Saturday, June 21, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 36 - Akuan sumpah Raja Petra)

Seorang rakan editor kanan MSM menghantar mesej SMS memberitahu bahawa penulis blog dan portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin membuat akuan bersumpah di hadapan Pesuruhjaya Sumpah di Kuala Lumpur 18 Jun lalu.
Dalam akuan bersumpahnya itu yang disiarkan dalam laman blog Bigdogdotcom, Raja Petra atau lebih dikenali sebagai RPK mendakwa ketika pembunuhan model Mongolia iaitu Altantuya, terdapat tiga orang lagi di tempat kejadian sebagai saksi.
Mereka ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, seorang pegawai tinggi tentera berpangkat Lt Kolonel dan isteri beliau.
Ada beberapa lagi tuduhan yang disiarkan dalam laman blog bigdogdotcom itu.
"Jika benarlah surat sumpah itu dibuat oleh RPK, maka ini adalah sesuatu yang mengemparkan," kata editor kanan berkenaan. Maklumlah, sebagai antara orang yang sudah berkecimpung dalam dunia penulisan yang membuat bermacam-macam liputan berita daripada jenayah hingga politik, sosial, ketenteraan dan sukan, editorialblog mempunyai ramai sumber untuk memberi berita eksklusif. Memang ada maklumat yang diperolehi berkaitan bermacam hal yang diterima, tetapi sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap negara ada kalanya maklumat itu tidak boleh disiarkan. Sensitif. Bukannya untuk melindungi orang tertentu.
Namun, maklumat yang diperolehi oleh RPK - jika benar - adalah sesuatu yang memeranjatkan kerana di kalangan para editor kanan MSM juga tidak mempunyai maklumat sedemikian.
Apapun, dakwaan dalam surat sumpah itu terlalu berat. Saya menyemak dalam laman blog bigdogdotcom dan Malaysiakini. Memang ada berita mengenai surat sumpah RPK itu. Saya juga membaca komen yang dihantar oleh pembaca dalam laman blog bigdogdotcom mengenai perkara itu.
Rata-rata yang memberi komen menganggap ia suatu pembohongan dan ada juga menyatakan bahawa jika benar dakwaan itu, ia adalah suatu dakwaan yang amat berat.
Kita tahu RPK sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab untuk menyampaikan segala maklumat yang diperolehinya. Tidak seperti MSM yang terpaksa menyekat berita-berita yang dianggap 'sensitif'. Itu terpulanglah kepada pendirian masing-masing. Kita juga menghormati pendirian RPK jika benar surat sumpah yang dibuat itu. Hak beliau sebagai rakyat Malaysia. Serangan beliau terhadap TPM Datuk Seri Najib Razak dan Rosmah sudah diketahui sebelum ini hingga Najib dan Rosmah terpaksa membuat penafian.
Namun, RPK terus mengasak sehingga beliau ditahan polis baru-baru ini atas tuduhan menghasut.
Di kalangan para editor kanan MSM juga mengetahui dan mempunyai banyak maklumat mengenai ahli politik kita tidak kira dari parti pemerintah atau pembangkang. Namun, maklumat itu para editor MSM tapis dahulu dengan sumber-sumber lain.
Namun, adakah surat sumpah RPK itu suatu mainan politik untuk memburuk-burukkan individu tertentu?
Adakah pendedahan itu akan melambatkan peralihan kuasa daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Dato Najib?
Di kalangan para editor MSM sudah heboh mengenai surat sumpah RPK itu tetapi masing-masing menganggap ini adalah satu lagi permainan politik dalam dunia orang politik di Malaysia. Banyak cara dilakukan untuk menjatuhkan seseorang pemimpin.
Apa yang pasti, di kalangan para editor MSM berpendapat perkembangan politik negara yang berlaku sekarang semakin teruk buat BN dan Umno.
Rata-rata mereka berpendapat Pak Lah perlu turun segera dari tampuk pemerintahan dan menyerahkannya kepada orang yang sepatutnya. Siapa?
Adakah Umno sudah ketandusan pemimpin yang berani dan tegas? Dalam dunia politik Malaysia sekarang cara berlembut sudah tidak boleh diamalkan lagi kerana semakin diberi semakin banyak yang mereka kehendaki.

Apapun apa yang diharap ialah kita jangan menjadikan akuan sumpah yang belum pasti benar itu sebagai bahan untuk menyebarkan FITNAH.

No comments: