Monday, September 15, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 58 - Amaran kepada Ahli Parlimen BN)

Teresa Kok, Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) beberapa hari lalu, hanya menjadi mangsa keadaan. Walaupun, jika benar mereka melakukan kesalahan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman negara, mereka hanyalah sebagai 'kambing hitam' yang berada di tempat, pada waktu dan masa yang salah.

Demikian andaian yang dibuat oleh Editorialblog selepas mengkaji dan membuat penilaian terhadap keadaan semasa politik negara. Apatah lagi dengan 'khayalan-khayalan' oleh Anwar Ibrahim, yang dari luarannya tidak menakutkan pentadbiran BN, tetapi secara diamnya, pentadbiran kerajaan Persekutuan, tetap gelisah.

Kebimbangan kerajaan BN, kemungkinan ada antara anggota Parlimennya menjadi 'katak' dan melompat ke dalam DAP, PKR atau Pas, tetap ada. Bimbang juga kerajaan BN kemungkinan ada parti komponennya menyertai Pakatan Rakyat dan membawa sekali Ahli Parlimen mereka bersama.

Lantaran itu, ISA yang dikenakan terhadap Teresa Kok, Raja Petra dan Tan Hoon Cheng adalah 'AMARAN - WARNING' kepada mana-mana Ahli Parlimen BN yang bercadang melompat parti menyertai Pakatan Rakyat.

Mengikut situasi dan luasnya 'kuasa' ISA, akta itu boleh digunapakai terhadap mana-mana Ahli Parlimen BN yang melompat parti menyertai Pakatan Rakyat. Tentu ramai yang tertanya-tanya, bagaimana ISA boleh digunakan terhadap Ahli Parlimen berkenaan?

Editorialblog yakin jika pun berlaku lompat parti atau crossover Ahli Parlimen BN ke pihak pembangkang, ianya tidak akan berlaku serentak iaitu, tidak akan berlaku 30 Ahli Parlimen BN sekaligus atau dalam masa yang sama mengisytiharkan keluar BN. Mustahil dalam masa sehari 30 Ahli Parlimen keluar BN.

Alasannya, kerajaan mempunyai 'special branch' yang monitor segala aktiviti politik di negara ini dan tidak akan membiarkan kegiatan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Jadi ia akan mengambil masa dua atau tiga hari.


Dan dalam tempoh itu, pastinya keadaan politik negara akan menjadi kucar kacir. Apabila politik kucar kacir maka pengurusan ekonomi dan kegiatan masyarakat turut tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Siapakah yang menyebabkan keadaan menjadi kucar kacir?

Ahli Parlimen yang mahu melompat parti dan pemimpin pembangkang.


Dalam hal ini, kerajaan Malaysia boleh menggunakan ISA untuk menghentikan keadaan kucar kacir itu dengan melakukan tangkapan terhadap mereka yang memberi masalah. Kerajaan juga boleh mengisytiharkan keadaan negara dalam darurat kerana suasana politik negara yang bermasalah.

Justeru, tindakan ke atas Teresa Kok, Raja Petra dan wartawan Sin Chew mengikut ISA adalah satu AMARAN kepada mana-mana Ahli Parlimen supaya tidak mencetuskan suasana atau iklim politik yang boleh mengkucar kacirkan ekonomi dan keharmonian kaum di negara ini.

No comments: