Tuesday, April 15, 2008

Rencana Pengarang salahkan Hisham, Khir (update)

Saya menerima kiriman email daripada seorang rakan dari MSM yang menyatakan bahawa akhbar Berita Harian and New Straits Times edisi esok 16 April 2008 akan menyiarkan rencana pengarangnya di muka depan. Jarang-jarang ini berlaku. Kecuali jika ada agenda tersembunyi yang mahu disampaikan. Dalam article itu yang pastinya membela Presiden Umno Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi turut menyalahkan semua pihak selepas Barisan Nasional dan Umno kalah teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac yang lalu.
Artikel itu juga memberi tiga contoh punca kekalahan Umno dan BN:
1) Artikel itu menyatakan tindakan Ketua Pemuda Umno (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) menghunus keris menyebabkan orang Cina marah dan tidak mengundi BN.
2) Tindakan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, meroboh kuil di penempatan Rimba Jaya menyebabkan orang India di Malaysia marah.
3) Tindakan Mohd Khir Toyo memberi penyapu kepada pihak berkuasa tempatan menyebabkan kakitangan kerajaan marah.
Artikel itu seberti berikut:

Selepas lima minggu Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan Barisan
Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan lima negeri
dikuasai pembangkang, pemimpin BN terutama dari Umno masih lagi saling menuding jari. Dengan mandat yang diberi untuk kembali berkhidmat kepada rakyat – walaupun kurang lapan kerusi daripada majoriti dihajati – BN seharusnya sudah mengorak langkah untuk memenuhi segala janji pilihan raya dengan matlamat menarik semula sokongan mereka lima tahun lagi.
Malangnya, apa yang berlaku sejak 8 Mac lalu ialah pemimpin BN, khususnya
di kalangan Umno, bercakaran sesama sendiri. Saban hari kedengaran tuduh menuduh di kalangan pemimpin Umno dan masing-masing cuba menyalahkan orang lain sebagai punca kemerosotan teruk BN pada pilihan raya umum lalu.
Ada yang mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seorang saja
bertanggungjawab atas kekalahan itu sedangkan mereka terlepas daripada
tanggungjawab itu. Mereka seolah-olah cuba menafikan hakikat bahawa kebencian
sebahagian pengundi kepada BN dan Umno yang berputik sejak sekian lama,
disuburkan oleh tindak-tanduk mereka sendiri sehingga menghasilkan buah busuk
pada pilihan raya umum lalu.
Sebab-musababnya, seperti diketahui ramai, adalah pelbagai. Antaranya,
tindakan menghunus keris oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno mengguris hati
masyarakat bukan Melayu sehingga pengundi Cina tidak mengundi BN. Masyarakat India, khususnya di Selangor, marah kepada kerajaan berikutan tindakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, meroboh kuil di penempatan Rimba Jaya sebelum pilihan raya umum lalu. Tindakan Dr Khir menghadiahkan penyapu kepada kakitangan awam, yang turut dijadikan isu dalam pilihan raya baru-baru ini, menyebabkan ramai kakitangan awam dan pengundi Melayu mengundi pembangkang sehingga negeri itu kini bertukar kerajaan. Sabotaj di kalangan pemimpin Umno sendiri turut mengubah keputusan pilihan raya umum lalu. Berapa ramai ketua bahagian dan bekas wakil rakyat yang tidak terpilih semula sebagai calon, dilaporkan berkempen untuk mengalahkan calon parti sendiri.
Malah ada ketua bahagian yang tidak mengagihkan peruntukan kempen pilihan
raya kepada jentera parti kerana mahu menyimpannya untuk kempen pemilihan Umno, menyebabkan penyokong akar umbi marah sehingga berlaku sabotaj. Memang Abdullah sebagai ketua, harus bertanggungjawab atas kemerosotan BN.
Bagaimanapun, adalah tidak adil untuk menyalahkan beliau semata-mata.
Perdana Menteri memang mempunyai kelemahan dan kita juga akui beberapa janji BN pada pilihan raya umum 2004, tidak beliau penuhi. Sehingga kini pun, beliau
tidak pernah menafikan bertanggungjawab. Lebih daripada itu, hampir selang
sehari beliau terpaksa menidakkan khabar angin meletak jawatan sambil berikrar
untuk melakukan perubahan sehingga tiba waktunya untuk berundur menerusi proses peralihan kuasa yang tersusun dan terancang.
Tetapi apakah barisan kepemimpinan Umno seluruhnya harus bebas daripada
turut sama dipertanggungjawabkan? Bukankah mereka juga sebelumnya tidak
melakukan apa-apa terhadap keterlanjuran beberapa pemimpin dalam Majlis
Tertinggi Umno? Jawapannya ialah mereka bersama-sama bertanggungjawab tetapi
memilih untuk Abdullah seorang dipersalahkan.
Apapun rentetannya nanti, pengunduran Abdullah tidak mungkin dapat
menyelesaikan semua masalah. Segala-galanya tidak akan menjadi serba harum
dengan hanya seorang dijadikan korban. Sama ada disukai atau tidak, ahli Umno di
segenap peringkat harus sama-sama memikul tanggung jawab di atas apa saja
daripada kekurangan, kelemahan, keangkuhan mahupun keterlanjuran yang membuat pengundi menolak mereka.
Rakyat sebenarnya mengharapkan perubahan dan tindakan, bukannya keasyikan
Umno untuk terus berbalah sesama sendiri. Segenap usaha kini harus ditumpukan
untuk menghadapi cabaran lebih besar daripada kegagalan BN meraih majoriti dua
pertiga. Krisis pemakanan global dan kenaikan harga minyak memerlukan perhatian
serius kerajaan kerana kesannya sudah mula dirasai rakyat.
Rakyat, selepas mereka ‘mengajar’ BN pada 8 Mac lalu, dengan penuh minat
memerhatikan sama ada gabungan 14 parti dokongan Umno itu belajar daripada
kesilapan lalu. Lantaran itu, Abdullah harus diberi sokongan untuk
memperbetulkan keadaan dengan mengotakan segala janji memimpin dengan berwibawa.

2 comments:

HARD-T (Ori) said...

Pecahkan tradisi. Siapa yang menulis adalah orang suruhan Khairy Jamaludin dan budak-budak di 4th floor Putrajaya.

Anonymous said...

Ya semua orang salah dan yang tak salah adalah orang yang menulis artikel nst ni lepas paklah berhenti ni pasang bodyguard la atau pergi bermastautin diluar negara. kami tak nak tengok muka penderhaka bangsa dan negara ni.