Saturday, August 30, 2008

KDN tak arah SKMM sekat Malaysia Today

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah mengeluarkan arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mengambil tindakan dengan menyekat laman web “Malaysia Today” kerana menerbitkan artikel yang menghina Nabi Muhammad.

Menterinya, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata sekatan itu dilakukan SKMM berdasarkan peruntukkan undang-undang yang sedia ada selepas penelitian suruhanjaya terbabit yang mendapati isi kandungan artikel itu boleh mendorong kepada ketegangan agama.

“Justeru, tidak timbul sekatan itu dilakukan atas arahan KDN atau berunsur politik kerana jika KDN nak sekat, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa.

“Kita tidak menafikan hak kebebasan bersuara tetapi jika ia digunakan untuk kepentingan sendiri atau menimbulkan ketidakselesaan rakyat yang berbilang agama dan bangsa, ia tidak boleh dibenarkan,” katanya.

Syed Hamid berkata, isu hak kebebasan bersuara tidak timbul jika perkara yang dibangkitkan boleh merosakkan masyarakat hingga boleh menimbulkan suasana huru-hara.

“Isu agama sangat sensitif malah di negara barat sekalipun, jika sebuah artikel atau isu yang berbentuk penghinaan agama, pihak berkuasa di sana turut mengambil tindakan sewajarnya bagi mengekalkan keharmonian beragama.

“Apatah lagi di Malaysia, yang agama rasminya adalah Islam manakala orang yang mengeluarkan artikel menghina Islam adalah mereka yang beragama Islam sendiri, sudah tentu tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya.

No comments: