Penulis blog Raja Petra Kamaruddin hari ini didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam akuan bersumpahnya yang diikrarkan pada bulan lepas.
Dia turut didakwa atas dua lagi tuduhan memfitnah membabitkan Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya Norhayati Hassan melalui akuan yang sama.
Ketiga-tiga tuduhan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil Lima, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini pada pukul 10.25 pagi pada 18 Jun lalu.
Raja Petra enggan membuat sebarang pengakuan tetapi Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis berkata tindakan Raja Petra itu menjurus kepada pengakuan tidak bersalah atas kesemua tuduhan.
Bagaimanapun Raja Petra yang berada dalam kandang tertuduh membantah cadangan Anselm dan berulang kali menyebut: "Saya enggan membuat pengakuan atas alasan pertuduhan terhadap saya mempunyai kecacatan dan mala fide."
Dia turut menyatakan akan memecat peguamnya J. Chandra sekiranya Chandra bersetuju dengan pihak pendakwaan.
Tindakan Raja Petra yang tidak berhenti bercakap ditegur Majistret Nazran Mohd Sham yang berkata: "Saya tidak sempat menulis apa yang awak cakap, beri saya peluang, jika anda tidak menghormati saya tidak apa, tetapi tolong hormati mahkamah".
Chandra memohon untuk membuat hujahan berkaitan pertuduhan ke atas anak guamnya dan Nazran menetapkan 15 Ogos untuk sebutan kes itu.
Bagi tuduhan pertama Raja Petra didakwa memfitnah Rosmah dengan membuat tohmahan di dalam akuan bersumpahnya yang diikrarkan pada 18 Jun 2008 dengan mengetahui bahawa tohmahan tersebut akan merosakkan nama baik Rosmah.
Dia juga melakukan kesalahan yang sama terhadap Abdul Aziz dan Norhayati.
Ketiga-tiga tuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Nazran membenarkan Raja Petra dijamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin atas kesemua pertuduhan. Dia dibawa keluar pada pukul 3.50 petang setelah isterinya Marina Lee Abdullah membayar jaminan tersebut.
Terdahulu Anselm memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua tuduhan tetapi dibantah oleh Chandra dengan merayu jaminan sebanyak RM5,000 sahaja.
Ketika itu Raja Petra bangun sekali lagi dan menyatakan beliau tidak mahu sebarang jaminan dikenakan ke atasnya. Tindakannya itu menyebabkan mahkamah ditangguhkan seketika bagi membolehkan Chandra berbincang dengan anak guamnya itu.
Apabila sidang mahkamah disambung, Chandra merayu mahkamah membenarkan jaminan dalam bentuk bon peribadi tanpa penjamin sahaja ke atas tertuduh kerana anak guamnya itu sentiasa memberi kerjasama kepada polis dan bimbang dengan keselamatannya di dalam penjara.
Bagaimanapun Anselm membantah permohonan itu.
1 comment:
Apakah kesudahan kes ini pula?
Post a Comment