Sunday, April 13, 2008

Mingguan Malaysia: Masa untuk perubahan

Temubual Utusan Malaysia dan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin

Bagaimana Tan Sri melihat pencapaian UMNO dan BN dalam pilihan raya kali ini?
MUHYIDDIN: Kita mencapai keputusan yang kurang baik kerana di peringkat Parlimen, Barisan Nasional (BN) hanya menguasai 140 kerusi. Di negeri-negeri pula, banyak kawasan yang dimenangi dengan majoriti agak rendah atau terus kalah. BN kalah teruk di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Di Kelantan prestasi BN bertambah buruk. Di beberapa negeri seperti Negeri Sembilan, BN menguasai 20 kerusi negeri, pembangkang 15. Di Johor walaupun ia dikenali sebagai kubu kuat UMNO, buat pertama kali dalam sejarah ia ditembusi pembangkang. Walaupun kita bersyukur kerana masih berkuasa di peringkat Parlimen, tetapi dalam keadaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga, ia adalah kemerosotan paling besar dalam sejarah BN. Ini kerana dua pertiga adalah bagi menunjukkan kekuatan. Biarpun Perdana Menteri menyatakan kita masih menang dengan simple majority, tetapi ia meletakkan kita dalam keadaan tidak kukuh. Semua ini musibah yang amat membimbangkan dan cukup bahaya. Ia isyarat bahawa rakyat tidak puas hati dengan BN dan menunjukkan kemarahan melalui peti-peti undi.
Apa langkah yang perlu diambil bagi membaiki keadaan?
MUHYIDDIN: Kita akan mengadakan post-mortem dan berharap ia akan dibuat secara bebas supaya tidak ada pihak yang mengubah suainya untuk kepentingan sesiapa. Kita hendak tahu, apakah sebenarnya yang menyebabkan kita kalah teruk walaupun di peringkat awal orang sudah membuat andaian-andaian. Pertama, mereka sebut soal kepimpinan, mereka menyalahkan Perdana Menteri yang juga Presiden parti dan Pengerusi BN. Mereka juga mengaitkan dengan apa yang sering disebut 'fakta KJ'. Mungkin ia tidak betul atau persepsi tetapi dalam pilihan raya dan politik, persepsi itu penting. Kita boleh kata kita sudah bangunkan negara selama 50 tahun, bawa banyak pembangunan dan nikmat. Tetapi kenapa rakyat tolak kita? Itulah yang harus difikirkan. Apakah mungkin kita memahami ada beberapa perubahan besar dari segi pemikiran rakyat iaitu generasi selepas merdeka dan generasi baru yang umumnya dikatakan tidak menyokong BN? Ada rakyat yang mengatakan kepimpinan BN tidak menyerlah, lemah dan tidak berupaya menangani keadaan semasa. Ada yang sebut soal-soal berkaitan ketelusan, hak kebebasan dan nilai-nilai baru yang mungkin kita tidak sedari mulai menyerap dalam pemikiran generasi baru. Kita masih berfikiran lama. Orang sudah berubah, kita tidak berubah. Oleh itu, mereka lebih kritikal terhadap apa yang kita lakukan. Bagi sesetengah pengundi, mereka tidak lihat pembangunan sebagai keutamaan. Mereka lihat aspek-aspek lain seperti harga barang, sistem kehakiman, kebebasan bersuara, soal mengongkong yang dilakukan oleh kepimpinan kerajaan dan macam-macam lagi.
Maknanya, kalau BN hendak menarik perhatian pengundi, parti itu perlu melakukan perubahan?
MUHYIDDIN: Ketika ini orang bercakap soal kepimpinan sama ada kepimpinan Perdana Menteri mahupun komponen BN sehingga memungkinkan mereka menolak UMNO, MCA, MIC dan Gerakan di beberapa peringkat. Apakah perlu satu perubahan? Di banyak negara bila ada pilihan raya tema paling popular ialah change dan dalam pilihan raya lalu pihak pembangkang menggunakan tema perubahan. Di peringkat kita sekarang, harus menilai apakah perlu ada perubahan. Itu persoalan yang cukup kritikal yang perlu ditimbang semasak-masaknya. Ada orang kata kita perlu merombak semula parti untuk menyesuaikan dengan situasi pemikiran dan keadaan semasa. Ini memerlukan satu rombakan dari segi pemikiran dan minda bagi membolehkan UMNO terus relevan. Contohnya, orang kata parti-parti komponen bersama BN kalah kerana mereka terlalu didominasikan oleh UMNO. UMNO menjadi teras kerajaan dan banyak polisi hanya melibatkan kepentingan orang UMNO dan Melayu sahaja. Jadi saya fikir kita perlu teliti balik kenyataan seumpama ini dan perbaiki. Kalau kita mahu membantu parti komponen BN kita harus lihat bagaimana hendak membantu mereka. UMNO tidak boleh bersendirian dalam situasi yang sudah berubah ini. Kita memerlukan sokongan masyarakat bukan Melayu. Jadi ini memerlukan rombakan dari segi pengurusan dalam BN. Saya sudah syorkan dalam mesyuarat pengurusan parti supaya kita membentuk pelan tindakan memperkukuhkan semula UMNO dan BN. Ia bukanlah sesuatu yang dibincangkan secara ad hoc sebaliknya satu pasukan diwujudkan bagi menggubal pembentukan semula pendekatan kita sama ada dalam parti mahupun kerajaan.
Apakah pembentukan semula ini turut menuntut supaya kepimpinan parti juga perlu berubah seperti mana didesak oleh banyak pihak?
MUHYIDDIN: Saya lihat dengan jelas perasaan tidak senang hati terhadap kepimpinan parti. Saya sebut ini bukan saya cakap tetapi berdasarkan kepada maklumat yang dikumpul. Dalam percakapan mereka yang dilakukan secara terbuka dan ikhlas tanpa 'digagahi' oleh mana-mana pihak, satu perkara pokok yang disebut ialah soal kepimpinan. Di luar parti pun ada yang bercakap perkara yang sama, dikaitkan dengan masalah keluarga dan sistem yang diamalkan. Justeru saya bimbang jika tidak ada satu perubahan berlaku seperti mana yang bukan sahaja dituntut oleh UMNO tetapi orang luar UMNO, rakyat akan terus tolak BN dan UMNO. Oleh itu, ahli parti harus fikir secara matang, Perdana Menteri sudah buat kenyataan. Pertama, beliau akan pergi bila sampai waktunya. Kedua, beliau menyebut Datuk Seri Najib bakal penggantinya. Ketiga, beliau kata, ''beri saya sedikit masa untuk perbetulkan parti sebelum saya menyerahkan parti kepada pengganti saya.'' Ramai berkata, itu bagus dan jelas dari segi pelan peralihan kuasa tetapi mereka juga bertanya, bila? Saya fikir ada satu perasaan membuak-buak di peringkat bawah iaitu perasaan tidak puas hati yang ketara. Oleh itu saya berpendapat, kalau tidak berlaku perubahan dalam UMNO maka banyak perkara tidak baik akan terjadi. Justeru saya takut jika saya tidak bercakap dengan benar, ia akhirnya boleh membawa bencana kepada orang Melayu dan UMNO. Sebab itu saya perlu bersuara walaupun tidak lantang tetapi tegas dan jelas kerana apabila saya bercakap ini, saya tidak melihat (membayangkan) muka sesiapa, sama ada muka Pak Lah, Najib, Muhyiddin atau Mat Taib atau mana-mana pemimpin UMNO. Apa yang saya bimbang ialah UMNO dan orang Melayu akan kalah. Saya benar-benar takut kalau saya tidak mengatakan yang hak (benar) walaupun yang hak itu adalah pahit maka UMNO boleh terjerumus ke dalam keadaan lebih teruk. Bukan setakat terjerumus tetapi disebabkan UMNO tidak lagi unggul maka UMNO akan hilang kuasa. Saya bertemu ramai tokoh, mereka berkata kalau tidak berlaku apa-apa perubahan, kita akan kalah lebih teruk. Sebab itu saya rasa bertanggungjawab untuk bersuara walaupun mungkin ada pihak yang membaca kenyataan saya ini, ia satu yang mungkin agak luar biasa tetapi akhirnya saya harus menyatakan perkara yang benar. Tetapi saya menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan untuk memikirkan bagaimana caranya (peralihan dilakukan).
Mungkin sesetengah menganggap kenapa perlu UMNO melakukan perubahan kerana turun naik adalah adat dalam pilihan raya.
MUHYIDDIN: Jangan anggap situasi sekarang adalah biasa, mungkin kita dibuai oleh lagu-lagu lama seperti dondang sayang dan rentak-rentak Mawi, maka kita lupa sedangkan situasi sekarang agak berbeza. Apa yang terjadi sekarang adalah luar biasa, kita tidak boleh memperkecilkan gerakan parti pembangkang. Mereka mendapat semangat baru, mereka boleh tumbangkan kerajaan BN, sudah ada Pakatan Rakyat diwujudkan. Saya pernah sebut PKR hanya ada nafas ikan, saya salah. Banyak pihak kepimpinan kita pun membuat tafsiran salah. Mereka bukan sahaja ada nafas baru malahan kekuatan baru. Jadi kita harus fikir secara drastik untuk mencari formula terbaik untuk selesaikan masalah ini. Dalam soal ini kita ambil pendekatan berhemah. Kalau tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak, itu peribahasa yang cukup tepat dalam situasi sekarang. Persoalannya, modus operandi dan caranya bagaimana? Ia lebih terletak di atas bahu Presiden parti. Kami dalam barisan kepimpinan yang lain bersedia memikul amanah besar, bukan untuk diri saya atau Datuk Seri Najib atau sesiapa tetapi untuk orang Melayu. Dalam situasi ini semua orang harus berfikir mengenai kepentingan parti, bukannya nasib mana-mana individu. Sekarang adalah waktu kita bersemuka dengan fakta sebenar dan menyatakan kebenaran, kalau tidak bencana lebih besar boleh menimpa kita.
Sejauh manakah ahli UMNO akan menerima apa yang Tan Sri cakapkan ini dan adakah peralihan kepimpinan boleh menyelesaikan masalah?
MUHYIDDIN: Saya meninjau di banyak tempat dan mendapat banyak maklum balas serta ditemui banyak pihak. Selain Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan panggilan telefon, mereka yang saya temui berpandangan begitu. Mereka kata Tan Sri mesti cepat buat sesuatu, cakap terus terang, berkata yang benar. Saya sudah buat apa yang sepatutnya saya buat, saya fikir saya tidak keseorangan dalam hal ini. Cuma dalam UMNO sudah ada satu adat dan cara kita yang masih boleh kita gunakan dengan terhormat. Apa yang penting perlu ada ruang kepada kepimpinan baru untuk memulihkan parti sebelum pilihan raya akan datang. Jadi saya serah kepada kebijaksanaan Presiden parti, beliau yang cakap (untuk serah kepada pengganti), saya rasa dalam hati Perdana Menteri dan Presiden parti beliau akan bersedia dan sedang memikirkan soal ini. Saya berdoa kepada Allah membuka pintu hati Pak Lah untuk berfikir dengan semasak-masaknya.
Adakah peralihan itu harus dilakukan pada Disember iaitu ketika pemilihan parti berlangsung sedangkan ia dilihat satu tempoh yang masih lama?
MUHYIDDIN: Itu (pemilihan parti) tidak mengapa, tempoh itu sudah ditetapkan begitu kerana ada sebab-sebab dari segi teknikal. Tetapi proses perubahan dan peralihan boleh dilakukan bila-bila masa. Apa yang harus diingat pelbagai perkara lain yang tidak kita ramalkan boleh terjadi. Sama ada jawatan Presiden ditandingi ataupun tidak, Timbalan Presiden akan ditandingi atau tidak, peralihan akan dibuat secara licin ataupun tidak, inilah masanya. Saya berfikir secara mendalam dan jelas kerana sebagai seorang pemimpin dalam UMNO saya harus tahu arah tuju saya, bukan politik saya, tetapi UMNO. Saya kena tahu di mana saya boleh berperanan. Kenyataan saya tidak bermaksud apa-apa tetapi untuk menyelamatkan UMNO, Melayu dan Islam dalam negara kita, sebab itu saya bersedia untuk bercakap walaupun bagi sesetengah pihak, saya menanggung risiko.
