(III)
Umno tidak hipokrit dalam membentuk pakatan yang bersifat kekal dalam BN, dan dilakukan tanpa mengorbankan agenda Melayu dan Islam yang berpandukan perlembagaan Malaysia. Umno tidak korbankan prinsip alif, ba dan ta tetapi merealisasikan hakikat sebenar tabii masyarakat Malaysia dan berfikiran ke depan dengan mewujudkan kestabilan politik.
Pakatan yang cuba dilakukan oleh Pas boleh dikirakan sebagai berbentuk sementara. Ini menimbulkan soalan bagaimana kerajaan akan ditubuhkan nanti? Oleh iturancangan Pas mewujudkan pakatan berkenaan dapat dikirakan sebagai tidak realistik. Tambahan pula Pas hanya beroperasi di Semenanjung Malaysia dan tidak di Sabah dan Sarawak.
Banyak lagi soalan-soalan boleh dibangkitkan, misalnya apakah bentuk negara Islam yang hendak diwujudkan oleh Pas. Apakah bentuk dan jenis sistem serta perjalanan kerajaan yang hendak didirikan? Sedangkan bekalan air di Kelantan tidak diuruskan seperti dinyatakan oleh Dr Mahathir dalam ucapannya.
Dalam pada itu jika Pas mendapat kemenangan nanti, jika sekadar mahu melanjutkan bentuk kerajaan yang ada sekarang, jadi apa perbezaannya? Kesannya, Pas bukan alternatif, tapi mahukan kuasa daripada Umno, dasar yang direalisasikan oleh kerajaan dalam bentuk kegiatan ekonomi khususnya. Bagi orang Melayu, Umno adalah untuk mengembalikan maruah Melayu/Bumiputera sebagai bangsa yang pernah dijajah untuk dimartabatkan kembali.
Mempertingkatkan taraf hidup Melayu bukanlah sebagai sesuatu yang berbentuk perkauman YANG MENINDAKKAN HAK-HAK WARGANEGARA YANG BUKAN Melayu dan bukan Islam.
Maruah bangsa adalah tanggungjawab Umno seperti ucapan Dr Mahathir berperanan sebagai mengembalikan keyakinan orang Melayu agar tidak tertekan dari segi psikologi. Memulihkan perasaan tertekan di kalangan Melayu, yang dianggap majoriti dalam bilangan penduduk Malaysia adalah pendekatan yang realistik dalam menangani politik berbilang kaum.
Perkara-perkara lain yang dibangkit oleh ucapannya juga adalah mengenai penyingkiran bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebenarnya inilah kejutan yang dikatakan beliau. Mungkin banyak pihak akan menganggap sebagai satu perkara yang dijangka, tetapi biasanya hal-hal begini dibangkitkan semasa pergolongan perbahasan di penghujung sesi sekiranya ianya dibangkitkan dalam sesi pertanyaan. Tetapi mengapa isu ini disebut dalam ucapan pembukaan? Jarang-jarang beliau laku demikian, jika dibandingkan dengan ucapan-ucapan yang lalu.
Dari satu aspek, mungkin ia adalah jawapan kepada berbagai-bagai tuduhan, sebelum timbulnya konspirasi politik. Kedua sebagai membersihkan tindakan Dr Mahathir, sekiranya beliau dicap sebagai tidak adil. Oleh itu, tindakan menyatakan kedudukan Anwar secara terbuka adalah tindakan berani.
Selain itu ia juga mungkin sebagai penjelasan kepada mereka yang masih ragu-ragu mengenainya, sekali gus menjawab tuduhan Pas yang kononnya mahu membela Anwar Ibrahim dan pada masa yang sama cuba meraih populariti sokongan dalam pilihan raya akan datang. Dan yang paling penting isu penyingkiran menjadi isu keselamatan negara, lebih dari isu peribadi yang menyebabkan ia disebut dalam ucapan Perdana.
Akhir sekali ucapan Dr Mahathir menyebut mengenai tugas kerajaan sebagai menjawab pertanyaan parti-parti lawan dan keraguan di kalangan pengundi betapa pentingnya institusi kerajaan dalam mengurus dan mentadbir negara.
Malah harus dibezakan antara politik pilihan raya dan selepas pilihan raya. Perkara yang penting dalam mewujudkan kestabilan politik ialah adanya kerajaan kukuh yang boleh mentadbir dan menentukan keadilan kepada masyarakat. Tambahan pula Umno mempunyai rekod terbukti mengepalai BN untuk diberi mandat dan mempunyai ketahanan bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
Oleh itu ucapan Dr Mahathir pada keseluruhannya sebagai ingatan kepada ahli-ahli Umno dan semua pihak, politik yang diterajui Umno bersedia untuk menghadapi kemaraan penjajahan baru yang berbentuk kapitalisme. Rentetan sejarah perlu dijadikan iktibar. Kita adalah sebahagian dari produksejarah, sementara generasi muda sebagai masa depan.
Oleh itu jangan prasangka kepada Umno tetapi sebaliknya turut berbangga dengan penubuhan politik Melayu ini. Bayangkan jika kita dijajah semula, dan ini adalah realiti politik semasa yang akan memasuki abad ke-21 pada tahun hadapan. Batu perbatuan politik abad 21 bermula dari sekarang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment