Saturday, August 30, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 56 - Buatlah Pak Lah sebelum terlambat)

Melayu tidak lagi bersama Umno, Cina tidak lagi menyokong MCA dan India tidak lagi menunggu MIC. Nampaknya Melayu, Cina dan India tidak lagi percaya kepada kredibiliti Barisan Nasional (BN), parti yang menerajui negara ini sejak merdeka 51 tahun lalu.

Semangat merdekakan negara yang berputik di hati orang Melayu dan disokong oleh Cina dan India serta kaum lain di Malaysia suatu waktu dulu, sudah tenggelam. Di kalangan Melayu, semangat dan kepercayaan terhadap pemimpin mereka sudah hilang.

Begitu juga bagi kaum Cina dan India yang lebih terpengaruh kepada parti pembangkang. Dua parti iaitu PKR dan DAP yang tidak ada nama dalam senarai perjuangan membebaskan negara daripada penjajah.

Apalah malangnya negara kita sekarang, apakah salahnya pemimpin politik Umno, MCA, MIC dan parti komponen lain hingga sebahagian rakyat bangkit menentang. Walaupun, kerajaan yang memerintah sekarang berterusan membantu rakyat, tetapi mereka tetap lebih percaya kepada parti pembangkang.

Apa saja yang diperkatakan oleh kerajaan, langsung tidak singgah ke fikiran mereka. Yang bermakna mereka tidak memikirkannya. Apa yang mereka fikir ialah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat. Hal kami untuk menyokong pembangkang adalah urusan kami, bukan kerajaan. Itu kata mereka.

Mereka ini boleh kita kategorikan sebagai hipokrit kerana tidak membalas jasa kerajaan. Apa yang kerajaan beri diambil, tetapi tidak pula mereka mahu membantu kerajaan. Ramai lagi orang yang hipokrit yang marahkan nyamuk, kelambu dibakar.

Kini kita sudah menyambut kemerdekaan negara yang ke-51 tahun. Jumaat lalu, Pak Lah membentangkan Bajet 2009. Banyak ulasan dan kupasan sudah diberikan ramai orang termasuk pakar ekonomi dan bijak pandai.

Tetapi, lumrah alam apabila pembangkang menjadikannya sebagai isu politik. Itulah pembangkang yang hanya tahu membangkang dan menuduh tanpa sedikit pun memberi input yang berguna.

Apa pun, kita berharap kenyataan akhir daripada Pak Lah ketika membentangkan bajet itu akan dilaksanakan. Kata pak Lah:

123. SAYA INGIN MENEGASKAN BAHAWA KERAJAAN BARISAN NASIONAL YANG DIBERI MANDAT OLEH RAKYAT PADA BULAN MAC LALU AKAN TERUS MEMELIHARA KESTABILAN POLITIK DAN MENINGKATKAN KEMAKMURAN EKONOMI NEGARA.

USAHA PIHAK TERTENTU YANG CUBA MENGGUGAT KESTABILAN INI, DENGAN MERAMPAS KUASA SECARA TIDAK SAH TANPA MANDAT MAJORITI RAKYAT, PERLU DITOLAK.

KITA TIDAK BOLEH MEMBENARKAN KETIDAKPASTIAN YANG TIMBUL UNTUK BERTERUSAN. SEDIKIT SEBANYAK IA AKAN MEMBERI KESAN NEGATIF KEPADA PELABUR ASING, SENTIMEN EKONOMI DAN JUGA PASARAN MODAL.

SAYA TIDAK AKAN MEMBENARKAN GANGGUAN INI DITERUSKAN. SAYA TIDAK AKAN MEMBENARKAN MANDAT RAKYAT DIRAMPAS DARIPADA PARTI BARISAN NASIONAL YANG TELAH MENANG MAJORITI PILIHANRAYA UMUM SECARA SAH DAN MENGIKUT LUNAS DEMOKRASI.

SAYA YAKIN RAKYAT AKAN TERUS MEMBERI SOKONGAN KEPADA KERAJAAN BARISAN NASIONAL UNTUK MELAKSANAKAN TUGAS-TUGAS MENTADBIR NEGARA.

WE NEED TO GET ON WITH THE BUSINESS OF GOVERNING AND NOT WASTE ANY MORE TIME WITH OPPORTUNISTIC THREATS TO SEIZE THE PEOPLE’S MANDATE THROUGH UNDEMOCRATIC MEANS.

Jadi apa yang Pak Lah mampu lakukan? Saya pernah menulis jika hendak membunuh ular jangan dipotong ekornya, tetapi potong kepalanya.

Atau mampukah Pak Lah melakukannya dalam keadaan sekarang? Atau Pak Lah mahu anak cucu dan generasi masa depan mengingati beliau dalam sejarah yang menulis: "Pada zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia, Barisan Nasional dan Umno, parti tunjang orang Melayu menjadi barisan pembangkang."

Buatlah Pak Lah sebelum terlambat.

Selamat menyambut MERDEKA dan SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN ALMUBARAK.

No comments: