Wednesday, April 16, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 9)

Persoalannya - mungkinkah peristiwa Umno diharamkan dan ahli Umno berpecah berulang. Mungkinkah ini adalah perancangan dari mula lagi pihak tertentu dalam Umno sendiri untuk menghancurkan Umno. - Demikian antara ulasan diberikan oleh AKD ketika memberi komen terhadap kiriman Apa Kata Editor MSM (Bhg 8) dan saya mengucapkan terima kasih atas ulasan itu. Anda boleh membaca sepenuhnya ulasan AKD dalam ruangan komen.
Editorialblog berpendapat AKD mempunyai pandangan yang jauh, melangkaui semua pemikiran yang jauh. Jarak pemikiran AKD bagaikan beliau seorang pemikir (think tank) dan layak saya katakan AKD adalah 'pemikir strategi'. Yang pasti semua pihak terutama ahli Umno bimbang tragedi 1988 akan berulang.
Editorialblog: Tanda-tanda bahawa Umno sudah berpecah kini kelihatan dengan terang dan jelas apabila Tengku Razaleigh Hamzah, Datok Seri Hishammuddin Hussein, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Mohamad Khir Toyo dan beberapa pemimpin kanan Umno yang lain membuka langkah silat masing-masing.
Sudah tentu media arus perdana tidak mendedahkan dan menyiarkan berita perpecahan itu. Kita akui MSM ada tanggungjawabnya dalam mengelak 'retak menjadi belah' dan sebab itu berita-berita mengenai rasa tidak puas hati akar umbi Umno tidak disiarkan. Jika disiarkan hanya menjadi berita kaki saja. MSM sebenarnya tidak menyampaikan hal sebenar kepada pemimpin atasan. Kebanyakan pemimpin atasan Umno dan BN terutamanya Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lebih mengharapkan maklumat disampaikan menerusi media arus perdana. Ini menyebabkan beliau sendiri disogok dengan berita yang baik-baik, sedangkan di akar umbi segalanya berbeza.
Editorialblog: Melalui pengalaman berpuluh tahun dalam dunia penulisan, kewartawanan dan editor(ial) saya membuat agakan, rencana pengarang di muka depan akhbar Berita Harian dan New Straits Times hari ini ditulis oleh orang yang sama. Dari gaya bahasanya juga kalangan para editor MSM sudah mengetahui siapa yang menulis. Siapa pula yang memberi arahan juga amat mudah diketahui, tetapi apakan daya kerana mereka terikat dengan 'pekerjaan'. Boleh kita katakan bahawa mereka belum bersedia untuk meninggalkan kerusi sekerang sama juga dengan Pak Lah. Mereka kononnya dikatakan belum memiliki apa-apa sebagai sumber pendapatan jika melepas atau terlepas kerusi itu. Tetapi, pada peringkat editor MSM juga mengetahui bahawa orang-orang ini (melalui orang terapat) sudah mempunyai projek tertentu sebagai persediaan.
Editor 1: Sama seperti jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau Presiden Umno dan Timbalan Presiden Umno, antara Pak Lah dan Najib begitu juga lah di peringkat editorial MSM. Ada editor kanan yang terang-terang menentang Pak Lah dan ada juga yang berdiam diri. Ada yang mengabdikan diri semata-mata untuk media yang diwakili. Editor ini hanya mahukan yang terbaik untuk media mereka dan tidak pedulikan sangat siapa yang akan berada di atas.
Lantaran itu editorialblog menerima maklumat bahawa ada di kalangan editor kanan Berita Harian dan New Straits Times semakin kecewa dengan tindakan boss mereka yang meletakkan rencana pengarang di muka depan. Dua syarikat akhbar itu dikatakan menerima panggilan dari orang ramai yang mempertikai mengenai tulisan dalam rancana itu. Kebanyakannya kesal kerana akhbar berkenaan membangkitkan semula isu perobohan kuil oleh kerajaan Selangor ketika BN memerintah.
Dua akhbar itu walaupun sekadar memberi contoh punca kekalahan BN, telah memainkan dan membangkitkan semula isu sentimen agama. Orang ramai berpendapat editor kanan dua akhbar itu patut diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri yang dipimpin pemimpin kanan Umno Johor, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Editor 2: Berbalik kepada isu perpecahan dalam Umno, para editor MSM juga berpendapat Karpal Singh dan anaknya Gobind Singh serta anggota pembangkang yang lain patut menutup mulut dan berdiam diri. Mereka tidak perlu masuk campur dalam urusan Umno dan BN kerana selama ini merekalah yang banyak merosakkan perpaduan dalam negara. Memang banyak maklumat yang diterima oleh para editor kanan MSM mengenai tindak tanduk pembangkang yang kini terlalu 'gembira' selepas menang banyak kerusi dalam pilihan raya lalu.
Editorialblog: Kegagalan Pak Lah mentadbir dan mengurus bukan saja BN dan Umno malah negara menyebabkan rakyat negara ini malu kepada dunia luar. Media antarabangsa turut menyiarkan berita mengenai kelemahan Pak Lah dan menyiarkan gambar Pak Lah sedang tidur, sama seperti bekas Presiden Indonesia Gus Dur dahulu. Kebimbangan nyata yang disuarakan oleh AKD ketika memberi komennya iaitu:
"Mungkinkah ini adalah perancangan dari mula lagi pihak tertentu dalam Umno sendiri untuk menghancurkan Umno". Satu persoalan yang mengundang 1,001 pertanyaan, kebimbangan dan kewaspadaan. Tidakkan pemimpin kanan dan orang lama dalam Umno 'tercium' perkara ini sedangkan para editor kanan MSM sudah lama 'tercium' baunya? Jika mereka terus tidak menyiasat dan membiarkan saja perkara ini, mereka adalah orang yang PEKAK, kerana membiarkan Umno dimusnahkan. Orang yang akan memusnahkan Umno boleh lari ke luar negara kerana sudah memiliki aset berjuta-juta dolar di luar negara.
Editorialblog: Teringat seorang rakan yang katanya pernah berdiri di depan pintu helikopter untuk melakukan terjunan paracut. Katanya, sebelum terjun mereka akan bernyanyi yang bunyinya seperti ini:
"Bila lampu merah menyala
Tegak berdiri di depan pintu"
Maaflah... yang lain saya tidak ingat. Tetapi lampu Umno sudah merah dan siapa yang akan berdiri di depan pintu?

1 comment:

Anonymous said...

Saya berterima kasih kepada Editorialblog kerana memanjangkan persoalan saya berkenaan kemelut dalaman Umno. Saya bagaimanapun agak terkejut dengan komen dan gelaran yang diberikan kepada saya.
Saya cuma memberikan sedikit pandangan yang dirasai perlu diluahkan demi sayangkan Umno.
Saya merasakan menyiarkan article dimuka depan akhbar BH & NST hari ini adalah satu lagi kesalahan atau misjudgement pihak Pak lah. Article tersebut akan membuatkan akar umbi Umno lebih membenci Pak Lah.
Saya pernah menengahkan persolan berikut - renungkanlah rintitan kesalahan/misjudgement pertadbiran Pak Lah. Adakah kesemua kesalahan dan misjudgement ini disengajakan? Renungkanlah

akd