Sunday, August 9, 2009

Apabila Cina pertahankan Melayu dan Islam

Rencana ini dipetik daripada tulisan Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional dalam mingguan Malaysia. Menarik untuk dibaca kerana ada akhbar Melayu lain yang tidak mampu menyiarkan artikel-artikel berbentuk kontroversi atau membela Melayu.

Bacalah...

NASIB MELAYU DI BUMI MELAYU

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan suruhanjaya bebas diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock. Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini. Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan.

Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.

Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina MCA, Gerakan (BN) dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak nafikan ada yang tidak kena dengan cara SPRM mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan yang lebih ekstrim mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang bakal lahir yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock ‘dibinkan’ atau diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah ketua wanita MCA bahawa betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukareala) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini?

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfucius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan ketua wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan bersekedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya masih tidak faham kenapa hari ini, terlalu ramai di kalangan kita suka menjadikan wanita sebagai mangsa dengan melakukan hubungan seks (sehingga mengandung) sebelum dinikahkan? Ajaran agama manakah yang membenarkan hubungan haram ini? Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrim. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.

Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebalik. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai. Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1988. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka.

Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan parti PAS dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri. Kes yang hampir sama berlaku, saya masih teringat pada November 2005, kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar-akhbar berbahasa Cina.

Dengan rasa bersalah yang teramat saya, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrim MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga Cina tetapi seorang gadis Melayu.

Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah).

Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikan dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum.Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi.

Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibarat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini.

Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.

Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uigur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama ISLAM, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat seperti cacing kepanasan.

Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu Murtad (Lina Joey), berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi. Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrim ini.

Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan. Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntung sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan.

Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.

DDisiarkan: Utusan Malaysia, 26 Julai 2009


Berikutnya:

BILA KACANG LUPAKAN KULIT

(Mingguan Malaysia 2 Ogos 2009)

Saya dikecam hebat, apabila salah satu laman blog menyiarkan semula artikel saya minggu lalu dalam Mingguan Malaysia, bertajuk ‘Nasib Melayu di Bumi Melayu’. Saya dituduhkan sebagai penulis upahan UMNO, lupa asal usul diri, lebih Melayu daripada Melayu, Cina tidak sedar diri, rasis dan berbagai kecaman dilemparkan oleh golongan ultra kiasu ini. Saya mengucapkan terima kasih atas yang respon yang telah disampaikan. Saya tidak berhasrat untuk memberikan respon, kerana saya malas melayan idea-idea picisan yang menyerang peribadi dan tidak langsung menampakkan bahawa mereka ini seorang yang profesional. Orang sebegini tidak selayaknya untuk dilayan, biarlah mereka terjun dengan labu-labunya.

Lagipun saya tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak, artikel yang saya tulis dalam bahasa Melayu, atau mungkin juga mereka lebih memahami bahasa Inggeris atau bahasa ibunda, daripada memahami bahasa kebangsaan itu sendiri sehingga mereka tidak faham apa yang saya maksudkan. Begitu juga dengan akhbar Cina, China Press dan Nanyang Siang Pau berniat jahat dengan secara sengaja memaparkan sebahagian kecil artikel saya berkaitan Beng Hock, mengenai anak luar nikah yang dikandung oleh teman wanitanya.

Sedangkan simpati dan pembelaan saya terhadap mendiang tidak disiarkan langsung. Ini menunjukkan betapa rasisnya akhbar Cina. Saya dituntut oleh keluarga mendiang untuk meminta maaf. Terus terang, saya tidak perlu meminta maaf kerana saya berkata yang benar. Bersekedudukan sebelum nikah adalah haram di sisi agama apa sekalipun. Kenapa agama Islam sahaja yang dipersoalkan, adakah agama lain menghalalkan perbuatan sedemikian. Sebelum memeluk Islam, saya dahulunya pernah menganut agama Buddha dan Kristian.

Kedua-dua agama ini mengharamkan sama sekali bersekedudukan sebelum nikah. Persoalan sama ada mereka yang melakukan perbuatan sedemikian akan bertanggungjawab atau tidak, itu tidak berbangkit. Apakah kita mahu menghalalkan perkara ini sehingga menjadi budaya masyarakat kita? Apakah kita mahu ia turut berlaku kepada anak atau adik-beradik kita?

Justeru, bila saya menulis, saya selalu meletakkan diri saya sebagai rakyat Malaysia atau bangsa Malaysia, bukannya orang Cina. Ini bertujuan supaya pandangan saya tidak berat sebelah atau bias. Jika orang Islam melakukan kesalahan saya akan tegur, begitu juga yang lain. Adakah kerana hanya saya berbangsa Cina, maka saya patut selindungkan sesuatu keburukan yang berlaku pada bangsa saya? Sudah tentu tidak kerana saya perlu berkata benar. Jika orang Cina baik, saya akan puji sebab itu kenyataan.

Begitulah sebaliknya, jika ada kelemahan, kita terpaksa terima walaupun pahit. Pada saya, hujah yang dikemukakan mesti dibalas dengan hujah berasaskan fakta dan ilmu, bukan menyerangkan peribadi. Untuk makluman semua, saya mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang politik dan kerajaan. Tajuk tesis saya berkaitan dengan ‘persepsi orang Cina terhadap gerakan politik UMNO’.

Hujah yang saya lontar itu adalah datang daripada dapatan sebahagian kecil kajian yang dibuat terhadap politik silang budaya kedua kaum ini secara kuantitatif dan kualitatif. Apakah saya tidak layak untuk memperjelaskan isu ini? Apakah yang berkokok itu pernah membuat kajian atau sekadar emosi yang menghantui diri sehingga tidak sedar diri?Itupun nasib baik saya tidak rekod-rekod yang buruk sebelum ini seperti ahli politik dan penulis yang lain. Jika tidak, semua peribadi buruk akan diungkit dan digunakan sebagai senjata untuk mengecam saya.

Inilah budaya perkauman dan budaya ‘pandir’ yang telah dicanangkan sejak sekian lama, terutama apabila kerajaan gagal mendidik mereka memahami sejarah sehingga menjadi manusia yang tidak mengenang budi ini. Malah mereka menjadi semakin ultra kiasu dan tidak mahu menerima hakikat yang sebenar. Saya hanya cuba mengatakan yang benar. Saya tidak mendapat satu sen daripada UMNO apabila artikel tersebut disiarkan. Begitu jua saya tidak mendapat satu sen pun wang zakat setelah 24 tahun memeluk Islam.

Saya tidak ada banglo mewah, kereta mewah dan lain-lain kemewahan. Saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang ada, hidup sebagai rakyat biasa. Malangnya, bila ada komen saya menyebelahi kerajaan/UMNO saya akan dituduh bermacam-macam. Bila idea saya menyebelahi pembangkang, saya akan dipuji melambung. Saya bukanlah dalam kategori yang mudah lupa diri bila dipuji. Saya sentiasa memuhasabah diri apabila dikeji. Sifat ini perlu ada pada semua manusia. Saya menulis atas kebenaran.

Saya adalah kalangan orang Cina yang celik sejarah dan celik perlembagaan. Saya tahu asal usul saya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang saya tulis sama ada di dunia mahupun di akhirat. Saya tidak fikir tulisan sedemikian rupa akan menyebabkan Allah SWT mencampakkan saya ke dalam neraka, berbanding mereka yang selalu mengumpat dan menyerang peribadi orang tidak sudah-sudah. Saya menulis apa yang benar, apa yang salah. Saya tidak menuding jari terhadap siapa yang benar atau siapa yang salah.

Saya tidak ada masalah untuk bersemuka dengan sesiapa sahaja untuk berhujah secara ilmiah dan akademik, bukan berasaskan sentimen, politik sempit dan jumud. Janganlah jadi pengecut, melepaskan geram yang menampakkan kebodohan diri sendiri. Janganlah terlampau ultra kiasu kepada kaum sendiri. Tindakan ekstrem tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua pihak. Malah akan mengusutkan lagi sesuatu yang telah kusut.Terus terang saya katakan, setelah membanding Malaysia dengan negara-negara lain di dunia, ternyata Malaysia adalah sebuah lain dari yang lain.

Amat unik dan toleransinya amat tinggi, terutama kalangan orang Melayu. Selaku rakyat berbangsa Cina, saya amat berasa bertuah hidup di bumi bertuah ini. Orang Cina (juga India) bernasib baik kerana kerajaan Malaysia sejak sebelum dan selepas merdeka, tidak banyak berusaha sama sekali mengasimilasikan mereka walaupun kerajaan berhak melakukannya terhadap mereka yang berhijrah. Mereka adalah seperti orang Cina seadanya seperti mereka di negeri China. Bersekolah, berbudaya, bertutur dan semua cara hidup berasaskan keCinaan (atau keIndiaan). Mana ada negara di dunia seperti ini? Berbanding dengan negara lain, seperti Thailand dan Indonesia serta lain-lain negara dunia, mereka yang berhijrah mesti diasimilasikan dahulu sebelum menjadi warga negara di sana.

Kita lihat di Thailand, pada tahun 1930an semua identiti kaum Cina dihapuskan termasuk meroboh semua sekolah Cina. Hari ini, orang Cina di Thailand sudah tidak seperti orang Cina. Mereka telah diasimilasikan menjadi orang Thai (Siam). Tidak ada beza antara orang Thai dan orang Cina. Cina yang sudah tidak ada semangat Cina. Malah mereka tidak ada keinginan langsung untuk pergi ke negeri China. Begitu juga di Indonesia. Banyak lagi contoh lain yang boleh saya ketengahkan.

Ini yang menjadikan saya sedar diri dan bersyukur.Berbeza dengan di Malaysia, sudahlah namanya bertukar daripada Tanah Melayu kepada Malaysia, keadaan masih tidak banyak berubah. Orang Cina tetap dengan kecinaannya. Lebih menyedihkan ada di kalangan mereka (ramai) tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Mereka langsung tidak mahu diasimilasikan. Mereka tidak mahu ambil tahu langsung tentang adat budaya Melayu. Malah, mereka malu berbahasa Melayu sebab mereka memandang rendah pada orang Melayu. Istilah-istilah yang digunakan terhadap orang Melayupun istilah-istilah menghina yang tidak perlu saya tulis di sini, kerana sebagai orang Cina saya tahu apa yang berlaku.

Justeru, dapatan kajian saya tidak mengejut, orang Cina akan berjuang habis-habisan sebarang percubaan untuk mengasimilasikan mereka dan percubaan untuk menyeragamkan sistem pendidikan kepada satu sekolah. Pendek kata, hidup mati orang Cina adalah dengan sekolah Cina dan semangat keCinaan mereka.Saya merasa bersyukur kerana dilahirkan di kampung Melayu, tetapi dibesarkan dalam keluarga yang begitu kuat berpegang kepada tradisi Cina. Alhamdulillah, saya dapat memahami orang Melayu dengan lebih mendalam melalui pergaulan. Begitu juga dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Saya tahu sensitiviti orang Melayu dan cara hidup Melayu.

Latar belakang sebegini, tidak semestinya menjadikan saya orang Melayu, kerana saya adalah orang Cina yang dijadikan Allah SWT, darahnya tetap darah Cina. Jika saya ditakdir lahir di kawasan orang Cina, saya fikir saya tidak banyak berubah, sebab saya celik sejarah, celik perlembagaan serta sedar diri. Pokoknya, kita mesti sedar diri dan memahami sejarah negara.Sejarah Malaysia adalah berakarkan kepada sejarah Melayu. Malaysia tidak boleh dipisahkan dengan bangsa Melayu. Sejarah inilah yang tidak dapat dipisahkan juga dengan istilah ketuanan Islam dan ketuanan Melayu. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu.

Tetapi jika istilah ini digunakan untuk menunjukkan bahawa penduduk Melayu adalah pribumi asal, pada saya ia tidak salah sepertimana yang pernah ditegaskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Ketuanan Melayu bukanlah merujuk kepada hubungan antara ‘tuan’ dan ‘hamba’. Saya tidak fikir istilah ketuanan Melayu akan digunakan jika sekiranya nama Malaysia kekal seperti nama asalnya dahulu iaitu Tanah Melayu. Nama Malaysia tidak menampakkan identiti Melayu. Dengan sebab itu, istilah ketuanan Melayu digunakan. Justeru, tidak salah penggunaan istilah ini jika dengan maksud dan tujuan yang baik dan bukan menghina bangsa lain.

Pada hemat saya, jika istilah ketuanan Melayu hanya digunakan untuk merujuk kepada sejarah Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan raja-raja Melayu dan hak-hak istimewa Melayu dan Islam yang termaktub dalam perlembagaan dan sebagainya berkaitan dengan Melayu, saya fikir itu tidak salah. Identiti ini sekadar hendak menunjukkan bahawa inilah keadaan Malaysia yang sebenar, sebelum dan selepas merdeka. Apa yang penting perlaksanaan dasar mesti tidak mendiskriminasikan semua kaum yang ada di negara ini. Jika ada pun diskriminasi atau ketidakadilan yang berlaku, yang patut dipersalahkan mereka yang melaksanakan dasar, bukannya menolak sesuatu dasar yang telah dipersetujui bersama.

Adakah saya rasis apabila memperkatakan perkara ini? Saya masih teringat apabila Teresa Kok dilantik menjadi exco kerajaan negeri Selangor, perkara pertama yang beliau ucapkan adalah idea untuk mewujudkan sebuah bandar Cina di mana di situ ada kawasan perindustrian Cina dan institusi pengajian Cina untuk menarik pelabur-pelabur daripada negara China. Adakah idea ini tidak rasis? Adakah saya yang membangkitkan isu ini rasis? Bila saya membela Cina tidak rasis, bila mana saya membela Melayu dan Islam, saya dituduh rasis.

Jangan jadi gajah di depan mata tak nampak, kuman di seberang laut nampak begitu jelas. Bila isu menyebelahi Cina atau India, kita senyap. Bila isu menyebelahi Melayu, bagaikan nak runtuh satu Malaysia? Adakah politik sebegini tidak rasis? Saya harap kita jangan bertindak seperti kacang lupakan kulit.Tolak ansur yang berjalan selama ini tidak ada tolok bandingnya. Saya masih tidak lupa, ketika segelintir pertubuhan Cina mahu mendirikan tugu Tentera Rakyat Malaya Anti-Jepun atau Malayan People’s Anti- Japanese Army (MPAJA) di Taman Peringatan Nilai, sebagai memperingati pejuang-pejuang Cina yang gugur menentang Jepun ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu 1942-1945.

Tugu tersebut telah didirikan atas alasan memperingati mereka yang telah terkorban mempertahankan kemerdekaan Tanah Melayu. Fakta ini salah dan menyeleweng. Ketika tugu ini sedang didirikan, beberapa pertubuhan Melayu dan juga bukan Melayu yang memahami sejarah (lihat artikel saya dalam Utusan Malaysia 26.12.2006), mahukan fakta sejarah tersebut diperbetulkan dan tugu tersebut tidak dibina. Mereka bukan pejuang kemerdekaan tetapi mereka bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun.

Ini disebabkan oleh sejarah politik/perang/permusuhan antara Jepun-China pada tahun 1894, 1895 dan 1937. Jepun dan China saling berperang dan berdendam antara satu sama lain. Penentangan Cina terhadap Jepun dan penganiayaan Jepun terhadap orang Cina, lebih kepada isu membalas dendam bukannya perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu. MPAJA adalah alat PKM. Justeru, kita lihat apabila Jepun meninggalkan Tanah Melayu, PKM mempunyai cita-cita tinggi untuk memerintah Tanah Melayu.

Pada masa sama sebelum itu, MPAJA diperalatkan British untuk menentang Jepun. Dalam hal ini, tidak timbul langsung isu MPAJA memperjuangkan kemerdekaan tanah air. Jikapun benar, kenapa MPAJA tidak menentang Malayan Union yang diperkenalkan British selepas Jepun menyerah kalah? Malangnya, hari ini tugu MPAJA telah berdiri megah di Taman Peringatan Nilai, dan menjadi pusat penyembahan. Apakah saya membangkitkan isu ini bermakna saya rasis. Adakah yang membina tugu itu tidak rasis?

Adakah kewujudan bandar Cina atau China Town di setiap bandar itu tidak rasis. Pernahkah kita dengar ada Malay Town di negara bertuah ini. Atau terdapatkah universiti kepunyaan UMNO di negara ini? Tetapi kita ada Kolej/Universiti Tunku Abdul Rahman (MCA), Universiti Terbuka Wawasan (Gerakan), Kolej New Era (Dong Jiao Zong), Asian Institute of Medical Science and Technology (AIMST-MIC) dan bermacam-macam lagi institusi berasaskan kaum. Adakah ia tidak rasis? Siapakah sebenarnya yang rasis? Cuba kaji berapa banyak peruntukan yang diberi oleh kerajaan terhadap universiti kepunyaan MCA, Gerakan dan MIC ini? Ini tidak termasuk nama-nama jalan yang ingin diubah kepada nama individu tertentu dan menggunakan nama jalan pelbagai bahasa atas alasan agar pelancong dapat tahu nama-nama jalan tersebut. Perlukah kita mengajar pelancong ini dengan bahasa mereka sendiri.

Bukankah pelancong datang ke sini untuk memahami budaya dan bahasa rasmi di sini. Bukankah kita ada satu bahasa iaitu bahasa kebangsaan yang boleh difahami oleh semua kaum, yang perlu didaulatkan. Adakah ini tidak rasis? Ke manakah kita nak bawa negara Malaysia? Apakah akar Melayu perlu dibuang langsung. Pada hemat, apapun yang berlaku kita perlu menghormati orang Melayu selaku penduduk asal di negara ini dari segi sejarah. Manakala orang Melayu juga perlu menghormati orang bukan Melayu.

Pendek kata, kita perlu saling hormat-menghormati perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama, walaupun ia nampak lebih menyebelahi orang Melayu. Tetapi hak kita sebagai bukan Melayu tidak diabaikan.Saya bangkitkan isu kuil dan rumah ibadat kerana itulah hakikat yang sebenar. Saya tidak fikir semua rumah ibadat dibina sendiri, menggunakan wang sendiri mereka. Kebanyakan rumah ibadat kaum-kaum lain dibina di atas tanah kerajaan. Bukan Melayu tidak boleh membandingkan agama mereka dengan Islam, kerana terdapat peruntukan istimewa kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Perkara ini telah dipersetujui secara bersama ketika perlembagaan digubal. Justeru, keistimewaan agama Islam perlu dihormati. Sudah pasti dalam hal ini hak bukan Islam tidak terabai kerana Islam menghormati hak agama-agama lain. Begitu juga dengan DEB. Ia tidak boleh dilihat dari perspektif negatif semata-mata. Berapa ramai orang bukan Melayu mendapat habuan daripada kejayaan orang Melayu dalam DEB? Sila baca buku yang ditulis oleh Tan Teong Jin, Ho Wah Foon dan Tan Joo Lan dalam bukunya the Chinese Malaysian Contribution. Mereka melihat bagaimana orang Cina mendapat habuan apabila orang Melayu turut berjaya. Jika orang Melayu berjaya melalui DEB, sebahagian besar pengeluar adalah orang Cina. Ini bermakna, bila orang Melayu berjaya, orang Cina dapat percikan dan kejayaan sama. Adakah kejayaan Cina disebabkan usaha mereka semata-mata. Jawabannya tidak, banyak faktor yang menyumbang seperti dasar-dasar kerajaan, kejayaan DEB dan sebagainya.

Janganlah anggap apa yang kita ada hari ini semata-mata kerana usaha kita sendiri tanpa melihat bagaimana kejayaan itu dicapai.Dengan sebab itu, sebelum kenyataan dihamburkan, mereka mesti mengetahui asal-usul sejarah Malaysia terlebih dahulu. Bagaimana Tanah Melayu bertukar menjadi Malaysia. Bagaimana identiti sesebuah negara tercabut disebabkan oleh tolak ansur meraikan semua pihak. Sedangkan kita tahu bahawa Tanah Melayu, boleh terus kekalkan menjadi nama Tanah Melayu. Begitu juga di Singapura, boleh terus kekal menjadi salah sebuah negara Melayu di kepulauan Melayu. Kenapakah sebuah negara Melayu boleh terlepas menjadi negara Cina di kepulauan Melayu.

Pernahkah kita terfikir betapa beruntungnya nasib kita berada di sini. Kita perlu ingat, bermasyarakat majmuk bukan berlaku secara semulajadi. Tidak ada satu negara di dunia bermula dengan masyarakat majmuk. Semua negara bermula dengan satu bangsa. Nama bangsa tersebut, biasanya akan menjadi nama sesebuah negara itu. Misalnya, Melayu – Tanah Melayu, Cina – China, India – India, Siam – Siam (Thai), Vietnam – Vietnam, Arab – negara-negara Arab, barat – negara-negara kulit putih dan sebagainya. Kemajmukan sesebuah negara berlaku disebabkan oleh penghijrahan.

Justeru, kaji sejarah ini. Kenapa ia boleh berlaku sedemikian rupa? Setelah dikaji, bandingkan, siapakah atau negara manakah yang lebih bernasib baik? Orang Melayu tidak ada lagi tempat dituju melainkan di negara-negara kepulauan mereka sendiri. Sedangkan orang lain mungkin ada tempat yang hendak dituju. Bandingkan juga dengan Singapura. Sebuah negara Melayu yang telah jatuh kepada orang majoriti Cina. Adakah nasib Melayu terbela? Adakah kerajaan Singapura mempercayai orang Melayu?

Berapa ramai orang Melayu dilantik menjadi menteri dan jawatan-jawatan tinggi dalam tentera, polis, imigresen dan lain-lain? Kerajaan Singapura lebih mempercayai orang India yang majoritinya lebih kecil daripada Melayu? Orang Melayu merempat di bumi sendiri. Adakah kita mahu ia berlaku di Malaysia? Dalam isu Beng Hock, saya sudah terus terang mengatakan bahawa kematian beliau perlu dibela. Cuma, saya timbulkan janganlah kita mengeluarkan pandangan-pandangan yang boleh mengguris hati orang lain.

Orang Melayu tidak hanya ada dalam PKR dan PAS sahaja, Melayu juga dalam UMNO, parti-parti lain dan ada yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Adakah kerana kita berada dalam Pakatan, bermakna kita hanya perlu menjaga hati bukan Melayu dalam PR sahaja. Bagaimana dengan yang lain? Saya mengaitkan isu Beng Hock dengan agama, kerana kita adalah masyarakat yang beragama. Mana ada satupun agama yang membenarkan hubungan seks sebelum berkahwin. Jika adalah orang Islam yang terlibat dalam seks bebas sebelum berkahwin, itu adalah salah individu. Jangan pula agama disalahkan. Agama itu terlalu suci.

Kalau tidak faham agama sendiri, belajarlah, jangan jadi jahil. Bila saya bercakap seumpama ini saya dituduh tali barut UMNO. Apakah UMNO terlalu buruk? Apakah UMNO tidak ada jasa langsung terhadap orang Cina atau Melayu yang lain? Adakah kejayaan orang Cina ini hari berlaku dengan secara semulajadi? Apakah UMNO itu terlalu buruk sehingga kepentingan kaum lain dinafikan sama sekali? Memang tidak dinafikan bahawa UMNO ada kelemahan, kerana UMNO itu ditadbirkan oleh manusia. Jika ada penyelewengan dan korupsi dalam UMNO, itu adalah segelintir individu, masih ramai orang UMNO yang baik-baik yang masih boleh dijadikan kawan dan didakwahkan.

Adakah kita terlampau baik sehingga tidak boleh ditegur? Janganlah seperti kacang lupakan kulit.

Berikutnya:

BAHAYA MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Mingguan Malaysia 09.08.09

Sekali lagi artikel saya dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Shin Chew, Nanyang Siang Pau dan beberapa laman web pembangkang. Kali ini mereka mengambil beberapa bahagian tertentu dengan ada tujuan yang tersembunyi dengan menyiarkannya di muka hadapan sebagai berita utama (Nanyang Siang Pau). Beberapa isu dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan.

Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya yang akan diputarbelitkan. Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya jawab tidak. Saya sudahpun jawab dalam artikel minggu lepas. Saya tidak pasti mereka faham atau tidak tulisan saya dalam bahasa Melayu. Tulisan dan idea ini datang dari hati naluri seorang rakyat berbangsa Cina kerdil, yang amat ingin melihat umat Islam sedar, di manakah kedudukan kita sebenarnya.

Malangnya, hanya kerana artikel saya diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, marahnya begitu meluap-luap sehingga emosi menguasai diri. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamirkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri. Mereka bertanya lagi, adakah saya perlu meminta maaf kepada keluarga mendiang, saya kata tidak perlu, sama sekali tidak.

Jika mereka faham betul-betul bahasa Melayu, saya tidak nampak satu pun para artikel saya berniat jahat kepada keluarga mendiang, kecuali niat jahat sebenar akhbar Cina, DAP dan laman web tersebut yang sengaja memutar-belitkan isu ini menjadi perkauman untuk mencari simpati dan publisiti murahan. Siapakah yang sepatutnya meminta maaf, saya atau akhbar dan laman web rasis ini?Saya dituduh tidak pandai menulis artikel oleh akhbar Nanyang Siang Pau. Justeru, saya pohon kepada editor Nanyang Siang Pau, sila beri tunjuk ajar.

Saya juga mahu tahu betapa pandai akhbar-akhbar Cina ini menulis berita dan artikel dalam menjaga kepentingan semua kaum. Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu).

Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi. Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Mereka begitu pandai berpolitik.

Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin, mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin besar kepala seperti kaduk naik junjung.Saya rela menjadi tidak popular di kalangan masyarakat saya sendiri, tetapi bangunlah wahai umatku, jangan lagi kita dipermainkan oleh mereka yang licik ini. Lain di luar, lain di dalam. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik.

Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan.Kepada para pembaca, nilaikanlah idea yang dilontarkan. Jangan hanya kerana artikel ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia, kita sudah tidak nampak yang benar, yang mana salah. Saya bukan penulis upahan UMNO atau Mingguan Malaysia. Saya hanya mengatakan yang benar dan tidak ada niat langsung untuk melukakan mana-mana pihak yang hidup mahupun yang telah pergi. Saya bertanggungjawab sepenuhnya apa yang ditulis.

Saya cuma mengingatkan kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan kes ini menjadi ‘precedent’, yang akan menghalalkan segala perlakuan sumbang selepas ini?Sedarkah kita berapa ramai anak luar nikah yang telah lahir daripada hubungan yang tidak sah ini? Apakah kita mahukan ia menjadi budaya hidup kita. Apakah tujuan perkahwinan sebenarnya? Apa tujuan ada akta dan undang-undang undang-undang keluarga, perkahwinan, nikah cerai dan sebagainya diwujudkan? Jika perbuatan sumbang ini hendak dihalalkan maka tidak perlulah ada semua undang-undang dan akta ini? Apakah ini bukan rule of law?

Saya dituduh kerana cuba memasukkan unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya, adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga tidak perlu disahkan.

Sila rujuk undang-undang Jabatan Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran dan kematian 1975.Untuk mengetahui lebih lanjut isu yang dikatakan sensitif ini dan juga rule of law, sila rujuk http://www.malaysianbar.org.my/marriage.html.

Bagi mendapatkan makna anak sah taraf dan anak tidak sah taraf, rujuk Undang-undang negara dalam Akta 60, Legitimacy Act 1961, juga akta Jabatan Pendaftaran Negara, http://www.jpn.gov.my/BI/4_2_kelahiran.php.

Lihat juga, http://www.thefreedictionary.com/illegitimate+child.

Baca juga Non-Muslim Family Law dalam, http://www.reunite.org/edit/files/Islamic%20Resource/Malaysia%20text.pdf.

Manakala dari segi hak-hak penjagaan anak-anak tidak sah taraf ini pula, sila rujuk http://www.johorebar.org.my/CustodyGuardianship.html.

Adakah ini bukan rule of Law. Saya hanya memberikan beberapa pandangan agama yang menjadi rule of law, maka saya akan dituduh kolot dan ekstremis.Kes yang sama berlaku di Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis. Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam, dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai ekstremis atau pelampau.

Manakala tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan majoriti umat Islam, di halang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor.

Saya masih ingat amanat Tunku Abdul Rahman mengenai pandangannya terhadap Bandaraya Shah Alam. Tunku pernah berpesan agar Shah Alam mesti bebas daripada arak dan kelab malam. Jika orang lain mahu melakukan perbuatan haram ini, mereka boleh pergi ke Kuala Lumpur, minumlah arak dan kunjungilah kelab malam sehingga tidak sedar diri kerana mungkin agama mereka membenarkan.

Jika ditakdirkan Buddha dan Nabi Isa hidup hingga ke hari ini, rasa fikir tindakan manusia pelampau DAP sebegini akan dicela dan dikutuk. Sejak memenangi banyak kerusi dalam PRU 12, DAP ternyata semakin biadab dan kurang ajar kerana turut campurtangan dalam hal-ehwal agama Islam yang menjadi agama persekutuan. Apakah hak parti politik ekstremis ini untuk campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam?

Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah Negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?

Tindakan DAP ini teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis? Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari, perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif, malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama Islam.

Persoalannya, adakah mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif? Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu.

Bila isu berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap tidak penting. Justeru, saya minta parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan cara.

ISA amat relevan untuk orang seperti ini. DAP cuba menarik perhatian orang Cina untuk menghalalkan arak yang secara terangkan diharamkan oleh Buddha, yang kini telah menjadi budaya hidup mereka, sama seperti hubungan seks luar nikah. Manakala PAS tetap dengan pendirian mengharamkan arak sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. PKR belum lagi membuat keputusan kerana cuba memenangi hati kedua belah pihak untuk mengekalkan kedudukan.

Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu. Sebarang percubaan untuk mengIslamkan atau meMelayukan identiti negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah pernah berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk menegakkan Negara Islam. Saya amat berharap PAS mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini.

Lebih baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak. Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan Islam. Sekarang terbukti, kerjasama seperti tidur sebantal, mimpi lain-lain. Lebih malang lagi, mimpi mereka saling bercakaran dan berprasangka.

Saya ingin bertanya sekali lagi kepada DAP dan orang Cina keseluruhannya, agama apa yang menghalalkan arak? Apa yang saya belajar daripada tidak Islam dahulunya, sampai memeluk agama Islam, tidak ada satu agamapun yang mengatakan arak itu dibenarkan. Bagaimana matlamat boleh menghalalkan. DAP perlu diingatkan bahawa mereka tidak akan menang banyak kerusi dalam PRU 12 baru-baru ini, tanpa sokongan orang Melayu.

Justeru, jangan seperti kaduk naik junjung. Pernahkah sekali kita mendengar DAP meminta maaf apabila mereka menyinggung perasaan orang lain disebabkan oleh keceluparan dan kebiadaban mereka? Sudah tentu tidak.

Tetapi apabila tiba giliran orang lain seperti saya, maka melalaklah mereka meminta kita umat Islam meminta maaf. Begitu juga pendirian parti politik Cina yang lain seperti MCA dan Gerakan.DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan.

Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama. Tambahan pula, kematian manusia tidak mengenal usia. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, bila-bila masa, tidak kira tua atau muda. Cuma kita diminta bersedia untuk mati.

Tujuannya, tidak lain agar bila kita pergi nanti, kita telah membuat segala persediaan secukup, termasuk terhadap mereka yang kita tinggalkan agar tidak menderita. Justeru, kita perlu melakukan yang terbaik sepanjang waktu dan ketika.Kita selalu berhujah untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya, apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita bertanggungjawab selepas itu.

Persoalan saya, bagaimana jika selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa?Sudah tentu wanita. Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa terbela.Saya mempunyai beberapa kenalan Cina dan Melayu yang telah terlanjur melakukan seks bebas, kemudian ditinggalkan oleh teman lelakinya. Apa akan terjadi dengan anak luar nikah yang dikandung?

Akan bersambung....

1 comment:

Anonymous said...

a case of a chinese trying to be more melayu than the melayu.
hahaha....

no matter how, Ridhuan Tee, you are still not bumiputera.

you are a disgrace to your family!!!