Jadi Tan Sri bersedia menghadapi apa juga risiko dengan memberi pandangan ini?
MUHYIDDIN: Saya sanggup tanggung risiko, itu tidak mengapa, setidak-tidaknya saya sudah menyatakan apa yang hak (benar) kerana ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan. Ini bukan soal main-main, tidak pernah berlaku dalam sejarah UMNO dan negara kita berhadapan dengan situasi begini. Bagaimana kalau kuasa politik yang tinggal sedikit dalam tangan kita ini, terlepas daripada genggaman kita, macam mana kita hendak mendapatkannya balik? Seratus tahun belum tentu lagi.
Bolehkah peralihan berlaku sebelum mesyuarat bahagian?
MUHYIDDIN: Saya memetik kenyataan Presiden yang meminta beliau diberi masa untuk memulihkan parti bagi diserahkan kepada Najib. Saya kira kalaupun beliau hendak buat begitu, beliau tidak boleh buat berseorangan. Biarlah kita lakukan. Sekarang adalah waktu kita pula untuk menyumbang dan bekerja keras. Saya bersedia untuk bekerja keras. Semua pemimpin UMNO harus menumpukan perhatian lebih banyak kepada parti daripada kerajaan. Tetapi jangan tinggalkan langsung urusan kerajaan.
Tan Sri dilihat salah seorang yang layak untuk ditonjolkan di peringkat lebih tinggi.
MUHYIDDIN: Saya tidak fikir soal itu, itu terserah kepada ahli-ahli parti. Kalau mereka fikir saya boleh berperanan, saya akan jalankan tanggungjawab itu untuk menyumbang kepada parti di mana juga peringkat tetapi saya tidak minta. Sekarang ini kedudukan saya adalah Naib Presiden, saya bersuara lebih daripada pihak-pihak yang lain, saya tidak kisah. Kadang-kadang ada orang kata saya lebih banyak bersuara daripada Najib, bercakap lebih daripada Pak Lah, tetapi kalau mereka tidak bercakap saya bercakap. Saya tidak boleh tutup mulut, justeru soal hendak pegang jawatan bukanlah terlalu penting. Namun kalau ditakdirkan oleh Allah saya diberi amanah untuk memegang jawatan lebih tinggi, saya sanggup apa sahaja. Ini bukanlah beban yang selesa. Dalam kedudukan saya, saya tahu apa yang boleh saya buat iaitu bersuara. Kalau dalam agama ini adalah iman yang paling lemah. Agama kata, bertindak itu dan ini tetapi kalau kamu tidak boleh berbuat apa-apa, kamu bersuaralah. Itu yang saya lakukan, terserahlah kepada ahli-ahli memikirkannya.
Ada atau tidak desakan di kalangan ahli UMNO yang mahu Tan Sri bukan sekadar bersuara tetapi lebih daripada itu - bertanding jawatan tinggi?
MUHYIDDIN: Tidak ada desakan tetapi pandangan ada. Kalau mereka melihat saya berani bersuara dan berkata sesuatu yang hak, boleh berperanan penting dan ada gaya kepimpinan itu terserah kepada mereka. Pada waktu ini saya tidak mahu menilai diri saya. Saya tidak berfikir langsung inilah peluang terbaik untuk masuk bertanding di mana-mana peringkat bagi melawan sesiapa. Namun kalau ahli fikir, Muhyiddin boleh berperanan membantu parti dalam kedudukan mana sekali pun, saya terima. Tetapi penentuan ini bukan saya tetapi mereka dan Allah menentukan, saya hanya bersedia untuk berkorban demi parti. Bagaimanapun apabila tiba masanya, saya hendak membuat keputusan sama ada untuk pertahankan jawatan atau bertanding peringkat lebih tinggi, saya akan umumkan.
Apa nasihat Tan Sri kepada ahli-ahli menjelang pemilihan parti bagi memastikan mereka memilih pemimpin yang benar-benar berwibawa?
MUHYIDDIN: Ini satu proses demokrasi yang harus digunakan sebaik-baiknya untuk meremajakan UMNO, menyuntik semangat baru, membariskan kepimpinan bertenaga dan berwibawa yang boleh memberi kekuatan baru kepada parti agar UMNO terus relevan.

No comments: