Friday, July 4, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 43 - Memotong kepala ular)

Sebelum Bahagian 43 diteruskan para editor kanan MSM tertanya-tanya mengenai sidang media oleh penyiasat persendirian P Balasubramaniam di ibu pejabat PKR semalam. Sidang akhbar yang turut dihadiri oleh penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DSAI itu bagi mendedahkan kandungan akuan bersumpah Bala yang kononnya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dengan Altantuya. Yang muskilnya ialah penganjur sidang akhbar itu menjemput MEDIA ARUS PERDANA (MSM) dan menggunakan MSM untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Rata-rata penganjur dan penyokong mereka sebelum ini tidak percaya kepada MSM. Mereka kata MSm tidak boleh dipercayai. Laporan yang betul dalam akhbar arus perdana ialah keputusan nombor ekor. Tetapi peliknya mereka terpaksa juga menggunakan MSM. Itulah yang dipanggil 'sidang hipokrit'.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang ditemui para pemberita, termasuk beberapa editor kanan MSM di bangunan Parliament semalam ada menyatakan bahawa:
"Rakyat juga mendapat maklumat mengenai perhimpunan yang dirancang diadakan di sana-sini oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mungkin menyebabkan sesetengah masyarakat tidak senang hati. Tapi bila jadi macam ini semua orang takut."
Perdana Menteri berkata demikian apabila ditanya mengenai keadaan ekonomi semasa dan keselamatan negara sekarang. Ini berikutan ura-ura PKR akan mengadakan siri perhimpunan di seluruh negara selepas DSAI sekali lagi dituduh meliwat pembantu khas beliau di Kondominium Desa Damansara. Perhimpunan itu katanya hanya bertujuan untuk membantah kenaikan harga minyak dan barang-barang lain yang membebankan rakyat. Di kalangan para editor MSM dan editorialblog sendiri memang membantah kenaikan harga minyak, tetapi membantah kerana kenaikan kali ini terlalu tinggi sehingga 78 sen. Jika naik 20 sen atau 30 ok lagi kata rakan editor.
Editorialblog dan beberapa rakan editor serta wartawan tidak pernah bersetuju dengan perhimpunan-perhimpunan haram dan demonstrasi jalanan yang diadakan, terutama di tempat awam. Kenapa? Satu contoh kecil ialah beberapa rakan editorialblog yang berniaga kecil-kecilan di Chow Kit terpaksa menutup perniagaan kerana demonstrasi reformasi dan demonstrasi jalanan. Takut barang-barang perniagaan beliau dirosakkan para pendemonstrasi. Adakah demonstrasi ini baik? Menyusahkan sebenarnya.
Orang yang menggalakan perhimpunan haram dan demonstrasi ini pula bukannya calang-calang orang. Mereka berpangkat tinggi, mereka yang dijulang menjadi pemimpin, termasuk penentang undang-undang yang diangkat menjadi pemimpin rakyat. Mereka inilah yang bijak bercakap dan menjadi penganjur perhimpunan haram. Tambahan pada waktu ini apabila timbul bermacam-macam isu terutama isu kematian Altantuya, isu politik katak dan isu liwat. Dalam isu-isu ini ada orang yang takut akan kebenaran. Malah, ada juga Menteri Besar yang menggalakkan demonstrasi jalanan ini.
Contohnya (contoh ini bukan untuk membela Datuk Najib):
Tidak terfikirkah oleh kita jika Najib atau isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor mahu membunuh Altantuya, tidak perlu melakukannya di Malaysia. Kenapa Najib atau Rosmah begitu bodoh untuk membunuh Altantuya di negara sendiri. Mungkin ada yang berkata, kalau bunuh di Malaysia senang tutup kes sebab Najib adalah Timbalan Perdana Menteri. Jangan kita berfikiran sempit. Tidak susah. Banyak strategi boleh disusun dan adakan pertemuan dengan Altantuya di Thailand. Habis cerita. Ingat balik pembunuhan seorang pegawai kanan Bank Bumiputra di Hong Kong. Bukan saja pembunuhnya tidak ditemui., bahkan wang rakyat Malaysia sendiri lesap.
Kata seorang rakan editorialblog: Sama juga kes liwat yang dikatakan dilakukan oleh DSAI. Bodohkah DSAI untuk meliwat pembantu khas beliau sedangkan peristiwa hitam 10 tahun lalu masih menghantui beliau dan keluarga beliau. DSAI pun jika dalam keadaan terdesak sekarang seperti dikatakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, janganlah sampai membebankan rakyat dan jangan sehingga rakyat naik takut untuk keluar bekerja. Rakyat sekarang susah dan anda semua adalah orang-orang yang kaya raya, yang menaiki kereta besar.
Tan Sri Muhyiddin berkata:

Dakwaan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya empat Anggota Parlimen
Barisan Nasional akan menyertai pembangkang ditimbulkannya bagi mengalih
pandangan masyarakat daripada laporan liwat terhadapnya yang merupakan isu pokok melibatkan beliau sekarang.
Beliau berkata keempat-empat orang yang kononnya akan melompat parti itu telahpun membuat penafian.
"Sekarang dia dituduh atas kes liwat dan polis sedang membuat siasatan, saya rasa biarlah tumpuan kepada isu itu," katanya.
Muhyiddin juga berkata dakwaan kes liwat terhadap Anwar tidak harus dijadikan isu politik dan mengundang pembabitan Amerika Syarikat.
"Kenapa kita nak babitkan soal peribadi kita dengan isu-isu politik dan kuasa besar. Urusan Malaysia adalah urusan dalam negara kita," katanya.
Beliau berkata perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkaitan dengan maruah negara.
Pada Bahagian 42, editorialblog memberi maklumat daripada seorang ulama supaya sesiapa saja yang dituduh dan orang yang membuat tuduhan itu BERSUMPAH DENGAN NAMA ALLAH, jika tuduhan yang dibuat itu terlalu berat, seperti dalam kes Najib, Rosmah dan Anwar. Seperti kes Anwar kira-kira 10 tahun lalu, beliau sudah diminta bersumpah, tetapi beliau enggan. Kenapa? 'Berani kerana benar, takut kerana salah'. Berikan kebenaran kepada rakyat, bukan sekadar bijak bercakap dan bersandiwara.
Malangnya, ada setengah-setengah para ustaz sekarang yang hampir dengan orang-orang yang dituduh ini tidak menasihatkan mereka supaya bersumpah. Setakat membuat akuan sumpah, semua rakyat boleh membuatnya. Apa lagi jika akuan sumpah itu adalah berdasarkan dengar cakap.
Macam penglipurlara. Diceritakan dari seorang kepada seseorang.
Tetapi, apa boleh buat kerana rakyat sudah disumbat dengan macam-macam dakwaan. Kononnya polis, Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman tidak boleh dipercayai. Jadi jika ada apa-apa tindakan oleh ketiga-tiga pihak itu terhadap DSAI maka rakyat, terutama penyokong pembangkang akan berkata itu adalah konspirasi politik kerajaan. polis, Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman terpaksa ikut arahan kerajaan.
^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^^
Apabila Perdana Menteri membuat kenyataan "...bila jadi macam ni semua orang takut", maka kerajaan sewajarnya mengambil langkah supaya ketakutan orang ramai dihentikan. Kenapa rakyat takut? Kerana akan ada perhimpunan di kawasan awam yang akan melibatkan orang yang tidak bersalah. Sedangkan perhimpunan itu hanya untuk menarik perhatian dunia luar dan menunjukkan kepada dunia luar betapa kerajaan yang ada sekarang tidak bertanggungjawab. Sudah pasti liputan perhimpunan mereka itu akan disertai oleh wartawan asing dan rangkaian TV asing. Mereka tidak memikirkan kesan apabila berita itu disiarkan ke serata dunia. Mereka tidak mempedulikan kesan terhadap rakyat, tetapi yang penting bagi mereka ialah hati puas.
Sebab itu, walaupun ada di kalangan kakitangan MSM yang bersimpati kepada pembangkang dan pemimpin mereka tindakan sehingga menyusahkan rakyat tidak boleh diterima. Maka adalah lebih baik kerajaan pimpinan Pak Lah menyekat segera perbuatan yang boleh memudaratkan keselamatan dan ketenteraman orang awam. Kalau sudah dikatakan "...orang semua takut" maka selamatkan orang ramai. Tidak perlu menunggu lama kerana Pak Lah sendiri mengakui bahawa kerajaan beliau mendapat mandat rakyat.
Bertindaklah. Caranya bukan memotong ekor ular, tetapi KEPALA ULAR ITU MESTI DIPOTONG. Jangan tunggu sehingga ular itu membelit. Pak Lah perlu bertindak segera sekarang, jangan TIDUR lagi. Rakyat sudah muak dengan lembut leher Pak Lah dalam menangani bermacam-macam isu yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam. Pak Lah tidak boleh takut lagi kerana kerajaan Pak Lah sekarang mendapat mandat rakyat.


**JANGAN TIDUR LAGI PAK LAH**

No comments: