Thursday, June 5, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 28 - Shahidan patut ikut Idris)

Pada 24 Mei lalu di bawah tajuk "Apa Kata Editor MSM (Bhg 27 - Satu kapal dua nakhoda)" Editorialblog ada menulis mengenai keadaan Umno Terengganu yang bermasalah. Masalahnya ialah Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bukan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, manakala bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, tetapi bukan Menteri Besar.
Dalam hal ini ada sedikit pertindihan kuasa dari segi kepimpinan parti dan negeri. Sepatutnya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri yang menjadi parti pemerintah di Terengganu menjadi ketua pentadbir kerajaan negeri iaitu menteri besar. Atau boleh juga orang yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sepatutnya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.
Itu yang Editorialblog tulis pada 24 Mei.
Namun, pada 28 Mei Idris mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang disandang sejak 2004. Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih itu mengumumkan keputusan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada 27 Mei.
Idris membuat keputusan ini bagi menghormati keputusan Majlis Tertinggi Umno berhubung isu pelantikan Menteri Besar dan menghormati kemahuan beliau. Langkah itu dijangka dapat menyelaraskan politik dan pentadbiran negeri.
Idris sebenarnya dilantik Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Abdullah selepas BN menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN Terengganu mengekalkan majoriti dua pertiga apabila memenangi 16 kerusi DUN, tetapi Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar, sebaliknya digantikan AhmadSaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.
Turut meletak jawatan berkuat kuasa semalam ialah Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Setiausaha BN Terengganu, Datuk Rosol Wahid demi kepentingan parti kerana pembangunan negeri adalah lebih penting.
Selesai bab Terengganu.
Editorialblog menjenguk pula ke Perlis. Tetapi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri ShahidanKassim enggan melepaskan jawatannya dengan alasan Menteri Besar sekarang Datuk Dr Md Isa Sabu tidak akan memegang jawatan itu, sebaliknya akan dipegang oleh dua ketua Umno bahagian yang lain iaitu Ahmad Bakri Ali dan Datuk Zahidi Zainul Abidin.
Editorialblog berpendapat Md Isa boleh memegang jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno perlis walaupun beliau tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam Umno peringkat negeri. Md Isa boleh dilantik memegang jawatan itu.

Namun, Editorialblog berpendapat ada sesuatu yang tidak kena! Dan ini semua berbalik kepada KUASA dan DENDAM.
Seperti mana yang sedia maklum bahawa Shahidan sebelum ini 'berperang' untuk terus berkuasa dan kekal sebagai Menteri Besar Perlis selepas pilihan raya umum Mac lalu. Tetapi harapannya berkecai apabila tidak mendapat 'restu' Diraja dan sokongan wakil rakyat lain.
Kerana DENDAM itu, Shahidan tidak peduli dan enggan melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis.

Nampaknya, pertindihan kuasa berlaku juga di negeri sekangkang kera apabila Menteri Besar tidak ada kuasa dalam Umno yang memerentah negeri, manakala Pengerusi Umno dan BN negeri tidak ada kuasa dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Negeri Perlis yang kini terkenal dengan mempelam harum manis berdepan masalah dalam pembangunan. Namun, pisau dan mempelam di tangan ahli Umno. Kupaslah.

1 comment:

► madi ◄ said...

biarlah mereka menyelesaikan masalah dengan musyawarah mereka..

tambahan pula, Datuk Seri Md Isa tidak meminta jawatan tersebut tidak seperti yang berlaku di Terengganu yang mana Datuk Ahmad Said selalu berkias tentang isu ini..