Sunday, July 27, 2008

Pas masuk Umno, Umno masuk Pas

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata cadangan beliau supaya Pas dan Umno dibubarkan bagi membentuk satu parti baru akan dibentangkan pada Muktamar Tahunan Ke-54 parti itu di Ipoh, Perak pada 15 hingga 17 Ogos depan.

Mursyidul Am Pas itu berkata ia bertujuan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan Pas dari seluruh negara berhubung cadangan itu.

"Kita akan bawa usul ini ke muktamar dan saya juga akan menjawab sebarang persoalan berkaitan isu ini," katanyahari ini.

Semalam, Nik Abdul Aziz mencadangkan supaya kedua-dua parti itu dibubarkan dengan menubuhkan sebuah parti baru berlandaskan Islam bagi menyatukan orang Melayu dan sebagai tempat berlindung kepada semua pihak termasuk bukan Islam.

Beliau berkata dengan cara demikian ia dapat mengembalikan kekuatan Islam di negara ini di samping merapatkan hubungan antara kaum termasuk bukan Islam.

Nik Abdul Aziz berkata kesediaan Pas itu adalah sebagai bukti bahawa parti itu bukan sahaja mahu menjaga ketuanan Melayu tetapi juga agama Islam yang turut dianuti oleh bangsa lain.

"Perjuangan Pas sememangnya sudah berlandaskan Islam, tetapi kita tetap bersedia untuk bubarkan parti kerana kita tidak mahu Umno kecil hati jika hanya parti itu dibubarkan.

"Kalau sudah dua-dua bubar, kita bina parti baru berteraskan Islam," katanya.

Pada 23 Julai lepas, Nik Abdul Aziz berkata isu "muqabalah" atau perbincangan secara bersemuka akan turut dibincangkan pada muktamar itu.

Sementara itu, Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, penyatuan antara Umno dan Pas bukan sesuatu yang mustahil kerana kedua-dua parti itu pernah bersatu di bawah sebuah pakatan sebelum ini.

Beliau berkata apa yang lebih penting, kedua-dua parti itu perlu berbincang dengan hati yang ikhlas bagi memastikan penyatuan itu dapat memberi kebaikan kepada mereka.

"Insya-Allah...tiada apa yang mustahil kalau kita lihat kepada sejarah dahulu pun pernah waktu yang lebih runcing lagi pada 1969, akhirnya kita boleh wujudkan satu formula yang lebih besar iaitu pakatan yang dinamakan Barisan Nasional (BN), bersama Pas," katanya.

Ahmad Shabery berkata tiada sebab kenapa kedua-dua parti itu tidak boleh mencari formula untuk bersatu demi kepentingan negara pada masa depan dan ia tidak semestinya melihat hanya untuk orang Melayu dan Islam tetapi perpaduan yang boleh dimanfaatkan oleh semua kaum di negara ini.

Beliau berkata kedua-dua parti berkenaan perlu melihat penyatuan itu dalam konteks yang lebih besar berbanding sebelum ini, terutama dalam menghadapi keadaan sekarang yang lebih mencabar.

Bagaimanapun, ada juga pemimpin Umno yang bersikap negatif terhadap cadangan itu, seperti kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Johari Baharom iaitu Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu.

Katanya, adalah satu perkara yang mustahil untuk membubarkan Umno dan menubuhkan parti baru orang Melayu bersama PAS kerana perjuangan Umno adalah untuk kepentingan semua rakyat.

Beliau berkata Umno bukan hanya untuk orang Melayu dan penubuhan parti baru bagi menyelesaikan masalah orang Melayu tidak ada gunanya kerana matlamat yang diharapkan tidak akan tercapai kerana jelas dasar Umno dan Pas berbeza.

"Umno sebagai tulang belakang kerajaan mempunyai jasa yang amat besar kepada negara dan rekodnya memperjuangkan kepentingan rakyat tidak boleh dinafikan," katanya.

Manakala, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mustapa Mohamed pula berkata dua parti itu tidak perlu dibubarkan dalam usaha menyatukan orang Melayu dengan mewujudkan parti baru sebagai tempat berlindung semua pihak termasuk bukan Islam.

Mustapa berkata bagi mencapai matlamat itu, pelbagai cara boleh dilakukan termasuk bermuzakarah bagi mengekalkan kestabilan politik di negara ini.

"Ini isu yang besar dan memerlukan perbincangan yang mendalam. Tak perlulah bubar. Cumanya cara nak capai perpaduan itu perlu pelbagai kaedah kerana masing-masing mempunyai perjuangan tersendiri.

"Pas ada perjuangan sendiri, Umno ada perjuangan sendiri dan Parti Keadilan Rakyat ada perjuangan sendiri. Jadi yang penting kita nak capai matlamat, tidak perlu ada pertikaian," katanya.

No comments: