Monday, May 11, 2009

Selepas Rashid, giliran Ahmad Talib...

... Wahai Che Mad (saya selalu memanggil Datuk Ahmad A Talib - (Pahit Manis) - sebagai Che Mat, walaupun beliau sudah bergelar Datuk. Sebab? Panggilan itu lebih bermakna dan lebih mesra dan lebih mendekatkan diri kita kepada orang yang kita tegur. - Yaaaa Che Mad)

Kenapa kali ini saya meletakkan perkataan "Yaaaa" dan diikuti dengan nama orang yang diseru itu?

Ingatkah kita ketika bacaan talqin (untuk orang mati) dibacakan? Orang yang membaca talqin itu akan menyebut "Yaaaa" (anu binti anu)..apabila ditanyakan kepada kamu... maka jawablah dengan tenang dan sabarrrr". Ini untuk orang yang mati yang berada di alam kubur. Ketika dipanggil dengan ayat itu, maka orang yang mati dalam kubur itupun bangkit duduk dan mendengar.

Tetapi.... kali ini saya menyebut "Yaaaa Ahmad A Talib" dan ini tidak bermakna Che Mad berada di alam kubur. Dia masih hidup. Dia masih menulis. Dia masih berjalan. Dia masih berbakti.

TETAPI....

Ada pihak-pihak tertentu di kalangan orang Melayu (mungkin keturunan Raja Mendelir) dan ahli politik, mungkin juga orang di dalam dunia persuratkhabaran yang iri hati apabila mendengar desas desus 'Che Mad' akan menjadi Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan The New Stratis Times Press (M) Bhd (NSTP).

NSTP menerbitkan tiga akhbar utama Malaysia - Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times.

Kedudukan dan jawatan Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan The New Stratis Times Press (M) Bhd dikatakan lebih tinggi daripada kedudukan dan jawatan Ketua Pengarang Kumpulan NSTP (Group Editor In Chief - GEIC) yang kini disandang oleh Datuk Hishamuddin Aun.

Desas desus mengenai kemungkinan 'Che Mad' akan menyertai semula NSTP sudah kedengaran sejak lebih sebulan lalu. Pada mulanya 'Che Mad' dikatakan akan menjadi GEIC.

Begitu juga desas desus bahawa Saudara Ahirudin Attan akan kembali ke NSTP sebagai GEIC .

Begitu juga kuatnya pengaruh 'orang lama' Berita Harian, Datuk Hafifi Hafiz yang dikatakan akan menjadi 'orang kuat' di NSTP.

Tidak dilupakan juga nama-nama 'kecil' seperti Lebai *****L ****I*; Lebai ****I* ****F; Lebai ****K*; Lebai ****H** ****A; Lebai *A*** *A*** dan beberapa 'lebai lama' dalam kumpulan NSTP.

Ada juga desas desus mengatakan Hishamuddin Aun akan disingkirkan (Walaupun pada bulan lalu - April - beliau menandatangani kontrak baru dua tahun sebagai GEIC). Dan akan diganti dengan 'orang lama' dalam NSTP. Ini kerana beberapa tindakan 'melampau' Hishammudin yang bersekongkol dengan Datuk Kalimullah, menempelak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Desas desus juga mengatakan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Kumpulan NST, Datuk Syed Nazri - TERSELAMAT - kerana kedua-duanya tiada masalah dengan Perdana Menteri yang baru Datuk Seri Najib Razak.

Namun, sejak seminggu lalu, nama 'Che Mad' sebagai Penasihat Jabatan Pengarang NSTP menjadi buah mulut di kalangan para pengamal media dari peringkat CEO hingga office boy - Bahawa ;sirih pulang ke gangang'. Masing-masing-masing menunggu adakah 'Che Mad' akan kembali?

Namun, seperti tajuk saya di atas... Suasana samar mula menyelubungi 'Che Mad' - sama seperti apa yang berlaku kepada Saudara Rashid Yusof (here and here and here and here and here). Baru empat hari lalu, kami sudah diberitahu "memang sah Datuk Ahmad A Talib akan jadi Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan NSTP". Ini diperkuatkan lagi dengan langkah pihak atasan NSTP memberi kolum khas untuk ditulis oleh 'Che Mad' dalam New Sunday Times. Khabarnya, Hishamuddin sebagai GEIS NSTP pun tidak mengetahui 'Che Mad' diberi kolum khas dalam New Sunday Times dan terpaksa bertanya kepada GE NST, Datuk Syed Nazri.

TIBA-TIBA...

Semalam, saya menerima satu SMS mengatakan kedudukan 'Che Mad' seperti air yang sedang mendidih, akibat mainan politik. Ada pihak-pihak yang tidak suka 'Che Mad' menduduki jawatan yang dikatakan lebih tinggi daripada Hishamuddin Aun (Hishamuddin juga Ahli Lembaga Pengarah NSTP).

Jawatan Penasihat Jabatan Editorial NSTP mempunyai kata putus menentukan berita utama yang hendak digunapakai oleh akhbar. Beliau juga boleh membuat bermacam-macam perubahan dalam susun atur jabatan pengarang bagi memantapkan lagi berita dan pengedaran. Ianya satu jawatan yang lebih tinggi daripada GEIC dan jika ini berlaku, maka Hishamuddin sebagai GEIC hanya sekadar menjadi patung - GEIC yang tiada kuasa. INI PERNAH BERLAKU.

Terus terang saya katakan bahawa SAYA bukan penyokong 'Che Mad' atau Hishamuddin atau siapa saja.

YANG PENTING bagi saya ialah dunia persuratkhabaran dalam Kumpulan NSTP hendaklah dikembalikan seperti zaman dulu-dulu. GEIC, GE dan sesiapa saja dalam Jabatan Pengarang MESTI memikirkan juga cara untuk meningkatkan jaualan akhbar, bukan sekadar "dapat berita, taip dan siar". Dunia persuratkhabaran juga MESTI/WAJIB menggunakan bahasa yang betul ketika menulis, ejaan yang tepat, mengekalkan 'house style' yang menjadi lambang sesebuah akhbar. Bukannya main hentam tulis dan membuat perubahan yang 'pelik-pelik'. Pemberita (tidak kira dalam dunia Berita Harian, Utusan, The Star, NST) MESTI/WAJIB benar-benar dilatih menjadi wartawan bijak menulis, "PEKA bukan PEKAK"; "Buka MATA dan TELINGA walau dalam apa keadaan sekalipun" - Tetapi, apa yang berlaku dalam dunia kewartawanan, khususnya NSTP sekarang? Saya menerima aduan daripada ramai Ahli Parlimen bahawa wartawan dan Editor NST serta Berita Harian yang membuat liputan Dewan Rakyat, sombong dan berlagak sebagai boss-boss saja, tidak berkenalan dan bersembang dengan Ahli PArlimen (tidak kita Ahli Parlimen BN atau pembangkang)! Bagaimana untuk mendapatkan berita dan rencana eksklusif atau bagaimana untuk 'MENGOREK' berita jika tidak bercampur gaul dengan masyarakat?

(P/S: Apa boleh buat. Sesetengah Editor dan Editor kanan dalam Kumpulan NSTP sekarang ini bukan naik pangkat disebabkan kebolehan mereka 'mencari dan menulis' berita. Tetapi ramai di kalangan mereka mengejar pangkat dengan mengamalkan budaya MEMBODEK. Dan budaya ini diterima sepenuhnya di dalam akhbar Kumpulan NSTP. Orang yang benar-benar boleh mendapatkan berita eksklusif, orang yang benar-benar boleh menulis dan mengajar para junior menjadi pemberita dan wartawan yang baik, akan diketepikan. Orang yang benar-benar mengutamakan dunia persuratkhabaran dan kepentingan akhbar akan dicop tidak berpendidikan, suka ponteng, tidak boleh diharap, tidak berdisiplin dan bermacam-macam lagi. Tetapi orang yang suka bodek walaupun tidak reti buat kerja akan diagung-agungkan dan dinaikkan pangkat. Apa lagi kalau pandai main golf. - INILAH KEADAAN YANG BERLAKU DALAM NSTP. )

Yaaaaa Che Mad...

Bagi saja, jika 'Che Mad' kembali ke NSTP ianya ibarat 'The rightfull heir returns to the throne'.

TETAPI...

'Che Mad' mesti ingat bahawa selain menjaga pemimpin negara; menjaga negara; menjaga periuk nasi; 'Che Mad' mesti berusaha memartabatkan kembali kewibawaan dunia kewartawanan Malaysia. 'Che Mad' mesti memastikan wartawan dan pemberita yang bakal dilahirkan dari dunia MSM adalah berwibawa, tidak takut dan mampu menjadi seorang penulis yang dihormati.

Selain itu, 'Che Mad' MESTI/WAJIB melakukan perubahan supaya akhbar kumpulan NSTP, terutama Berita Harian dan New Straits Times, akan menjadi pilihan pembaca. Otak 'Che Mad' mesti berputar bukan sekadar untuk negara tetapi memikirkan juga bagaimana untuk meningkatkan jualan akhbar kumpulan NSTP.

'Che Mad' MESTI/WAJIB memastikan setiap wartawan/pemberita dalam kumpulan NSTP mempunyai satu kekuatan dalam diri masing-masing iaitu untuk bersaing mendapatkan BERITA/RENCANA EKSKLUSIF (bukan sekadar untuk menang Hadiah Kajai, tetapi pastikan jualan akhbar meningkat dan menjadi akhbar yang ditunggu-tunggu).

Akhir kata....

Yaaaaa Che Mad... Jika ditakdirkan anda kembali ke NSTP, maka laksanakan tanggungjawab itu dengan sabar dan tenang. DAN

Jika, anda tidak ditakdirkan kembali ke NSTP, maka terimalah ia dengan tenang dan sabar.

Sesungguhnya di atas dunia ini ramai manusia yang iri hati dan dengki.

(P/S: Saya mengenali Che Mad agak lama dan tahu bagaimana beliau melatih penulis menjadi pemberita dan kemudian menjadi wartawan. Saya berjanji dengan seorang rakan baik bahawa saya akan bertemu 'Che Mad' sehari selepas beliau menjadi Penasihat Jabatan Pengarang Kumpulan NSTP. Itupun jika benar-benar terjadi! - Insya-Allah)

Monday, May 4, 2009

Bahagian 2: Melayu dan sifat dengki

Sekali lagi ingin dinyatakan bahawa hasad atau dengki adalah suatu perasaan kurang senang yang menyelaputi hati seseorang apabila melihat nikmat yangd ikurniakan oleh Allah kepada orang lain, sama ada nikmat itu atas urusan agama atau keduniaan, dengan harapan nikmat itu terhapus daripada orang itu.

Dalam kata lain, biarlah nikmat yang diperoleh itu dimilikinya seorang saja. Sifat dengki ini adalah benih yang ditaburkan oleh syaitan untuk merosakkan diri manusia.

Hasad dan dengki juga adalah satu penyakit jiwa yang boleh menimbulkan perasaan sedih dan dukacita, keluh kesah dan kelelahan yang tidak putus, perasaan marah dalam hati tidak berkesudahan, malah menjadi penyakit yang boleh merosak atau membahayakan tubuh, melemahkan kekuatan, menyakitkan badan serta mengendurkan muka.

Dan, hasad dengki inilah yang dikenal pasti sebagai punca orang Melayu tertinggal dalam bermacam-macam sektor ekonomi berbanding bangsa asing.

Selain itu, hasad atau dengki juga adalah rasa tidak senang melihat kesenangan orang lain, terutama saudara seagamanya yang berbahagia mendapat nikmat Allah dan sekali gus mengharapkan supaya orang itu kehilangan nikmatnya. Oleh kerana didorong perasaan dengki, pendengki berusaha supaya orang yang hidup senang menjadi susah, orang kaya menjadi papa, orang mulia menjadi hina dan seumpamanya.

Penyakit hasad menyerang manusia, tidak kira yang alim atau orang awam, apa lagi orang jahil. Inilah satu bala yang apabila menimpa manusia, maka sia-sialah usia manusia itu di dunia ini dan nerakalah tempatnya diakhirat nanti.

Seharusnyalah kita menyedari bahawa bahaya penyebaran fitnah dan hasad dengki ini boleh meruntuhkan kepemimpinan politik yang cemerlang dan telah berjaya memajukan negara ini.

Seperti kisah dalam Sejarah Melayu, kisah pakatan sulit itu yang dirancang untuk menjatuhkan seseorang pemimpin yang jujur dan setia akibat sifat hasad dengki segolongan pimpinan Melayu Melaka ketika itu. Kisah itu sebagai satu pakatan sulit yang cukup besar di zaman Kesultanan Melaka untuk menjatuhkan seorang panglima agung yang wataknya cukup penting ketika itu. Lantaran itu, Laksamana Hang Tuah difitnahkan bermain serong dengan gundik raja.

Senjata fitnah dan dengki itu juga amat perit akibatnya manakala kesakitan yang menimpa mangsanya tidak berakhir walaupun selepas orang yang membuat fitnah mendapat kejayaan. Betapapun juga kesannya fitnah untuk melukakan mangsanya, orang yang melakukan fitnah tidak pernah berjaya dalam hidup mereka kerana fitnah itu adalah manifestasi kegagalan dan kekecewaan belaka.

Dalam sejarah Islam sendiri pernah dicatatkan kisah yang berpunca daripada hasad dengki yang tidak pernah mendatangkan hasil yang menguntungkan sesiapa pun, sebaliknya keburukan bertimpa-timpa terus dialami oleh mereka yang terbabit dalam kegiatan itu.

Ianya dikisahkan dalam hidup Nabi Yusuf. Begini ceritanya:

Mengikut sejarah Islam, ketika kecil, Nabi Yusuf pernah tersisih daripada keluarganya. Hal ini berpunca perasaan iri hati, hasad dan dengki sanak saudara terhadap dirinya.

Allah berfirman, bermaksud: "Sesungguhnya (kisah) Yusuf dengan saudara-saudaranya menjadi keterangan orang yang bertanya. Ketika mereka berkata: Yusuf dan adiknya lebih disayangi bapa kita sedangkan kita ramai. Sesungguhnya, bapa sudah terpesong. Bunuhlah Yusuf dan buangkan dia ketempat yang jauh supaya kasih sayang bapa tertumpu kepada kamu sahaja dan selepas itu kamu bolehlah menjadi orang baik." - (Yusuf: 7-9).

Petikan ayat al-Quran daripada Surah Yusuf itu memberikan gambaran kepada kita apabila munculnya perasaan tidak puas hati dan hasad dengki daripada saudara-saudara sendiri, kehidupan menjadi tidak aman lagi.

Kemuncak daripada perasaan buruk sangka itu mencetuskan pula pelbagai perancangan yang dibuat untuk menyingkirkan Yusuf daripada keluarganya sendiri.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada antara keluarganya yang membuat cadangan supaya Yusuf dibunuh saja bagi memuaskan hati mereka.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah kerana risikonya amat tinggi. Sebaliknya cadangan itu digantikan dengan syor yang lain, iaitu Yusuf dibuang saja ke dalam perigi buta.

Firman Allah bermaksud: "Seorang daripada mereka berkata: Jangan bunuhYusuf. Lebih baik kamu campakkan dia ke dalam perigi, nanti dia akandipungut oleh musafir sekiranya kamu hendak lakukan." - (Yusuf: 10).

Perasaan dengki dan iri hati di kalangan saudara Yusuf itu timbul kerana pada masa kecil, Yusuf mempunyai paras cantik serta menunjukkan ciri kepimpinan yang bijaksana.

Beberapa keistimewaan dimiliki Yusuf itu menyebabkan kewibawaan mereka sebagai abang tercabar, apa lagi dikhuatiri bapa mereka akan memberikan kasih sayang kepada Yusuf secara berlebih-lebihan.

Adik beradik Yusuf takut menghadapi kenyataan seperti itu lalu mereka mencari jalan pintas supaya Yusuf tersingkir daripada keluarganya. Atas tipu helah mereka, akhirnya Yusuf berjaya disingkirkan.

Bagaimanapun, disebabkan Yusuf berada pada pihak yang benar, segala fitnah yang dilemparkan kepadanya tidak mendatangkan kesan buruk keatasnya dan sekalipun tersingkir daripada keluarga, Yusuf akhirnya bangkit semula sebagai seorang pemimpin agama berwibawa di Mesir.

Begitulah punca satu penganiayaan yang cuba dilakukan melalui perbuatan memburukkan atau memfitnah orang lain bagi mencapai kehendak diri sendiri tanpa memikirkan risiko atau baik buruknya. - Itulah juga HASAD DENGKI yang dimiliki sesetengah Melayu di negara ini.