Tuesday, April 15, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 8)

Kenyataan Presiden Umno Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk terus memimpin parti terbesar orang Melayu dan bertanding mengekalkan jawatan dalam pemilihan Disember ini mengundang kekecewaan ahli Umno akar umbi.
Ternyata, Pak Lah sekali lagi melakukan 'pembohongan' kepada rakyat terutama ahli Umno dan Barisan Nasional apabila menyatakan beliau akan bertanding jawatan Presiden Disember ini.
Editorialblog: Selepas Pak Lah membuat kenyataan itu, akar umbi semakin gelisah. Bukannya mereka meminta sangat supaya Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menggantikan Pak Lah, tetapi yang penting kata mereka ialah Pak Lah undur diri segera, untuk pulihkan Umno.
Editor 1: Pokok pangkalnya adalah kepada Pak Lah. Malah, rakyat dan penyokong Umno mula geram apabila pemimpin pembangkang terutama Karpal Singh menyokong Pak Lah. Sokongan itu kata mereka akan membawa rebah dan akan memusnahkan Umno serta BN. Pembangkang bagi mereka memang mahu Malaysia dipimpin seorang yang lemah seperti Pak Lah supaya mudah mereka menyusun strategi untuk mengalahkan Umno dan BN dalam
pilihan raya umum ke 13 nanti.
Itu adalah taktik mereka, tetapi Pak Lah yang lemah itu dikatakan termakan dengan sokongan diberikan pembangkang. Pak Lah gembira pembangkang sudah menyokong beliau, tetapi beliau tidak menyedari bahawa rakan beliau sendiri kini 'menjauhkan diri' kerana perbuatannya.
Editor 2: Pak Lah tidak mahu tinggalkan Umno yang sedang kucar kacir kepada penggantinya. Itulah yang Pak Lah kata dan Pak Lah akhirnya mengaku bahawa Umno sekarang dalam keadaan terumbang ambing dan kucar kacir. Ini semua gara-gara beliau dan menantunya Khairy Jamaluddin. Tetapi keadaan akan lebih teruk kalau Pak Lah terus berada sebagai pemimpin Umno dan BN.
Wartawan: Pembangkang hanya menunggu masa untuk menjatuhkan kerajaan. Walaupun, editorialblog tidak percaya Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang untuk membentuk kerajaan, perkara itu tidak boleh dipandang remeh. Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah bertindak menyebelahi Semangat 46 dan menikam BN dari belakang. Perkara itu boleh berulang kerana PBS umpama lalang.
"(Penting peralihan) dalam keadaan baik supaya parti yang ditinggalkan berada dalam keadaan baik. Saya tak mahu tinggalkan parti dalam keadaan kelam kabut. Saya kata pada (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) selamat maju jaya, itu masalah anda bukan masalah saya, tentu itu bukan caranya. Takkan kita nak... tiba-tiba... mana Pak Lah? dia dah berhenti dah. Itu bukanlah caranya.
Editor 1: Pak Lah tidak perlu menggunakan alasan itu untuk berundur. Akar umbi sudah tahu taktik itu. Pak Lah hendak kekal sebagai Presiden, Pak Lah akan bertanding untuk jawatan Presiden dan dalam masa yang sama menantunya juga akan bertanding jawatan nombor satu dalam Pemuda Umno. Jika memerintah maka mudahlah bagi Pak Lah dan KJ untuk mengenepikan orang yang tidak disukai mereka termasuk Najib dan Muhyiddin. Mereka boleh letak pemimpin-pemimpin yang lemah untuk mentadbir negara.
Editorialblog: Percaya jika Pak Lah tidak berundur segera BN dan Umno akan terus berpecah belah. Ahli Umno kini mula menyedari kenapa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas Pak Lah. Ada kebenarannya kerana tindak tanduk Pak Lah sekarang tidak mencerminkan beliau sebagai pemimpin yang berwibawa.
Wartawan: Desakan supaya Pak Lah meletak jawatan sebenarnya bertujuan untuk menyelamatkan UMNO. Kerana disebabkan Pak Lah anak beranak, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor jatuh ke tangan PKR, PAS dan DAP. Adakah sejarah akan tertulis dalam buku BN dan Umno:

"Ketika pilihan raya umum ke-12, BN dan Umno masih mampu membentuk Kerajaan Persekutuan walaupun tidak mendapat majoriti dua pertiga."
Atau sejarah akan ditulis begini:

"Dalam pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008 ketika di bawah kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi, BN dan Umno berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan tanpa majoriti dua pertiga. Dalam pilihan raya itu juga BN dan Umno menerima tamparan paling hebat apabila empat negeri yang sebelum ini di bawah kekuasaan BN selama berpuluh tahun jatuh ke tangan pembangkang, sementara Kelantan pula gagal dirampas."
Editorialblog: Jika Pak Lah hendak memulihkan Umno, adalah lebih sesuai meletak jawatan dan tidak perlu bertanding lagi dalam pemilihan Umno. Berfikirlah dengan baik demi survival orang Melayu dan Umno. Majoriti para editor MSM bukan penyokong Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama mereka juga mahu Pak Lah berundur.

1 comment:

Anonymous said...

Saya bersetuju dengan Editoralblog bahawa Pak Lah sesuai meletakan jawatan dan tak perlu bertanding lagi dalam permilihan Umno akan datang. Saya percaya keadaan akan menjadi lebih rumit buat Umno untuk pulih.
Saya juga percaya keadaan ini akan membuatkan Datuk Seri Najib dalam situasi yang serba salah.Datuk Seri Najib harus membuat pilihan dan keputusan samada hendak menyokong Pak Lah atau tidak. Jika Pak Lah bertanding jawatan Presiden dan jika Datuk Seri Najib menyokongnya maka jawatan yang ada cuma Timbalan Presiden.
Jawatan Presiden pula akan dicabar oleh Tengku Razaleigh dan Tan Sri Muhyiddin yang telah mengorak langkah juga terpaksa membuat pilihan samada untuk kekal ditakuk sekarang atau bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Jika jawatan Presiden ditandingi oleh Pak Lah dan Ku Li dan Timbalan Presiden oleh Najib dan Muhyiddin maka dijangka akan ada pertandingan yang sengit. Saya percaya berdasarkan keadaan semasa, Pak Lah akan kalah dan akan juga memyebabkan kekalahan Datuk Seri Najib. Maka akan ada seorang lagi Timbalan PM yang tidak kesampaian untuk menjadi PM.
Persoalannya - mungkinkah peristiwa Umno diharamkan dan ahli Umno berpecah berulang. Mungkinkah ini adalah perancangan dari mula lagi pihak tertentu dalam Umno sendiri untuk mehancurkan Umno.

akd