Friday, November 21, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 64 - Umpan Rafidah kena Shahrizat)

Akhirnya, Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil 'terjebak' dengan 'perangkap' dipasang oleh ketuanya sendiri, Tan Sri Rafidah Aziz.

Demikian lah liciknya permainan politik Rafidah. Demikian lah cara Rafidah 'membalas' dendam kepada Presidennya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang lebih mengutamakan Naib Ketua Wanita daripada Ketua Wanita sendiri.

Demikianlah cara Rafidah melepaskan geram terhadap Perdana Menteri apabila beliau menang kerusi Parlimen tetapi tidak dikekalkan dalam Kabinet Pak Lah. Jika Ketua Pemuda dan Ketua Puteri, diberi jawatan menteri dan timbalan menteri, tetapi tidak ada jawatan menteri kepada Ketua Wanita yang merupakan sayap paling penting Umno.

Presiden Umno mengenepikan Ketua Wanita sendiri, sebaliknya lebih mengutamakan Naib Ketua apabila memberikan kepada Shahrizat satu jawatan bertaraf 'menteri' di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal wanita.

Mana Kak Fidah nak letak muka apabila kali pertama dalam sejarah politik Umno moden, Ketua Wanita tidak diberi jawatan langsung dalam Kabinet.

Namun dalam hal ini, tidak boleh disalahkan Pak Lah seorang saja kerana jika Shahrizat tidak 'melutut' kepada Pak Lah sudah pasti Rafidah tidak melenting. Peranan Shahrizat dalam 'usaha menjatuhkan Rafidah' juga perlu diberi perhatian.

Peranan itu sudah bermula sejak 2003, sebaik berlaku peralihan kuasa antara mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pak Lah.

Sejak itu, bermula episod 'hang aku' dalam pergerakan Wanita, apabila Shahrizat lebih menjadi 'kekasih' Pak Lah daripada Rafidah. Orang-orang Shahrizat juga memainkan peranan di belakang tabir untuk memburuk-burukkan Rafidah di depan Pak Lah.

Rafidah tahu keadaan itu dan bermula pula 'balas membalas' antara Rafidah dan Shahrizat. Di luar nampak tenang, tetapi di dalam bergelora. Taufan yang melanda Wanita Umno bermula dengan hebat sebelum pilihan raya umum Mac tahun ini.

Dengar khabar, Rafidah tidak meletakkan nama Shahrizat sebagai calon BN Parlimen Lembah Pantai. Rafidah menggunakan pengaruhnya ke atas Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan untuk tidak meletakkan Shahrizat sebagai calon.

Shahrizat mengetahui perkara ini, pada saat akhir dan terus ke JPM dan kediaman rasmi PM untuk 'melutut' supaya dicalonkan. Akhirnya, Shahrizat tewas kepada Nurul Izzah. Ramai yang berkata Nurul Izzah menang kerana undi simpati. Hakikatnya, tangan-tangan dalam Wanita Umno Lembah Pantai yang setia kepada Rafidah bergerak untuk menjatuhkan Shahrizat.

Walaupun kalah, Shahrizat yang lebih muda kelihatan 'memikat' pada mata Pak Lah, berbanding Rafidah. Lagipun, sejarah Rafidah-Pak Lah tidak baik dan kesempatan ini diambil oleh Shahrizat dan konco-konconya untuk menjalankan peranan.

Sehinggalah, Rafidah tidak dilantik semula sebagai menteri Kabinet. Shahrizat juga tidak dilantik. Mana mungkin Pak Lah melantik Naib Ketua Wanita sebagai menteri tetapi tidak memberi jawatan menteri kepada Ketua Wanita.

Namun demikian, Pak Lah tahu bahawa Wanita Umno akan mendesak beliau untuk memberikan jawatan kepada Wanita Umno. Maka Pak Lah pun melantik Shahrizat sebagai penasihat hal ehwal wanita di JPM - satu jawatan bertaraf menteri.

Rafidah tidak diberi apa-apa.

Namun, Rafidah tahu selok-belok politik yang dimainkan oleh Shahrizat dan konco-konconya, lantas menyusun strategi. Rafidah memasang 'umpan' pada kail untuk memancing Shahrizat. Dan Shahrizat kini sudah masuk 'jerat' apabila mengumumkan untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno.

Umpan pembunuh karier politik Shahrizat dipasang dengan 'perjanjian' untuk memindahkan kuasa kepada beliau pada Jun 2009. Jadi dalam perhimpunan agung Umno Mac 2009 tidak akan berlaku pertandingan jawatan Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita. Akan kekal Rafidah ketua dan Shahrizat Naib Ketua sehingga Jun 2009.

Dalam pada itu, strategi politik di peringkat Wanita bahagian disusun rapi supaya ada pencalonan untuk Rafidah dan Shahrizat. Maka Rafidah mendapat 117 pencalonan manakala Shahrizat hanya 73.

Konco-konco dan penasihat Shahrizat juga menyusun strategi mereka dan mendesak beliau meminta Rafidah mempercepatkan peralihan kuasa kepada Mac, bukan Jun. Bermakna dalam perhimpunan agung Umno itu nanti Rafidah tidak bertanding, untuk memberi laluan kepada Shahrizat.

Rafidah yang sudah ada agenda sediri menggunakan 'kuasanya' untuk menolak cadangan Shahrizat itu. Manakala Datuk Kamilia pula kekal dengan pendirian untuk merebut jawatan Naib Ketua Wanita.
Tidak kah orang-orang Shahrizat menyelidik secara mendalam siapa di belakang Datuk Kamilia?

Sehinggalah, semalam, Shahrizat akhirnya mengumumkan untuk menerima tawaran bertanding calon Ketua Wanita Umno. Bahasa yang digunakan oleh Shahrizat untuk mengumumkannya juga tidak jauh bezanya daripada yang digunakan oleh Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman ketika melawan Rafidah pada 1996 lalu.

Hari ini, apa kata Rafidah (10 muka surat kenyataan media ditulis oleh Rafidah):

"Dua sebab mengapa saya mempertahankan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno."

"Pertama, jika pelan peralihan kuasa yang dicadangkannya pada Jun 2009 dipercepatkan pada Mac, ia bererti tidak ada lagi pelan peralihan yang pada asasnya membabitkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan."

"Kedua, ia bererti saya 'dipaksa' menyerah jawatan ketua ‘secara bulat-bulat’ kepada Naib Ketua, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang akan menang tanpa bertanding sekali gus menidakkan hak dan kemahuan 117 bahagian yang mencalonkan saya memegang jawatan itu hingga Jun 2009."

"Ada pihak yang mahu pelan peralihan kuasa dipercepat dari Jun ke Mac 2009.... ini tidak logik. Jika dibuat pada Mac bererti tidak ada pelan peralihan, yang asasnya membabitkan satu jangka masa antara Perhimpunan Agung dengan tarikh penyerahan jawatan."

"Semua mengetahui pada asalnya, jangka masa itu ialah antara Januari hingga Jun 2009 kerana Perhimpunan Agung dijadualkan pada Disember 2008. Ia diganjak kepada Mac, tetapi pelan peralihan Jun 2009) tidak terjejas."

"Jika dipercepat kepada Mac, ia juga bererti saya dipaksa menyerah jawatan ketua secara bulat-bulat dengan Shahrizat menang tanpa bertanding. Sekarang kerana pelan peralihan diingkari dan jawatan ketua akan ditandingi, saya akan mempertahankan jawatan yang saya sandang sekarang ini."

Rafidah, dikatakan kecewa kerana pelan peralihan kuasa Jun 2009 yang diumumkannya pada 4 Ogos lalu dipertikai dan ditolak selepas tiga bulan diumumkan. Sejak pengumuman dibuat, tiada sesiapa dalam Exco atau di luar yang mempertikaikan, bahkan Shahrizat, sama ada antara empat mata dalam Exco dan sidang media berkali-kali menegaskan beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan patuh kepada pelan peralihan.

“Beliau Shahrizat) patuh kepada nasihat pemimpin besar parti, bahkan menyatakan ‘kata akan dikotakan’ dan ‘my word is my honour’.

“Saya tidak ada sebab untuk menyangka bahawa akan berlaku pelbagai pergolakan selepas proses pencalonan selesai. Jika ada pihak yang tidak setuju dengan pelan peralihan yang dicadangkan itu, pemimpin yang bertanggungjawab wajar membangkit dan membantah pelan berkenaan.

“Jika mereka berbuat demikian sebelum proses pencalonan, pasti Exco akan membatalkan saja pelan itu dan saya tidak ragu-ragu akan membiarkan bahagian mencalonkan sesiapa juga yang mereka mahu untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.

“Tetapi bantahan ditimbulkan selepas mereka mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, baru mereka membantah dengan pelbagai alasan yang tidak berasas."

Namun, Walaupun Rafidah pernah menggigit Tun Dr Mahathir, selepas Tun tiada lagi dalam kerajaan dan Umno, kebolehan Rafidah tidak boleh dipertikaikan. Beliau lebih baik daripada Shahrizat, yang tewas dalam pilihan raya dan tidak disenangi penduduk Lembah Pantai.


Apa pun, jika Shahrizat tewas dalam pertandingan itu maka berakhir lah riwayat politik beliau dan begitu juga sebaliknya jika Rafidah kalah. Namun, kita percaya Rafidah tidak akan menyerah kalah bulat-bulat.


Kerana keputusan Shahrizat untuk bertanding melawat Rafidah adalah satu pengesahan bahawa penyerahan kuasa Wanita Umno pada Jun 2009 sudah TERBATAL. Dan Rafidah akan terus memegang jawatan itu untuk sepenggal berikutnya.

No comments: