Wednesday, June 18, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 35 - Undi tak percaya)

Barisan Nasional, Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima tamparan sekali lagi. Dua berita panas dicatat dalam dada akhbar.
1) Pengumuman Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee bahawa Ahli Parlimen parti itu akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.
2) Mahkamah Pilihan Raya di Kangar, Perlis mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sanglang yang dimenangi Abdullah Hassan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lalu, dikosongkan.
Seperti dilaporkan Bernama:

KOTA KINABALU, 18 Jun (Bernama) — Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee hari ini mengisytiharkan bahawa partinya telah hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Kami tidak tahu sama ada dakwaan itu betul. Jika mereka hubungi kami, dengan itu kami akan memberikan bantuan.
Beliau mendakwa dua anggota Parlimen parti itu (Sepanggar dan Tawau) akan menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat Isnin ini.
Yong, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata anggota Parlimen kawasan Sepanggar Datuk Eric Enchin Majimbun, yang kini berada di luar negara bagi tugasan rasmi, telah menyatakan pendiriannya dalam kenyataan media yang ditandatangani, manakala anggota Parlimen kawasan Tawau, Datuk Dr Chua Soon Bui juga akan membuat pendirian yang sama dalam kenyataan yang ditandatangan.

KANGAR, 18 Jun (Bernama) — Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Sanglang yang dimenangi Abdullah Hassan daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum Mac lepas, dikosongkan.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani selepas menolak petisyen calon PAS, Hashim Jasin yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di kawasan DUN itu pada pilihan raya umum ke-12 itu.
Dalam alasan penghakimannya, Zainal Adzam berkata, mahkamah tiada hak untuk mengisytiharkan Hashim sebagai pemenang kerusi DUN itu kerana Seksyen 35© Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memberi bidang kuasa kepada mahkamah untuk berbuat demikian sudah dimansuhkan pada 2003.
Mahkamah bagaimanapun meyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihan raya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Nampaknya, Abdullah semakin tersepit. Ada di kalangan para editor kanan MSM bersembang dan sekali lagi menyatakan bahawa Pak Lah memang kena letak jawatan demi menyelamatkan BN dan demi memastikan BN terus memerintah Malaysia. Para editor kanan MSM bukan bercakap kosong di dalam blog, tetapi rata-rata mereka mempunyai sumber rapat dan berada di dalam setiap parti baik pemerintah atau pun pembangkang.
Maklumat yang diterima memang boleh dipercayai. Sememangnya, penyokong BN di akar umbi dan ada juga di kalangan ahli jawatan kuasa bahagian, malah ada di kalangan ketua bahagian dan majlis tertinggi mahukan Abdullah berundur segera. SEGERA. Bukan untuk menunggu dan bertanding lagi dalam pemilihan Umno akan datang. Pak Lah mungkin menang jika bertanding lagi, tetapi untuk tujuan apa Pak Lah bertanding? Untuk jadi Presiden dan Perdana Menteri?
Sebaliknya, BN dan Umno akan terus rosak. Berundurlah Pak Lah sementara masa masih ada.
Untuk pengetahuan Pak Lah, kami para editor kanan MSM sebenarnya langsung tidak menghormati Pak Lah dan kami juga sudah hilang kepercayaan kepada pimpinan Pak Lah.
Tetapi kami sayangkan BN dan Umno. Jadi berundurlah.
Contohilah BJ Habibie yang hanya menjadi Presiden Indonesia untuk sementara tanpa melakukan apa-apa pembangunan, tetapi demi rakyat dan negara dia berundur dengan rela, lantas terus dihormati.

No comments: