Kita mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail, seorang tokoh wartawan tempatan yang dilahirkan di Singapura 83 tahun lalu.
Pemergian A Samad atau lebih senang dipanggil Pak Samad bukan saja meninggalkan nostalgia bagi ramai anak didiknya sama ada di kumpulan akhbar Utusan atau The New Straits Times Press, malah dunia kewartawanan Malaysia.
Beliau bukan saja sekadar tokoh wartawan disegani malah pejuang kemerdekaan yang sama-sama mengikut anggota rombongan delegasi negara ke London pada 1956 untuk rundingan kemerdekaan.
Pak Samad meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru kir-kira jam 5.58 petang ini selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur sejak 24 Ogos lalu selepas mengadu mengalami kesukaran bernafas.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Puan Sri Habibah Hamid, 61, dua anak lelaki dan lapan anak perempuan selain 26 cucu serta empat cicit. Isteri pertama Abdul Samad, Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.
Ketika menghembuskan nafas terakhir, Habibah dan seorang anak perempuannya, Nurazrina berada di sisi ketika beliau dan sempat membacakan surah Yassin sejurus sebelum mesin bantuan pernafasan yang digunakan Allahyarham terhenti.
“Kami sekeluarga reda di atas pemergian bapak dan dia pergi dengan tenang. Ibu tiri dan adik saya dapat memasuki bilik bapak dan sempat membacakan surah Yassin dan selepas membuka matanya buat seketika, dia pergi buat selama-lamanya,” katanya seorang lagi anak Pak Samad, Nuraina.
Jenazah Abdul Samad dibawa ke rumahnya di No 2, Lorong 16/7C, Seksyen 16, Petaling Jaya dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat.
Abdul Samad, yang memulakan kerjayanya sebagai pemberita Utusan Melayu pada 1940, begitu sinonim dengan sejarah persuratkhabaran negara dan sejarah negara.
Pembabitan Allahyarham dalam sejarah negara tidak dapat diperkecilkan. Walaupun peranannya banyak di belakang tadbir, begitu juga dengan kemerdekaan Indonesia dan dalam merapatkan semula hubungan antara Malaysia serta Indonesia semasa konfrantasi.
Abdul Samad yang banyak menceburi kegiatan anti penjajah pada zaman penjajahan British dan Jepun serta pernah keluar masuk penjara kerana fahaman politiknya itu.
Allahyarham dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri pada 1992.
Marilah kita menyedekahkan al-Fatihah kepada roh Pak Samad.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment