Wednesday, January 21, 2009

Ketua Umno ditahan kerana rasuah

Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Perak, Azman Noh, berumur 41 tahun ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak kerana disyaki terlibat dengan rasuah ketika pemilihan Umno bahagian itu tahun lalu.

Azman ditangkap selepas beliau memberi keterangan di pejabat suruhanjaya itu di Ipoh kelmarin dan kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen, esok.

Beliau dijangka menghadapi tuduhan memberi rasuah sebanyak RM300 kepada ahli Umno sebagai dorongan untuk mengundi beliau yang merebut jawatan itu, pada mesyuarat bahagian berkenaan Oktober tahun lalu.

Sementara itu, anggota SPRM di Pahang turut menahan seorang guru penolong kanan sebuah sekolah rendah kerana disyaki menjadi ejen calon ketua Umno bahagian di negeri berkenaan, hari ini.

Guru lelaki berusia 40-an itu ditahan di sekolahnya di Raub petang tadi sebelum dibawa ke pejabat cawangan suruhanjaya berkenaan.

Guru itu juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur kerana dipercayai memberi rasuah RM200 kepada seorang ahli umno sebagai dorongan bagi mengundi calon ketua Umno bahagian pada pemilihan bahagian dua bulan lalu.

Manakala, di Melaka pula seorang ketua cawangan Umno di bahagian Alor Gajah ditahan di rumahnya di Durian Tunggal, semalam, kerana disyaki menjadi ejen memberi rasuah ketika pemilihan jawatan ketua Umno bahagian, November lalu.

Ketua cawangan berusia 47 tahun itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin selepas keterangannya diambil pegawai SPRM. Dia akan didakwa Mahkamah Sesyen Melaka, Ayer Keroh, esok.

No comments: