Sunday, July 6, 2008

Apa Kata Editor MSM (Bhg 45 - bala dan azab berterusan)

Sejak dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004, melalui pilihan raya umum 2008 dan terbaru dituduh pula meliwat, DSAI tidak henti-henti menerima 'bala'. Macam-macam terpaksa dilalui oleh DSAI dan keluarganya. Beliau dan keluarganya setiap hari terpaksa menahan 'azab'.
Perkataan 'bala' dan 'azab' terhadap DSAI tercetus daripada seorang editor ketika para editor kanan MSM bersembang, sambil menganalisis setiap maklumat yang diterima mengenai keadaan ekonomi, politik, keselamatan dan kehidupan masyarakat. Malah, para editor juga menganalisis corak Bursa Malaysia. Dihebahkan baru-baru ini bahawa Bursa Malaysia tidak diniagakan kerana berlaku kerosakan teknikal sistem komputer/penyenaraian. Namun, editorialblog juga menerima maklumat lain punca Bursa Malaysia tidak diniagakan!!!
'Azab' itu, bagi DSAI dan penyokongnya berlaku disebabkan konspirasi. Perkataan 'konspirasi' itulah yang disuap ke telinga rakyat hari demi hari. Perkataan itu tidak akan beliau dan penyokong beliau ketepikan daripada kamus kempen mereka, sama ada di balai polis ketika membuat aduan atau di tengah masyarakat.
Sambil mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus dipersalahkan kerana menjadi penghalang kepada cita-cita besar DSAI untuk memerintah Malaysia, pemimpin Umno, pegawai kerajaan dan badan kehakiman pula menjadi sasaran DSAI dan penyokongnya. Konon segala-gala yang berlaku ke atas beliau sekarang adalah konspirasi politik PM Abdullah, TPM Najib, Ketua Polis Negara Musa Hassan, Peguam Negara, Gani Patail dan semua menteri.
Adalah sesuatu yang amat malang kerana pembebasan DSAI turut menyelewengkan kepercayaan sebilangan anggota masyarakat kononnya beliau tidak pernah bersalah atas tuduhan melakukan perbuatan terkutuk itu. Seperti dikatakan Tun Dr Mahathir dalam blog beliau dua hari lalu. Jauh lebih malang lagi apabila sebahagian penyokong DSAI ini memilih untuk melihat Dr Mahathir berniat jahat menerusi konspirasi yang digembar-gemburkan DSAI hinggakan jasanya selama 22 tahun mengabdikan diri kepada agama, bangsa dan negara seakan-akan dibiar terhakis daripada lipatan kenangan.
Penyokong DSAI boleh percaya apa yang mereka mahu terus percaya atau memaksa ia turut
mempengaruhi orang lain. Tetapi hakikatnya, ketiga-tiga hakim Mahkamah Persekutuan dalam
penghakiman mereka ketika membebaskan DSAI pada, mendapati memang ada bukti untuk
mengesahkan bahawa DSAI terlibat dalam kegiatan homoseksual, dan mereka lebih terdorong untuk mempercayai bahawa kejadian di Tivoli Villa benar-benar terjadi. Inilah suatu perkara yang tidak boleh dinafikan, kerana DSAI sendiri gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.
Namun perkara itu akan tetap dikatakan satu konspirasi politik, sedangkan 'bala dan azab' yang terus mengejar DSAI tidak difikirkan. Kita lihat berapa kerat bangsa Cina dan India sanggup bersusah payah berhimpun untuk mendengar DSAI menjerit, dan berapa ramai Melayu yang sanggup menghabis masa dan minyak kereta untuk tujuan yang sama. Kenapa DSAI saja menerima 'bala dan azab' itu tidak pula diteliti, dikaji dan dianalisis oleh pengikutnya.
Jangan kita lupa bahawa di sekeliling kita ada juga orang yang hanya mahu mendiami sebuah negara yang aman dan tenteram, tanpa gangguan awam, tanpa huru hara, tanpa kesesakan. Berpolitik dengan bersih, bukan kotor dan tanpa kita mahu dicabar kuasa asing. Kita tidak mahu hanya seorang yang membawa lumpur, maka rakyat (seperti apa yang dialami sekarang) turut menanggung 'bala dan azab'.

No comments: