Wednesday, June 11, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 31 - Wahai Melayu I)

Ke Arkib Negara untuk mencari 'sesuatu' bagi dijadikan bahan penulisan, tetapi terjumpa sebuah rencana yang disiarkan dalam akhbar Berita Minggu bertarikh 20 Jun 1999 yang bertajuk 'Jadikan rentetan sejarah penjajahan satu iktibar'. Rencana ini amat menarik perhatian kerana ia boleh dijadikan imbasan sejarah dan iktibar untuk bangsa Melayu sedar diri.
Oleh kerana terlalu panjang dan mungkin akan membosankan pembaca, editorialblog memecahkannya kepada tiga bahagian yang akan dipost selama tiga hari bermula hari ini.


(I)
Hampir sebulan armada Portugis membedil pantai Melaka pada 1511.
Akhirnya Alfonso de Albuquerque berjaya menewaskan Kerajaan Melayu Melaka. Gambaran yang diberikan oleh anaknya sendiri, Portugis memasuki Melaka sebagai 'conquistadores' (penakluk).

Pertama sekali sebelum ke istana Sultan Melaka, masjid telah diceroboh. Orang Melayu ditangkap,wanita Melayu dirogol. Melayu dirantai sebagai bangsa yang ditawan. Mereka dijadikan abdi. Akhirnya berdirilah kota Melaka `La Farmosa', atas darah dan keringat orang Melayu. Kini kota itu sebagai lambang bekas peninggalanPortugis.
Sebenarnya itu adalah lambang sempadan antara `conquistadores' dan bangsa Melayu yang diabadikan.
Dari itu bermulalah sejarah Melayu yang dijajah, bangsa yang tertindas,bangsa yang daif, imej yang rendah, moral yang di bawah paras pengiktirafan. Walaupun Kerajaan Melayu cuba didirikan semula, tetapisemuanya gagal.
Penaklukan Melaka dirayakan oleh gereja Katolik di Vatican dan Pope sendiri menghebahkan kehancuran Muslim di Asia Tenggara. Bangsa Melayu yang sebelum itu bangsa besar kini ditenggelami oleh arus sejarah.
Pada suatu pagi tahun 1840-an juga, tiba-tiba api menjulang tinggi, rumah terbakar di sana sini. Kedengaran pekikan, teriakan kesakitan dan mayat bergelimpangan. Anak-anak kecil lari bertempiaran. Wanita jadi mangsa kebuasan nafsu. Darah mengalir lagi. Kampung yang terletak dan dikelilingi sawah tinggal sepi. Keamanan bukan lagi peraturan di negeri jelapang padi.

Mereka lari dalam ketakutan bagi mendapat perlindungan di Pulau Pinang yang menjanjikan perlindungan atas nama kesetiaan (treaty). Tetapi mereka dinyahkan. Akhirnya mereka merempat di tanah air sendiri. Kedah ditakluki Siam.
Sebahagian mereka (dari Kedah) dihantar ke Bangkok untuk dijadikan hamba abdi pembesar-pembesar Siam. Maruah dan survival mereka musnah sama sekali. Pada ketika itu tiada penyelamat dan tiada kuasa yang membela mereka.
Sejarah kehancuran itu tidak berhenti di situ. Pada 1824, Alam Melayu terbahagi dua. Angkara Perjanjian Inggeris-Belanda, pribumi diperkecilkan sehingga kemudiannya negeri sendiri menjadi British Malaya, Kerajaan Brooke, Chartered Company North Borneo dan Dutch Fast Indies. Segala hak Melayu/Bumiputera menjadi milik Inggeris dan Belanda.
Kemudian pertengahan abad ke-20, Jepun pula menjadi kuasa kolonial. Bangsa Melayu jadi mangsa yang dijajah Jepun pula dan kemudian dijajah semula oleh Inggeris. Walaupun Perang Pasifik tamat kita terus dijajah.
Bayangkan, lebih 400 tahun bangsa Melayu dijajah. Kemudian buat kali pertama Melayu di bawah satu organisasi iaitu Umno, walaupun tanpa kekuatan bicara dan senjata, berjaya meletak kembali maruah dan status bangsa Melayu. Itu semua dapat dilakukan atas semangat juang, tanpa mengira daerah dan negeri, darjat dan umur sama-sama menggembleng tenaga bersatu atas nama `Hidup Melayu', berjaya menamatkan kolonialisme Inggeris. Pas tidak wujud. Yang wujud hanya Umno atas kepentingan agenda Melayu pada ketika itu.


Bersambung... esok

No comments: