuk Seri mengaitkan dengan medel 1997. Bagaimana kita respons. Nampaknya kita mengejkalkan lebih kurang konsep yang sama. Limpahan daripada sektor-sektor utama ini. apakah kita terhad kepada model itu sahaja masa ini bagi menghadkan perbelanjaan domestik? Bagaimana dengan kadar faedah? Apakah itu tidak menjadi satu alat yang penting buat masa ini, buat cabaran masa ini?
J:Soal kadar faedah ni saya serahkan kepada Bank Negara untuk menentukan kerana saya nak pertahankan kredibiliti Bank Negara dalam soal penentuan kadar faedah. Bank Negara mempunyai pendirian kadar faedah tak perlu diturunkan buat masa sekarang ini.
Tetapi kita masih ada opsyen kalau sekiranya kita menjurus kepada kemelesetan ekonomi, kita masih ada dasar monetari yang boleh kita gunakan.

S:Pada pendapat Datuk Seri, kadar inflasi yang jadi semakin sederhana, adakah wajar Bank Negara turunkan kadar faedah dari kadar 3.5 peratus sekarang?
J: Bank Negara pada masa ini berpendirian kadar faedah tidak perlu diubah.
Jadi eloklah kita ada opsyen tertentu yang boleh digunakan sekiranya keadaan berubah.

S: Salah satu teras pakej rangsangan ini ialah meningkatkan pendapatan boleh guna. Jadi yang telah diberikan ialah memberikan pendapatan lebih kepada orang yang bergaji. Duit KWSP dan juga yang bekerja dengan kerajaan. Untuk orang yang bekerja sendiri apakah tidak ada. Saya tidak nampak dengan begitu jelas langkah yang boleh meningkatkan pendapatan boleh guna mereka.
J: Ada sebenarnya dalam pakej ini. Mikro Kredit untuk penjaja dan peniaga kecil kita tambah dana RM200 juta melalui Bank Negara. Jadi maknanya akses kepada mikro kredit diperluaskan. Dan juga program Amanah Ikhtiar Malaysia di kawasan-kawasan bandar diperluaskan.
Jadi kumpulan peniaga kecil ini kita beri pertimbangan dalam program kita.
Selain itu petani dan nelayan mereka ada program yang sudah pun diumumkan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Jadi program-program itu berjalan. Ini tambahan.

S: Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk meningkatkan pendapatan boleh dibelanja. Tapi memandangkan situasi kini, adakah Datuk Seri yakin rakyat Malaysia akan turut berbelanja?
J: Saya harap maknanya kalau ada sentimen yang positif maknanya bila rakyat tahu kerajaan yang prihatin dan kerajaan merancang satu rancangan fiskal, saya berharap dari segi sentimen perasaan lebih positif.
Sebaliknya jika tidak ada pakej rangsangan ini, mungkin mereka tertanya-tanya apa kerajaan nak buat. Mungkin sentimen itu lebih negatif.
Jadi saya harap tengok pasaran saham pun dah bertambah. Hari ni tak tau. Dah tiga hari dah naik maknanya sentimen tinjauan lebih positif maknanya rakyat akan berbelanja seperti biasa.

S:Adakah Datuk Seri turut yakin trend menaik itu berterusan ?
J:Saya lihat lebih positif sejak kita umumkan pakej rangsangan fiskal ini.
Tapi nak kata berterusan naik itu susahlah sebab ia berkait rapat juga dengan keadaan pasaran di Amerika Syarikat, di Eropah, di Jepun dan sebagainya.
Pasaran saham kita ini dalam dunia saling berkaitan ini kita tak boleh pisahkan sentimen di negara negara lain.

S:Soalan berikutnya agak mikro melibatkan psikologi masyarakat yang menjadi sasaran dengan rangsangan kenaikan elaun kereta meningkat RM10,000 misalnya dan pendapatan yang boleh dibelanjakan penambahan RM60 sebulan bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan. Ada faktor menceriakan, malah media hari ini memainkan isu ini memberikan paparan hadapan dan kelebihan-kelebihan, dan perkara yang menonjol. Tetapi, pada masa sama, kita mendidik pengguna agar berhemah dalam perbelanjaan mereka kerana ironisnya krisis yang berlaku sekarang ini ialah kerana terlebih berbelanja. Mesej kita pada penonton hari ini mereka dapat melihat perkara yang menonjol yang cukup menarik dan di waktu yang sama harus juga bijak memilih sektor yang wajar dibelanjakan.
J: Krisis ini sebenarnya berlaku di Amerika Syarikat dan Eropah. Bukan kerana masalah pengguna tetapi institusi kewangan mereka tidak bertanggung jawab dan kedua sistem kawal selia mereka lemah atau gagal memantau mengikut prinsip yang berhemah.
Jadi inilah yang menyebabkan krisis ini berlaku yang dikatakan krisis subprima ini. Jadi bagi kita, pengguna di Malaysia tak jadi masalah bagi mereka. Mereka menghadapi tekanan sikit sebab tahun ini inflasi tinggi pada kadar 8.0 - 8.5 peratus.
Jadi sebab itulah kerajaan rasa betanggung jawab untuk menambahkan lagi pendapatan yang boleh dipakai pengguna.

S: Krisis kali ini (berpunca) di luar negara, mungkin di Amerika Syarikat berasaskan kerana kurangnya keyakinan. Saya melihat isu pertama ialah mengembalikan keyakinan dan kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk mengembalikan keyakinan pengguna. Tetapi apa yang telah dibuat untuk mengembalikan keyakinan pelabur-pelabur terutamanya pelabur domestik untuk melabur dan mengembangkan ekonomi.
J: Kita akan memberi galakan pada pelabur domestik juga, misalnya GLC juga merupakan satu komponen besar dari segi keupayaan untuk melabur dan untuk mengenal pasti pelaburan yang besar yang boleh dilakukan oleh mereka. Umpamanya saya dah bincang dengan ketua eksekutif Sime Darby buat pembangunan besar-besaran.
Saya beritahu buatlah, jalanlah secepat mungkin kerana ia akan membantu merangsang ekonomi tempatan. Jadi mesej ini kita dah sampai kepada GLC dan jika GLC ambil langkah, saya percaya syarikat swasta lain juga akan melihat kepada potensi melabur di dalam negara.

S:Di sini saya rasakan peranan sektor perbankan amat mustahak kerana banyak bank yang lebih berawas, tak mahu mengembang, berhati-hati. Bagaimanakah kita memastikan mereka menyediakan laluan pinjaman untuk modal kerja industri kecil dan sederhana (PKS).
J:Sebenarnya ikut pada angka kredit untuk PKS bertambah secara keseluruhannya. Kita juga dah mewujudkan unit tertentu di Bank Negara jadi kalau PKS ada masalah dari segi pinjaman, Mereka boleh gunakan kemudahan penasihat-penasihat di Bank Negara ini dan mereka boleh dibantu dari segi pinjaman dan sebagainya.

S: Kesan kelembapan ekonomi dijangka berlarutan sehingga 2010. Adakah kerajaan yakin dengan pakej rangsangan yang diumumkan semalam boleh mengharungi atau mengahdapi cabaran seterusnya.
J:Yalah. Maknanya kita mesti buat segala yang mungkin kita lakukan. Yang terdaya kita lakukan supaya ekonomi sebenar kita ini tidak terjejas sampai menjadi ekonomi yang ...kemelesetan ekonomi. Kita nak elak dari berlakunya kemelesetan ekonomi. Insya Allah pada 2009 kita akan dapat mencapai pertumbuhan 3.5 peratus.

S:OK. Tertarik saya dengan beberapa item ada 15 sektor yang diberikan rangsangan ini. Kalau kita melihat sebelum ini juga pernah sektor pengangkutan awam menjadi keprihatian khususnya memberikan manfaat langsung kepada pengguna. Di satu peringkat dahulu kumpulan tabungan untuk memperkasa pengangkutan awam ialah RM500 juta tetapi dibelanjakan kebanyakan untuk permit teksi sedangkan yang perlu ditekankan ialah pengangkutan transit massa yang memanfaatkan golongan yang ramai. Jadi kalau rangsangan ini mungkin sudah ada butiran yang akan dibelanjakan kerana masih ada lagi yang resah, keadaan kos semasa pengangkutan awam?
J:Dari segi pengangkutan awam kita memperuntukkan RM500 juta di bawah program pakej rangsangan fiskal ini untuk penambahbaikan kepada sistem LRT serta merta dan untuk perkhidmatan bas.
Jadi maknanya apa yang perlu kita belanja serta merta kita akan buat. Tetapi pengangkutan perbandaran massa masih ada kelemahan. Banyak kelemahannya yang mana akan hanya dapat diselesaikan dengan hanya ada satu pihak berkuasa.
Suruhanjaya Pengangkutan Awam. Itu akan menjadi badan yang akan melihat kepada keperluan di bandar ini lebih holistik dan lebih komprehensif.

S: Jadi, RM500 juta tidak akan disalurkan ke suruhanjaya ini?
J: tidak tidak.

S: Datuk Seri, satu lagi kekhuatiran adalah graduan-graduan keluar dan baru keluar kerana tiap-tiap tahun kita melihat 80,000 hampir seratus ribu. Jadi adakah pakej rangsangan ini memberikan latihan cukup untuk menyediakan potensi untuk mereka mendapat pekerjaan.
J:Yalah. Kita tak boleh bagi jaminan kepada semua graduan yang keluar.
Tetapi langkah yang kita buat ini yang kita umumkan semalam, skim memudahkan graduan mendapatkan pekerjaan, termasuk GLC, termasuk GLC yang dimiliki Khazanah dan NB bererti 12,000 akan diberi peluang latihan untuk tempoh dua tahun akan datang.
Kalau perlu tambah kita tambah lagi. Tapi maknanya ini satu skim, kita harap juga pihak lain, pihak swasta juga mengadakan skim masing-masing dan juga badan-badan kerajaan yang lain seperti Bank Negara seperti ini yang akan dapat membantu graduan yang menganggur termasuk juga mempercepatkan pengambilan oleh jabatan kerajaan ni sebab kalau kekosongan di sektor awam ini dapat dipercepatkan dapat mengurangkan masalah di kalangan graduan.

S: Datuk Seri, adakah kemungkinan pihak kerajaan mengambil tindakan mengurangkan kemasukan pekerja asing?
J:Kita memang. Kita ada sasaran kita untuk mengurangkan. Salah satu daripada langkah ialah untuk memperkenalkan Sistem Berasaskan Industri (IBS).
Sebab kalau kita pakai IBS, kita boleh mengurangkan bilangan pekerja sebanyak 60 peratus.
Itu satu langkah yang kita sedang lakukan di mana kita sedang mengenal pasti kontrak-kontrak binaan kerajaan yang boleh dibuat melalui sistem IBS. Jadi kalau kita tentukan sistem IBS ini, hanya syarikat-syarikat binaan yang mempunyai kepakaran dalam IBS boleh mengambil bahagian dalam tender tersebut.

S:Semenjak IBS diperkenalkan, Datuk Seri nampaknya sambutan pemain industri tidak begitu memberangsangkan.
J: Sebab mereka masih menggunakan kaedah lama dan cara tradisional itu lebih mudah diuruskan. IBS ini maknanya mereka mesti ada kontrak berterusan kalau tidak pelaburan awal mereka yang besar dari segi pelaburan modal yang tinggi tak nampak memberi pulangan kepada mereka.

S: Menurut Presiden Rehda semalam, sistem IBS itu akan meningkatkan kos pembinaan. Adakah ia benar?
J:Tidak. Sebab kalau mereka ada volum. Yang penting sekali ialah dua perkara. Mereka ada volum dan yang kedua ialah mereka ada keseragaman. Dan kalau mereka ada kedua-dua perkara ini, IBS sebenarnya boleh mengurangkan kos binaan.

S:Datuk Seri, ada juga pihak yang terutamanya dari sektor hartanah yang mungkin khuatir apabila ekonomi akan turun kepada 3.5 peratus maka permintaan untuk hartanah juga akan menurun. Dalam pakej ini belum lagi kita nampak petanda-petanda bahawa ini akan berlaku.
J:Sektor hartanah ini dalam keadaan ekonomi yang tidak begitu baik atau tidak begitu rancak pertumbuhannya tentu sekali rumah mewah umpamanya mungkin ada kesan sikit.
Tetapi rumah kos sederhana dan kos rendah kerajaan merasakan permintaannya mungkin dapat bertahan dan mungkin bertambah. Sebab orang akan pilih rumah yang sederhana dari rumah yang kos tinggi.
Jadi potensi untuk sektor hartanah ini bergantung kepada kategori rumah.
Yang kedua langkah-langkah yang kita buat untuk menarik lebih ramai ekspatriat masuk ke dalam negara kita umpammanya dengan skim "Malaysia my second home." Ini juga boleh membantu sektor hartanah dalam peringkat kondominium dan rumah mewah.

S:Adakah program sebegitu mendapat sambutan yang baik?
J:Masih boleh diperbaiki . Maknanya dari segi kemudahan yang kita tawarkan dan juga dari segi usaha kita untuk menyebar program ini. Salah satu daripada langkah yang akan memberi kesan kepada sektor hartanah ini ialah yang saya umumkan semalam bila kerajaan setuju paduan FIC yang kita longgarkan.
Di mana kalau pelabur asing nak miliki apa hartanah untuk kegunaan mereka sendiri lebih dari RM500,000 ke atas mereka tak perlu kelulusan FIC. Ini adalah langkah langkah untuk merangsangkan sektor hartanah.

