Thursday, March 12, 2009

Dua kertas siasatan ke atas Azalina

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka dua kertas siasatan terhadap Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung dakwaan rasuah politik dan menyalahgunakan dana kementerian untuk tujuan politik.

Difahamkan, salah satu daripada kertas siasatan berkaitan penemuan kira-kira RM70,000 dalam kereta setiausaha politik Azalina, dipercayai untuk diagihkan kepada perwakilan Umno Wilayah Persekutuan pada Perhimpunan Agung Umno 24 hingga 28 Mac ini.

Penemuan wang tunai itu berikutan serbuan pegawai penyiasat ke atas kereta setiausaha politik beliau di sebuah restoran di ibu negara malam Rabu lalu. Kertas siasatan membabitkan penemuan wang tunai itu sedang siap dan ia akan diserahkan kepada Lembaga Disiplin Umno untuk tindakan susulan.

Kertas siasatan kedua pula dikatakan mempunyai bugungan dengan siasatan penyalahgunaan wang kerajaan bagi menganjurkan satu majlis atas nama kementeriannya tetapi sebaliknya dihadiri oleh para pemimpin Umno peringkat bahagian dan cawangan.

Siasatan lanjut masih dijalankan dan SPRM dijangka memanggil Azalina untuk memberi keterangan berhubung kedua-dua kes berkenaan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata tiada lagi pegawai kanan akan ditahan berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam pengagihan projek Kementerian Pelancongan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azalina bersedia memberikan kerjasama kepada SPRM berhubung siasatan rasuah politik dan salah guna kuasa dalam kementerianitu.

"Saya bersedia dan saya akan memberi sepenuh kerjasama kepada SPRM jika dipanggil (untuk beri keterangan). Namun sehingga sekarang, saya masih belum mendapat panggilan daripada pihak berkenaan (SPRM). Saya juga tidak pasti samaada saya akan dipanggil atau tidak," katanya.

No comments: