Dalam sidang medianya di Ipoh untuk mengulas kes dua ahli PKR yang mendakwa diperangkap mengadakan hubungan seks dengan wanita warga China di sebuah apartment di Batu Feringgi, Pulau Pinang, pada 14 Ogos lalu, Zulkifli ada menyebut:
"Sepatutnya, orang yang mengesyorkan melakukan perlakuan itu diambil tindakan, sementara orang yang melakukan maksiat wajar dilepaskan kerana perbuatan itu sudah berlaku."
Kenyataan ini nampaknya menarik dalam usaha PKR untuk membuktikan ada konspirasi untuk memalukan parti itu. Namun, itulah yang sebenarnya berlaku. Jika perkara itu terjadi kepada ahli politik daripada parti pemerintah, memang habis-habisan pembangkang akan hentam.
Macam-macam pengikut dan penyokong pembangkang akan kata kepada ahli politik pemerintah. Jika hal ini berlaku kepada pemimpin parti pemerintah, pembangkang akan cepat-cepat buat cerita macam-macam dan meminta ahli politik itu letak jawatan.
Tapi, apabila terkena batang hidung sendiri, mereka beri pula alasan konspirasi, malah menganggap ahli mereka hanya menerima 'sedekah seks'. Maka, jadilah 'sedekah seks' itu halal. Inilah yang dikatakan parti hipokrit dan parti konspirasi. Parti yang terang-terang menipu orang ramai dan rakyat.
Antara lain pada sidang media itu Zulkifli juga meminta Jaip menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992, tetapi tidak mengulas sama ada dua lelaki ahli PKR berkenaan patut dikenakan tindakan mengikut enamen sama kerana mengaku melakukan hubungan seks atau zina.
"Seksyen 29 enakmen berkenaan merujuk kepada kesalahan seseorang yang menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana individu melakukan apa-apa pekerjaan maksiat yang boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sepatutnya, orang yang menganjurkan maksiat (perlakuan seks) dituduh," katanya kepada pemberita di pejabat PKR.
Mengapa bila penangkapan itu melibatkan seorang ahli PKR maka parti itu tidak percaya kepada kejadian berkenaan, malah menuduh 'sedekah seks' itu akibat satu konspirasi?
HABUAN SEKS IBARAT SEDEKAH: ITU KESILAPAN BAHASA, KATA TIMBALAN PENGERUSI PKR PERAK
IPOH, 26 Sept (Bernama) — Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Perak
Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan seorang anggota parti itu bahawa habuan
seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu "kesilapan bahasa yang
tidak disengajakan" .
"Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu
bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah. Saya boleh komen
setakat itu sahaja," katanya pada satu sidang akhbar ketika ditanya mengenai
kenyataan Anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan, kepada sebuah akhbar
bahawa dia melakukan hubungan seks dengan seorang wanita China disebabkan
diperangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR).
Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.
Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria sebelum ini berkata bahawa
kenyataan Zul itu adalah daripada orang yang jahil tentang hukum agama selain
merupakan satu tindakan yang cukup bodoh jika kenyataan itu bertujuan
mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.
Dalam sidang akhbar itu, Zulkifli meminta Jabatan Agama Islam Perak
(JAIP) menyiasat mengikut Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992
berhubung laporan yang dibuat kepada jabatan itu oleh Zul dan Fairul Azrim pada
23 Sept lepas bahawa mereka telah diperangkap oleh BPR untuk melakukan hubungan seks masing-masingnya dengan wanita dari China.
Seksyen berkenaan menyatakan bahawa seseorang yang menganjur, memujuk
atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah
melakukan suatu kesalahan.
"Kalau laporan itu tidak disiasat dan tidak diambil tindakan, ini ada masalah pada pentadbiran jabatan agama, dan akan menimbulkan persepsi kepada semua tentang (sama ada) kita serius untuk melaksanakan perundangan enakmen jenayah yang sudah diluluskan kerajaan negeri," katanya.
Peguam Mohd Asri Osman, yang mewakili Zul dan Fairul Azrim, ketika ditanya pada sidang akhbar itu tentang logiknya tindakan mendesak JAIP membuat siasatan itu sedangkan kedua-dua anak guamnya menerima habuan seks itu secara sukarela selain telahpun membuat pengakuan mengenainya, sekadar menjawab :
"Itulah sebabnya kita mahu JAIP menyiasat secara objektif."
Fairul Azrim pernah ditahan oleh BPR berhubung dakwaan rasuah dan seks
membabitkan sebuah projek pembangunan di Seri Iskandar dekat sini tetapi
dilepaskan pada 21 Ogos lepas.Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Feb tahun depan di Mahkamah Sesyen di sini.
No comments:
Post a Comment