Thursday, July 3, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 42 - Membaca strategi DSAI)

Kenapa Kedutaan Turki, bukan Kedutaan Amerika? Kalau Kedutaan Amerika maka terdedahlah bahawa DSAI memang pro-Amerika dan sentiasa mendapat bantuan Amerika. Apabila DSAI bersembunyi di Kedutaan Turki (negara Islam sekular) maka orang ramai dan penyokongnya berpendapat bahawa DSAI berlindung di sebuah negara Islam, bukan negara kafir dan ini membuktikan DSAI tidak bersalah dan DSAI tidak meminta bantuan negara kafir, tetapi tetap meminta pertolongan negara Islam. Itulah strategi DSAI.
Tapi, husin lempoyang ada pendapat lain mengapa DSAI bersembunyi di Kedutaan Turki. Baca
sini. Itu pendapat husin lempoyang!
Dan kini DSAI semakin gelabah apabila orang ramai sudah dapat berfikir mengenai bermacam-macam isu. Apatah lagi isu liwat yang hangat diperkatakan sekarang. Macam-macam yang kini sudah dikeluarkan dalam MSM atau laman web dan blog mengenai kejadian terbaru itu dan perangai DSAI.
Editorialblog membaca komen yang ditulis dalam laman blog MYKMU Net bahawa DSAI pernah diminta bersumpah dengan nama Allah ketika tuduhan kali pertama dahulu pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi DSAI tidak mahu.
Baiklah! Editorialblog ingin memberi sedikit maklumat daripada seorang ulama untuk dikongsi bersama di sini:
Agama Islam mewajibkan seseorang umatnya untuk bersumpah dengan nama Allah SWT apabila sesuatu tuduhan dan perbuatan itu tidak boleh dibuktikan benar atau tidak pernah berlaku. Orang yang membuat tuduhan dan orang yang kena tuduh adalah wajib untuk bersumpah untuk mempertahankan diri mereka. Kerana bersumpah dengan nama Allah adalah jalan penyelesaian terakhir ke atas tuduhan yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya dan bagi mempertahankan diri orang yang kena tuduh.
Dalam kewajipan bersumpah itu pula, ada dua sumpah yang perlu dilafazkan iaitu:
1) Pengakuan bersumpah dengan nama Allah sebanyak empat kali; dan
2) Pengakuan bersumpah sanggup menerima laknat dan bala Allah di muka bumi jika berbohong.
Kedua-dua sumpah itu perlu dimulakan oleh orang yang membuat tuduhan, diikuti orang kena dituduh.

Inilah antara langkah yang perlu dilakukan seseorang umat Islam yang mahu mempertahankan dirinya daripada tuduhan yang didakwanya tidak benar tetapi bagi satu pihak lain mengatakan kejadian itu pernah berlaku.
Jumaat lalu, seorang pembantu DSAI, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat aduan polis mendakwa diliwat Penasihat PKR itu di sebuah kondominium, di Bukit Damansara, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Anwar menafikan laporan itu dan mendakwa ia rekaan semata-mata dan menyifatkannya sebagai percubaan terdesak kerajaan untuk menyekat karier politiknya serta mendakwa wujud elemen konspirasi membabitkan pihak atasan walaupun perkara itu terus dinafikan.
DSAI berkata beliau akan memulakannya dengan satu bukti peringkat awal pengakuan bersumpah berserta keterangan tambahan bahawa Mohd Saiful mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Sumpah dengan nama Allah itu pula wajib dilakukan di masjid atau Mahkamah Syariah didepan hakim atau orang yang arif mengenai Islam.
Kalau sumpah hendak dilakukan di Mahkamah Syariah, hakim yang akan mendengar sumpah itu akan menjadi saksi sumpah akan memberitahu secara tegas mengenai hukum kepada orang akan mengangkat sumpah dan perlu dilakukan dengan penuh tanggungjawab sebagai orang Islam dan faham apabila bersumpah dengan nama Allah. Dan apabila seseorang melafazkan dua sumpah itu tetapi dia sebenarnya berbohong, tunggulah laknat dan bala daripada Allah SWT di muka bumi lagi, selain di akhirat. Sebab itu Islam tidak membenarkan umatnya membuat tuduhan ke atas seseorang dengan perkara tidak benar.
Tuduhan tidak benar akhirnya membawa kepada fitnah dan hukum dosanya lebih besar daripada membunuh.
Dalam hal ini, beranikan DSAI dan Mohd Saiful untuk bersumpah dengan nama Allah bagi menunjukkan mereka benar. Bagi mengembalikan kesedaran umat Melayu Islam sekarang terhadap maruah agama dan bangsa.
Ingin ditegaskan di sini, bahawa di kalangan pembaca blog dan laman web di Malaysia, masih ada antara mereka yang gagal membuka minda untuk melakukan perbincangan yang berfaedah. Kepada mereka yang berminda rendah seperti ini editorialblog sepatutnya tidak mahu melayan, namun sengaja komen-komen itu disiarkan supaya pembaca lain dapat menilai bagaimana rendahnya minda sesetengah penyokong DSAI.
Mereka yang berminda rendah seperti ini lah yang menjadi tumpuan DSAI untuk mencari pengaruh kerana mereka tidak dapat berfikir dan menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Apa yang editorialblog nyatakan dalam Bahagian 41 itu adalah berdasarkan pengalaman yang dilalui sebagai wartawan sejak awal tahun 80-an lagi. Pengalaman yang dikumpul sebagai wartawan yang menulis bermacam-macam berita sama ada jenayah, politik, sosial, sukan, wanita dan lain-lain. Lengkap sebagai seorang wartawan yang mempunyai pengaruh dan sumber maklumat dalaman yang layak dipercayai.
Tidak pula mahu mengajak pembaca mempercayai apa yang diterangkan dalam editorialblog ini, sama juga editorialblog tidak meminta pembaca mempercayai apa yang ditulis oleh penulis-penulis blog yang lain.
Marilah sama-sama kita berfikir sama ada untuk menjadi manusia atau haiwan.
Sudah menjadi resam dunia bahawa apabila kita menyokong seseorang itu maka kita akan mendapat pujian melangit, tetapi apabila kita menentang maka kita akan dikutuk habis-habisan. Editorialblog ingin menjelaskan bahawa laman ini bukan 100 peratus menyokong kerajaan. Laman ini menyokong juga beberapa pemimpin pembangkang yang terpilih saja (Terpilih berdasarkan banyak aspek seperti pendapat mereka bekerja untuk rakyat serta latar belakang mereka). Kita lupakan hal itu seketika.
Malam tadi hampir 15,000 orang memenuhi ruang di Stadium Malawati di Shah Alam. Mereka datang untuk mendengar ucapan DSAI selepas beliau keluar dari Kedutaan Turki. Dan yang datang itu ada antaranya penyokong beliau dan ada juga orang seperti editorialblog yang hanya mahu mendengar apa yang hendak dikatakan oleh DSAI kali ini.
Seperti lazimnya, itulah wajah DSAI. Tempik sorak bergema di Stadium Malawati mengajak penyokongnya melakukan reformasi untuk merampas kerajaan. Dulu pun itulah yang dijeritkannya di Kuala Lumpur iaitu mengajak orang ramai melakukan reformasi dan demonstrasi untuk mengkucar kacirkan negara. Inikah bakal pemimpin yang wajar dijadikan contoh. Bekas-bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri Malaysia sekarang, begitu juga menteri-menteri yang ada sekarang tidak pula menjawat jawatan mereka dengan melakukan
demonstrasi dan bantahan jalanan.
Editorialblog pada bahagian 41 tidak menafikan pernah menyokong DSAI, tetapi sama dengan orang yang sedar siapa DSAI maka sokongan itu berubah. Editorialblog sekali lagi akui jasa DSAI dalam pentadbiran negara.
Pada editor kanan MSM juga mengakuinya. Tetapi, dalam memberi sokongan kepada sesiapa saja editorialblog dan para editor kanan MSM berpendapat perlu dibuat kajian dan siasatan terlebih dahulu merangkumi banyak aspek. Bukan satu dua aspek saja, tetapi lebih lagi untuk memastikan apa yang kita sokong itu benar-benar boleh diterima dek akal.
Sama seperti kes terbaru DSAI itu. Editorialblog mencari dan mendapatkan banyak maklumat dari sumber sendiri. Maklumat itu bukan saja dicakap oleh penyokong kerajaan, tetapi juga penyokong pembangkang termasuk penyokong DSAI dan PKR sendiri. Tentu pembaca tidak percaya bahawa ada di kalangan pemimpin kanan DAP yang tidak sukakan DSAI. Tetapi pembaca yang tidak percaya itu tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak mendengar sendiri daripada pemimpin DAP berkenaan. Maksudnya, dengar sendiri pemimpin DAP itu bercakap secara berdepan - satu sama satu dengan pembaca. Editorialblog sudah mendengarnya satu dan satu dengan pemimpin pembangkang itu.
Orang yang tidak bersalah tidak perlu takut. Kaji secara mendalam apa yang berlaku satu demi satu. Kenapa DSAI baru sekarang buat aduan polis mengenai isu 1998? Fikirkan lah!
Berikut teks laporan polis yang dibuat di ibu pejabat polis kontinjen Selangor di Shah Alam petang 1 Julai lalu:
Saya, Anwar bin Ibrahim (No K/P: 470810-07-5095), sesungguhnya di sini membuat laporan polis berikut berdasarkan maklumat yang telah saya perolehi baru-baru ini.
1. Laporan ini adalah berkaitan dengan siasatan terhadap serangan fizikal yang dilakukan ke atas saya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (“Rahim Noor”) pada 20hb September 1998. Saya percaya Tan Sri Rahim Noor, selepas didakwa, telah mengaku bersalah atas tuduhan serangan fizikal tersebut. Saya telah membuat laporan polis berkenaan serangan fizikal tersebut pada 27.9.98.
2. Berkaitan dengan penyiasatan terhadap serangan fizikal tersebut, saya percaya bahawa Pegawai Penyiasat, ACP Mat Zain bin Ibrahim (sekarang Datuk Mat Zain) telah melakukan satu penyiasatan yang mendalam dan menyeluruh dan menyediakan satu kertas siasatan (“IP”) yang telah kemudiannya pada Oktober 1998, menyerahkannya kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Mokhtar Abdullah (“Tan Sri Mokhtar”) serta pasukannya yang antaranya termasuklah Peguam Negara sekarang Tan Sri Gani Patail untuk tindakan lanjut.
3. Kertas siasatan tersebut telah menyimpulkan bahawa Tan Sri Rahim Noor adalah pelaku serangan fizikal tersebut ke atas saya. Kertas tersebut telah membuat kesimpulan setelah siasatan menyeluruh dilakukan, dengan mengambilkira laporan perubatan daripada pakar forensik daripada Hospital Kuala Lumpur seperti Dr. Ab. Halim Haji Mansar dan Dr. Zahari bin Noor dan kenyataan dari sekurang-kurangnya 60 orang saksi.
Laporan perubatan tersebut menyimpulkan bahawa kesan kecederaan yang dilakukan ke atas saya adalah konsisten dengan satu serangan fizikal.
4. Walaupun kandungan kertas siasatan dan lapuran perubatan yang tersedia, Tan Sri Mokhtar dengan bantuan Peguam Negara hari ini dan, Tan Sri Gani Patail telah mendapatkan khidmat seorang pegawai perubatan bernama Dr. Abdul Rahman bin Yusof (Dr. Abdul Rahman).
5. Dr. Abdul Rahman dalam satu laporan tidak bertarikh menyediakan laporan kedua yang menyentuh “lakonan semula tempat kejadian” pada 14 Disember 1998. Saya percaya bahawa “lakonan semula tempat kejadian” tersebut tidak pernah berlaku.
6. Adalah satu fakta yang tidak disangkalkan bahawa laporan perubatan Dr Abdul Rahman berhubung serangan yang dilakukan terhadap saya disediakan tanpa langsung melakukan pemeriksaan fizikal ke atas saya terlebih dahulu.
7. Walaupun sudah ada kertas siasatan dan laporan kesihatan yang lengkap, Tan Sri Mokhtar dalam kenyataan akhbarnya bertarikh 5 Januari 1999, menerima pandangan yang diberikan oleh Dr. Abdul Rahman mengenai apa yang dikatakan sebagai “perkara-perkara tidak konsisten” dalam laporan perubatan doktor-doktor lain yang telah menjalankan pemeriksaan fizikal ke atas saya.
8. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar juga menyatakan siasatan yang telah dijalankan tidak dapat mengenalpasti individu atau mereka yang menyebabkan kecederaan ke atas saya. Ini sesungguhnya bercanggah dengan laporan siasatan yang selesai dilakukan menjelang Oktober 1998 yang menyimpulkan bahawa Rahim Noor menyerang saya. Tan Sri Mokhtar dan pasukannya dengan itu telah secara sengaja mengelirukan masyarakat. Apabila siasatan polis menjadi tidak lengkap, orang ramai menjadi resah dan menuntut ditubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Tan Sri Mokhtar juga telah membuat kenyataan palsu bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada beliau hanya pada 19.11.98. Saya percaya Tan Sri Gani Patail ada
makluman penuh tentang kenyataan palsu yang terkandung dalam kenyataan akhbar tersebut.
9. Saya juga percaya Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Gani Patail telah hadir di Bukit Aman pada 20 September 1998 dan mengetahui mengenai serangan Tan Sri Rahim Noor terhadap saya. Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani selanjutnya menyembunyikan fakta mengenai serangan terhadap saya dari pengetahuan umum sehinggalah mata saya yang lebam dan kecederaan yang saya alami didedahkan di mahkamah.
10. Saya percaya kedua-dua Tan Sri Musa dan Tan Sri Gani Patail secara aktif terlibat dalam menyediakan laporan kedua tidak bertarikh oleh Dr. Abdul Rahman yang telah membuat kesimpulan palsu dan pelik seperti “the pattern and nature of the injuries are not consistent with a direct blow” [“bentuk dan ciri kecederaan adalah tidak konsisten dengan pukulan secara langsung”], “accidental nature of the injuries could not be ruled out” [“kemungkinan kecederaan ini disebabkan oleh kemalangan tidak boleh ditolak”] dan “self-inflicted nature of the injury should be considered” [kemungkinan kecederaan disebabkan
perbuatan sendiri harus diberikan pertimbangan”]. Mereka mengarahkan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini dan bertindak di bawah pengarahan dan/atau bersama Tan Sri Mokhtar Abdullah.

11. Semua fakta-fakta ini menunjukkan Tan Sri Musa Hassan, Tan Sri Gani Patail dan SAC II Datuk Mat Zain bin Ibrahim (individu, yang menurut Dr. Abdul Rahman dalam lapurannya, telah mengiringi beliau ke sel di Bukit Aman di mana saya ditahan dan terlibat dalam apa yang didakwa ‘lakonan semula tempat kejadian’) telah berpakat dengan Dr. Abdul Rahman untuk menyediakan lapuran kedua ini. Ini telah dilakukan agar lapuran polis saya bertarikh 27.9.98 mengenai serangan tersebut akan dikira sebagai lapuran polis palsu dan saya boleh didakwa, atau sekurang-kurangnya merosakkan kredibiliti saya bagi memberi kesan buruk terhadap pembelaan saya dalam kes-kes jenayah yang mana saya telah didakwa melakukan ‘korupsi’ dan liwat bagi membolehkan saya didapati bersalah.
12. Saya ingin menyatakan bahawa Tan Sri Gani Patail adalah pegawai pendakwa kanan yang membantu Tan Sri Mokhtar dalam membuat pendakwaan ke atas saya. Tan Sri Musa Hassan adalah Pegawai Penyiasat dalam pendakwaan terhadap saya. Saya juga percaya, satu tindakan yang tidak pernah dibuat sebelum ini telah diambil apabila satu bilik operasi khusus telah disediakan di Bukit Aman untuk menguruskan pendakwaan saya dan di mana mereka akan berjumpa secara kerap.
13. Ini bukanlah kali pertama dakwaan mengenai pemalsuan bukti dibuat berkaitan Tan Sri Gani Patail. Saya dimaklumkan bahawa dalam keputusan Mahkamah Persekutuan Zainur bin Zakaria v Public Prosecutor [2001] 3 MLJ, Steve Shim, Hakim Besar, dalam penghakiman beliau menyatakan bahawa “… was he not justified, on a prima facie basis, in complaining that Tan Sri Gani Patail’s conduct at the meeting on 2.10.1998 was an attempt to get Nalla to fabricate evidence in order to perfect charges against him for other alleged sexual offences?”
Perkataan “he” dan “him” dalam ayat di atas merujuk kepada diri saya.
14. Berkenaan perkara di atas, saya merujuk kepada dokumen berkenaan bagi membantu siasatan polis:
a. Kenyataan akhbar Tan Sri Mokhtar yang dibuat pada 5.1.99.b. Nota prosiding dalam lapuran Suruhanjaya DiRaja berkaitan keterangan Dr Abdul Rahmanc. Laporan Kesihatan kedua yang dibuat oleh Dr. Abdul Rahman yang terkandung dalam lapuran Suruhanjaya.
15. Saya memohon diadakan satu siasatan baru terhadap pemalsuan bukti yang mana saya telah dinasihati sebagai satu kesalahan di bawah seksyen 192 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 7 tahun.
Saya memohon agar setiap individu yang terlibat dalam menyediakan laporan kedua oleh Dr Abdul Rahman ini iaitu Tan Sri Gani Patail, Tan Sri Musa Hassan, Dr. Rahman dan Datuk Mat Zain bin Ibrahim disiasat secara terperinci agar kebenaran diperolehi dan sebarang salah laku dihukum.
Anwar bin Ibrahim

1 Julai 2008

DSAI tahu bahawa beliau akan disiasat oleh polis, maka beliau membuat aduan terhadap pegawai tertinggi polis serta Abdul Gani dengan harapan apabila kes beliau itu menjadi kebenaran, maka orang ramai terutama penyokong beliau akan mendakwa bahawa itu adalah satu komplot untuk menjatuhkan DSAI. Mereka akan menyalahkan polis dan pendakwa dan mereka akan mendakwa bahawa polis serta pihak pendakwa tidak boleh menjalankan siasatan kes itu kerana DSAI sudah membuat laporan wujudnya komplot. Ini adalah apa yang difikirkan oleh editorialblog dan para editor kanan. Perlu diingat bahawa kami bukannya 100 peratus penyokong kerajaan. Kami juga menyokong pemimpin pembangkang seperti yang dinyatakan di atas tadi.

No comments: