Thursday, February 26, 2009

Kenyataan media Mukhriz

Untuk Siaran Segera - 26 Februari 2009
KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ MUKHRIZ MAHATHIR
AHLI PARLIMEN JERLUN
Saya mengecam sekeras-kerasnya keceluparan Pengerusi Kebangsaan DAP, YB Karpal Singh menggunakan kata-kata kesat terhadap Pergerakan Pemuda UMNO di Parlimen kelmarin.
Beliau bukan sahaja telah melanggar peruntukkan 36 (4) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang tidak membenarkan kata-kata kesat digunakan sewaktu perbahasan di dalam Dewan, malah ianya berunsur fitnah dan pembohongan apabila menuduh Pergerakan Pemuda UMNO sebagai membuat ancaman jenayah dengan menghantar dua butir peluru kepadanya.
Melanggari peruntukkan 36 (4) tersebut, YB Karpal Singh telah dengan sengaja cuba mengalih perhatian rakyat terhadap penderhakaan beliau kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak. Maka saya dengan tegasnya mendesak Pengerusi Kebangsaan DAP itu untuk mengakui Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan menyanjung Sistem Raja Berpelembagaan. Kegagalan berbuat demikian membuktikan bahawa YB Karpal Singh mengkhianati Rukunegara dan Perlembagaan Persekutuan. Justeru, saya menggesa pihak berkuasa agar segera menahan dan mendakwa YB Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 jika beliau terus enggan berganjak daripada sikap penderhakaan ini.
Pada masa yang sama, saya ingin berpesan kepada YB Karpal Singh agar jangan terlalu besar kepala sehingga tidak menghormati Raja-Raja Melayu kita. Kenyataannya bahawa "Singh is King" menunjukkan bahawa beliau sudah terlalu takbur sehingga menganggap dirinya seorang Raja mengatasi kedaulatan Raja-Raja Melayu yang sudah bertakhta sejak turun temurun.
Bak kata pepatah Melayu, “Telajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa;, keceluparan beliau adalah provokasi yang tidak diundang. YB Karpal Singh nyata tidak langsung menghormati mahupun mengendahkan tatasusila mesyuarat dan kesopanan Dewan Rakyat. Meskipun akhirnya YB Karpal Singh menarik balik kenyataan yang telah dibuat, saya menggesa beliau digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat untuk suatu tempoh yang dianggap wajar sebagai sempadan yang mesti diawasi oleh ahli-ahli Yang Berhormat di dalam Dewan Rakyat.
-SEKIAN-

No comments: