Editorialblog: Pastinya ramai di antara rakyat Malaysia yang menerima maklumat, akan duduk menonton rancangan HARDtalk terbitan BBC pukul 4.30 petang hingga pukul 5 petang tadi.
Masing-masing untuk menyaksikan temubual dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad. Masing-masing ingin mendengar apa kata Tun Dr Mahathir mengenai politik negara ini selepas pilihan raya umum yang lalu.
Tidak ketinggalan para editor MSM. Masing-masing duduk di kerusi untuk mendengar baris demi baris ungkapan Tun Dr Mahathir. Ada yang terlopong dan tidak kurang memuji Tun setiap kali beliau memberi jawapan kepada soalan.
Hingga ada para editor yang berkata: "Begini lah sepatutnya seorang Perdana Menteri berdepan dengan soalan maut dari media Barat". "Pak Lah tak akan boleh menjawap macam tu".
Para editor MSM puas hati kerana Tun Dr Mahathir memberi penjelasan sebenar, walaupun Tun sepatutnya mendedahkan lebih banyak kepincangan dalam pentadbiran Malaysia ketika ini.
Tun Dr Mahathir dalam wawancara khas dengan stesen televisyen British - BBC - tetap mempertahankan semua dasar dan keputusan yang dilaksanakan ketika beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun sehingga berjaya meletak Malaysia di landasan yang betul dan memberi manfaat kepada semua kaum. Baca antara sedutan wawancara Tun Dr Mahathir dan Stephen:
Dalam wawancara selama setengah jam dengan Stephen Sackur, pengendali rancangan HARDtalk, yang disiarkan hari ini, Tun Dr Mahthir memberitahu bahawa kejayaan itu boleh dilihat melalui keputusan lima pilihan raya umum sebelum ini ketika meliau menjadi pemimpin Barisan Nasional dan Umno, yang mendapat majoriti penuh rakyat yang menyokong kepimpinannya.
Beliau berkata kejayaan itu juga adalah melalui hasil sistem pentadbiran dan ideologi parti yang diwarisi daripada pemimpin BN dan Umno terdahulu.
“Keputusan pilihan raya baru-baru ini bukan menunjukkan pengakhiran parti Barisan Nasional (BN) sekiranya langkah yang betul dan tersusun diambil Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Perdana Menteri).
“BN akan menjadi parti pemerintah yang kuat pada masa depan sekiranya berlaku peralihan kuasa,” katanya.
Dalam rancangan itu penonton dapat melihat dengan jelas bagaimana Tun Mahathir dengan yakin menjawab dan 'mematikan atau mematahkan' setipa soalan yang diajukan kepada beliau.
(P/s: Editorialblog tidak yakin Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi mampu cepat atau yakin dan selamba menjawab soalan maut yang diajukan oleh Stephen - Inilah kelebihan Tun Mahathir).
Daripada satu soalan oleh Stephen samada beliau antara punca kekalahan BN dalam pilihan raya lalu berikutan sikapnya yang suka mengkritik kerajaan, Tun dr Mahathir menjawab beliau tidak berfikir begitu.
"Rakyat tidak puas hati terhadap pemerintahan sedia ada yang tidak mengotakan janji mereka semasa memenangi pilihan raya umum 2004 dan meluahkan perasaan itu dengan menyokong pembangkang dalam pilihan raya umum 2008.
“Ramai yang meminta Abdullah meletak jawatan atas kekalahan BN, saya juga begitu, keputusan jelas menunjukkan kelemahan pimpinannya (Abdullah).
“Saya tidak fikir apa yang saya kritik ini sebagai usaha menjatuhkan beliau (Abdullah), namun untuk menyatakan salah laku, dia tidak mengotakan janji untuk membanteras rasuah, dia korup.
“Saya doktor perubatan, kalau saya rasa satu kaki rosak, saya kena buangnya untuk elak keadaan lebih serius. Dia (Abdullah) kena pergi sekarang untuk bagi kemenangan pada parti di masa depan,” kata Tun Dr Mahathir.
Ditanya kekalahan BN itu juga berkaitan dengan ideologi yang dibawanya semasa pemerintahannya dahulu, Tun Dr Mahathir memberitahu bahawa rakyat sentiasa menyokong kepimpinan beliau dan terbukti menerusi kemenangan besar dalam pilihan raya sebelum ini menerusi sistem yang diamalkan sejak 50 tahun lalu.
Beliau turut menafikan kritikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bahawa pemerintahan sebelum ini tidak memberi peluang sama adil kepada semua kaum menerusi pelbagai polisi dan kuota.
Kerajaan pembangkang itu yang mengetuai negeri termaju itu, berikrar untuk membawa perubahan menerusi corak pentadbiran yang bebas rasuah dan memberi peluang sama adil kepada rakyat pelbagai kaum.
“Saya juga buat begitu (masa pemerintahan), lihat Malaysia, rakyatnya hidup mewah, negara membangun pesat dan rakyat semua kaum hidup dengan mendapat peluang yang baik.
Memang mudah bagi pembangkang untuk membuat kenyataan seperti itu,” kata beliau lagi. Mengenai polisi dan hak keistimewaan kaum pula, Tun Dr Mahathir berkata, dasar itu sudah ditetapkan, dan beliau turut membuat pelbagai pengubahsuaian untuk menyeimbangkan keadaan namun rasa tidak puas hati pelbagai kaum tetap wujud.
Mengulas dakwaan tindakan beliau menyumbat ratusan rakyat yang membuat demonstrasi ke pusat tahanan menerusi Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Tun Dr Mahathir membidas media Barat yang suka mereka cerita tanpa bukti yang kukuh.
“Wartawan Barat buat cerita dan buat benda itu macam betul, ia tidak betul, buktikan berapa ratus rakyat yang masuk penjara kerana demonstrasi,” katanya.
Dalam satu soalan, Tun sempat membidas tindakan Amerika Syarikat yang menahan sesiapa saja yang dianggap pengganas dan dipenjarakan tanpa dituduh di mahkamah, tetapi media Barat hanya memejamkan mata.
Tun Dr Mahathir juga menegaskan beliau tidak menyalah guna kuasa sehingga menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjara atas pelbagai tuduhan. “Dia (Anwar) dipenjara atas tuduhan liwat, salah guna kuasa, bukan saya yang tuduh dan jatuh hukuman, tetapi mahkamah.
"Kita buat mengikut undang-undang negara dan kenapa saya perlu rasa kesal (memecat Anwar), dia bersalah dan mahkamah sudah menjatuhkan hukuman, saya patut terima,” katanya.
Ditanya sekiranya Anwar mengambil tindakan terhadapnya apabila menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata Anwar boleh berbuat demikian namun pemimpin sedia perlu dipersalahkan sekiranya perkara itu berlaku (Anwar memerintah).
Tun Dr Mahathir juga melahirkan keyakinan dengan ketelusan sistem kehakiman pada zaman pemerintahannya dan mempersoalkan usaha Abdullah Badawi membuat pembayaran ex-gratia kepada enam bekas hakim yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988.
“Bukan saya yang lantik hakim, mereka dilantik oleh ketua hakim, tugas saya hantar nama kepada Yang DiPertuan Agong, siapa yang jadi hakim,” katanya.
Ditanya mengapa beliau memilih Abdullah sebagai penggantinya, Tun Dr Mahathir berkata Abdullah seorang yang bersih dari segala tuduhan dan beliau tidak fikir penggantinya akan berbuat sesuatu yang tidak baik pada negara.
“Walaupun dia bukan mendapat undi tertinggi dalam parti saya, tapi saya lantik dia, tapi orang ini membuat sesuatu untuk kepentingan keluarga, melebihi kepentingan negara,” katanya yang mengakui semua orang ada membuat kesilapan.
Tun Dr Mahathir berkata, rakyat tidak perlu bimbang dengan kritikannya kerana beliau berbuat demikian demi tanggungjawab terhadap negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment