Wednesday, March 25, 2009

Ucapan Ketua Pemuda Umno


PERHIMPUNAN ini adalah perhimpunan yang amat bermakna. Perhimpunan ini berlangsung dalam suasana kepemimpinan Melayu, kedudukan institusi bangsa Melayu, kesucian agama Islam dan Institusi Raja-Raja Melayu sedang dicabar. Perhimpunan ini juga berlangsung pada masa parti melakukan pemilihan barisan kepemimpinan di semua peringkat yang selanjutnya akan mencorakkan hala tuju dan arah haluan parti.

Proses pemilihan telah melalui perjalanan yang panjang bermula dari peringkat cawangan dan bahagian, membuktikan bahawa amalan demokrasi masih subur di dalam Umno. Pada masa sama, perhimpunan ini juga memberikan ruang kepada kita meneliti dan menghalusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-12, bagi kita merancang gerak kerja dan menyuntik semangat - bangun dengan dimensi, pendekatan dan tenaga baru untuk terus mengukuhkan Umno.

6. Ahli-ahli UMNO tidak perlu terlalu cepat bersifat pesimistik, sebaliknya kemelesetan sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya ke-12 harus kita jadikan pengajaran untuk melakukan bedah siasat yang disusuli dengan langkah pembaikan. Sebelum ini, UMNO juga pernah mengalami senario sedemikian pada tahun 1969 dan 1999. Dalam pilihan raya umum 1999, sebagai Pemangku Ketua Pemuda, saya sendiri telah melalui pengalaman pahit ini.

7. Sebelas tahun yang lalu, atas rasa tanggungjawab terhadap bangsa dan atas rasa kasih kepada UMNO yang telah diasaskan oleh nenda dan ayahanda saya bersama barisan pejuang seangkatan mereka, saya memberanikan diri mengambil kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO. Pada ketika itu sebahagian ahli-ahli parti ibarat berada di persimpangan, menghadapi dugaan untuk memilih; antara kesetiaan kepada parti atau kesetiaan kepada individu. Takdir dan penentuan ILAHI meletakkan tanggungjawab ini ke atas bahu saya untuk memimpin sayap penting kepada parti dalam keadaan diri saya sendiri masih serba kekurangan seperti yang saya ungkapkan melalui serangkap pantun Melayu dalam ucapan dasar yang saya sampaikan pada tahun 1999;

Anak kumbang terayap-rayap

Mari ditangkap anak Turki
Hendak terbang tidak bersayap
Hendak hinggap tidak berkaki

8. Beberapa pemimpin Pemuda telah membawa ahli-ahli keluar meninggalkan kita.
Ada yang berpendapat Pergerakan Pemuda sudah hilang tarikan, gagal menarik minat
generasi muda Melayu terutama di kalangan yang terpelajar. Ada yang menggembar
gemburkan bahawa Pemuda UMNO berada dalam keadaan retak menanti belah. Ramai yang
meramalkan bahawa Pemuda akan jatuh tersungkur. Namun kita tidak tunduk mengalah,
sebaliknya, walaupun dalam keadaan yang begitu sukar, kita bertekad dan berikrar
untuk tidak menyerah kalah. Dalam ucapan yang sama pada tahun 1999 saya suarakan
secara berpantun;

Sampan kotak mengapa dikayuh

Hendak belayar ke tanah seberang
Patah kepak bertongkatkan paruh
Pantang menyerah di tengah gelanggang

9. Ketika itu kita sedar bahawa sokongan politik yang bergantung semata-mata
pada usaha-usaha pembangunan fizikal telah berlalu. Rakyat perlu didampingi,
diperlihatkan dan diyakinkan bahawa kita sentiasa membela nasib mereka. Lantas
kita bingkas bangun mengumpul kekuatan dan menghimpun kebijaksanaan bagi
mempelopori dan menggagaskan apa yang kita ungkapkan sebagai Perjuangan Politik
Nilai dan Makna.

10. Perjuangan Politik Nilai dan Makna yang saya gagaskan ketika itu lahir
dari kesedaran akan tanggungjawab untuk membela rakyat. Lebih 60 tahun UMNO telah
berbakti kepada bangsa Melayu dan rakyat jelata. Malang sekali jasa dan budi UMNO
tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya kerana fikiran rakyat telah diracuni
dengan fitnah dan hasutan.

11. Menerusi gagasan Perjuangan Politik Nilai dan Makna, Pemuda telah berjaya
mendekati masyarakat di peringkat akar umbi. Pada waktu yang sama perhatian dan
minat generasi muda terhadap Pergerakan Pemuda telah berjaya dipulihkan. Kehadiran
Pemuda dapat dirasai di mana-mana. Paling penting, Pemuda telah kembali memenuhi
peranan menjadi mata, telinga dan juru bicara rakyat.

12. Selepas mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran, melalui pendekatan
yang teliti, tertib dan bijaksana akhirnya Pemuda kembali gagah dan perkasa, tegap
dan mantap, kukuh dan padu, kekal meneruskan wadah perjuangan bangsa dan umat
Melayu.

13. Alhamdulillah, keikhlasan dan kesungguhan Pemuda memperkukuh parti dan
mendekati rakyat telah mendapat perhatian pucuk pimpinan. Seramai 52 orang anggota
Pemuda UMNO telah diberi kepercayaan dipilih menjadi calon Pilihan Raya Umum
ke-11. Lebih menggembirakan, daripada 52 orang calon Pemuda, 48 orang telah
berjaya memenangi kerusi masing-masing.

14. Sepanjang tempoh sepuluh tahun ini, ramai pemimpin Pemuda telah diberikan
kepercayaan dan amanah untuk memegang jawatan penting dalam kerajaan, baik di
peringkat pusat mahupun negeri. Terbaharu, Y.A.B. Dato' Dr Zambry Abd Kadir telah
menjadi pilihan pimpinan parti untuk mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka
Seri Sultan Perak dilantik Menteri Besar Perak yang ke sebelas.

15. Dalam pemilihan kepimpinan parti kali ini, Pergerakan Pemuda UMNO sekali
lagi telah membuktikan bahawa kita tidak ketandusan pemimpin berbakat. Kita
bersyukur kerana Pemuda telah berjaya melahirkan ramai pemimpin pelapis.

Hari ini Y.B. Datuk Mukhriz Mahathir, Y.B. Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Y.B. Khairy
Jamaludin, Y.B. Dato' Razali Ibrahim dan Dato' Reezal Naina Merican, serta 64
orang lagi telah menawarkan diri untuk mengisi jawatan Ketua, Naib Ketua dan exco
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Adat bertanding, ada yang terpilih, ada yang
tidak. Apa pun keputusan perwakilan hari ini, mereka tetap aset UMNO yang kekal
berharga.

Saudara perwakilan sekalian,

16. Siapa pun yang terpilih, saya berdoa semoga mereka akan terus berjaya
menyalakan obor perjuangan untuk melanjutkan tradisi kegemilangan kita. Berasaskan
pengalaman yang saya alami, tanggungjawab sebagai seorang Ketua Pemuda penuh
dengan dugaan dan cabaran yang berat. Jika sewaktu mengambil alih dahulu cabaran
yang saya hadapi sudah begitu berat, saya percaya, Ketua Pemuda yang baru, akan
berdepan dengan cabaran yang jauh lebih hebat berbanding apa yang pernah saya
alami sebelum ini.

17. Berbanding dahulu, senario politik, ekonomi, sosial dan keselamatan dunia
hari ini jauh lebih mencabar. Dunia sedang berdepan dengan kemelut ekonomi yang
paling dahsyat sejak Perang Dunia Kedua. Ekonomi Dunia pada tahun 2009 diramalkan
menguncup, dengan jumlah perdagangan yang paling rendah dalam sejarah dunia.
Jutaan yang kehilangan kerja dan ramai lagi dijangka menganggur. Politik
antarabangsa juga tidak memberikan keyakinan akan berlakunya keadilan dan keamanan
sejagat. Sikap kuasa besar yang nyata berat sebelah dalam menangani krisis politik
di Asia Barat terutama dalam isu Palestin, Afghanistan, Iraq dan Iran telah
menjadi punca utama kepada ketidakstabilan politik dunia. Kezaliman demi kezaliman
terus berlaku. Serangan Israel ke atas Gaza adalah contoh tindakan tanpa
perikemanusiaan yang memperlihatkan berlakunya kezaliman dan kekejaman di
peringkat tertinggi. Dunia berterusan menghadapi ancaman terorisme yang
menambahkan keadaan tidak stabil serta menjejaskan urus tadbir dan pembangunan
ekonomi banyak negara.

18. Pada waktu yang sama, kerajaan kita tidak sepi daripada terus menghadapi
tohmahan, gangguan dan serangan anasir politik dalam negara. Negara kini mula
dilanda dengan politik jalanan tanpa tamadun. Parlimen sebagai dewan yang mulia
juga telah dicemarkan. Akhir-akhir ini kita menyaksikan usaha-usaha terancang dan
berterusan oleh pembangkang untuk meruntuhkan tiang-tiang seri negara yang
berperanan sebagai pendukung utama kedaulatan sebuah negara bangsa yang merdeka
lagi berdaulat.

19. Rakyat juga dihasut dengan kebencian terhadap anggota pasukan keselamatan.
Pasukan Polis dijadikan sasaran serangan. Nama baik Pasukan Polis dicalar dan
dicemarkan. Kesetiaan anggota Polis terhadap Raja dan Negara, pengorbanan mereka,
bertugas siang dan malam, dibakar panas matahari, dibasahi hujan untuk menjaga
ketenteraman awam dan keselamatan negara, melindungi harta benda dan
mempertahankan kedaulatan sebuah negara merdeka sudah tidak dihargai lagi. Sudah
ada pihak yang begitu angkuh, sombong dan bongkak secara berterusan mencabar dan
memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

20. Mereka begitu angkuh, sombong dan bongkak mempersoalkan kontrak sosial dan
mempertikai hak kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera. Kontrak sosial telah
sengaja disalah tafsir dan dijadikan tajuk untuk menyemarakkan api perkauman.
Mereka sengaja tidak mahu membicarakan kontrak sosial dari perspektif sejarah yang
tepat; bahawa ia telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum. Mereka sengaja
menyembunyikan hakikat bahawa selain menjamin hak dan kedudukan orang Melayu dan
kaum Bumiputera, salah satu komponen yang penting dalam kontrak sosial adalah
jaminan akan hak dan perlindungan bukan Melayu di dalam sebuah negara merdeka.

21. Ibarat cacing naik ke mata, sudah ada pihak yang begitu angkuh mencabar
dan memperolokkan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang negara.
Malah mereka begitu biadab menghina Institusi Raja-raja Melayu sehingga ke
peringkat berani mencabar status agama Islam. Tanpa mengira tempat, tanpa
menghiraukan akibat, mereka menabur fitnah, melempar tuduhan tidak berasas dan
menghina sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka.

22. Kepada mereka yang tidak bertanggungjawab ini, janganlah mengambil
kesempatan menonjol keberanian, bermulut celupar berselindung di sebalik kekebalan
Dewan Rakyat yang mulia untuk melontarkan tuduhan liar tidak berasas. Kebebasan
bersuara jangan sama sekali disalah gunakan, lebih-lebih lagi untuk menyalakan api
perkauman hingga negara mahu dimusnahkan.

23. Ingatlah, hakikatnya, BARISAN NASIONAL masih kekal diberi mandat oleh
rakyat; masih kekal menguasai majoriti di Parlimen selepas Pilihan Raya ke-12.
Kita kekal berjaya menubuhkan kerajaan. Keputusan pilihan raya berasaskan prinsip
demokrasi masih berpihak kepada kita. Namun ada Petualang yang secara sumbang
mengisytiharkan bahawa akan berlaku pertukaran kerajaan pada 16 September 2008.
Lalu disemai benih keraguan di kalangan rakyat hingga menjejaskan keyakinan dunia.
Maha Kuasa Tuhan yang menentukan, realiti yang terjadi adalah di sebaliknya;
apabila peralihan kuasa telah berlaku di negeri Perak. Demikian kebenaran
ketentuan ILAHI menidakkan dakwaan orang yang bersifat takabbur, bersifat riak,
bersifat sombong. Demikian bidalan Melayu kepada ketam yang cuba mengajar anaknya
berjalan betul.

24. Ingatlah saudara, Si Petualang ini, oleh kerana gilakan kuasa, sanggup
berbuat apa sahaja. Si Petualang sanggup menyemai benih kebencian; sanggup
bersekongkol dengan musuh, tergamak menidakkan hak bangsa sendiri, menghina tanah
airnya sendiri di pelbagai forum di serata dunia, bersedia mempersenda Institusi
Raja dan sesiapa sahaja untuk memuaskan nafsu rakusnya. Biar apa pun yang hendak
beliau lakukan, setiap kata dan setiap perbuatan beliau akan terpahat dalam
sejarah bangsa - sejarah negara, sebagai manusia berbagai topeng yang mengamalkan
budaya hipokrasi, penuh kepura-puraan, melakukan pembohongan - melakukan
manipulasi; lain di depan, lain di belakang. Wahai Petualang bangsa, pelanduk
mungkin lupakan jerat, tetapi jerat janganlah sama sekali melupakan pelanduk.

Siakap senohong gelama ikan duri

Cakap bohong lama-lama jual negeri

25. Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengambil ketetapan untuk menentang
habis-habisan permainan politik kotor dan keji oleh Si Petualang ini. Pemuda
berikrar untuk mempertahankan setiap tiang seri yang telah menjadi asas menegakkan
kedaulatan negara bangsa selama ini. Pemuda akan mempertahankan keluhuran
Perlembagaan, menegakkan kedaulatan undang-undang, memastikan hak dan kedudukan
orang Melayu dan kaum Bumiputera, kesucian agama Islam serta Institusi Raja-raja
Melayu. Kita tidak akan membiarkan sama sekali, tiang-tiang seri di dalam negara
ini dicabut dari bumi negara tercinta .

26. Sama-samalah kita mengambil peringatan dari apa yang pernah dititah oleh
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak Darul Ridzuan, Raja Nazrin Shah semasa
Majlis Penyampaian Hadiah di Maktab Melayu Kuala Kangsar pada 21 Jun 2008,
"bisikkan kepada mereka akan petua orang tua-tua, bahawa kiambang adalah kiambang,
biduk berlalu bertautlah ia. Pesankan kepada mereka jangan terlalu cepat bermusuh
dengan kawan dan jangan terlalu ghairah bersahabat dengan musuh kerana sejak zaman
dulu lagi terlalu banyak musang yang berbulu ayam, terlalu banyak sokong yang
membawa rebah. Ingatkan mereka akan sejarah bangsanya bernegara, berlandaskan adat
rakyat bersultan, negeri beraja."

Saudara perwakilan sekalian,

27. UMNO adalah parti keramat, ditubuhkan atas ketentuan, bukan kebetulan;
ketentuan dari segi matlamat dan ketentuan dari segi kepimpinan. Ingatlah bahawa
UMNO ditubuhkan untuk agama, bangsa dan negara. UMNO adalah payung tempat bangsa
dapat bernaung.

28. Bagi meneruskan kesinambungan perjuangan UMNO ini, barisan kepemimpinan
Pergerakan Pemuda yang baru perlu terus berusaha menarik minat golongan muda untuk
menyertai UMNO dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti. Kepemimpinan
Pemuda yang baru perlu memahami mereka; memahami aspirasi, cita-cita dan
kebimbangan mereka. Usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi mematangkan Pemuda
UMNO, menyediakan generasi pelapis yang boleh berjuang dan setia berkhidmat untuk
parti. Usaha ini hanya akan sempurna jika generasi pelapis yang gigih ini diasuh,
dididik dan dilatih dengan nilai murni dan hasrat suci perjuangan UMNO.

29. Saudara-saudara akan membuat pilihan barisan pemimpin Pemuda UMNO yang
akan diamanahkan untuk menentukan masa depan dan haluan pergerakan, parti dan
bangsa. Kita semua telah melalui proses pemilihan parti yang agak panjang. Ia
membolehkan saudara mengenali dengan lebih dekat setiap calon; menilai hati budi,
bakat, kebolehan, kemampuan dan kesungguhan mereka. Faktor-faktor keikhlasan,
kejujuran dan integriti amat penting dijadikan asas penilaian. Berfikirlah dengan
berpandangan jauh demi masa hadapan bangsa dan negara. Survival bangsa, survival
negara, survival parti dan survival perjuangan akan ditentukan dan dipengaruhi
oleh setiap satu undi yang ada di tangan kita. Sedar dan insaflah kejayaan parti
dalam pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sedikit sebanyak akan dipengaruhi dari
keputusan pemilihan pimpinan UMNO dalam persidangan ini.

30. Insaflah bahawa kita semua tergolong dalam kalangan yang bertuah kerana
terpilih menjadi perwakilan di saat UMNO begitu memerlukan kita. Kita sampai ke
dewan ini membawa amanah dan harapan ahli-ahli dari peringkat cawangan.
Kebijaksanaan saudara semua amat diperlukan oleh rakyat jelata bagi memilih
pemimpin yang menepati harapan mereka; pemimpin yang mampu memperkukuhkan parti,
dan yang berupaya secara berkesan berperanan sebagai mata, telinga serta suara
hati rakyat. Kita sering dipesan jangan sampai;

"Menjadi pemimpin bagai bayang-bayang tidak jelas dilihat orang walaupun ada tidak dapat dipegang bekerja selalu main belakang bila dicari ia menghilang akalnya licin fikiran panjang salah-salah menjatuhkan orangdijadikan pemimpin banyaklah malangdijadikan tua ia di belakangdijadikan induk tak nampak dipandangdijadikan tiang tak dapat dipancangdijadikan tudung tak dapat dibentangsalah-salah masuk pelubangnegeri rosak umat terbuntang"

31. Ingatlah, rakyat sedang memerhatikan kita. Belajarlah dari sejarah kerana
kata bijak pandai, "mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera dengan
mengulangi kesalahan berkali-kali." Kembalilah pada matlamat perjuangan kita,
Bersatu Bersetia Berkhidmat. Marilah kita perkukuhkan parti kita. Bulat air kerana
pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Carik-carik bulu ayam sepatutnya
bercantum juga. Janganlah sekali-kali membenarkan kelemahan kita menjadi sumber
kekuatan musuh.

32. Atas kesedaran ini, saya berusaha untuk memastikan perpaduan dan kekuatan
Pergerakan Pemuda tetap kental biarpun terdapat pertandingan tiga penjuru bagi
jawatan Ketua Pergerakan Pemuda. Saya bersyukur kerana ketiga-tiga calon Ketua
Pemuda telah berjanji serta berikrar kepada saya dan kepada parti, bahawa biar apa
pun keputusannya, mereka tidak akan sekali-kali membenarkan Pemuda berpecah belah,
sebaliknya bersepakat untuk memastikan barisan Pemuda terus utuh, kukuh bersatu -
kekal berpadu. Mereka juga akan bersama-sama turun membantu calon-calon Barisan
Nasional menghadapi tiga pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada 7 April
nanti.

33. Sesungguhnya Pemuda mesti terus menjadi tiang kekuatan parti. Pemuda alaf
ke-21 perlu tuntas menghadapi cabaran yang semakin berat dan dunia yang tidak
menentu dekad ini. Pemuda mesti memiliki pengetahuan untuk menyerap persekitaran
dan perkembangan ilmu. Idealisme, gagasan dan pendekatan juga perlu diberi nafas
baru. Kita mesti jujur, ikhlas, beramanah dan bertanggungjawab dengan tekad dan
niat yang satu, Menjunjung agama, Memartabat bangsa. Kebijaksanaan berpolitik
adalah satu tuntutan utama pemimpin muda alaf baru yang tidak boleh dipandang
ringan. Saya berdoa semoga kita terus diberi petunjuk dan hidayah, kekuatan dan
kebijaksanaan oleh Allah S.W.T ketika menunaikan amanah ini.

Saudara perwakilan sekalian,

34. Saya berterima kasih atas sokongan saudara-saudara selama 11 tahun saya
memegang amanah memimpin Pemuda. Pada pagi yang penuh berkat ini saya memohon maaf
kepada semua yang berada di dalam dewan ini dan setiap pejuang UMNO di seluruh
negara atas apa juga kekurangan dan kelemahan yang berlaku sepanjang tempoh saya
menerajui kepimpinan Pemuda. Saya telah berusaha melaksanakan segala yang terdaya
dan yang terbaik sebagai Ketua Pemuda. Saya insaf, sebagai insan, saya tidak
sempurna. Namun kita wajib bersyukur bahawa dalam tempoh sebelas tahun yang lalu,
Pergerakan Pemuda UMNO telah sama-sama dapat kita gerakkan sebagai sayap yang
sangat penting kepada UMNO dan terus berperanan sebagai tapak semaian membolehkan
tumbuhnya tunas-tunas muda untuk dijadikan barisan pelapis meneruskan perjuangan
parti.

35. Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana diberi kepercayaan dan sokongan
oleh rakan seperjuangan dalam Jawatankuasa Pemuda. Saya tidak mungkin berupaya
melaksanakan gerak kerja memperkukuhkan Pergerakan Pemuda secara bersendirian.
Berkat usaha keras, komitmen, kesungguhan dan iltizam secara kolektif di semua
peringkat, peranan Pergerakan Pemuda dapat dirasai bukan sahaja oleh masyarakat di
dalam negara tetapi juga di luar negara dan kita kekal diberikan penghormatan dan
pengiktirafan oleh sayap-sayap Pemuda dalam parti komponen Barisan Nasional.

36. Kesemua saudara telah membantu saya dalam pelbagai cara. Sepanjang tempoh
saya menjadi Ketua Pemuda, wajar saya rekodkan penghargaan secara khusus kepada
rakan-rakan yang telah diberi tanggungjawab menjadi Penolong Setiausaha Pergerakan
Pemuda UMNO terdiri dari Datuk Zulkifly Alwi (yang turut memainkan peranan sebagai
sekretariat dalam program Aman Malaysia); Datuk Ab Raof Yusoh (turut berperanan
dalam program Ehsan Afghanistan); dan Datuk Rahman Dahlan (yang memainkan peranan
secara berkesan melebarkan peranan Pemuda di negeri Sabah). Tanpa usaha mereka
semua dan seluruh ahli Pemuda, tidak mungkin Pergerakan Pemuda mendapat
pengiktirafan dari pemimpin tertinggi parti dan majoriti rakyat jelata.

37. Pada waktu kita berhimpun di Dewan ini, ingatan saya tidak dapat melupakan
rakan-rakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO semasa era kepimpinan saya yang telah
meninggalkan kita kerana menyahut panggilan Ilahi. Mat Mazlan Abu (Ketua Pemuda
Pasir Gudang, Johor; 2004-2008), Haji Ezani Abdullah (Ketua Pemuda Peringat,
Kelantan; 1996-2000) dan Dato' Abd. Kadir Daud (Ketua Pemuda Selandar, Melaka
1996-2000) telah pun kembali ke Rahmatullah. Menghargai dan mengenang jasa bakti
dan pengorbanan mereka, begitu juga kepada para pejuang parti yang telah sampai
hukum menyahut panggilan Ilahi, sama-samalah kita membacakan suratul Al-Fatihah,
dengan doa semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan para
solehin. Al-Fatihah.

Saudara perwakilan sekelian

38. Saya amat menghargai kepercayaan Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad
Badawi memberikan amanah dan tanggungjawab kepada saya di dalam kerajaan
pimpinannya dengan melantik saya sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Mudah-mudahan
segala hajat dan harapan beliau telah dapat saya penuhi. Pergerakan Pemuda juga
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa bakti dan khidmat beliau kepada
parti dan negara. Pemuda UMNO akan menjadikan contoh teladan akan sifat kenegaraan
beliau yang tinggi, bersedia memberikan laluan menyerahkan kepimpinan parti kepada
barisan pelapis.

39. Seluruh warga Pergerakan Pemuda UMNO, sebulat suara berikrar untuk memberi
sokongan padu dan kerjasama erat kepada Timbalan Presiden Y.A.B. Dato' Seri Mohd
Najib Tun Razak yang bakal menerajui kepemimpinan parti. Pemuda sedar Y.A.B. Dato'
Seri Mohd Najib mengambil alih kepemimpinan parti dan kepemimpinan negara dalam
suasana dan persekitaran politik dan ekonomi yang sungguh mencabar. Untuk itu
sewajarnya kita meningkatkan azam, bersama dengan sayap Wanita dan Puteri
memastikan UMNO terus kukuh bersatu - bekerja dan bekerja, berusaha dan berusaha
meneruskan kegemilangan parti.

Saudara perwakilan sekalian,

40. Bagi diri saya, perhimpunan ini mempunyai ertinya tersendiri. Tanpa saya
sedari, sudah 18 tahun saya menghadiri Persidangan Agung, bermula dengan mewakili
Ledang dan Tenggara sebagai perwakilan, dipilih menganggotai barisan Exco, sebelum
menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk mengemudi Pergerakan
ini selama sebelas tahun. Jangka masa 18 tahun ini menghampiri satu pertiga usia
pergerakan kita. Selepas pengalaman suka duka, pahit manis dan pelbagai cabaran
jatuh bangun di dalam pergerakan ini, saya mengambil keputusan melepaskan jawatan
Ketua Pergerakan Pemuda.

41. Sepanjang 11 tahun menerajui kepemimpinan, saya tidak pernah mengkhianati
orang Melayu. Saya tidak mengamalkan sifat gunting di dalam lipatan. Saya cekal
meneruskan amanat dan warisan perjuangan yang telah saya warisi dari nenda saya
dan ayahanda saya. Saya sedar banyak sistem pesanan ringkas (SMS) dan surat layang
yang disebarkan menyerang peribadi saya. Saya menyerahkan kepada penilaian ILAHI
yang Maha Mengetahui. Bahawa dalam diri cucunda Dato' Onn ini, mengalir darah
perjuangan Melayu yang sejati, berpaksikan kepada keluhuran nilai dan idealisme
murni. Saya sama sekali tidak akan menderhakai wadah perjuangan yang saya warisi
daripada nenda dan ayahanda saya. Saya sama sekali tidak akan mengkhianati
perjuangan Melayu.

Saudara Perwakilan Sekalian,

42. Dengan restu saudara sekalian, berbekal pengalaman, keyakinan dan semangat
juang, saya telah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Malaysia
dalam perhimpunan kali ini. Sekiranya saya diberikan sokongan padu oleh para
perwakilan terutamanya dari para Pemuda, sekiranya hajat saya dimakbulkan ILAHI,
adalah menjadi hasrat saya untuk membantu meningkatkan peranan Pergerakan Pemuda
secara lebih ketara dan efektif.

43. Saya disemai, bertunas, tumbuh dan dewasa dalam tapak semaian Pergerakan
Pemuda. Saya adalah hasil dan produk dari Pergerakan Pemuda. Saya mendapat
pengalaman dan kematangan politik melalui Pergerakan Pemuda. Saya diuji dengan
tanggungjawab dan menghadapi cabaran politik melalui Pergerakan Pemuda. Begitu
banyak jasa Pergerakan Pemuda terhadap saya yang akan saya jadikan kenangan penuh
nostalgia. Budi dan jasa Pergerakan Pemuda akan dikenang selagi hayat di kandung
badan. Saya telah mendapat sokongan Pemuda sejak 11 tahun yang lalu dan pada hari
ini saya memohon sokongan padu yang berterusan dari Pemuda. Semoga dengan
sokongan padu saudara-saudara, saya dapat mengambil tanggungjawab pada peringkat
yang lebih tinggi di dalam parti.

44. Perhimpunan kita hari ini akan menjadi saksi kepada peristiwa besar dalam
Pergerakan Pemuda kerana proses Menyerah Amanah akan berlangsung. Pemimpin mungkin
bersilih ganti dan peranan kepimpinan mungkin berbeza tetapi tanggungjawab kekal
dan perlu dipenuhi secara amanah oleh setiap pemimpin dan kepemimpinan. Pemimpin
datang dan pergi di semua peringkat sementara tanggungjawab tetap menanti untuk
dilaksanakan secara beramanah.

45. Dalam majlis ini saya Menyerah Amanah kepada Ketua Pemuda yang baru untuk
menjaga amanah bangsa yang saya pikul selama 11 tahun dengan pesanan, jagalah
Pergerakan yang kita sayangi ini dengan baik, dengan sempurna dan dengan tertib.
Dalam majlis ini juga, pendirian para perwakilan untuk Menyerah Amanah kepada saya
bagi meneruskan peranan kepimpinan mewakili Pemuda di peringkat yang lebih tinggi
akan saya laksanakan dengan sebaik mungkin, dengan sempurna dan dengan tertib.
Marilah kita berdoa ke Hadrat Allah S.W.T agar terus diberikan taufik dan hidayah,
kebijaksanaan dan petunjuk untuk kita tunaikan Amanah ini demi menjunjung agama,
memartabat bangsa.

46. Atas rasa penuh kesyukuran, maka, dengan rasa khusyuk dan tawaduk, saya
dengan lafaz 'Bismillahir Rahmanir Rahim', dengan ini melepaskan jawatan sebagai
Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta bersumpah dan berikrar dengan berbekal pengalaman
dan semangat saudara semua untuk terus menjulang obor perjuangan Pemuda di
peringkat tertinggi.

BERSATU, BERSETIA, BERKHIDMAT

Hidup UMNO!
Hidup Melayu!
Daulat Tuanku!
Allahuakbar!
Selamat Bersidang.

No comments: