Monday, February 9, 2009

Satu meninggal, satu letak jawatan

Ahli Parlimen bukit Gantang dari Pas, Roslan Shaharum, meninggal dunia pagi ini dipercayai kerana serangan jantung. Roslan, 50, yang juga Pengerusi Yayasan Perak di bawah kerajaan Pakatan Rakyat, meninggalkan seorang isteri Sofiah Husein dan 10 anak yang berusia antara sembilan dan 23 tahun.

Lulusan ijazah sarjana muda Sains Politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia serta sarjana Sains Pembangunan dan Sumber Manusia dari Universiti Putra Malaysia, beliau pernah bertugas sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara serta Open University Malaysia.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada 6 petang ini di kampung Allahyarham di Changkat Larang, Lahat, dekat Batu Gajah.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tahun lalu, Roslan mengalahkan calon BN-Umno, Datuk Seri Azim Zabidi dengan majoriti 1,566 undi. Beliau memperoleh 20,015 undi, berbanding Azim (18,449 undi). Calon Bebas, M Muruganan mendapat 872 undi.

Parlimen Bukit gantang yang mempunyai 55,471 pengundi dengan Melayu berjumlah 63.57 peratus, Cina (27.14%), India (9.12%) dan lain-lain (0.16%), mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kuala Sapetang, Changkat Jering dan Trong.

DUN Kuala Sapetang mempunyai 19,699 pengundi dikuasai Tai Sing Ng dari PKR, Changkat Jering (24,864 pengundi) oleh Mohd Osman Mohd Jailu juga dari PKR (sebelum beliau mengisytiharkan diri sebagai Adun Bebas yang menyokong Barisan Nasional minggu lalu), manakala DUN Trong dikuasai Datuk Rosli Husin daripada BN-Umno.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan menunggu notis rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang berikutan kematian Roslan.

DALAM PERKEMBANGAN LAIN,

Ahli Exco Kerajaan Kedah daripada PKR, V Arumugam meletak jawatan Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India, hari ini.

Surat peletakan jawatan itu dikatakan telah dihantar kepada Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, dari Kuala Lumpur dengan alasan:

SULTAN KEDAH YANG MELANTIK BELIAU SEBAGAI EXCO.

Namun, Arumugam masih kekal sebagai Adun kawasan Bukit Selambau.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan peletakan jawatan itu, bagaimanapun memberitahu bahawa beliau gagal menghubungi Arumugam dan beliau juga tidak diberikan salinan surat peletakan jawatan itu.

MB berkata, Arumugam mengirim surat peletakan jawatan Exco kepada Sultan Kedah kerana baginda yang melantiknya.

Arumugam dipercayai melepaskan jawatan itu selepas beliau dikaitkan dengan beberapa isu, termasuk membawa 'isteri' kedua pada semua majlis rasmi kerajaan san sultan. Malah beberapa pertubuhan sudah menghantar memorandum kepada Sultan Kedah berkaitan isu itu. Sultan Kedah juga sudah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan terhadap kes berkenaan.

Klik di sini

p/s MB Kedah kata beliau gagal menghubungi Arumugam. Adakah ini satu lagi kes 'orang hilang' yang akan dijadikan isu pula oleh Pakatan Rakyat, kononnya wakil rakyat mereka disembunyikan oleh BN? Mereka sering membuat andaian yang bukan-bukan, tanpa melihat diri sendiri bahawa pakatan mereka sudah retak.

No comments: