Teka teki selesai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan tidak akan mengekalkan jawatan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno Mac tahun depan.
Secara logik dan dari segi sejarah parti tonggak utama bangsa Melayu di Malaysia itu, Timbalan Presiden berada pada landasan yang kukuh untuk meneruskan tradisi perjuangan Umno.
Siapa lagi kalau bukan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak - pemimpin kanan Umno dan BN yang ditakuti oleh pembangkang (kerana beliau adalah anak didik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad).
Hakikatnya, sesetengah pihak melihat Najib sebagai pemimpin yang lembik dan kurang ketegasan. Inilah yang harus diperbaiki sedikit lagi oleh Najib, supaya tidak ada siapa yang berani mengambil kesempatan dalam usaha membangunkan Malaysia. Najib juga harus mempunyai ketegasan dalam membawa perubahan dalam Umno dan BN.
Namun, Najib perlu berhati-hati kerana Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah juga menginati peluang untuk jawatan nombor satu parti sekali gus orang nombor satu negara.
Khabarnya, Tengku Razaleigh akan meneruskan hasratnya bertanding jawatan Presiden jika cukup jumlah kuota yang melayakkan beliau bertanding - sekadar membuktikan wujud demokrasi dalam Umno.
Dalam pada Najib perlu berwaspada, para editor kanan MSM menerima maklumat daripada sumber-sumber yang layak dipercayai bahawa Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertanding jawatan nombor dua - Timbalan Presiden.
Muhyiddin tidak boleh lagi berada dalam kelompok sekarang dan perlu melompat setakah lagi, walaupun harapan untuk ke jawatan Presiden pada masa depan tertutup. Cukup bagi Muhyiddin untuk membantu Najib memperkukuhkan parti dan negara sebagai orang nombor dua.
Beberapa pemimpin Umno seperti Zahid Hamidi, Ali Rustam dan yang lainnya menyatakan kesediaan merebut jawatan Timbalan Presiden, tetapi kelebihan yang dilihat oleh ahli Umno tetap menjurus kepada Muhyiddin. Maka adalah lebih baik mereka (terutama Mat Taib dan Ali Rustam) yang berhasrat bertanding Timbalan Presiden menarik diri. Bagi Ahli MT yang tidak pernah berada di jawatan Naib Presiden, jangan lah berangan-angan melompat lebih tinggi. Berangkak dulu sebelum berjalan. Naiklah tangga mengikut turutan, supaya tidak tergelincir dan jatuh!
Bagaimana pula bagi jawatan Naib Presiden?
Mat Taib, Ali Rustam mempunyai peluang cerah. Mat Taib perlu dikekalkan kerana senioriti dan pengalaman beliau yang mewakili kumpulan 'orang lama', manakala Ali Rustam boleh mewakili golongan pertengahan dan calon seorang lagi biarlah mewakili golongan muda. Siapa? Boleh jadi Hishammuddin Tun Hussein!
Senarai berikut perlu diberi perhatian:
Presiden: Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan Presiden: Tan Sri Muhyiddin Yassin
Naib Presiden: Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Naib Presiden: Datuk Seri Mohd Ali Rustam
Naib Presiden: Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment