Thursday, April 9, 2009

Kenyataan KJ mengenai menteri Kabinet

Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri, dan barisan jemaah menteri yang dilantik oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Di samping itu, saya berterima kasih di atas pengiktirafan yang diberi kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dengan perlantikan YB Dato' Razali Ibrahim, selaku Naib saya, sebagai Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan. Saya percaya barisan jemaah menteri ini mampu membantu YAB Perdana Menteri dalam usaha beliau membawa perubahan berdasarkan pendekatan 1 Malaysia, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Saya telah dipanggil dan dimaklumkan oleh YAB Perdana Menteri semalam bahawa beliau mahu saya menumpukan perhatian mengukuhkan Pemuda UMNO. Berdasarkan kepada kemerosotan sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional, kami berdua sepakat dan bersetuju bahawa tanggung jawab dan gerak kerja memenangi pengundi muda adalah satu komitmen sepenuh masa yang menuntut gandingan tenaga dan dedikasi untuk kerja-kerja parti tanpa sebarang tanggung jawab dalam pentadbiran kerajaan.

Kepada YAB Dato’ Seri Najib, saya ucapkan terima kasih di atas amanah yang diberi dan berikrar untuk memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan beliau dan saya juga berjanji untuk bekerja keras untuk memperkasa dan mengukuhkan Pemuda UMNO.

Kepada ahli-ahli pergerakan Pemuda UMNO, terimalah pengumuman ini dengan hati yang terbuka dan terimalah juga cabaran yang diberi kepada kita untuk memenangi dan mengembalikan sokongan pengundi muda dengan penuh iltizam dan kesungguhan.

Kita semua hendaklah menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan permasalahan mereka dengan berkesan dan menyeluruh.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

1 comment:

BRO JINGGO said...

Salam Ziarah

Khairy menyeru semua ahli pemuda memberikan sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri

Satu pertemuan dan majlis ringkas minum pagi telah diadakan pagi tadi di mana YB Khairy Jamaluddin telah menjemput penyokong beliau dan juga Exco Pemuda UMNO Malaysia untuk bersama beliau bagi bertukar pendapat dan mendengar pandangan dari ahli-ahli Pemuda. Dalam ucapan ringkas YB Khairy telah menjelaskan kedudukan sebenar dan menyeru agar semua penyokong beliau untuk menerima keputusan Kabinet dan membantu beliau untuk melaksanakan kerja parti yang telah di amanahkan oleh Perdana Menteri. Beliau juga menyeru agar ahli UMNO tidak melabelkan diri mereka sebagai orang-orang pemimpin pemuda tertentu dan perlu membuang anggapan berkenaan kerana semuanya adalah Pemuda UMNO . Mereka mesti bersatu dengan semangat setiakawan sebagai Pemuda UMNO dibawah satu payung.

YB KJ juga menyeru agar semua ahli Pemuda UMNO untuk memberikan sokongan padu kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia kerana beliau juga selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan terus setia dan memberikan sokongan yang padu kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah membantu dan menyokong beliau semasa pemilihan dahulu dan baliau benar-benar berharap semua penyokong beliau jangan merasa kecewa… Meminjam kata-kata Ali Rustam , Dunia Belum Kiamat, Esok Masih Ada.

Beliau juga mengucapkan Syabas kepada dua pemimpin pemuda yang telah dipilih sebagai Timbalan Menteri dan beliau amat berbangga kerana pemuda diwakili oleh dua orang Timbalan Menteri. Beliau berkata , beliau sebenarnya tidak meletakkan harapan untuk menjawat jawatan dalam kerajaan ketika bertanding untuk merebut kerusi Ketua pemuda UMNO dan kerana itu beliau tidak merasa kecewa apabila dipanggil oleh Perdana Menteri sehari sebelum penamaan senarai kabinet.

Pemuda akan menjadi sebuah pertubuhan yang tidak terikat dan bebas untuk menyuarakan apa juga permasalahan yang diperjuangkan kerana beliau tidak terikat didalam kerajaan dan beliau berharap Pemuda akan menjadi sebuah sayap yang digeruni oleh kawan dan lawan seperti di zaman Datuk Harun Idris dahulu. Untuk mencapai matlamat ini pemuda perlu bersatu dan memupukan semangat setiakawan. Beliau juga berharap agar semua yang hadir untuk menyampaikan apa yang telah beliau nyatakan dan berharap semua ahli Pemuda memahami akan pendirian beliau .

Salam Setiakawan

BJ