Monday, May 4, 2009

Bahagian 2: Melayu dan sifat dengki

Sekali lagi ingin dinyatakan bahawa hasad atau dengki adalah suatu perasaan kurang senang yang menyelaputi hati seseorang apabila melihat nikmat yangd ikurniakan oleh Allah kepada orang lain, sama ada nikmat itu atas urusan agama atau keduniaan, dengan harapan nikmat itu terhapus daripada orang itu.

Dalam kata lain, biarlah nikmat yang diperoleh itu dimilikinya seorang saja. Sifat dengki ini adalah benih yang ditaburkan oleh syaitan untuk merosakkan diri manusia.

Hasad dan dengki juga adalah satu penyakit jiwa yang boleh menimbulkan perasaan sedih dan dukacita, keluh kesah dan kelelahan yang tidak putus, perasaan marah dalam hati tidak berkesudahan, malah menjadi penyakit yang boleh merosak atau membahayakan tubuh, melemahkan kekuatan, menyakitkan badan serta mengendurkan muka.

Dan, hasad dengki inilah yang dikenal pasti sebagai punca orang Melayu tertinggal dalam bermacam-macam sektor ekonomi berbanding bangsa asing.

Selain itu, hasad atau dengki juga adalah rasa tidak senang melihat kesenangan orang lain, terutama saudara seagamanya yang berbahagia mendapat nikmat Allah dan sekali gus mengharapkan supaya orang itu kehilangan nikmatnya. Oleh kerana didorong perasaan dengki, pendengki berusaha supaya orang yang hidup senang menjadi susah, orang kaya menjadi papa, orang mulia menjadi hina dan seumpamanya.

Penyakit hasad menyerang manusia, tidak kira yang alim atau orang awam, apa lagi orang jahil. Inilah satu bala yang apabila menimpa manusia, maka sia-sialah usia manusia itu di dunia ini dan nerakalah tempatnya diakhirat nanti.

Seharusnyalah kita menyedari bahawa bahaya penyebaran fitnah dan hasad dengki ini boleh meruntuhkan kepemimpinan politik yang cemerlang dan telah berjaya memajukan negara ini.

Seperti kisah dalam Sejarah Melayu, kisah pakatan sulit itu yang dirancang untuk menjatuhkan seseorang pemimpin yang jujur dan setia akibat sifat hasad dengki segolongan pimpinan Melayu Melaka ketika itu. Kisah itu sebagai satu pakatan sulit yang cukup besar di zaman Kesultanan Melaka untuk menjatuhkan seorang panglima agung yang wataknya cukup penting ketika itu. Lantaran itu, Laksamana Hang Tuah difitnahkan bermain serong dengan gundik raja.

Senjata fitnah dan dengki itu juga amat perit akibatnya manakala kesakitan yang menimpa mangsanya tidak berakhir walaupun selepas orang yang membuat fitnah mendapat kejayaan. Betapapun juga kesannya fitnah untuk melukakan mangsanya, orang yang melakukan fitnah tidak pernah berjaya dalam hidup mereka kerana fitnah itu adalah manifestasi kegagalan dan kekecewaan belaka.

Dalam sejarah Islam sendiri pernah dicatatkan kisah yang berpunca daripada hasad dengki yang tidak pernah mendatangkan hasil yang menguntungkan sesiapa pun, sebaliknya keburukan bertimpa-timpa terus dialami oleh mereka yang terbabit dalam kegiatan itu.

Ianya dikisahkan dalam hidup Nabi Yusuf. Begini ceritanya:

Mengikut sejarah Islam, ketika kecil, Nabi Yusuf pernah tersisih daripada keluarganya. Hal ini berpunca perasaan iri hati, hasad dan dengki sanak saudara terhadap dirinya.

Allah berfirman, bermaksud: "Sesungguhnya (kisah) Yusuf dengan saudara-saudaranya menjadi keterangan orang yang bertanya. Ketika mereka berkata: Yusuf dan adiknya lebih disayangi bapa kita sedangkan kita ramai. Sesungguhnya, bapa sudah terpesong. Bunuhlah Yusuf dan buangkan dia ketempat yang jauh supaya kasih sayang bapa tertumpu kepada kamu sahaja dan selepas itu kamu bolehlah menjadi orang baik." - (Yusuf: 7-9).

Petikan ayat al-Quran daripada Surah Yusuf itu memberikan gambaran kepada kita apabila munculnya perasaan tidak puas hati dan hasad dengki daripada saudara-saudara sendiri, kehidupan menjadi tidak aman lagi.

Kemuncak daripada perasaan buruk sangka itu mencetuskan pula pelbagai perancangan yang dibuat untuk menyingkirkan Yusuf daripada keluarganya sendiri.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila ada antara keluarganya yang membuat cadangan supaya Yusuf dibunuh saja bagi memuaskan hati mereka.

Bagaimanapun, cadangan itu dibantah kerana risikonya amat tinggi. Sebaliknya cadangan itu digantikan dengan syor yang lain, iaitu Yusuf dibuang saja ke dalam perigi buta.

Firman Allah bermaksud: "Seorang daripada mereka berkata: Jangan bunuhYusuf. Lebih baik kamu campakkan dia ke dalam perigi, nanti dia akandipungut oleh musafir sekiranya kamu hendak lakukan." - (Yusuf: 10).

Perasaan dengki dan iri hati di kalangan saudara Yusuf itu timbul kerana pada masa kecil, Yusuf mempunyai paras cantik serta menunjukkan ciri kepimpinan yang bijaksana.

Beberapa keistimewaan dimiliki Yusuf itu menyebabkan kewibawaan mereka sebagai abang tercabar, apa lagi dikhuatiri bapa mereka akan memberikan kasih sayang kepada Yusuf secara berlebih-lebihan.

Adik beradik Yusuf takut menghadapi kenyataan seperti itu lalu mereka mencari jalan pintas supaya Yusuf tersingkir daripada keluarganya. Atas tipu helah mereka, akhirnya Yusuf berjaya disingkirkan.

Bagaimanapun, disebabkan Yusuf berada pada pihak yang benar, segala fitnah yang dilemparkan kepadanya tidak mendatangkan kesan buruk keatasnya dan sekalipun tersingkir daripada keluarga, Yusuf akhirnya bangkit semula sebagai seorang pemimpin agama berwibawa di Mesir.

Begitulah punca satu penganiayaan yang cuba dilakukan melalui perbuatan memburukkan atau memfitnah orang lain bagi mencapai kehendak diri sendiri tanpa memikirkan risiko atau baik buruknya. - Itulah juga HASAD DENGKI yang dimiliki sesetengah Melayu di negara ini.

No comments: