Sunday, March 1, 2009

Cerita katak dan DUN Perak

Khabarnya,seorang pakar forensik yang sedang berjoging dengan dua anak lelakinya di Tasik Denai Alam, di Shah Alam, Selangor, pagi tadi terkejut apabila terjumpa beribu-ribu katak kecil di trek jogging di tepi tasek itu.

Katak itu dianggar bersaiz 0.8 sentimeter. Mungkin, katak paling kecil dalam dunia. Dan, katak pula dikaitkan dengan lompat. Apakah penemuan katak kecil di Shah Alam pagi tadi memberi isyarat kepada kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, bahawa ada penyokong, pemimpin Pakatan Rakyat akan melompat parti.

CERITA 2

Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri hari ini memberitahu bahawa tindakan Speaker, V Sivakumar, memanggil sidang tergempar adalah tidak sah dan tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak (PT) serta Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, yang juga undang-undang tertinggi di Perak.

Abdullah dalam kenyataan kepada media berkata walaupun Speaker boleh memanggil sidang tergempar berdasarkan PT 8(1), ia sebenarnya perlu dibaca bersama Perkara XXXVI(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak yang berkehendakkan perkenan Sultan Perak untuk memanggil apa-apa sidang DUN sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.

PT 10(1) memperuntukkan kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak dipertikaikan.

Perkara XXXVI(1) memperuntukkan `Duli Yang Maha Mulia hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan.'

Peruntukan itu adalah peruntukan Perlembagaan yang juga Undang-undang Tertinggi Negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil DUN adalah kuasa Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan.

Sebelum itu, Sivakumar telah mengarahkan Abdullah supaya mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar Selasa ini melalui surat beliau bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja, Chang Lih Kang dan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah.

PT 8(1) menyatakan notis bertulis tidak kurang 14 hari harus diberikan oleh beliau selaku Setiausaha DUN kepada setiap Adun sebelum diadakan mesyuarat penggal baru atau sebelum diadakan semula mesyuarat DUN. Syarat notis 14 hari itu hanya boleh dikecualikan dalam keadaan tergempar dan notis berkenaan dikeluarkan dengan seberapa segera yang boleh.

Abdullah berkata, dalam apa jua keadaan, beliau perlu menghantar notis bertulis itu beserta `warta pemasyhuran memanggil dewan' kepada setiap ahli DUN.

Pemasyhuran memanggil dewan dibuat oleh Sultan berdasarkan PT1 yang mengatakan `..maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat...'

PT 10(1) mengatakan ` Penggal Dewan hendaklah diadakan pada waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui pengisytiharan dalam Warta.

Abdullah berkata, berdasarkan PT 10(1), Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak memanggil DUN dan Perkara XXXVI(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak memberi kuasa yang jelas kepada Baginda untuk memanggil DUN bersidang.

Namun, Sivakumar tetap berkeras dengan mengatakan, Abdullah, tidak mempunyai kuasa untuk mentafsir Perintah-perintah Tetap DUN Perak (PT) sebaliknya tugas beliau hanya untuk
mematuhi perintah dan arahan daripada Speaker.

Sivakumar mendakwa hanya beliau yang diberi kuasa untuk mentafsir sebarang PT dan berdasarkan PT 89, sebarang tafsiran yang dibuatnya adalah muktamad.

Kata Sivakumar, kenyataan akhbar Setiausaha DUN menunjukkan tafsirannya ke atas PT adalah salah. Oleh itu, sidang DUN tergempar yang dirancang pada 3 Mac tetap akan diadakan dengan beliau sendiri menandatangani serta menghantar notis pemberitahuan kepada semua Ahli DUN sama ada menerusi faks atau dihantar oleh orang perseorangan.

Sivakumar tetap menegaskan bahawa mengikut PT 8, seseorang Speaker boleh memanggil persidangan tergempar dalam keadaan yang amat memerlukan dengan notis atau pemasyhuran memanggil DUN Perak oleh Sultan Perak, tidak diperlukan.

Kata Sivakumar, perkenan Sultan Perak tidak diperlukan untuk mengadakan sidang tergempar berkenaan kerana ia masih dalam sesi pertama sidang DUN yang ditangguhkan selepas diadakan pada November lalu dan bukannya membuka penggal baru sidang DUN.

"Saya tidak menafikan PT 10 yang memerlukan perkenan Sultan Perak untuk mengadakan sidang DUN tetapi ia hanya terpakai untuk sidang DUN penggal baru tetapi jika ia hanya ditangguhkan, Speaker mempunyai kuasa penuh untuk menetapkan tarikh dan masa mesyuarat yang akan diadakan sebagaimana tertera dalam PT 11," kata Sivakumar.

No comments: