Monday, April 27, 2009

Melayu dan sifat dengki

Kepada sahabatku Saudara Rashid Yusof...

Apabila ada di kalangan kita yang tidak terkenal tiba-tiba menjadi popular dan berjaya, maka tidak dapat tidak orang akan berkata dia berpengaruh dan mereka yang ada pengaruh ini biasanya akan dikaitkan pula dengan orang kuat dalam politik atau pemimpin kerajaan.

Bagi yang tidak menjadi popular, maka sesetengahnya sengaja menimbulkan rasa marah orang ramai dengan membuat bermacam-macam cerita kerana adat resam dunia inilah salah satu cara paling mudah untuk mengutuk orang yang berjaya itu, dan cerita yang disebarkan itu akan ada tokok tambahnya sehingga cerita itu menjadi semakin buruk dan banyak versi apabila semakin tersebar.

Tuduhan berterusan bahawa orang tertentu mudah mendapat akses kerana ada hubungan istimewa dengan pemimpin tertentu memang susah hendak dielakkan walaupun pelbagai penafian dibuat. Kalau kita nak percaya dan ikut sangat semua tuduhan macam ini, sampai bila-bila pun Melayu tidak akan berjaya.

Dalam senario politik. Dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat diberi kebebasan untuk menjadi pemimpin melalui sistem pilihan raya yang diwujudkan. Begitu juga dalam setiap parti politik. Lantas, sudah pasti ada pertandingan berlaku. Masing-masing berusaha untuk mencapai kemenangan. Pada peringkat ini perasaan hasad dengki akan wujud jika tidak dikawal.

Satu pihak akan berasa dengki sekiranya satu pihak yang lain mencapai kemenangan. Akhirnya pelbagai taktik kotor dibuat untuk menjatuhkan satu sama lain, termasuk fitnah menfitnah, rasuah dan ada yang sampai peringkat lebih dahsyat daripada itu seperti pembunuhan dan seumpamanya. Sekiranya penyakit ini tidak dibendung, ia akan membawa kepada hasad dengki dan dendam yang tidak berkesudahan. Sudah tentulah jika keadaan ini wujud, ia akan merugikan semua pihak.

Sebenarnya mereka yang membuat bermacam-macam dakwaan itu tidak terfikir bahawa apa pun yang berlaku, yang penting orang Melayu harus diutamakan. Dan sebenarnya, golongan ini mudah terpengaruh dengan jolokan perasaan iri hati dan benci kepada orang yang mendapat lebih daripada mereka. Sayangnya mereka ini sendiri pun tidak dapat mengemukakan cadangan atau memberi nama calon yang sesuai, sebaliknya hanya pandai menimbulkan perasaan was-was di kalangan orang ramai.

Dan, inilah yang dikatakan hasat dengki sesama Melayu. Melayu lemah kerana masing-masing tidak boleh melihat ada Melayu yang lebih baik daripada mereka. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa: "Si pendengki itu tiada memperolehi sesuatu daripada masyarakat melainkan kecelaan dan kehinaan. Ia tidak memperolehi sesuatu daripada malaikat, melainkan laknat dan kebencian. Ia tiada memperolehi sesuatu daripada manusia melainkan kehampaan serta penyesalan dan akhirnya ia tiada memperolehi sesuatu di akhirat, melainkan rasa malu dan penyeksaan."

Kata pantun lama:


Anak raja memikul kayu,
Kayu dipikul buat titian,
Satu saja salah bangsaku,
Sama sendiri berdengki-dengkian.

Kata Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani:

"Mengapa kamu dengki kepada orang lain, wahai insan? Dengkikah kamu kepada apa yang telah diberikan Allah kepadanya? Apa yang ada padanya itu adalah sebenarnya kurniaan Allah jua. Oleh itu, kenapa dengki? Jika kamu dengkikan dia kerana bimbangkan bahagian kamu, maka kamu adalah jahil kerana apa yang telah diberikan kepada kamu, tidak akan lesap ke tangan orang lain."

Pada hakikatnya dengki ialah rasa kurang senang seseorang terhadap kelebihan yang dinikmati oleh orang lain. Seseorang yang jiwanya dikuasai sifat ini, sanggup berusaha untuk memusnahkan, kemewahan, kebahagiaan yang dinikmati oleh saudara mara, sahabat ataupun jiran.

Sejarah bangsa Melayu banyak membuktikan hasad dengki sesama sendiri sentiasa berputik. Dalam sejarah Islam juga membuktikan bahawa hasad dengki dan iri hati itu membawa kepada kejadian pembunuhan pertama dalam peradaban manusia.

Dalam teks Sejarah Melayu memaparkan perjanjian di antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Perjanjian itu untuk mengelakkan permusuhan serta zalim-menzalimi antara pihak istana dengan rakyat keseluruhannya.

Bagaimanapun perjanjian itu tidak dituruti hingga membawa kemusnahan kepada kerajaan dan kerugian terhadap rakyat. Bermacam-macam peristiwa digambarkan dengan jelas mengenai kezaliman, hasad dengki, dendam dan fitnah oleh golongan tertentu yang membawa kerugian rakyat dan kerajaan.

Golongan yang berasa iri hati di atas kerajaan, kebolehan, dan kepintaran orang lain telah berusaha memfitnahkan agar mereka disanjungi oleh raja kerana kepintarannya, menerima hukuman bunuh atau sesuatu tindakan.

Inilah Melayu bangsaku...

Dalam, 'Peristiwa todak menyerang Singapura', Sejarah Melayu menyebut:
Banyaklah sudah mati orang kita dibunuhnya. Paduka Seri Maharaja kemudiannya telah menitahkan supaya rakyat berkubukan betis bagi mengelak serangan tersebut. Tindakan Paduka Seri Maharaja telah membawa korban kepada rakyat. Tindakan dan cadangan Paduka Seri Maharaja itu tidak dipersetujui oleh seorang budak yang kemudian mencadangkan rakyat berkubukan batang pisang. Kemudian banyak todak dapat dibunuh. TETAPI, kepintaran budak itu menimbulkan rasa iri hati dan cemburu di kalangan pembesar istana. Pembesar mengajukan kepada Seri Paduka Raja agar budak itu dibunuh sebagaimana disebuh: `Tuanku, budak ini terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi banyak akalnya. Baiklah ia kita bunuh'. Pandangan pembesar diterima oleh Paduka Seri Maharaja. Budak yang dianggap pintar telah menerima nasib malang. Secara tidak langsung peristiwa itu menggambarkan wujudnya perasaan iri hati dan cemburu terhadap kepintaran dan kebolehan orang lain.


Sejarah Melayu juga menceritakan bagaimana iri hati, dengki dan fitnah menyebabkan puteri
Sang Rajuna Tapa menerusi cerita 'Penyulaan anak Sang Rajuna Tapa' dibunuh. Kononnya ketika pemerintahan Raja Iskandar Syah anak Sang Rajuna Tapa ini seorang gadis yang cantik dan sangat dikasihi oleh baginda. Ini menyebabkan gundik-gundik lain iri hati dan memfitnah
bahawa gadis itu berbuat jahat, menyebabkan raja murka dan memerintahkan gadis itu disula di hujung pasar. Tidakan itu menyebabkan Sang Rajuna Tapa marah dan berpaling tadah dengan membantu bala tentera Betara Majapahit menyerang Singapura.

Begitu juga dalam 'Hikayat Hang Tuah' yang kononnya difitnah oleh pembesar lain berbuat jahat dengan seorang dayang istana. Hanya kerana Hang Tuah setia kepada raja. Raja tanpa usul periksa menitahkan Seri Nara Diraja membunuh Hang Tuah.

Banyak lagi kisah-kisah Melayu yang berhasat dengki ini boleh kita perolehi sejak dulu hingga lah beberapa hari lalu. Antara lain anda boleh membaca cerita Si Kitul, Raja mendeliar, Nina Sura Dewana dan Tun Ali. Bacalah juga kisah mengenai Rampasan Kuasa Raja Pasai. Selain beberapa kisah dalam laman-laman blog internat.

Kebanyakan cerita ini mengisahkan bagaimana Melayu hidup dengan hasat dan dengki serta iri hati kepada kebolehan serta kejayaan seseorang. Gambaran terhadap unsur-unsur fitnah dan hasad dengki begitu ketara digambarkan dalam Sejarah Melayu. Golongan yang menimbulkan fitnah sengaja berbuat demikian untuk mencapai sesuatu matlamat. Di samping itu gambaran fitnah dan hasad dengki tersebut turut digambarkan secara tidak langsung yang mungkin berkait dengan rasa cemburu dan egoistik.

Hasad dengki satu sifat keji yang bahaya kepada diri dan masyarakat. la bermakna diri tidak senang apabila orang lain mendapat nikmat dan mengharapkan nikmat itu luput. Akibat daripada hasat dengki ialah:

* Diri yang dikuasai oleh perasaan itu akan menderita hidupnya. Dia panjang angan-angan mencari jalan bagaimana kebaikan yang ada pada diri orang yang didengkinya itu akan dihilangkan dan dipindahkan kepada dirinya. Dalam mencari helah itu dia tidak dapat tidur dengan nyenyak, kurang selera makan dan hatinya sentiasa gelisah sehingga nikmat yang ada terlucut daripadanya.

* Orang yang hasad itu dimurkai Allah kerana dia tidak redha dengan ketentuan Allah terhadap diri seseorang. Dia memprotes Tuhan kerana memberikan nikmat dan kesenangan kepada orang lain, tidak kepada dirinya.

* Kerana sikapnya yang buruk itu, Allah menghapuskan pahala kebajikan yang pernah dilakukannya. Ini dapat difahami menerusi hadis Rasulullah SAW., maksudnya: "Hasad itu memakan pahala amal-amal kebajikan sebagaimana api memakan kayu yang kering."

* Apabila seorang pemimpin mempunyai perasaan hasad dengki kepada pemimpin lain, ini akan menyebabkan perpecahan dan timbul komplot yang akibatnya akan melemahkan kekuatan umah.

Hasad dengki itu sebenarnya berpunca daripada kelemahan manusia, iaitu sifat tidak mahu kurang daripada orang lain.

Jika rasa itu masih pada peringkat iri hati, dapat juga dibendung, tidak sampai disuarakan atau dilahirkan dalam tindakan. Sebaliknya, jika sudah membesar menjadi hasad dengki, sukar dikawal. Akhirnya padah menimpa, bukan saja orang yang didengki dan orang yang dengki, tetapi seluruh bangsa.

Bagi mangsa yang menjadi sasaran pendengki ini disarankan supaya bertenang dan teruskan saja usaha-usaha murni serta kehidupan. Hendaklah lebih bersopan santun selain berwaspada supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap dipasang oleh pendengki. Jangan pula dibalas, kecuali untuk mempertahankan diri daripada binasa.

Jika hendak balas pun perbuatan pendengki itu biarlah mengikut perpatah dan pesan orang tua-tua: "Ular dipukul biar mati, kayu pemukul jangan patah, tanah dipukul jangan lekuk."

Bangsa Melayu mesti mengetepikan perkara remeh temeh supaya kerajaan dapat melaksanakan dasarnya dengan berkesan, bukan bersikap negatif dan tidak mahu melihat bangsa dan negara terus maju.

Kepada mereka yang selalu bersifat pendengki seperti ini, elok diberi peringatan bahawa ideologi pendengki yang mereka bawa itu akan memusnahkan bangsa Melayu.


p/s: Rupa-rupanya sifat pendengki ini juga wujud dalam kaum-kaum lain, termasuk Cina.

3 comments:

Anonymous said...

NELAYU DAN SIFAT DENGKI

adakah tulisan tuan sebelum ini boleh dikaitan dgn tajuk di atas?


1. Terserlah sikap dendam Ayahanda kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun Abdullah) Ayahanda telah menghina , mengherdik , mengaibkan orang yang Ayahanda pilih sendiri. Tidak cukup dengan Tun Abdullah, seluruh keluarga beliau menjadi mangsa sehingga anak perempuan Tun yang tidak pernah bersalah dan tidak langsung mencampuri urusan politik dijadikan bahan untuk Ayahanda aibkan. Menantu Pak lah yang tidak pernah menjawab atau memberikan respons terhadap setiap penghinaan Ayahanda dijadikan 'punching bag ' . Mujur Anak pasangan ini yang masih kecil ini tidak dijadikan bahan kutukan. Rakyat hanya memerhatikan sahaja dan menyimpan apa yang mereka lihat dihati mereka.
2. Ayahanda sanggup bersekongkol................ Allah lebih berkuasa untuk menentukan segala Qada' dan Qadar.
3. Ayahanda terus tidak berpuas hati dan hampir setiap hari Ayahanda mengaibkan menantu Pak Lah. Saya tidak kenal dengan YB Khairy Jamaluddin , tetapi tiba-tiba perasaan simpati saya terhadap beliau kian tertanam dan saya jangka ini bukan berlaku hanya kepada saya tetapi mungkin benih simpati itu mula tumbuh dihati ramai rakyat Malaysia. Ayahanda perlu menerima hakikat bahawa Mukhriz Ayahanda sebenarnya a sore losser dan sebenarnya bukan merupakan calon yang popular kerana di cop sebagai masih menetek dan tidur dibawah ketiak Ayahanda. Benih yang baik akan menjadi pulau jika dicampakkan ke dalam laut. Tapi kalau benih itu tak baik , siramlah baja banyak mana pun tidak mungkin akan tumbuh .
4. Ayahanda sepatutnya berehat dan..........
5. Ayahanda mahukan perubahan, tetapi Ayahanda sendiri yang tidak berubah kerana ..............tewas dengan kesabaran Pak Lah.

editorialblog said...

Apa-apa pun boleh. Tepuk dada tanya selera. Apa yang berlaku kepada sesama Melayu usah kita kesali, kerana sejak dulu lagi Melayu memang berhasad dengki antara satu sama lain.

armorphism said...

Salaaam alaikum...ana pinjam artikel anta...great..