Sunday, October 19, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 63 - Pukul Kawan Jaga Menantu)

Satu Malaysia terpegun dan ada yang terharu apabila Pak Lah membidas kenyataan mantan PM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden serta Menteri Kabinet beliau sendiri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.

Di kalangan para editor MSM, kenyataan Pak Lah terhadap Tun di Kota Kinabalu malam tadi adalah yang paling keras sejak Tun menyerahkan kuasa pentadbiran kepada beliau dan sejak Tun memberi petunjuk kepada ahli Umno dan BN supaya memilih Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno, sekali gus menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan Tun yang ditulis dalam blog beliau dibalas oleh Pak Lah dalam media arus perdana. Nampaknya Pak lah sudah tidak tertahan lagi dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh Tun terhadapnya. Hingga dalam kenyataan semalam Pak Lah mengatakan:

"Tun berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan "siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan".

Umno tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

"Siapakah Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

"Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu...orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?

Kenyataan keras Pak Lah itu, bagi para editor kanan MSM bersebab. Yang paling utama sekarang ini ketika bahagian Umno mengadakan mesyuarat mereka, rata-rata tidak berpihak kepada Pak Lah dan konco-konconya.

Kini kalangan ahli Umno sudah muak dengan Pak Lah dan mereka yang dulunya sering mempertikaikan serangan Tun terhadap pentadbiran negara, kini mengakui kenyataan Tun adalah benar.

Di kalangan para editor kanan MSM dan editorialblog sendiri sudah dapat merasakan 'SENTIMEN MAHATHIR'sejak sebelum mesyuarat bahagian Umno bermula. (Ulasan mengenai sentimen Mahathir akan diberi tidak lama lagi)

"Sekarang ahli Umno melihat kembali kepada Tun Mahathir. Mereka yang sebelum ini menentang Tun kini dapat melihat kebenaran kata-kata Tun. Pandangan diberikan Tun mendahului masa dan mereka kini lebih memihak kepada Tun," kata seorang editor kanan MSM.

Tidak hairanlah sekarang ini menantu Pak Lah semakin gelabah apabila anak Tun Mahathir iaitu Datuk Mukhriz mendahului beliau dalam saingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno. Sentimen Mahathir ini juga menular dalam Pemuda Umno hingga Naib Ketua sekarang Khairy Jamaluddin ketinggalan jauh di belakang dari segi pencalonan.

Jadi sekarang ini bukan 'pukul anak sindir menantu' tetapi 'pukul kawan jaga menantu'.

(Banyak lagi yang akan diulas mengenai kisah Pemuda Umno dan mesyuarat Umno bahagian dalam sedikit masa lagi.)

Mengenai pukulan Pak Lah terhadap Muhyiddin pula Editorialblog menyifatkannya sebagai mengesahkan cerita-cerita selepas mesyuarat khas MT Umno baru-baru ini, bahawa Pak Lah memang kena pukul habis-habisan.

Kenapa Muhyiddin beriya-iya menentang Pak Lah ada sebabnya dan sudah pun editorialblog nyatakan dalam artikel sebelum ini.

Namun sesuatu yang menarik perhatian Editorialblog ialah:

Para editor MSM di Kuala Lumpur sudah diarah menyediakan ruang kepada berita Pak Lah beberapa jam sebelum Pak Lah membuat kenyataan membidas Tun dan Muhyiddin di Lapangan Terbang Kota Kinabalu. Editorialblog diberitahu Pak Lah akan mengamuk.

Wednesday, October 15, 2008

Hindraf pertubuhan haram

Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) diisytiharkan haram selepas kegiatannya didapati menyalahi Akta Pertubuhan 1966, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dalam kenyataan itu menyebut bahawa Hindraf memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai moral di negara ini.

Beliau mengisytiharkan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang dan perisytiharan itu sudah pun diwartakan berkuat kuasa serta-merta, selepas pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan di bawah KDN terhadap kegiatan Hindraf, sejak ditubuhkan hingga kini.

Hasil siasatan itu kementerian mendapati kegiatan pertubuhan ini (Hindraf) bertentangan dengan bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 3 5) serta boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai moral di Malaysia.

Saya berpendapat jika kegiatan ini tidak dibendung, ia akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara, malahan menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum.

Tindakan pengharaman yang diambil ini bukannya berasakan kepada satu atau dua kegiatan pertubuhan ini yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan dan aktiviti yang telah dilakukan sejak pertubuhan ini diwujudkan,” katanya.

Thursday, October 9, 2008

Najib tawar diri (transkrip kenyataan)

Transkrip penuh kenyataan Datuk Seri Najib Razak

Sebagaimana yang kita sedia maklum kelmarin Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Saya berpendapat keputusan YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini sebagai satu pendirian yang mencerminkan keikhlasan beliau dengan meletakkan kepentingan parti, rakyat dan negara melebihi segala-galanya.

Saya ingin merakamkan setinggi perghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Abdullah di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaan saya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan Alhamdullillah kita bersyukur kerana keputusan ini juga adalah selaras dengan tradisi Umno.

Ini akan membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara tertib, berhemah dan lancar. Beginilah amalan cara dan tradisi Umno yang selama ini telah menentukan kestabilan dan kemakmuran negara.

Sehubungan dengan keputusan YAB Perdana Menteri itu, saya dengan rasa rendah diri dan penuh rasa tenggungjawab ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno. Insya-Allah dengan adanya sokongan daripada akar umbi dan perwakilan parti, saya berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan Umno dengan pembaharuan yang disebutkan YAB presiden dalam sidang akhbarnya kelmarin.

Saya percaya bahawa pengumunan ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli Umno berganding bahu untuk memantapkan lagi parti.

Dengan perkembangan ini juga saya berharap kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat dari kalangan semua kaum, termasuk pemimpin dan ahli parti, pegawai dan kakitangan kerajaan, anggota pasukan keselamatan, ahli badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli korporat, segenap lapisan masyarakat, baik golongan lama mahu pun generasi baru di seluruh Semananjung serta Sabah dan Sarawak supaya Barisan Nasional dapat diperkukuhkan.

Sesungguhnya, tugas sebagai pemimpin adalah satu amanah dan tanggungjawab yang dianugerah Allah SWT. Insya-Allah saya akan melaksanakannya dengan cara yang terbaik. Semoga Allah SW memberi pertolongan dan memberkati kita semua.

Wednesday, October 8, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 62 - Siapa selepas Najib?)

Teka teki selesai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno Mac tahun depan.

Secara logik dan dari segi sejarah parti tonggak utama bangsa Melayu di Malaysia itu, Timbalan Presiden berada pada landasan yang kukuh untuk meneruskan tradisi perjuangan Umno.

Siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak - pemimpin kanan Umno dan BN yang ditakuti oleh pembangkang (kerana beliau adalah anak didik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad).

Hakikatnya, sesetengah pihak melihat Najib sebagai pemimpin yang lembik dan kurang ketegasan. Inilah yang harus diperbaiki sedikit lagi oleh Najib, supaya tidak ada siapa yang berani mengambil kesempatan dalam usaha membangunkan Malaysia. Najib juga harus mempunyai ketegasan dalam membawa perubahan dalam Umno dan BN.

Namun, Najib perlu berhati-hati kerana Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga menginati peluang untuk jawatan nombor satu parti sekali gus orang nombor satu negara.

Khabarnya, Tengku Razaleigh akan meneruskan hasratnya bertanding jawatan Presiden jika cukup jumlah kuota yang melayakkan beliau bertanding - sekadar membuktikan wujud demokrasi dalam Umno.

Dalam pada Najib perlu berwaspada, para editor kanan MSM menerima maklumat daripada sumber-sumber yang layak dipercayai bahawa Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertanding jawatan nombor dua - Timbalan Presiden.

Muhyiddin tidak boleh lagi berada dalam kelompok sekarang dan perlu melompat setakah lagi, walaupun harapan untuk ke jawatan Presiden pada masa depan tertutup. Cukup bagi Muhyiddin untuk membantu Najib memperkukuhkan parti dan negara sebagai orang nombor dua.

Beberapa pemimpin Umno seperti Zahid Hamidi, Ali Rustam dan yang lainnya menyatakan kesediaan merebut jawatan Timbalan Presiden, tetapi kelebihan yang dilihat oleh ahli Umno tetap menjurus kepada Muhyiddin. Maka adalah lebih baik mereka (terutama Mat Taib dan Ali Rustam) yang berhasrat bertanding Timbalan Presiden menarik diri. Bagi Ahli MT yang tidak pernah berada di jawatan Naib Presiden, jangan lah berangan-angan melompat lebih tinggi. Berangkak dulu sebelum berjalan. Naiklah tangga mengikut turutan, supaya tidak tergelincir dan jatuh!

Bagaimana pula bagi jawatan Naib Presiden?

Mat Taib, Ali Rustam mempunyai peluang cerah. Mat Taib perlu dikekalkan kerana senioriti dan pengalaman beliau yang mewakili kumpulan 'orang lama', manakala Ali Rustam boleh mewakili golongan pertengahan dan calon seorang lagi biarlah mewakili golongan muda. Siapa? Boleh jadi Hishammuddin Tun Hussein!

Senarai berikut perlu diberi perhatian:

Presiden: Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan Presiden: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Naib Presiden: Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Naib Presiden: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Naib Presiden: Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Pak Lah SAH berundur

Sebahagian daripada kenyataan media Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini:

1. Saya telah berkhidmat kepada negara lebih dari 45 tahun. Saya telah berkhidmat sebagai penjawat awam dan juga sebagai seorang wakil rakyat. Saya telah bertugas sebagai ahli pentadbiran sehingga, Alhamdulillah, saya berpeluang untuk memegang jawatan yang tertinggi di dalam kerajaan. Saya telah melihat Malaysia melangkah maju dari sebuah negara yang miskin kepada sebuah negara yang moden dan disegani.

2. Walaupun prestasi pencapaian negara adalah membanggakan, saya percaya bahawa negara kita berada di sebuah persimpangan. Kita perlu berani membuat perubahan, kita perlu mempercepatkan evolusi dan proses pematangan. Sekiranya kita gagal membuat perubahan tersebut, segala pencapaian kita selama lebih 50 tahun mungkin tergadai. Dalam menghadapi perubahan dan transformasi ini, rakyat perlu berdiri teguh dan bersatu hati.

3. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya sentiasa mengutamakan kepentingan negara dan rakyat. Oleh itu, saya tidak akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung yang akan datang. Saya tidak mahu melihat UMNO dan Barisan Nasional berpecah belah. UMNO dan Barisan Nasional perlu bersatu dan kukuh bagi menangani cabaran-cabaran global, agar kita berjaya menjadi sebuah negara yang maju – sebuah negara yang menjamin kesejahteraan dan keadilan untuk semua.

4. Tempoh saya sebagai Presiden UMNO akan tamat pada bulan Mac 2009. Namun, ada beberapa inisiatif yang saya ingin laksanakan sebelum saya menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada bakal pengganti saya. Inisiatif-inisiatif ini adalah penting untuk membolehkan negara kita terus melangkah maju. Inisiatif-inisiatif ini akan memperbaiki daya saing negara dan membolehkan Malaysia mengharungi cabaran-cabaran luaran yang pasti mendatang. Saya menyeru seluruh rakyat agar bersatu bersama saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik.

5. Pertama, institusi negara perlu diperkukuhkan:

* Badan kehakiman perlu memperkukuhkan kedudukan dan kredibilitinya di mata rakyat. Saya akan membawa rang undang-undang ke Parlimen bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya ini akan diberi mandat untuk mencadangkan pelantikan para hakim dengan cara yang telus.

* Negara juga memerlukan sebuah institusi yang dapat memerangi gejala rasuah dengan efektif. Oleh itu, saya juga akan membawa rang undang-undang ke parlimen untuk menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang akan mempunyai kuasa penyelidikan dan penguatkuasaan yang lebih besar berbanding kuasa yang sedia ada pada Badan Pencegah Rasuah.

* Saya juga akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Aduan Khas bagi memperkukuhkan integriti dan keberkesanan agensi penguatkuasaan.

6. Kedua, saya telah begitu kerap dan sering menegaskan bahawa kekayaan dan hasil kemakmuran Negara perlu diagihkan secara lebih adil ke serata Negara. Ketika membentangkan Bajet 2009 yang lalu,saya telah menjelaskan tentang komitmen Kerajaan untuk memperkukuh dan memperluaskan Jaringan Keselamatan Sosial. Kita akan meningkatkan usaha bagi memastikan perlaksanaan inisiatif ini dapat disegerakan bagi membantu rakyat Malaysia yang miskin dan memerlukan, tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Saya juga akan bekerja keras untuk memastikan manfaat yang jelas akan dapat mula dinikmati di Iskandar, dan juga koridor-koridor pembangunan yang lain di serata Negara.

7. Ketiga, saya ingin melihat Kerajaan dan Barisan Nasional memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah Negara yang bersatu dan harmoni. Hakikatnya, kita telah sama-sama melihat bahawa keharmonian hubungan antara kaum dan agama semakin merosot dan terhakis. Pelbagai isu telah dibangkitkan yang berupaya meretak dan menghancurkan perpaduan yang telah kita jalin sekian lama, yang kita banggakan selama ini. Isu-isu ini perlu kita depani dengan bijak dan matang, melalui dialog; tangani isu-isu ini secara konstruktif dan adil; bagi memastikan rakyat dapat memahami isu-isu ini dengan jelas, tanpa sebarang keraguan; dan berikan fokus kepada aspek-aspek yang menyatukan kita dan bukannya aspek-aspek yang makin memecah-belahkan kita semua. Bagi tujuan ini, saya akan mengadakan Konvensyen Barisan Nasional pada awal tahun depan. Ini sememangnya satu usaha jangka panjang yang saya harap dapat saya mulakan dan akan terus saya berikan sumbangan bagi memastikan kejayaannya.

8. Saya serius dan komited untuk mencapai segala misi yang saya gagaskan, dan saya yakin bakal pengganti saya akan meneruskan usaha-usaha ini. Saya ingin menyerahkan kepada bakal pengganti saya, Malaysia sebagai sebuah negara yang mampu untuk berhadapan dengan sebarang cabaran ekonomi global; Malaysia yang tidak mengira atau memandang miskin atau kaya, tua atau muda, di bandar atau di desa, utara atau selatan, apatah lagi kaum atau agama; melainkan peraduan dan keharmonian. Ini bukan masanya untuk kita berbalah sesama sendiri atau untuk kita berpolitik secara sempit. Ini adalah masa untuk memperkukuhkan peraduan dan kerjasama antara kita Ini adalah masa untuk kita meletakkan kepentingan negara di hadapan, mengatasi segalanya.

********
Siapa di bawah Najib? Ulasan dan maklumat terkini akan disiarkan tak lama lagi.

Tuesday, October 7, 2008

Apa Kata editor MSM (Bhg 61 - Pak Lah tak tanding Presiden)

Demikianlah antara rumusan yang dibuat oleh para editor MSM selepas beberapa isu dibangkitkan sejak selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu. Rentetan daripada kekalahan besar Barisan Nasional, Pak Lah menerima begitu banyak sindiran sama ada daripada ahli akar umbi atau ahli Majlis Tertinggi Umno sendiri.

Dan yang terakhir ialah ketika mesyuarat khas MT Umno sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Perbicangan dalam mesyuarat tertutup itu bocor dan disiarkan sebuah akhbar, bagaimana panasnya suasana dalam mesyuarat itu hingga Pak Lah sendiri dikatakan mengalirkan air mata sedih.

Selepas berita itu disiarkan akhbar arus perdana, ramai ahli Umno dan MT menafikan Pak Lah 'diserang' bertubi-tubi dalam mesyuarat itu.

Namun, itulah hakikatnya apabila para editor kanan MSM diberi 'arahan' supaya ahkbar arus perdana tidak menyiarkan gambar empat ahli MT yang menyerang Pak Lah, dua tiga hari selepas mesyuarat khas MT itu berlangsung.

Empat ahli MT itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Datuk Seri Mohd
Shafie Apdal dan Ketua Wanita, Tan Sri Rafisah Aziz.


Jadi, benarlah dalam mesyuarat khas itu Pak Lah diserang habis-habisan. nasib, empat orang kanan itu juga selepas ini tidak diketahui. Rafidah sudah pasti tidak mengekalkan jawatan Ketua Wanita, tetapi Muhyiddin yang mengikut hirarki patut menjadi Timbalan Presiden, juga tidak diketahui nasibnya.

Tetapi yang pasti, para editor kanan MSM sudah dimaklumkan bahawa Pak Lah tidak akan mengekalkan jawatan Presiden, sebaliknya akan menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memegang jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, Pak Lah dan Najib akan membuka laluan jawatan Timbalan Presiden untuk dipertandingkan tanpa secara rasmi menamakan siapa yang mereka sokong. Mereka akan membiarkan kepada Umno bahagian dan perwakilan untuk menentukan calon yang menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Persiden, Naib Presiden dan Ahli MT.

Pak Lah dijangka membuat pengumuman tidak mengekalkan jawatan Presiden Umno selepas pertemuan dengan Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada pukul 3.30 petang esok.