S:Seperti yang saya nyatakan di awal bicara tadi, kita memberikan peruntukan soalan yang ada kaitan dengan politik. Juga Datuk Seri menyebutkan tentang pembentangan yang tidak pernah berlaku, kemudian di peringkat awal kita mendebatkan penguncupan dan pengembangan. Semalam juga kita melihat satu penolakan dari pihak pembangkang.
J:Alasan mereka tak munasabah. Sebab mereka keluar katanya sebab saya tak bagi laluan kata mereka. Sebenarnya saya kata lebih awal dalam ucapan saya akan beri laluan tapi biar saya selesai pembentangan dulu. Sebab pembentangan ini penting dan saya tak mahu nak mengelirukan mereka dalam dewan dan kalau terlalu banyak sangat orang mencelah jadi saya tak dapat beri gambaran yang jelas dalam waktu tertentu dengan pembentangan yang lancar dan akan selalu diganggu oleh ahli yang mencelah minta penjelasan dan buat apa teguran dan sebagainya, Jadi biar saya selesai dulu lepas tu saya beri peluang kepada Ketua Pembangkang dan kepada ahli yang berhormat dari parti pembangkang. Tapi mereka tak sabar saya tak tahu sebab sebenarnya tetapi saya merasakan kemungkinan besar mereka tidak ada sesuatu alternatif yang boleh meyakinkan rakyat. Bila mereka melihat bahwaw pakej kita pakej ransangangan fiskal ini dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi. Membela kesejahteraan rakyat walhal alternatif bajet mereka ini membawa kepada penguncupan sebab merereka memotong operasi perbelanjaan pada kadar RM24 bilion, bukan satu jumlah yang kecil tetapi besar dan tentu sekali jawapannya akan membawa kepada ekobnomi kita boleh menjadi meleset tahun depan. Jadi nampak susah mereka nak mempertahankan pendirian mereka.

S:Seringkali mengatakan fakta yang Datuk Seri bawakan adalah pembohongan.
Justifikasi bahawa ia bukan satu yang boleh dipercayai. Fakta-fakta. Semalam Datuk Seri ada menyatakan.
J:Memang fakta yang kita telah teliti, telah kita kaji mendalam dan boleh pertahankan. Sebab kalau sebagai sebuah kerajaan kita tidak ada kredibiliti, badan-badan antarabangsa tentu sekali akan menegur kita nanti.

S: Datuk Seri, rancangan kita disaksikan seisi rakyat Malaysia .Ada yang menganggap durian runtuh ada yang menganggap bahawa rangsangan ini tidak langsung. Kita juga telah mempersoalkan. Tetapi dari kacamata Datuk Seri sendiri, apa ertinya?
J: Ertinya bahawa kerajaan amat prihatin dan kerajaan tidaklah mengambil sikap "lazyfare", maknanya lepas tangan. Maknanya kita mengambil langkah intervensi, langkah proaktif supaya kesan-kesan buruk tidak dialami oleh negara kita dan tidak akan membebankan rakyat sama ada dari segi pendapatan yang kian meruncing ataupun pekerjaan, dari segi pengangguran ataupun peluang pekerjaan terjejas dan sebagainya. Walaupun saya tidak nafikan memang ada kesan, misalnya komoditi kita telah turun dan sebagainya. Ada kesan, dan mungkin sesetengah pihak yang merasakan pendapatan mereka terjejas tetapi kalau tidak ada intervensi kerajaan, kalau tidak ada pakej rangsangan fiskal ini tentu keadaan lebih buruk akan dialami oleh negara.
S: Adakah pada pandangan Datuk Seri tahun depan tahun yang lebih sukar dan kita akan pulih balik semula tahun 2010?
J: Susah saya nak buat pandangan. Saya tidak ada "cristal ball" tapi kita telah beritahu rakyat bahawa tahun depan tidak sebaik tahun ini. Itu satu pengakuan, maknanya kita realistik. Kita bukanlah menafikan dan kita harap dengan adanya kekuatan dalaman ekonomi negara kita, kita masih boleh bertahan lagi dan kalau ekonomi luaran pulih, ada kemungkinan 2010 lebih baik daripada 2009.

S: Beberapa minggu lagi menjelang 2009, apakah nasihat Datuk Seri kepada rakyat Malaysia supaya terus bekerjasama dengan kerajaan untuk menghadapi ketidaktentuan global ini?
J: Amat penting sekali kita dapat menentukan adanya semangat pemuafakatan antara semua golongan. Rakyat dengan kerajaan, NGO dengan kerajaan, persatuan pekerja dengan kerajaan, parti-parti politik termasuk parti pembangkang pun berganding bahu untuk menangani kesan krisis kewangan global ini kerana kalau kita mempunyai pemuafakatan yang lebih jitu, saya percaya lebih mudah untuk kita menangani krisis global ini.