Wednesday, September 3, 2008

Pak Samad kritikal

Kesihatan tokoh wartawan negara, Tan Sri Abdul Samad Ismail atau Pak Samad hari ini dilaporkan semakin kritikal apabila buah pinggang serta beberapa organ lain dikatakan gagal berfungsi.

Doktor yang merawat Pak Samad yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai di Kuala Lumpur kerana jangkitan paru-paru sejak sembilan hari lalu dilaporkan sudah memasang mesin dialisis bagi membantu buang pinggangnya berfungsi.

Menurut anak Pak Samad, Nuraina, doktor turut menebuk saluran di leher bapanya bagi membantu sistem pernafasannya yang terganggu, selain alat bantuan pernafasan Pak Samad juga diberi ubat penenang untuk membolehkan beliau berehat.

Pak Samad yang berusia 84 tahun tenat sejak Sabtu lalu selepas jangkitan paru-parunya merebak ke organ penting dan ke buah pinggang.

Pelawat tidak dibenarkan bersama beliau. Hanya seorang anggota keluarga rapat yang dibenarkan berada di sisinya, tetapi mesti memakai topeng dan mengenakan antiseptik sebelum masuk atau meninggalkan biliknya. Pelawat hanya melihat Pak Samad menerusi panel kaca di luar bilik ICU.

Antara tokoh kenamaan yang melawat Pak Samad ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannta, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Rakan lama Pak Samad yang turut melawat termasuk Tun Daim Zainuddin, Ibrahim Ngah, PC Shivadas, Syed Husin Ali, Tan Sri Abdullah Ahmad, Zainuddin Maidin, Datuk Nazri Abdullah, Datuk Khalid Mohd, Datuk Idris Tulis, Datuk Shukor Hassan dan Datuk Rejal Arbee, Tan Sri Mazlan Noordin dan Philip Mathews.

Sama-samalah kita berdoa semoga kesihatan Pak Samad kembali pulih seperti sedia kala.

No comments: