Kenyataan media oleh Ketua Polis Negara:
Penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung tuduhan meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, adalah sesuatu amalan biasa dalam siasatan kes jenayah dan dibuat mengikut proses undang-undang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Beliau berkata adalah menjadi amalan kepada semua pihak termasuk Anwar, selaku tertuduh untuk tampil dan memberikan keterangan bagi membolehkan polis membuat siasatan secara adil.
"Polis tahu apa yang mereka lakukan dan polis hanya jalankan tanggungjawab bagi menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini petang ini dari Brunei.
Musa pulang ke tanah air selepas menerima anugerah pingat kebesaran Sultan Brunei bergelar Datuk Seri Pahlawan semalam.
Musa juga menasihati penyokong Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu supaya tidak membuat sebarang kekecohan ekoran perkembangan terbaru itu.
"Saya amat berharap mereka (penyokong PKR) tidak akan melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang.
"Jika ada pihak yang sengaja membuat kekacauan, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka," katanya.
Musa juga telah mengarahkan anggotanya untuk membuat pemantauan bagi memastikan keadaan terkawal.
Sementara itu, PKR menerusi Biro Penerangannya mengeluarkan kenyataan meminta supaya penyokong parti itu bertenang berikutan penangkapan Anwar.
Terdahulu, peguam Anwar, Sankara Nair memberitahu wartawan bahawa Anwar kini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat.
Katanya jika perlu Anwar akan dikenakan perintah reman selam 24 jam atau tidak melebihi 14 hari bagi membantu siasatan.
Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohd Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohd Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas.
Kenyataan media peguam Anwar:
Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat, kata peguamnya Sankara Nair.
Menurutnya sehingga 2.50 petang tadi, Anwar yang ditemani seorang lagi peguam, R.Sivarasa, sedang memberi keterangan kepada polis selepas tiba di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) pada pukul 1.10 tengah hari tadi.
"Polis selepas ini akan memohon kepada mahkamah bagi perintah reman selama 24 jam atau tidak melebihi 14 hari terhadap Datuk Seri Anwar bagi membantu siasatan," katanya kepada pemberita di IPPKL di sini hari ini.
Anwar menghadapi tuduhan itu selepas bekas pembantunya, Mohamad Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lepas mendakwa dirinya diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar telah memfailkan saman terhadap Mohamad Saiful kerana membuat laporan palsu berkenaan kejadian liwat itu yang dikatakan berlaku pada 26 Jun lepas.
Sankara berkata Anwar ditahan pada 1 tengah hari oleh sepasukan anggota polis yang menaiki tiga kenderaan, kira-kira 50 meter dari rumah Anwar di Segambut, sebelum diiringi ke IPKKL.
Beliau yang turut berada bersama Anwar ketika itu mendakwa polis tidak mempunyai dokumen rasmi atau surat perintah ketika menahan Anwar.
Pemandu Anwar, Abdullah Sani Said, 49, berkata ketika ditahan, Anwar sedang dalam perjalanan balik ke rumahnya sambil diiringi dua peguamnya itu, selepas selesai memberikan keterangan kepada Badan Pencegah Rasuah di Putrajaya, berhubung laporannya mengenai pemalsuan fakta oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.
Bercakap kepada pemberita ketika sedang menunggu di IPKKL, Abdullah berkata kira-kira 20 anggota polis yang berpakaian seragam menahan kenderaan yang dipandunya sebelum mereka memaklumkan kepada Anwar tujuan mereka tanpa bertindak kasar terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Mereka hanya kata nak ambil Datuk Seri (Anwar) untuk bawa ke IPKKL untuk siasatan. Datuk Seri ada tanya mereka ada surat tak, tetapi polis kata tak ada," kata Abdullah yang telah bekerja untuk Anwar selama 25 tahun.
Apa berlaku di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur:
Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dipercayai untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes liwat membabitkan beliau.
Anwar dilihat tiba dengan menaiki sebuah kereta pacuan empat roda pada 1.10 tengah hari dengan diiringi 20 kereta polis.
Anwar sebelum ini diberi tempoh sehingga 2 petang ini untuk hadir di IPKKL bagi memberi keterangan kes itu atau berdepan dengan tindakan penahanan mengikut prosedur undang-undang sedia ada.
Semalam, Anwar gagal tampil di IPKKL walaupun dikatakan bersetuju untuk berbuat demikian bagi memberi keterangan berhubung tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Anwar pagi ini turut hadir di ibu pejabat Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung laporannya terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Isteri Anwar yang juga Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui pemberita di IPKKL, berkata Anwar ditahan polis berhampiran rumah mereka di Segambut ketika dalam perjalanan balik selepas memberi keterangan kepada BPR di Putrajaya.
Menurutnya beliau sedang menghadiri persidangan Dewan Rakyat apabila mendapat panggilan daripada suaminya berhubung perkara itu lalu bergegas ke IPKKL.
"Datuk Seri Anwar sempat menelefon saya dari dalam kereta ketika dalam perjalanan dibawa ke IPKKL," katanya.
Peguam Anwar, Sankara Nair juga dilihat berada di IPKKL dan memasuki bangunan itu, dipercayai bagi menemani Anwar dalam membuat keterangan.
Antara yang berada di ibu pejabat polis kontinjen itu ialah anak perempuan Anwar, Nurul Izzah yang juga anggota Parlimen Lembah Pantai, Naib Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Tian Chua, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, Pengerusi DAP Karpal Singh dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
Karpal Singh berkata beliau akan berusaha untuk membebaskan Anwar secepat mungkin.
Dalam tempoh tidak sampai sejam Anwar berada di IPKKL, sekumpulan 200 penyokongnya dilihat berlegar di luar kawasan itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment