Menteri Besar Terengganu hari ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri pimpinan beliau tidak pernah berniat untuk menjatuhkan imej bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh berhubung kenyataan yang menyebut kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive yang pernah digunakan Idris adalah yang tertinggi di kalangan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.
Menurut Datuk Ahmad Said kenyataan yang diberikan berkaitan kos itu tidak ditujukan kepada Datuk Seri Idris.
"Bukan dia salah guna, cuma (kebetulan) kereta itu digunakan oleh Menteri Besar. Sebenarnya jumlah itu silap dan Setiausaha Kerajaan Negeri (Datuk Mokhtar Nong) telah pun membuat permohonan maaf," katanya.
Datuk Ahmad Said juga enggan mengulas mengenai tindakan Idris Jusoh melantik seorang peguam untuk meneliti dan memikirkan tindakan susulan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Ahmad berkata, anggota Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri akan menggunakan kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi buat sementara waktu sehingga Badan Pencegah Rasuah (BPR) selesai menjalankan siasatan terhadap kereta Proton Perdana V6 Executive.
BPR telah mengambil kereta Proton Perdana V6 kerajaan negeri itu untuk siasatan berhubung kos penyenggaraannya yang terlalu tinggi.
"BPR telah ambil kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri. Jadi mereka kena pakai dululah (kereta Mercedes)...Perdana Menteri pun dah kata, sekali-sekala boleh pakai kereta Mercedes ini," katanya.
Dua hari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kesemua 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang telah dibeli kerajaan Terengganu hanya akan digunakan untuk membawa tetamu-tetamu kerajaan negeri.
Sementara itu, pengeluar kereta nasional, akan menghantar anggota audit dalamannya ke Terengganu bagi menyiasat berhubung kos senggaraan yang keterlaluan membabitkan kereta Proton Perdana V6 Executive milik kerajaan negeri itu berjumlah RM1.07 juta.
Pengarah Urusan PROTON Holding Bhd Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata pasukan audit dalaman itu akan mengunjungi semua pusat servis PROTON berdaftar di negeri itu yang membuat kerja selenggaraan kereta berkenaan.
Menurutnya jika siasatan mendapati berlaku penyelewengan seperti menggunakan alat ganti bukan tulen atau kerana kecuaian, pihaknya akan bertindak tegas termasuk menggantung pusat servis berkenaan sama ada ia dikendalikan PROTON Edar atau wakil EON.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment