Friday, February 13, 2009

Sultan Selangor kecewa sikap penyokong Pakatan Rakyat

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini melahirkan kekesalan baginda terhadap gelagat biadap penyokong Pakatan Rakyat yang melakukan demonstrasi jalanan ketika angkat sumpah kerajaan baru di Perak, di Kuala kangsar, baru-baru ini.

Sambil menyatakan penyokong Pakatan Rakyat itu jahil terhadap undang-undang negeri dan Persekutuan, baginda juga kesal kerana penyokong parti berkenaan begitu taksub kepada pemimpin tertentu dan angkuh hingga melupakan kuasa yang ada pada Sultan Perak.

Titah baginda: “Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, barulah kita kenal siapa kaca, siapa permata. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak tertentu yang marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar."

Nasihat Sultan Selangor:

“Janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita serta mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan dan menghakis asas kedaulatan negara ini dengan sifat keji seperti biadap, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa."

Sultan Selangor menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Shah Alam, bertitah bahawa Sultan Azlan Shah adalah tokoh yang tinggi ilmu serta pengalaman perkhidmatan perundangan dan kehakiman serta pernah menjawat jawatan Ketua Hakim Negara.

“Baginda dan keluarga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka kepada kepentingan rakyat jelata, sehingga kebanyakan tindakan baginda bersandarkan pada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar dalam mana-mana isu yang bersabit,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat menggunakan pertimbangan akal fikiran yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan terutama kepada mereka yang berkali-kali mencabar hak, peranan serta kedudukan yang dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan termasuk peranan institusi Raja.

Baginda bertitah, setiap rakyat sepatutnya memantapkan perpaduan ketika dunia kini mengalami kegawatan ekonomi.

“Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan tetapi terlajak
perbuatan mungkin akan mengundang bencana,” titah baginda.

Nizar terus hasrat saman

Dalam perkembangan terbaru, Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak yang juga bekas Menteri Besar yang disingkirkan, Mohammad Nizar Jamaluddin mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah perisytiharan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar menuntut perintah perisytiharan bahawa Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, yang dilantik pada 6 Februari lalu, bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Beliau juga menuntut perintah injunksi menghalang Zambry atau ejen berkhidmat dengannya daripada menjalankan tugas sebagai menteri besar dan menuntut agar 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan serta diadakan semula pilihan raya negeri.


Terdahulu, Nizar yang kini sudah ditolak oleh penyokongnya sendiri di Perak, mula mengheret warga Kuala Lumpur untuk mengadakan perhimpunan apabila beliau menjadikan Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur, sebagai tempat untuk meraih simpati.

Sebagaimana, idolanya Anwar Ibrahim yang pernah menggunakan masjid untuk mendapat simpati, Nizar bersama penyokongnya berhimpun dan berucap selepas solat Jumaat hari ini di Masjid Kampung Baru.

No comments: