Monday, April 7, 2008

Bertanding secara baik wahai Pemuda

Datuk Mukhriz Mahathir iaitu anak kepada bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta semua ahli sayap kiri Umno iaitu Pemuda, di seluruh negara supaya benar-benar memahami hasrat beliau untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan itu, Disember ini.
Berucap di majlis `Umno Masih DiHati' anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Larut, di Dataran Umno Batu Kurau, Perak, malam tadi Mukhriz berkata, beliau sedia menawarkan diri mengisi jawatan itu dan berharap mendapat sokongan penuh daripada semua pergerakan Pemuda bahagian.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jerlun, Kedah, berkata, komitmen dan kecintaan kepada Umno adalah pendorong kuat kepada beliau untuk menawarkan diri bertanding bagi jawatan itu.
"Saya mahu Pergerakan Pemuda Umno akan terus kukuh dan mantap dalam menangani pelbagai isu, termasuk bagi mengembalikan sokongan rakyat terhadap Umno," katanya.
Beliau memberi jaminan untuk berusaha lebih gigih bagi memperkasakan Umno dan yakin dengan sokongan ahli Pergerakan Pemuda, ia akan memberi semangat serta keyakinan kepada beliau mencapai hasrat itu.
Editorialblog menerima maklumat bahawa kini kemana saja Mukhriz hadir atau akan menyampaikan ceramah, ia akan mendapat sambutan bukan saja di kalangan ahli Pemuda malah pada peringkat bahagian.
Mukhriz pada majlis itu turut mengingatkan setiap ahli Pemuda Umno sama ada diperingkat cawangan, bahagian dan tertinggi parti hendaklah menjalankan peranan yang terbaik dalam menyampaikan mesej parti kepada rakyat.
"Sebagaimana pihak akar umbi sentiasa mendengar suara dan kehendak pucuk pimpinan maka pihak atasan pula wajar mendengar dan mengakui hakikat kehendak yang disuarakan oleh pihak akar umbi.
"Malah kita mahu hubungan dan komunikasi antara peringkat atasan dan bawahan ini mestilah difahami dan direstui jika ia ternyata baik," katanya.
Sementara itu, Mukhriz berkata, semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau akur dengan nasihat bapanya yang tidak mahu beliau terlibat secara aktif dalam politik bagi mengelakkan pelbagai persepsi dan prasangka orang ramai walaupun sebenarnya amat berminat dalam politik.
Editorialblog masih bertatih dalam dunia politik. Bagaikan buah cempedak di luar pagar. Namun, kebanyakan maklumat ada di hujung mata pena Editorialblog. Mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang dan ini sudah terbukti dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.
Apa yang Editorialblog harapkan, biarlah pertandingan (jika ada) bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada Disember ini benar-benar bersih.

No comments: