Sudah sebulan editorialblog tidak di'update'kan dan dalam tempoh masa itu paea editor agak sibuk dengan tugas masing-masing. Ada yang terpaksa ke luar negara mengikut menteri atau Perdana Menteri.
Yang terbaru ada juga yang terpaksa keluar pejabat. Seperti yang berlaku kepada Datuk Hishamuddin Aun (Ketua Pengarang Kumpulan NSTP) dan Datuk Kamarulzaman Zainal (Pengarah Berita dan Hal Ehwal SemasaMedia Prima).
Kedua-duanya terpaksa melepaskan jawatan masing-masing kerana sudah menjadi adat atau resmi dunia ada waktu naik ada waktu turun. Laut juga ada pasang dan surut. Bulan tidak terus mengambang sepanjang masa.
Namun, tahniah juga akhirnya kepada Datuk Ahmad A Talib yang kini sudah sah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima. Satu jawatan yang menuntut komitmen tinggi kerana operasi Media Prima merangkumi beberapa stesen TV dan akhbar termasuk kumpulan NSTP.
Pada peringkat awalnya, desas desus pelantikan Ahmad A Talib ini mendapat bermacam-macam pendapat daripada beberapa pihak, terutama blogger seperti rockybru dan Pasquale.
Editorialblog juga pernah mengupas isu pelantikan Ahmad A Talib dalam laporan di sini.
Laporan berita:
PETALING JAYA - Media Prima Bhd (Media Prima) dan The New Straits TimesPress (M) Bhd (NSTP) mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Talib sebagai Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima yang baru serta Pengarah Eksekutif Editorial NSTP, berkuat kuasa serta-merta.
Serentak itu, beliau turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Media Prima dan NSTP berkuat kuasa 1 Julai 2009. Media Prima dan NSTP dalam satu kenyataan bersama semalam berkata, pelantikan itu adalah sebahagian daripada perubahan menyeluruh dalam operasi editorial di Media Prima dan NSTP.
Perubahan itu turut menyaksikan pelantikan Pengurus Besar NSTP e-Media, Zainul Ariffin Mohammed Isa sebagai Pengarang Urusan Kumpulan NSTP yang baru dan pelantikan Pengurus Besar Berita dan Hal-Ehwal Semasa TV3, Shaharudin Abd Latif sebagai Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Hal-Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen dan Radio Media Prima.
"Zainul Ariffin dan Shaharudin akan melapor kepada Ahmad Talib yang akan mengawal keseluruhan operasi berita dan editorial bagi Media Prima dan NSTP," demikian mengikut kenyataan itu.
Ahmad Talib memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan sebagaiwartawan di bahagian Perkhidmatan Ekonomi Bernama pada 1972 sebelum menyertai Business Times (Malaysia) Sdn Bhd (BT) pada 1978. Pada 1985, beliau berpindah ke Berita Harian Sdn Bhd sebagai Pengarang Ekonomi sebelum dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarang.
Pada 1987,Ahmad Talib menyertai NSTP sebagai Pengarang Berita New Straits Times (NST) dan New Sunday Times. Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pengarang Berita NST; Pemangku Pengarang BT; Pengarang Bersekutu NST dan Timbalan Pengarang Kumpulan NST sebelum dilantik sebagai Pengarang Kumpulan NST pada 1998.
Selepas berkhidmat selama enam tahun dalam pelbagai jawatan, Ahmad kemudian dilantik sebagai Pengurus Besar Kumpulan, Komunikasi dan Pemasaran Editorial pada 2004, sebelum beliau memilih untuk bersara awal pada 2005.
Sementara itu, Zainul Ariffin menyertai NSTP pada 1986 dan pernah memegang pelbagai jawatan dalam kumpulan, antaranya Pengarang Ekonomi NST; wakil biro di New York; Pengarang BT dan Pengurus Besar, Perkhidmatan Sokongan Editorial.
Dengan pelantikan baru itu, NSTP dan Media Prima turut mengumumkan persaraan Datuk Hishamuddin Aun sebagai Ketua Pengarang Kumpulan NSTP dan Datuk Kamarulzaman Zainal sebagai Pengarah Berita dan Hal Ehwal Semasa Media Prima.
Kini, sudah sah Ahmad Talib dan Zainul Ariffin mengetuai kumpulan NSTP. Harapan editorialblog ialah akan berlaku perubahan penting dalam kumpulan akhbar terbesar negara supaya kegemilangannya dapat dikembalikan.
Harapan juga diletakkan supaya akhbar NST, Berita Harian dan Harian Metro akan terus mengungguli dunia persuratkhabaran negara walaupun terpaksa bersaing dengan media alternatif lain, terutama blog dan laman web.
Editorialblog yakin Ahmad Talib dan Zainul mampu melakukan perubahan itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment