Friday, April 18, 2008

Apa kata Editor MSM (Bhg 11 - Hakim bukan pemerintah)

Editorialblog: Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi sebenarnya meminta maaf 'secara diam' bagi pihak kerajaan, kepada bekas ketua hakim negara yang dipecat Tun Salleh Abbas dan lima hakim lain apabila menyatakan kerajaan akan memberikan imbuhan kepada mereka.
Enam hakim yang dipecat ketika krisis kehakiman pada 1988 ialah Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed serta Datuk George Seah.
Kelmarin, Abdullah ketika memberikan ucapan dalam majlis makan malam Majlis Peguam mengumumkan kerajaan akan memberi ex-gratia kepada semua enam hakim berkenaan selepas mengambil kira pengorbanan mereka dalam bidang kehakiman negara.
Dalam ucapannya juga, Abdullah membayangkan bahawa kerajaan mengiktiraf sumbangan enam hakim yang dipecat itu.
Editorialblog percaya Abdullah begitu yakin akan mendapat sokongan para peguam selepas hadir dalam majlis itu dan membuat pengumuman 'membidas' bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Sudah pasti lah peguam-peguam yang hadir bertepuk sorak kerana yakin Abdullah akan benar-benar memulihkan keyakinan orang ramai terhadap fungsi kehakiman negara. Kita lihat nanti sejauh mana keyakinan terhadap usaha itu.
Apa yang pasti sebenarnya, ramai di kalangan peguam di negara ini tidak memihak kepada kerajaan Barisan Nasional. Ini jelas dapat dilihat dalam segala tindak tanduk mereka sebelum pilihan raya umum yang lalu. Majlis Peguam sendiri menganjurkan beberapa demonstrasi jalanan sebelum pilihan raya lalu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan diperintah BN tidak betul. Mereka berani melakukan provokasi terhadap polis yang diamanahkan oleh kerajaan untuk menegakkan undang-undang negara. Apabila polis bertindak menggunakan peraturan yang disediakan maka tindakan itu akan digembar gemburkan sehingga rakyat melihat Majlis Peguam betul dan polis (kerajaan) salah. Padahnya, BN mengalami kekalahan teruk tetapi hal ini tidak disedari oleh Abdullah yang mentadbir kerajaan.
Editorialblog: Sebenarnya apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir walaupun pada pandangan banyak pihak adalah satu kesalahan dan kesilapan ketika krisis kehakiman 1988, tetapi ianya perlu dilakukan demi untuk masa depan negara. Saya terbaca dalam satu laman blog yang menyatakan tindakan Dr Mahathir adalah demi survival orang Melayu, Agama Islam dan negara. Tetapi, saya tidak pasti di sebalik kebenaran itu.
Saya siarkan sedutan ringkas apa sebenarnya yang dikatakan 'krisis kehakiman 1988':
  • Krisis Kehakiman 1988 bermula selepas Umno selesai mengadakan pemilihannya pada 1987. Dalam pemilihan itu, Tengku Razaleigh Hamzah menentang Dr Mahathir bagi merebut jawatan Presiden Umno. Tetapi, Dr Mahathir berjaya mempertahankan jawatannya dengan kelebihan 43 undi mengalahkan Tengku Razaleigh. Sebaik selesai pemilihan itu, 11 ahli Umno memfailkan pestisyen di mahkamah meminta membatalkan keputusan pemilihan berkenaan. Mereka mendakwa keputusan pemilihan itu patut dibatalkan kerana ada antara perwakilan yang mengundi datang dari cawangan yang belum didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan. Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Harun Hashim, yang mengadili kes berkenaan kemudian, membuat keputusan yang berpihak kepada plaintif dan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan tidak sah dari segi undang-undang kerana mendapati ada cawangannya tidak berdaftar mengikut Akta Pertubuhan. Ekoran daripada itu, Dr Mahathir membentangkan satu Rang Undang-Undang di Parlimen bagi meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan yang secara tidak langsung mengehadkan kuasa badan kehakiman kepada apa yang diperuntukkan Parlimen sahaja, manakala Peguam Negara diberi kuasa menentukan di mahkamah mana kes tertentu boleh dibicarakan. Berikutan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas, membuat kenyataan mempertahankan kebebasan dan kuasa mutlak badan kehakiman negara daripada campur tangan cabang eksekutif, yakni kerajaan. Berikutan itu, beliau dipanggil ke pejabat Dr Mahathir dan badan kehakiman didakwa bersikap berat sebelah dalam kes ‘Umno 11’ sehingga mengakibatkan Umno diisytiharkan pertubuhan haram. Menyusuli kejadian itu, Salleh menyelaras satu perjumpaan dengan 20 Hakim Mahkamah Agung di ibu negara, yang memutuskan beliau menulis surat peribadi kepada Yang di-Pertuan Agong dan ketua-ketua negeri, menyuarakan kekecewaan terhadap pelbagai komen dan tuduhan yang dibuat Dr Mahathir terhadap badan kehakiman. Dua bulan selepas itu, Salleh digantung daripada jawatannya dan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi, Tan Sri Abdul Hamid Omar, dilantik memangku jawatannya. Salleh kemudian dihadapkan ke tribunal atas kesalahan pencabulan kuasa dan beliau memfailkan saman di Mahkamah Tinggi mencabar kesahihan tribunal itu. Lima Hakim Mahkamah Agung memberikan Salleh perintah penangguhan sementara terhadap pelaksanaan keputusan tribunal, tetapi perintah itu diketepikan pada Ogos 1988 dan Salleh dipecat secara rasmi daripada jawatan beliau. Lima Hakim Mahkamah Agung terlibat ialah Tan Sri George Seah, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Azmi Kamaruddin dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh kemudian digantung kerja. Wan Sulaiman dan Seah kemudian dipecat manakala tiga lagi dikekalkan.
Editorialblog: Apa yang pasti ialah sekarang ini, dilihat dari semua sudut, para editor MSM yakin Tun Mahathir melakukan tindakan pada 1988 bukan untuk menyelamatkan jawatan beliau atau untuk kepentingan dirinya, tetapi untuk rakyat dan untuk negara Malaysia. Adakah kerajaan yang memerintah tidak boleh langsung menyentuh atau menegur institusi kehakiman jika keputusan hakim walaupun ada kebenaran, tetapi boleh menjejaskan negara, bangsa dan agama? Pelantikan hakim tidak melalui pilihan raya dan bukan dipilih rakyat. Tetapi pelantikan kerajaan yang memerintah Malaysia adalah dibuat melalui proses pilihan raya. Hakim walaupun daripada badan kehakiman tetapi mereka masih dipanggil kakitangan kerajaan yang memerintah.
Editorialblog: Para editor MSM sekarang adalah wartawan dan wartawan kanan yang pernah berada di bawah pentadbiran Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir. Mereka mampu menilai apa yang ada pada Abdullah sebab itu kebanyakannya tidak bersetuju cara Abdullah mentadbir negara. Bagi pada editor MSM sekarang hanya ada dua sistem pemerintah di Malaysia iaitu kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan sistem beraja. TIDAK ADA SISTEM PEMERINTAHAN HAKIM!

1 comment:

Anonymous said...

Please look up the concept of Separation of Powers in Govt.