Sunday, June 22, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 37 - Pak Lah takut kepada Yong)

Kata para editor MSM....
Terserlah kini ketakutan dan kebimbangan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila Parti Bersatu Sabah (SAPP) membuat 'ugutan' akan membentangkan usul tidak percaya terhadap kepimpinan beliau.
Yang dimaksudkan takut dan bimbang di sini ialah tidak berani mengambil tindakan disiplin terhadap SAPP yang juga komponen BN, walaupun Presiden parti itu, Datuk Yong Teck Lee tegas dengan pendirian majoriti parti itu yang hilang kepercayaan kepada Pengerusi BN.
Kenapa BN takut mengambil tindakan disiplin ke atas SAPP? Parti dari Sabah itu mempunyai dua Ahli Parlimen.
Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen. Selebihnya dimiliki Pakaran Rakyat mewakili PKR, DAP dan Pas, selain oleh calon Bebas. Keputusan pilihan raya paling buruk dalam sejarah BN terjadi semasa diketuai oleh Abdullah atau Pak Lah.
Sejak awal lagi apabila menantu beliau Khairy Jamaluddin menyertai politik dan campur tangan dalam bermacam-macam urusan kerajaan, orang sudah marah, tetapi tidak disedari oleh Pak Lah.
Walaupun, mampu memerintah Malaysia, tetapi BN tidak mempunyai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
Sememangnyalah, BN pimpinan Pak Lah takut mengenakan tindakan terhadap SAPP kerana jika menyingkirkan parti itu, sudah pasti akan kehilangan dua lagi kerusi Parlimen.
Hari ini, Yong sekali lagi dengan megah 'mencabar' BN pimpinan Pak Lah dengan memberitahu bahawa SAPP bersedia menghadapi apa juga tindakan berikutan keputusan dewan tertinggi parti itu menyokong cadangan untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah.
“SAPP bersedia dengan apa juga tindakan dari sesiapa, sama ada dari atas, bawah, kiri dan kanan,” kata Yong Teck Lee di Kota Kinabalu.
Begitulah beraninya sebuah parti kecil dari Sabah menyuarakan tentangan terhadap Perdana Menteri.
Pak Lah dikatakan mendapat sokongan padu parti komponen lain termasuk MIC, Gerakan dan MCA dan parti lain di Sabah serta Sarawak, tetapi tidak berani mengambil tindakan terhadap SAPP.
Apapun motif SAPP, rakyat kini dapat melihat dengan jelas bagaimana kedudukan BN selepas pilihan raya yang lalu. Tindakan SAPP itu secara tidak langsung membuka mata pemimpin dan ahli parti komponen lain menilai kemampuan Pak Lah mentadbir negara dan BN.
Yang jelas, Pak Lah semakin tidak popular di kalangan pemimpin kanan Umno, MIC dan Gerakan serta pemimpin parti komponen BN yang lain. Tetapi mereka semua belum menyuarakan secara terbuka, sebaliknya berbincang sesama sendiri.
Yang pastinya juga, Pak Lah dan Khairy lebih disukai dan popular di kalangan pemimpin parti pembangkang kerana KELEMAHAN Pak Lah MENGUATKAN pembangkang.

No comments: