Thursday, October 9, 2008

Najib tawar diri (transkrip kenyataan)

Transkrip penuh kenyataan Datuk Seri Najib Razak

Sebagaimana yang kita sedia maklum kelmarin Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, telah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung pada Mac tahun depan.

Saya berpendapat keputusan YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ini sebagai satu pendirian yang mencerminkan keikhlasan beliau dengan meletakkan kepentingan parti, rakyat dan negara melebihi segala-galanya.

Saya ingin merakamkan setinggi perghargaan dan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Abdullah di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaan saya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan Alhamdullillah kita bersyukur kerana keputusan ini juga adalah selaras dengan tradisi Umno.

Ini akan membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara tertib, berhemah dan lancar. Beginilah amalan cara dan tradisi Umno yang selama ini telah menentukan kestabilan dan kemakmuran negara.

Sehubungan dengan keputusan YAB Perdana Menteri itu, saya dengan rasa rendah diri dan penuh rasa tenggungjawab ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno. Insya-Allah dengan adanya sokongan daripada akar umbi dan perwakilan parti, saya berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan Umno dengan pembaharuan yang disebutkan YAB presiden dalam sidang akhbarnya kelmarin.

Saya percaya bahawa pengumunan ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli Umno berganding bahu untuk memantapkan lagi parti.

Dengan perkembangan ini juga saya berharap kepada kepercayaan dan keyakinan rakyat dari kalangan semua kaum, termasuk pemimpin dan ahli parti, pegawai dan kakitangan kerajaan, anggota pasukan keselamatan, ahli badan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, ahli korporat, segenap lapisan masyarakat, baik golongan lama mahu pun generasi baru di seluruh Semananjung serta Sabah dan Sarawak supaya Barisan Nasional dapat diperkukuhkan.

Sesungguhnya, tugas sebagai pemimpin adalah satu amanah dan tanggungjawab yang dianugerah Allah SWT. Insya-Allah saya akan melaksanakannya dengan cara yang terbaik. Semoga Allah SW memberi pertolongan dan memberkati kita semua.

No comments: