Saturday, August 30, 2008

Laporan tidak HALAL?

Laporan Audit 2007 mendedahkan kira-kira 40 peratus daripada sampel produk makanan yang diimport di pasaran tempatan menggunakan logo halal yang bukan disahkan atau dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketika ini, hanya sembilan logo halal diiktiraf Jakim. Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, berkata pihaknya memilih 42 sampel produk makanan di pasaran yang diimport bagi tempoh Februari hingga awal Mac tahun ini dan mendapati hanya 25 sampel menggunakan logo halal diluluskan Jakim.

Selain itu Ketua Audit Negara turut mendedahkan, daripada 45 sampel produk makanan tempatan yang dikaji, hanya 31 menggunakan logo halal yang masih sah, manakala lima produk makanan masih mempamerkan logo halal walaupun sudah tamat tempoh dan selebihnya sembilan yang lain mempamerkan logo bukan dalam senarai halal Jakim.

“Penggunaan logo halal hanya dibenarkan terhadap produk yang disahkan secara rasmi seperti tercatat dalam sijil yang dikeluarkan oleh Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) dan Majlis Agama Islam Negeri (Main).

“Logo hendaklah dicetak dengan terang pada setiap produk yang dikeluarkan dan bagi premis makanan logo halal hendaklah dipamerkan di bahagian dapur atau di restoran yang disahkan saja.

“Pihak syarikat dibenarkan mencetak warna logo mengikut kesesuaian pembungkusan produk masing selagi ia tidak mengubah spesifikasi logo asal yang dikeluarkan,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2007.

Ambrin berkata, pada pandangan audit, Jakim perlu mengambil tindakan proaktif bagi memastikan produk di pasaran yang bertanda halal mematuhi Perintah Perihal dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal) 1975.

“Bagi produk yang menggunakan logo halal Jakim yang tidak mematuhi perintah itu, Jakim perlu mengemukakan maklumat berkenaan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

No comments: