Friday, September 26, 2008

Pak Lah berundur Mac 2009

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mungkin menyerahkan pentadbiran negara kepada timbalannya, Datuk Seri najib Razak pada Mac tahun depan iaitu 15 bulan lebih awal daripada tarikh peralihan kuasa pada Jun 2010 seperti dirancangkan sebelum ini.

Ketika sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno semalam, Abdullah ada membayangkan bahawa pelan peralihan kuasa yang diumumkannya Julai lalu mungkin berubah dan beliau juga akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya sebelum mesyuarat perwakilan bahagian bermula 9 Oktober ini.

“Bertanding atau tidak, (itu) keputusan saya. Anda boleh terus meneka tetapi keputusan muktamadnya milik saya.” katanya pada sidang media ringkas sejurus selepas selesai mempengerusikan mesyuarat itu yang berlangsung kira-kira sejam di Menara Datuk Onn, di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum mesyuarat khas itu, Abdullah mengadakan perbincangan empat mata dengan timbalannya, Datuk Seri Najib Razak selama kira-kira 20 minit.


Mengikut pelan peralihan kuasa itu, Abdullah dan Najib masing-masing akan mempertahankan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti yang dijadual diadakan sempena perhimpunan agung Disember ini.

Bagaimanapun, Mesyuarat khas MT hari ini memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung dan pemilihan parti itu kepada Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa lebih awal.

Mesyuarat itu juga memutuskan supaya mesyuarat Bahagian Umno diteruskan mengikut jadual mulai 9 Oktober hingga 9 November ini. Pemilihan Umno sudah ditangguhkan 12 bulan sejak September 2007 bagi membolehkan parti membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum pada 8 Mac lalu.

No comments: