Sunday, August 23, 2009

Bangkitlah Wahai Melayu

Petikan dua rencana berkaitan Umno, Melayu dan Hak yang disiarkan dalam Berita Minggu dan Mingguan Malaysia.

RENCANA I
Perjuangan Umno sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis
Akta Lucut Kerakyatan 'ajar' pihak pertikai keistimewaan Raja, Bumiputera


Oleh Tan Sri Sanusi Junid

SELEPAS British dengan pihak sekutunya memenangi Perang Dunia Kedua, maka keghairahan untuk meningkatkan kuasa penjajahan di seluruh dunia bertambah. Pihak British umpamanya sudah berhasrat untuk mewujudkan gagasan Malayan Union di Semenanjung Tanah Melayu.

Pada waktu itu, orang Melayu telah bangkit menentang gagasan Malayan Union dan menubuhkan Umno (11 Mei 1946).

Setelah melihat bagaimana Jepun, satu bangsa dari timur dan bukan berasal Eropah menduduki Malaya dan menundukkan British pada peringkat awal peperangan, maka bibit inginkan kemerdekaan telah tersemai di hati sanubari orang Melayu.

Apabila perpaduan Melayu sudah kukuh untuk memperjuangkan kemerdekaan, maka orang keturunan Cina dan India pun menubuhkan parti MIC (Ogos, 1946) dan MCA (27 Februari 1949) untuk bersama-sama dengan Umno, memperjuangkan kemerdekaan melalui parti Perikatan yang dianggotainya.

Antara 1946 dan 1951 ada dua aliran pemikiran di dalam Umno yang boleh dipilih untuk menuju kemerdekaan. Tetapi niat untuk merdeka tetap ada pada semua pihak. Malah, pihak komunis pun telah berhasrat untuk menjadi juara kemerdekaan dengan cara bersenjata.

Dua aliran pemikiran telah membara di kalangan pemimpin Melayu untuk memperjuangkan
kemerdekaan bagi Malaya. Aliran pemikiran pertama ialah seperti perjuangan Umno yang mahu memerdekakan Malaya sebagai sebuah Negara Persekutuan yang demokratik dengan sistem Raja Berperlembagaan.

Aliran pemikiran kedua ialah dengan cara bergabung dengan Indonesia dalam apa yang dinamakan di Malaya sebagai 'Melayu Raya' dan di Indonesia disebut 'Indonesia Raya'. Gagasan ini merangkumi, selain Malaya dan Indonesia, termasuk juga negeri dan wilayah lain dalam dunia Melayu di Nusantara.

Rancangan ini dipelopori di Indonesia oleh tokoh seperti Sukarno dan Muhammad Hatta,
sementara di Malaya pula idea ini didukung, antara lain, oleh tokoh seperti Ibrahim Yaacob,
Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al-Helmi yang ditemui oleh Sukarno dan Hatta di Taiping pada waktu Sukarno dan Hatta singgah dalam perjalanan dari Kemboja ke Aceh. (Rujukan: Memoir Dr. Soeharto – doktor peribadi Sukarno dan bukan Presiden Suharto).


Tujuan Sukarno dan Hatta ke Aceh ialah untuk meyakinkan pemimpin Aceh supaya tidak menerima tawaran kemerdekaan oleh Belanda kepada Aceh kerana kemerdekaan Aceh secara terpisah dari Indonesia, hanya akan memanjangkan tempoh penjajahan Belanda ke atas Indonesia dan ia akan menghalang rancangan penubuhan Melayu Raya.

Oleh kerana rancangan penubuhan Melayu atau Indonesia Raya inilah maka Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan Indonesia.

Empat pemimpin Aceh daripada kalangan ulama yang terdiri daripada Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh, Tengku Haji Hasballah Inderaputi, Tengku Haji Hassan Keurung Kale dan Tengku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat telah menyokong gagasan untuk menyatupadukan umat Melayu Islam di Nusantara dan sanggup menolak tawaran kemerdekaan oleh Belanda untuk Aceh berjuang bersama dengan wilayah Indonesia yang lain menuju kemerdekaan.

Persatuan Ulama Seluruh Aceh (Pusa) di bawah pimpinan Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh dan tiga ulama tadi sudah bersetuju menjadi sebahagian daripada Indonesia bersyaratkan:
a) Indonesia dijadikan sebuah Persekutuan dan bukan sebuah Republik,
b) Indonesia berdiri sebagai sebuah negara Islam dan
c) Aceh dibenarkan terus berautonomi dalam kegiatan ekonominya.
(Rujukan: Biography Tengku Muhammad Dawud Beureu-Eh oleh Mohd Nur El Ibrahimy dan wawancara dengan beliau)

Tidak terlaksananya janji inilah yang menyebabkan keadaan politik di Aceh terus bergolak
untuk kesekian lamanya.

Empat tokoh Melayu yang berjumpa dengan Sukarno dan Hatta di Taiping ialah pemimpin
Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Nama 'Melayu Malaya' telah digunakan untuk membezakan antara Melayu Semenanjung dengan Melayu di Indonesia.

Sukarno memberitahu empat pemimpin di Aceh tadi bahawa PKMM di Malaya juga sudah setuju untuk Malaya tidak merdeka secara terpisah daripada Melayu Raya.

Apabila Umno mengisytiharkan hasrat untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya secara
tersendiri, pihak PKMM telah menarik diri daripada Umno kerana perjuangan Umno akan
mewujudkan negara Persekutuan yang beraja dan bukan sebuah republik.

Pihak komunis pula terus berjuang menentang British pada mulanya dan kemudian menentang pemerintah Malaya yang merdeka sehinggalah tamat darurat.

Parti PKMM telah diharamkan oleh penjajah British kerana berhaluan kiri. Tokoh PKMM kemudian muncul semula dalam gelanggang politik melalui Parti Buruh aliran sosialis di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Islam di bawah pimpinan Dr Burhanuddin Al Helmy. Ada sebuah parti lagi yang bersifat nasionalis yang dipimpin oleh tokoh keturunan Indonesia bernama Persatuan Melayu Semenanjung (PMS) yang dipimpin Bung Kahar dan Setiausaha Agungnya, Bung Isa.

Parti PMS diharamkan ketika konfrontasi Indonesia kerana mereka menyebelahi Indonesia dan beberapa orang pemimpin mereka telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Malah, ada rancangan untuk membunuh Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew dalam jangka masa peristiwa konfrontasi.

Selepas Malaya merdeka perlawanan debat antara sejarawan Melayu ialah siapalah pejuang
kemerdekaan yang sebenar. Walaupun kemerdekaan yang dicapai ialah mengikut model Umno, tetapi PKMM tetap mendakwa sumbangannya cukup besar dalam menghembus semangat merdeka.

Terbukti di dalam sejarah bahawa sumbangan PKMM untuk menghembuskan semangat kemerdekaan dalah besar, tetapi Umno lah dan bukan PKMM yang memerdekakan Malaya. Dakwaan sumbangan KMM ini dibuat oleh pengarang di kalangan keluarga mereka.

Rakyat Malaya tidak pernah terfikir mengenai dakwaan Chin Peng, di dalam bukunya, bahawa beliau juga penyumbang kepada kemerdekaan Malaya. Dakwaan Chin Peng dan penyokongnya mudah ditangkis, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu yang beragama Islam tidak menganggap negara tu merdeka jika berideologi komunis.

Bagi orang Melayu, Parti Komunis Malaya tidak dapat memerdekakan Malaya kerana mereka yang menganut fahaman komunis itu sendiri sebenarnya sedang dijajah ideologinya kerana komunis bukan agama asal mereka dan bukan fahaman asli bangsa penganutnya.

Perjuangan Umno ialah untuk:
a) Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,
b) Menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara,
c) Menuntut hak istimewa bagi orang Melayu,
d) Mewujudkan negara demokrasi berparlimen; dan
e) Menabalkan sistem Raja Berperlembagaan.

Apa yang dikatakan oleh PKMM sebagai kemerdekaan yang sebenar, pada pandangan saya, ialah sistem republik yang tidak beraja.

Kecuali di Pulau Pinang dan di kota dan bandar, Parti Buruh yang kemudian menjadi Parti
Sosialis Rakyat Malaysia dan sebelum bergabung dengan PKR mereka menjadi Parti Rakyat,
mereka bukan saingan besar kepada Umno dan Perikatan.

Bagi parti PMIP, yang kini menjadi parti Pas ketidakpuasannya dengan kemerdekaan yang sudah dicapai ialah kerana negara ini bukan negara syariah. Saingannya ialah sama ada ia lebih Islam daripada Umno.

Dalam perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih memperjuangkan agama' cerdik pandai agama
daripada Umno dan Pas sentiasa mengkritik satu sama lain dalam ceramah dan pidato mereka.
Perlawanan debat yang berterusan ini memberi kesan negatif kepada generasi muda yang tidak pernah mendengar adanya kebaikan pada ahli agama dan yang didengar ialah keburukan yang
dilemparkan antara cerdik pandai agama daripada Umno dan Pas.

Untuk jangka masa yang cukup lama permusuhan Pas dengan Umno ialah sekitar siapa yang lebih Islam. Kemuncak perselisihan ini ialah pada awal 1960-an apabila Pas mengkafirkan Umno.

Pengkafiran ini ialah kerana Umno berkawan dengan Cina dan India, yang bukan Islam di dalam Parti Perikatan. Dakwaan balas Umno ialah dengan membezakan kafir di dalam MCA dan MIC dengan kafir yang menjadi anggota DAP. Kafir MCA dan MIC dikatakan 'kafir harbi' yang tidak menghormati Melayu dan Islam.

Sebenarnya jika Dewan Ulama Pas saja yang memutuskan sama ada Umno itu kafir atau tidak, kerana berkawan dengan kafir di dalam MCA dan MIC, sudah pasti Umno tidak dikafirkan.

Syaratnya tidak dipengaruhi oleh politik, tetapi mengikut perhitungan agama saja. Malangnya
tidak demikian. Tiga daripada anggota Dewan Ulama Pas iaitu Tok Guru Haji Mohd Nor Teliar, Tok Guru Haji Mohd Noor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud berpendirian bahawa Umno boleh berkawan dengan MCA dan MIC jika ia untuk keamanan dan tidak merugikan umat Islam. Tokoh politik PMIP pada masa itu memfitnah Umno yang nak jual agama dan bangsa sehingga Dewan Ulama Pas telah mengkafirkan Umno.

Akibat daripada perlawanan tarik tali untuk meyakinkan siapa yang lebih Islam antara Umno
dan Pas, maka Melayu berpecah dan politik Melayu menjadi begitu lemah sehingga tercetus
peristiwa 13 Mei, 1969.

Selepas peristiwa 13 Mei 1969, ketiga-tiga ulama Pas yang menjadi anggota Dewan Ulama Pas ini telah menjadi ahli Umno selepas mereka memfatwakan Pas boleh menjadi anggota Barisan Nasional (BN) kerana mengetahui daripada Tun Abdul Razak sendiri bahawa persahabatan Umno dengan MCA dan MIC ialah untuk keamanan negara dan ia menguntungkan, dan tidak merugikan orang Melayu Islam. Jelas bagi mereka bahawa Umno tidak berhasrat menjual agama dan bangsa seperti difitnahkan pimpinan politik Pas pada waktu itu.

Selaku Setiausaha Agung Umno, saya bertemu dengan ketiga-tiga ulama Pas ini ketika mereka dipilih Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi pakar rujuk Umno pada waktu Umno bersiap untuk berdebat dengan Pas satu masa dulu. Istanalah yang telah menghalang perdebatan yang tidak akan menguntungkan Melayu atau Islam itu.

Apabila mengetahui sikap Umno dalam bersahabat dengan MCA dan MIC sebagai kafir zimmi itulah, maka ulama Pas telah bersetuju menjadi anggota Barisan Nasional.

Perlu diingat, Pas tidak menyertai BN kerana perjuangannya untuk Islam, tetapi lebih untuk
bersama dengan Umno mempertahankan hak dan kuasa Melayu yang telah terhakis sehingga
mengakibatkan peristiwa 13 Mei 1969.

Pas dan Umno pada waktu itu menganggap DAP sebagai kelompok 'kafir harbi' yang menjadi
seteru kepada kepentingan Melayu dan Islam. Perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih Islam'
telah berakhir apabila Pas berada di dalam BN dan perlumbaan atas tajuk ini telah tiada lagi.

Apabila Pas terkeluar daripada BN, maka Pas terpaksa mencari garis perjuangan baru untuk
membezakannya daripada Umno. Maka bermulalah isu 'hudud'. Buat sementara waktu 'hudud' telah dipopularkan dan Umno digambarkan oleh Pas sebagai penghalang kepada terlaksananya hukum hudud.

Isu 'hudud' dan 'cita-cita mewujudkan negara Islam' kemudian terpaksa diketepikan oleh Pas
kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjambatani persahabatan antara Pas dan DAP yang dulunya dianggap 'kafir harbi'.

Umum mengetahui bahawa DAP bukan saja anti 'hudud', antikewujudan negara Islam, malah
antikonsep ketuanan Melayu yang kelihatan padanya melalui hak istimewa orang Melayu yang terjamin dalam Perlembagaan.

Oleh kerana semua keistimewaan orang Melayu yang ada di dalam Perlembagaan Malaysia dapat dipertahankan oleh sistem kehakiman kita, maka sasaran penentang segala keistimewaan orang Melayu telah menghala kecaman mereka terhadap sistem kehakiman kita.

Demi kepentingan politiklah, maka Pas menerima DAP sebagai kawan dan bukan kerana agama.

Politik nampaknya lebih penting daripada Islam dan Melayu. Sudah tentu kalangan pimpinan
politik Melayu yang bersahabat dengan DAP ini akan membisik kepada penyokong mereka yang mempersoalkan 'keharbian' DAP itu bahawa mereka perlu bersabar kerana Melayu yang berkawan dengan DAP hanya memperalatkan DAP saja untuk mendapat kuasa. Lepas dapat kuasa barulah program Islam akan diketengahkan. Mereka sebenarnya memperkecil kecerdikan pimpinan DAP.

Bagi DAP mewujudkan negara Islam hanyalah over my dead body.

Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 telah memberi kemenangan yang terbaik untuk BN di bawah kepemimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kemenangan ini diperoleh kerana rakyat belum mengenal beliau. Selepas mengenali beliau dan keluarganya maka pada 2008 BN kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, selain Pas kekal memerintah Kelantan.

Bagi Pas kemenangan ini ialah kerana berkawan dengan DAP dan PKR sebuah parti yang dipimpin oleh wanita Melayu, tetapi dikuasai oleh profesional daripada keturunan India.

DAP tahu bahawa kemenangan mereka disebabkan kegagalan kepemimpinan Abdullah. Itulah
sebabnya DAP dengan terus tenang mengharapkan Abdullah tunggu hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-13 supaya BN kecundang.

Umno pula terpinga-pinga kerana malu dan segan untuk menyalahkan Abdullah dan keluarganya. Adalah lebih mudah bagi Umno mempercayai bahawa kekalahan BN ialah kerana tiada sokongan daripada bukan Melayu. Lebih sukar untuk menerima bahawa bukan Melayu juga menolak BN kerana kecewa dengan kepemimpinan Abdullah. Umno tentu tahu bahawa di negeri kubu kuat Umno pun ramai orang Melayu yang dulunya menjadi pengundi Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tidak menyokong BN.

Mungkin penganalisis Umno berasa mudah nanti untuk menawan kembali hati orang Melayu dengan pelbagai macam program barunya. Oleh itu, pimpinan Umno dalam BN, seperti juga dengan pemimpin MCA, MIC, PKR, DAP dan Pas terus sibuk berusaha untuk berlumba-lumba menawan hati bukan Melayu.

Pas agak toleran terhadap keruntuhan moral dalam PKR, Pas juga ingin mengajar bagaimana arak boleh dijual di Selangor seperti di Kelantan. Pas juga membolehkan Islam dikritik oleh DAP berasaskan kejahilan mereka mengenai Islam. Pemimpin PKR juga menjanjikan untuk bersama dengan Pas dan DAP menghapuskan ISA dan menghapuskan banyak lagi yang dirasakan elok dihapuskan untuk mendapat sokongan bukan Melayu.

BN juga memperkenalkan dasar liberalisasi yang nampak bagi orang Melayu tidak menguntungkan mereka. Begitu banyak tindakan BN yang membimbangkan Bumiputera seperti mengurangkan peratus biasiswa kerajaan untuk Bumiputera daripada 95 peratus ke 55 peratus sedangkan biasiswa daripada swasta bukan Bumiputera 100 peratus kekal diperoleh untuk mereka saja. Orang Melayu juga takut kerana melihat saham amanah untuk Melayu tidak habis dijual dan yang Bumiputera tidak mampu beli dijual saja kepada bukan Bumiputera.

Melayu dan Bumiputera kini bergantung banyak kepada kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa pemimpin mereka tidak lupa pada mereka.

Perlumbaan antara pemimpin Pakatan Rakyat dan BN ialah untuk 'menawan hati bukan Melayu. Ini adalah peringkat ketiga setelah lebih dulu Umno dan PKMM, berlawan 'siapa yang lebih menyumbang kepada kemerdekaan' dan kemudian Umno dan Pas bersaing pula 'siapa yang lebih Islam antara Umno dan Pas'.

Sementara Melayu sedang berlumba dari segi 'siapa lebih baik kepada orang bukan Melayu' kini timbul pula 'siapakah pengkhianat bangsa Melayu'.

Perlumbaan mengenai tajuk 'Melayu yang manakah lebih berjasa kepada bukan Melayu?' telah banyak mengecewakan orang Melayu dan kurang pasti sama ada hati bukan Melayu sudah tertawan.

Semuanya bergantung kepada maklum balas yang diterima oleh pemimpin BN.
Adalah jelas kumpulan yang tidak simpati dengan kedudukan orang Melayu yang dianggap
istimewa itu, walaupun Melayu kurang merasainya dalam bidang ekonomi, sudah menunjuk
keberaniannya untuk bersikap kurang sopan kepada raja dan agama Islam. Jika Melayu mengalah dalam hal ini, maka ancaman yang lebih besar akan mengancam negara.

Apa yang jelas bagi kita ialah kelompok yang kurang sopan kepada raja dan agama ini juga
adalah sama dengan kelompok menentang ISA. Apakah dengan tiadanya ISA mereka akan lebih bermaharajalela lagi.

Saya bersetuju dengan Mufti Perak yang mencadangkan supaya mereka yang antiraja dilucutkan kerakyatan. Malah kita perlu gantikan ISA dengan ALK atau Akta Lucut Kerakyatan. Dengan adanya ALK kita tidak perlu sibuk ke mahkamah, tetapi menentukan supaya mereka yang menentang Islam, raja, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kalangan 'separatist' yang ingin mengeluarkan mana-mana negeri dalam Malaysia dan menyokong negara lain yang memusuhi Malaysia dilucutkan kerakyatannya. Akta ALK hendaklah mandatori, terbukti saja salah maka lucutlah kerakyatan tanpa hak hakim untuk meringankan hukuman.

Pihak yang menjadi pengkhianat Melayu adalah mereka yang mempersendakan raja, agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu, pihak yang ingin memisahkan negeri daripada menjadi sebahagian daripada Malaysia dan pihak yang memihak kepada negara atau pihak yang memusuhi Malaysia. Inilah cara menuju 1Malaysia.


RENCANA II

Melayu dalam Perlembagaan

SEJAK akhir ini ada kecenderungan oleh pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan keistimewaan yang diberikan kepada orang-orang Melayu.
Mereka menuntut kedudukan yang sama dengan orang Melayu daripada pelbagai segi padahal
keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu bukanlah mengambil hak kaum-kaum lain.
Ada pihak yang mempertikaikan kenapa orang Melayu diberi keistimewaan sedangkan Melayu juga asalnya pendatang yang datang ke negara ini. Hakikatnya banyak pihak melupakan sejarah yang mencatatkan pengorbanan orang Melayu memberi kerakyatan kepada bukan Melayu semasa mencapai kemerdekaan.
Pertikaian tentang hak keistimewaan orang Melayu terus dibangkitkan walaupun dalam
Perlembagaan menyebut tentang hak-hak tersebut. Pada masa yang sama Perlembagaan tidak
mendiskriminasi kaum-kaum tertentu kerana Perlembagaan mendapat persetujuan semua pihak.
Kita juga memberikan pengkelasan yang tidak tepat apabila menganggap tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India menjadi tonggak di negara ini.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan, dalam Perlembagaan menyebut bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum iaitu Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah serta Bumiputera Sarawak dan kaum-kaum lain.
“Saya syorkan kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut
Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka,” tegas Mohd Noor ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL ABDUL HAMID Khamis lalu.
MINGGUAN: Disebabkan banyak pihak tidak faham kedudukan Melayu dalam Perlembagaan, boleh Datuk huraikan perkara ini?
MOHD NOOR: Saya ingin terangkan dahulu perkara-perkara penting tentang orang Melayu di dalam Perlembagaan. Saya melihat banyak NGO-NGO Melayu sekarang ini bertindak dalam keadaan marah dan bukan menjawab mengikut undang-undang. Kerana itu pertama sekali saya ingin menjelaskan dalam perkara satu, negara ini perlu dikenali dalam Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dengan nama Malaysia. Malaysia ini asalnya dari perkataan Malaya. Malaya itu mengikut Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dahulu adalah Persekutuan Tanah Melayu. Sepatutnya ia habis di situ. Oleh itu negara ini dikenali dunia sebagai Tanah Melayu dan tidak disebut sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
Nama Malaysia adalah termasuk Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Itu istilah
sebenar mengikut Perlembagaan. Tidak timbul masalah apabila disebut Semenanjung, Sabah dan Sarawak walaupun dilihat sebagai berbeza kerana sebagai sebuah negara ia akan tetap disebut Malaysia. Contohnya Orang Asli hanya terdapat di Semenanjung seperti orang Senoi, Jakun dan Negrito. Orang Asli adalah aborigin bagi Semenanjung. Di Sabah dan Sarawak tidak ada Orang Asli. Ini hakikatnya. Penduduk di Sabah dan Sarawak dipanggil native (bumiputera). Orang Melayu juga bukan Orang Asli. Orang Melayu juga native (bumiputera). Kita sama dengan orang Sabah dan Sarawak dalam konteks kita adalah native di Semenanjung dan setaraf dengan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang datang selepas Orang Asli. Native ini jugalah yang diistilahkan indigenous people. Orang yang datang kemudian dipanggil imigran.
Semua 28 suku kaum di Sabah dan Sarawak termasuklah Iban, Penan, Dayak dan sebagainya native. Dahulu native ini dikenali sebagai anak negeri namun kini ia dikenali sebagai
bumiputera.

Boleh Datuk terangkan perbezaan antara indigenous dan aborigin dalam Perlembagaan?
MOHD NOOR: Ada dua perbezaan yang besar antara aborigin dan indigenous . Aborigin adalah penduduk asli negara ini dan indigenous paling sesuai untuk ditafsir ialah peribumi dan
mereka ini dilihat bersesuaian dengan keadaan dan sekeliling mereka. Oleh itu adalah jelas
orang Melayu dan native di Sabah dan Sarawak adalah sama sebagai peribumi. Maka bumiputera itu adalah terjemahan kepada native. Oleh itu jangan kata orang yang lahir di situ adalah bumiputera tetapi sebenarnya tidak. Begitu juga orang Cina dan India yang lahir di sini,
mereka bukan bumiputera. Ini kerana bumiputera bukan sahaja lahir di sini tetapi keadaan
hidupnya adalah bersesuaian dengan keadaan sekelilingnya.

Apakah yang lebih tepat untuk mengkelaskan misalnya Melayu, Cina dan India di negara ini
dalam konteks Perlembagaan?
MOHD NOOR: Kesilapan besar kita ialah hanya mengenali bangsa sebagai Melayu, Cina dan India. Apakah kerana orang Melayu datang dahulu kemudian orang Cina dan kemudian India? Atau kerana orang Melayu paling ramai kemudian diikuti Cina dan India? Beritahu saya manakah negara yang tidak ada bangsa? Sama ada bangsa itu integral iaitu ada bangsa lain yang menumpang tetapi masih lagi disebut sebagai bangsa seperti bangsa Indonesia, bangsa Filipina, bangsa British, Perancis, Jerman dan sebagainya.
Menurut Perlembagaan, bangsa Malaysia terdiri daripada lima kaum. Maka bangsa Melayu itu diturun taraf kepada kaum. Namun kaum Melayu adalah teras di negara ini dan kita ajak kaum lain untuk bekerjasama sebagai bangsa Malaysia. Lima kaum itu terdiri daripada, pertama Orang Asli, kedua orang Melayu, ketiga kaum bumiputera Sarawak, keempat kaum bumiputera Sabah dan kelima adalah kaum-kaum lain.
Apabila menurunkan taraf orang Melayu kepada kaum, orang Cina dan India juga diturunkan
taraf kepada “kaum-kaum lain”. Saya bercakap mengikut Perlembagaan dan jika kita menganggap teras negara ini terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India, itu adalah salah. Di mana definasi Cina dan India di dalam Perlembagaan? Dalam Perlembagaan ada disebut orang Melayu, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Macam mana hendak definisikan Cina dan India di negara ini jika sudah terdapat negara asal mereka dan keturunan mereka di sana. Oleh itu maknanya mereka ini bangsa Malaysia yang ada hubung kaitnya dengan soal bahasa, budaya, keturunan dan sebagainya dengan negara asal mereka. Sama ada mereka hendak terima atau tidak, itu adalah hakikatnya. Orang Melayu pun jatuh nombor dua dan bumiputera di tempat ketiga. Ini berlaku kerana dari segi sejarahnya Orang Asli ini lebih dahulu sampai, lepas orang Melayu barulah kaum-kaum lain sampai ke negara ini.

Tidak lama dulu ada pihak menghujahkan bahawa Melayu juga pendatang kerana penduduk asal adalah Orang Asli. Apa komen Datuk?
MOHD NOOR: Semasa empayar China dahulu kalau berpindah dari Han ke Chin atau dari Beijing pergi ke selatan hingga ke Mongolia adakah mereka berpindah dari satu negeri ke satu negeri?
Mereka tidak berpindah tetapi hanya bergerak sekitar empayarnya. Begitu juga orang Melayu
hanya berada di alam Melayu. Sejak kerajaan Sri Wijaya dahulu kita pernah mempunyai satu
empayar agung yang meliputi Indonesia, Brunei, Filipina sebagai satu dunia Melayu. Oleh itu
kita tidak berpindah hanya bergerak sekitar dunia Melayu. Namun apa yang berlaku sekarang
ini adalah akibat penjajah Barat yang memecah-belahkan dunia Melayu. Indonesia diberi kepada Belanda, Tanah Melayu diberi kepada Inggeris. Jika tidak dipecahkan, dunia Melayu bersatu tetapi akibat penjajahan Barat ini kita berpecah belah. Jadi kenapa ada pihak berkata Melayu datang dari luar? Melayu hanya bergerak berkelompok di sekitar dunia Melayu ini.
Tetapi yang pasti orang Cina dan India bukan dari kelompok itu. Jika mereka kata Melayu
seperti mereka, itu tidak benar. Yang sebenarnya adalah agama. Memang orang Melayu dulu
beragama Hindu namun kemudian memeluk agama Islam tetapi bukan berasal dari India. Orang Melayu di sini kita gunakan istilah Nusantara yang bermaksud nusa antara nusa-nusa.

Jadi, maksud Datuk kita mesti melihat dari sejarah dan bukan keadaan sekarang yang
dipisah-pisahkan?
MOHD NOOR: Orang Indonesia berhijrah ke Malaysia dari satu alam Melayu ke satu alam Melayu yang lain. Saya ingin bertanya adakah orang India yang berpindah dari Tamil Nadu ke Goa boleh dikatakan pendatang? Bukankah pelik jika orang Melayu yang bergerak dari Indonesia ke Tanah Melayu jadi pendatang? Kita kena melihat dari segi sejarah bukan pada masa sekarang. Jika sekarang sudah tentu berdasarkan undang-
undang imigresen dianggap sebagai pendatang. Jika kita lihat sebelum penjajah memecah-
belahkan kita, dunia sebelah sini adalah alam Melayu. Namun kini hakikatnya orang dari semua lima kaum tadi, kedudukan Orang Asli, orang Melayu dan bumiputera termasuklah bumiputera Sabah dan Sarawak terpinggir berbanding kaum-kaum lain. Itulah yang saya sedihkan. Oleh itu kita berhentilah menggunakan istilah Melayu, Cina, India ini kerana dari sudut Perlembagaan tidak ada disebutkan kaum Cina dan India. Namun kita yang memberikan kedudukan kepada mereka. Yang disebut ialah kedudukan orang Melayu dan Melayu disebut sebanyak 54 kali dalam Perlembagaan. Cina dan India langsung tidak disebut dalam Perlembagaan. Mereka harus sedar tentang perkara ini. Oleh itu kita harus sebut dengan jelas kedudukan ini, sama ada kita semua adalah bangsa Malaysia atau pun mereka hanyalah sekadar kaum-kaum lain saja.

Adakah Perlembagaan kita mendiskriminasikan kedudukan kaum-kaum lain ini?
MOHD NOOR: Perkara ini tidak berlaku kerana Perlembagaan ini dipersetujui oleh semua pihak ketika mula-mula digubal. Maknanya tidak ada diskriminasi jika semua pihak bersetuju.
Perkara ini tidak patut timbul sama sekali malahan mereka patut akur bahawa Perlembagaan
tidak langsung menyebut tentang kaum Cina dan India. Kita ambil contoh Barack Obama, beliau memperkenalkan dirinya sebagai African-American. Cuba beritahu yang mana penting dalam istilah tersebut? Jika kita melihat kepada nahu bahasa, adjektif adalah yang menerangkan kata nama. Jika kita lihat ada kaum Cina mengaku mereka sebagai Malaysian Chinese, Malaysia yang menjadi adjektif dan Chinese menjadi kata kerja. Jika dilihat kata kerja itu lebih penting dari adjektif. Oleh itu kita dapat lihat nama Chinese lebih penting daripada nama Malaysian. Ini menunjukkan mereka lebih berbangga dengan nama Chinese diletakkan di depan bukan Malaysian.

Apa mesej Datuk daripada contoh di atas?
MOHD NOOR: Bagi mereka nama Chinese yang lebih penting daripada Malaysian. Orang Cina sangat berbangga dengan tamadun mereka yang maju. Oleh itu, di mana mereka berada mereka lebih berbangga dengan kedudukan dan tamadun mereka. Maka kita harus memberitahu mereka ini bahawa mereka adalah Chinese Malaysian supaya mereka tahu mereka menghargai negara ini dan bertindak sebagai bangsa Malaysia.

Bagaimana dengan kedudukan raja-raja Melayu?
MOHD NOOR: Raja-raja Melayu ini merupakan yang empunya Semenanjung Tanah Melayu. Mereka ini memerintah secara mutlak. Walaupun mereka memerintah tetapi tetap ada penasihat seperti bendahara, temenggung dan sebagainya. Namun akibat dari peranan penjajah semua ini dimanipulasi hinggalah kita mencapai kemerdekaan. Sebenarnya raja yang memerintah. Kuasa memerintah terletak kepada raja dan bukan Perdana Menteri. Raja yang memerintah dan Perdana Menteri mengurus tadbir negara. Cara pemerintahan itu ialah pertama raja sendiri yang memerintah. Kedua raja memerintah mengikut nasihat. Ketiga raja memerintah melalui Perdana Menteri. Namun raja adalah berperlembagaan dan tidak lagi seperti dahulu. Kini kuasa raja hanya terhad kepada tiga sahaja iaitu yang pertama melantik Perdana Menteri. Kedua, raja yang memperkenankan pembubaran Parlimen. Ketiga apabila raja ingin mengadakan Persidangan Majlis Raja-Raja maka mereka mempunyai kuasa untuk memanggil mesyuarat tersebut.

Bagaimana pula dengan kontrak sosial yang membawa kepada kemerdekaan negara ini?
MOHD NOOR: Kontrak sosial bukanlah istilah undang-undang. Ia satu perjanjian antara
kaum-kaum di negara ini di mana orang Melayu memberi kerakyatan sebanyak 800,000 kepada orang Cina dan India semasa kita menuntut kemerdekaan dahulu. Mereka ini subject to British colony di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Mereka ini bukan warganegara negara ini ketika itu. Maka penjajah British memberi syarat jika mahukan kemerdekaan mereka ini perlu diberi kewarganegaraan. Oleh itu sebagai balasan, orang Melayu perlu diakui mempunyai kedudukan istimewa sebagai peribumi di negara ini. Tiga keistimewaan harus diberi kepada orang Melayu iaitu pentadbiran negara ini diberi kepada orang Melayu. Pelajaran dan biasiswa diberi kepada orang Melayu dan permit dan perniagaan diberikan kepada orang Melayu. Ini kerana orang Melayu keciciran dalam banyak bidang. Dahulu penjajah buat sekolah di kawasan bandar. Oleh sebab itu orang Cina ramai yang pandai manakala orang Melayu pula ramai yang tinggal di kampung, asalkan dapat makan pakai serta dapat mereka beribadat, itu sudah cukup. Namun apabila merdeka orang Melayu ini tidak mahu lagi keciciran dalam semua segi.

Bagaimana pula dengan hak keistimewaan orang Melayu selepas 52 tahun merdeka?
MOHD NOOR: Jika kita lihat raja-raja kita dahulu berpandangan jauh telah memikirkan untuk menubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk menjaga keselamatan orang Melayu kemudian ditubuhkan pula undang-undang rezab tanah Melayu. Semua ini dilakukan atas nama kebimbangan sekiranya sesuatu berlaku terhadap orang Melayu. Saya istilahkan dua tiga serangkai, rangkai pertama ini saya namakan warisan orang Melayu iaitu Raja Berperlembagaan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Definisi orang Melayu ialah orang beragama Islam, bertutur dalam bahasa Melayu dan adat Melayu yang mewakili raja-raja Melayu.
Seterusnya rangkai yang satu lagi saya namakan pusaka orang Melayu. Pertamanya ialah Askar Melayu, kedua tanah rezab Melayu dan yang terakhir kedudukan istimewa orang Melayu. Ia dinamakan pusaka kerana ini merupakan peninggalan pemimpin kita dahulu. Oleh itu semua usaha ini perlu diteruskan dan dipertahankan oleh semua orang Melayu.

2 comments:

Anonymous said...

Pelan MCA Yang Membahayakan Posisi Barisan Nasional

Retakkan di dalam parti MCA pada masa ini sememangnya membahayakan masa depan Barisan Nasional. Apa yang malangnya adalah ini merupakan masa yang terbaik bagi Barisan Nasional untuk menolak Pakatan Rakyat ketepi dan menguatkan posisinya.

Pakatan Rakyat kini dilanda pelbagai masalah dalaman.

Dapat dilihat bahawa PAS sekarang terpaksa bertungkus lumus menangani isu menantu Nik Aziz yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah di Kelantan. Ketua PAS di Selangor iaitu Datuk Hasan Ali pula sekarang nampaknya berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor melalui pertikaiannya dengan polisi-polisi DAP.

Di sebelah PKR pula, bisikan di kalangan orang ramai adalah mengapa Saudara Anwar Ibrahim telah nampaknya mengundur diri daripada menjadi muka depan PKR. Beliau dikritis kerana kerap berada di luar negara dan tidak memberi perhatian kepada masalah dalam negara.

Tambahan pula, beliau telah menghantar Tian Chua sebagai gantinya untuk ke Sarawak bagi menangani masalah besar PKR di Sarawak. Tian Chua pula di dalam bahaya kehilangan kerusi Parlimennya apabila didapati bersalah menggigit ahli polis.

Barisan Nasional pada masa ini sepatutnya mengambil kesempatan untuk mencuri langkah daripada Pakatan Rakyat tetapi malangnya masalah MCA menghalang perkara ini daripada berlaku. Apabila rakyat membaca suratkhabar, mereka dapat melihat bahawa kedua-dua Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat mempunyai masalah besar dan pertelingkahan dalaman.

Sudah sekian lama masalah dalaman MCA timbul tetapi masih lagi tiada penyelesaian. Pelan Damai Besar Ong Tee Keat adalah pelan yang kosong selagi pelan tersebut tidak disokong oleh Pemuda MCA dan Wanita MCA.

Pelan ini dilihat oleh rakyat sebagai satu perjanjian buruk di antara Chua Soi Lek dan Ong Tee Keat yang mengetepikan pandangan majoriti ahli MCA yang jelasnya telahpun menolak pimpinan Ong Tee Keat pada mesyuarat yang lepas.

Apa yang menjadikan perkara ini lebih teruk adalah fakta bahawa Ong Tee Keat sekarang lebih sibuk dengan masalah dalaman MCA daripada memfokuskan dirinya kepada tanggungjawabnya sebagai Menteri Pengangkutan.

Mengapakah Ong Tee Keat tidak mahu mengadakan undian baru bagi pemimpin MCA? Inilah jalan yang paling muda serta demokratik bagi menyelesaikan kesemua masalah parti tersebut. Letakkanlah masa depan parti ke dalam tangan ahli-ahli. Inilah cara yang paling bagus.

Selagi MCA bergaduh, Barisan Nasional tidak boleh melawan Pakatan Rakyat secara efektif.

Anonymous said...

nape blog ni dah tak mau cerita pasal perkembangan dalaman akhbar tempatan mcm mula2 buka dulu. kalo setakat cerita mcm ni, blog lain pun ada, baik ubah nama blog tu