Sunday, July 27, 2008

Karpal Singh selar Pas

Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini menyelar langkah Pas mengadakan perbincangan dengan Umno demi masa depan orang melayu dengan mengatakan bahawa langkah itu bersifat perkauman dan tidak sejajar dengan dasar DAP dan Pakatan Rakyat.

Dalam satu kenyataanya hari ini, Karpal berkata:

“PAS ternyata mengundang keraguan tentang kredibilitinya dan berdasarkan perkembangan mutakhir, Pakatan Rakyat perlu menimbang secara serius sama ada PAS patut terus dibenarkan menganggotainya.

“Jaminan Presiden PAS (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat (Parti Keadilan Rakyat dan DAP) bahawa PAS tidak akan meninggalkan pakatan itu bagi menyertai BN adalah tidak ikhlas dan tidak disokong oleh perkembangan kebelakangan ini.

“Selepas pilihan raya umum pada 8 Mac, PAS mengadakan perbincangan dengan Umno bagi membentuk kerajaan campuran di Selangor. Tindakan ini berniat jahat kerana DAP dan PKR tidak dimaklumkan tentang perkara itu."

Mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mencadangkan agar Umno dan PAS dibubarkan dan sebuah parti baru ditubuhkan bagi menyatukan semua orang Melayu, Karpal Singh berkata:

“Pendedahan ini sungguh memeranjatkan dan memberi kesan serius. Kenyataan Nik Aziz ini mengetepikan kenyataan Hadi Awang di Ipoh semalam bahawa PAS tidak akan bergabung dengan Umno atau menyertai Barisan Nasional.

“Jelas sekali, kenyataan pemimpin PAS kebelakangan ini memberi persepsi bahawa mereka akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Minggu lepas, Setiausaha Agung PAS Nasharudin Mat Isa berkata orang Melayu sudah mula mempercayai tuduhan meliwat yang dihadapi Anwar Ibrahim.


“Kenapa Nasharudin buat kenyataan seperti itu? Dengan berbuat demikian, beliau membabitkan Pas secara menyeluruh memandangkan kedudukannya sebagai timbalan presiden. Kenyataan Nasharudin itu bukan saja bersifat menghina dan tidak tepat, malah berupa satu serangan terbuka terhadap Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan usaha untuk merosakkan kredibiliti beliau melalui dakwaan meliwat.

“Pas tidak patut dan tidak boleh dibiarkan berlari bersama arnab dan memburu bersama anjing pemburu bagi mengelaknya daripada dibaham anjing berkenaan".

Beliau berkata pilihan raya umum pada 8 Mac lepas memberi mandat kepada gabungan pembangkang untuk memerintah lima negeri dan mempamerkan dengan jelas bahawa rakyat mahukan sistem dua parti.

“Perkara paling penting, rakyat tidak mengundi mengikut kaum. Pas memilih untuk berusaha bagi menyatupadukan semua orang Melayu dan bukannya berusaha ke arah melaksanakan dasar bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia, sedangkan Pakatan Rakyat ditubuhkan bagi menyatupadukan semua rakyat Malaysia,” katanya.

No comments: